MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Siaran Langsung Anugerah Golden Globe Di Ntv7

Posted by admin on January 17th, 2006



Stesen televisyen ntv7 akan menyiarkan siaran langsung Anugerah Golden Globe Ke-63 dari Hotel Beverly Hilton, California pada pukul 8 pagi ini. Siaran ulangannya pula akan ke udara pada hari yang sama pukul 8.30 malam.

Anugerah itu memberi pengiktirafan kepada filem-filem dan program-program televisyen yang terbaik di Amerika Syarikat. Pemilihan senarai pencalonan telah dilakukan oleh Hollywood Foreign Press Association (HFPA), iaitu pertubuhan wartawan asing di Los Angeles yang bertugas dengan syarikat-syarikat penerbitan antarabangsa.

Merupakan salah satu daripada acara yang penuh glamor serta dinanti-nantikan di Hollywood, anugerah itu menyenaraikan sejumlah 124 pencalonan yang dipertandingkan dalam dua kategori utama iaitu filem-filem terbaik dan siri televisyen terbaik.

Senarai lengkap pencalonan yang diterima untuk anugerah kali ini telah diumumkan pada 13 Disember 2005 lalu oleh Hollywood Foreign Press Association (HFPA) pada satu majlis gilang-gemilang.

Antara filem yang dijangka menjadi tumpuan ramai ialah Good Night, and Good Luck yang telah dicalonkan untuk empat kategori iaitu Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Aktor Terbaik dan Filem Terbaik.

Namun Good Night, and Good Luck terpaksa bersaing sengit dengan filem Brokeback Mountain yang menerima tujuh pencalonan iaitu Filem Terbaik, Aktor Terbaik, Aktres Pembantu Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Skor Terbaik dan Lagu Terbaik.

Program atau siri televisyen yang menerima jumlah pencalonan paling banyak ialah Desperate Housewives. Program yang turut diminati di Malaysia itu dicalonkan bagi kategori Siri Muzikal atau Komedi Terbaik. Empat orang pelakonnya dicalonkan bagi kategori Aktres Siri Muzikal atau Komedi Terbaik.

Persaingan sengit juga diramalkan di kalangan para pelakon yang bertanding bagi kategori Pelakon Lelaki/Wanita Terbaik kerana ia membariskan nama-nama pelakon handalan lagi terkenal seperti Teri Hatcher, Sarah Jessica Parker, Renee Zellweger, Kate Winslet, Jim Carey, Jamie Foxx, Kevin Spacey, Clint Eastwood, Maryl Streep, Natalie Portman, Leonardo De Caprio, Johnny Depp, Nicole Kidman, Uma Thurman dan ramai lagi.

Sir Anthony Hopkins telah terpilih untuk menerima Anugerah Khas yang dipanggil Cecil B. DeMille Awards. Sebelum ini beliau pernah dicalonkan pelbagai Anugerah Golden Globe bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem-filem seperti Silence of the Lambs, Amistud, Nixon dan Remain of the Day.

Anugerah Cecil B. DeMille Awards merupakan penghormatan tertinggi diberikan kepada anak seni Hollywood. Ahli Lembaga Pengarah Hollywood Foreign Press Association (HFPA) yang menentukan sendiri penerima bagi anugerah istimewa itu. Sir Anthony Hopkins telah terpilih untuk menerima anugerah itu atas sumbangan luar biasa beliau dalam bidang lakonan baik dalam drama televisyen, filem komedi, teater mahupun sebagai artis rakaman.

Anugerah Golden Globe setaraf dengan Anugerah Oscar dan Anugerah Emmy dan ia disiarkan secara langsung di lebih 150 buah negara di seluruh dunia.

Para penyampai anugerah merangkap pengacara untuk anugerah Golden Globe kali ini terdiri daripada nama-nama seperti Queen Latifah, William Petersen, Chris Rock, Nicollete Sheridan, Jessica Alba, Benjamin Bratt, Mariah Carey, Catherine Deneuve, Leonardo DiCaprio, Clint Eastwood, Harrison Ford, Jamie Foxx, Evangeline Lily, Virginia Madsen, Tobey Maguire, Natalie Portman, Emmy Rossum, Hillary Swank, Emma Thompson, John Travolta dan Denzel Washington.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>