Oleh AMIRAH ZAWATIL AMALY
|
|
|
TANPA mengenal erti jemu, Shabox Superstars Club (SSC) terus berusaha memperbanyakkan artis menyertai UnrealMind Interactive Bhd., program yang memberi laluan kepada artis menjalinkan hubungan rapat dengan peminat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pada awalnya SSC bagai memanjat dedap yang bermaksud melakukan sesuatu secara nekad. Kini SSC berada pada tahap selesa dalam industri perkhidmatan interaktif tanah air apabila berjaya mengumpulkan 33 artis Malaysia dan 19 artis Indonesia dalam programnya.
Malah dalam senarainya, beberapa artis Barat yang berpengaruh besar dalam bidang seni dijangka akan turut terlibat.
Menurut Ketua Eksekutif UnrealMind, Tan Swee Yeong, pihaknya sedang berusaha mendapatkan beberapa artis tempatan kaum India dan Cina yang berjaya di persada seni Asia Tenggara.
“Setakat ini kami sedang menyenarai pendek beberapa artis, selebriti dan personaliti yang mempunyai peminatnya sendiri.
“Antaranya ialah Micheal Wong, Fish Leong, Victor, Ghanna, Penny Tai dan beberapa lagi artis lagu Inggeris.
“Selain itu, kami juga akan menyenaraikan 10 bintang popular yang terdiri daripada ahli sukan dan model untuk menyertai program kami,” katanya semasa ditemui pada majlis pra-pelancaran SSC musim ketiga di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi musim ketiga ini, SSC3 berjaya mengumpulkan seramai 14 artis dan selebriti tanah air terkenal menyertai programnya. Mereka terdiri daripada Hetty Sarlene, Sharifah Amani, Sharifah Aleeya, Umie Aida, Farah Fauzana, Raja Farah, Yasmin Hani, Natasha Hudson, Ezlynn, Irma Hasmie, Fazura, Ahli Fiqir, Hans Issac, Ajai dan Nurul.
Majlis pelancaran SS3 telah diadakan di kompleks membeli-belah City Square, Johor Bahru pada Disember lalu.
SSC sangat istimewa kerana para peminat dapat mengikuti perkembangan artis-artis pujaan mereka melalui SMS yang ditulis sendiri oleh artis-artis itu.
Setakat ini, difahamkan penyanyi, pelakon dan pengacara cantik Erra Fazira merupakan artis yang mendapat paling ramai peminat yang mendaftar untuknya iaitu sebanyak 18,000 orang.
Dia diikuti oleh pelakon remaja yang sedang meningkat naik berusia 21 tahun, Fasha Sandha.
Perkhidmatan Shabox boleh dilanggan oleh pengguna pascabayar atau prabayar talian Celcom (019, 013), Maxis (012, 017) dan Digi (016).
Caranya hanya dengan menghantar kod nama artis ke nombor 39330 dan bermula di situ, peminat akan menerima satu SMS setiap hari daripada artis mereka tanpa bayaran pendaftaran dan bayaran bulanan.
Selain memberikan khidmat pesanan ringkas, SSC turut mengatur pelbagai aktiviti untuk mereka yang mendaftar, termasuk berpeluang menjadi pembantu peribadi artis yang diminati selama sehari dan berkaraoke bersama artis untuk dirakamkan ke dalam cakera padat.
Powered by Utusan Malaysia