Lengkaplah Kisah Penglipur Lara Moden
Posted by admin on 31st May 2005
Ah, apa lagi yang hendak dikatakan tentang saga sebuah dongeng moden Star Wars ini? Episod ini memperjelaskan banyak persoalan yang sebenarnya telah terjawab pada trilogi Star Wars pusingan pertama iaitu Star Wars: The Empire Strikes Back dan Return Of The Jedi.
Penonton tidak berpuas hati dengan persoalan dan jawapan dalam pusingan pertama trilogi Star Wars tersebut. Sebenarnya persoalan dan jawapan itu juga sudah tidak penting bagi mereka. Mereka mahukan penjelasan dan perincian tentang bagaimana watak jahat Darth Vader atau Anakin Skywalker itu bermula dan bagaimana transformasi itu berlaku. Belum pernah berlaku dalam sejarah filem sebuah trilogi yang telah lengkap memerlukan sebuah trilogi lagi dalam pusingan yang kedua untuk melengkapkan perjalanan cerita watak-watak penglipur lara moden ini.
Star Wars sebagaimana kisah penglipur lara kita, sarat dengan kisah kepahlawanan, kemanusiaan, kedurjanaan, keajaiban, keanehan, fantasi dan harapan. Ia berlegar pada satu zaman yang lama dahulu, yang berlaku di zaman antah berantah dan pada masa yang sama juga berlegar pada tamadun zaman yang terlalu jauh ke depan dari segi teknologinya. Ia berlaku di padang tandus, di taman bak syurga, di kengerian neraka dan juga di alam kayangan di mana penghuninya bebas berterbangan dengan kenderaan masing-masing.
Watak-wataknya terdiri daripada manusia, robot, binatang dan makhluk-makhluk aneh yang hanya terdapat dalam kisah dongeng penglipurlara.
George Lucas menjadikan episod dan trilogi Star Wars ini sepertimana dia menyusun mosek cerita. Bermula dengan kisah pengembaraan si kembar dua beradik Puteri Lea dan Luke Skywalker pada episod ke empat (yang asal) pada 1977, kelima dan keenam pada episod Return Of The Jedi pada 1983 yang mana trilogi pusingan pertama ini menunjukkan bagaimana Luke cuba menyelamatkan bapanya daripada dunia gelap kejahatannya dan berakhirnya sebuah tragedi yang menyaksikan watak jahat Darth Vader menerima pembalasan daripada kejahatannya sendiri.
Pengakhiran sebuah tragedi yang menyaksikan pertemuan kembali sebuah keluarga. Kisah yang berisi pesanan moral yang mudah sepertimana dalam kisah klasik, watak baik atau hero akhirnya menang dan yang jahat menerima pembalasan.
Lucas kemudian menyusun pula trilogi yang mengisahkan permulaan lahirnya si Darth Vader atau Anakin Skywalker dan pada episod yang ketiga ini iaitu episod Revenge Of The Sith menyaksikan lengkapnya transformasi kejahatan manusia tersebut.
Transformasi
Biarpun dalam episod sebelum ini (The Phantom Menace) aksi dan kehebatan teknologi yang digunakan dalam peperangan antara kuasa baik dan kuasa jahat, tetapi dalam episod ini Lucas menumpukan kepada kelemahan manusia dalam menghadapi cabaran, dugaan dan godaan. Ini yang menjadikan episod ini lebih emosional dan lebih dekat dengan penonton (episod yang terbaik dalam trilogi pusingan kedua ini).
Episod ini bermula dengan Anakin (Hayden Christensen) dan mentornya Obi-Wan Kenobi (Ewan McGregor) terlibat dalam pertempuran untuk menyelamatkan Canselor Palpatine (Ian McDiamid) daripada penculikan oleh Count Dooku (Christopher Lee) yang kemudian dibunuh oleh Anakin. Peristiwa ini mendekatkan Anakin dengan Canselor yang kemudian mula menyaksikan bagaimana Canselor tersebut mula mempengaruhi Anakin untuk menyebelahinya ke dalam kuasa jahatnya.
Pada masa yang sama Padme (Natalie Portman) sedang mengandung hasil perkahwinannya secara rahsia dengan Anakin dan Anakin telah mendapat mimpi tentang Padme yang akan mati ketika melahirkan nanti. Hanya Canselor Palpatine yang dengan pengetahuan dan kuasanya dapat menjamin Padme selamat daripada tragedi ini.
Untuk hampir tiga dekad, kisah Star Wars sebuah dongeng untuk remaja akhirnya menutup tirainya sendiri. Sebagai sebuah filem, Star Wars telah menghidupkan kisah dongeng fantasi sains dengan meneruskan tradisi naratif klasik Hollywood yang dipinjam dari filem The Searchers (John Ford) yang menggabungkan kisah penglipur lara masa silam dan kemajuan teknologi komputer terkini untuk mencipta dunia mayanya sendiri.
Ketika Star Wars pertama kali muncul, teknologi visualnya telah mencipta standard baru dalam penciptaan efek khas dan seterusnya telah membentuk budaya baru tontonan filem.
Bukan itu sahaja, Star Wars juga bukan sekadar filem tetapi ia adalah sebuah industri besar yang menghasilkan pulangan berbillion ringgit.
Utusan Malaysia
Posted in Natalie Portman | No Comments »