Gubra Ada Babak Bilal Pegang Anjing
Oleh WANDA IDRIS
“KALAU Sepet mengandungi adegan-adegan Gubra, ia pasti akan menerima sekurang-kurangnya 20 peratus potongan. Dan sekiranya panel yang sama menilai Gubra, filem itu akan menerima sekurang-kurangnya 25 peratus potongan.”
Demikian kata pengarah Gubra, Yasmin Ahmad sehari sebelum filem itu ditayangkan kepada media di TGV KLCC pada Rabu lalu.
Selepas menonton Gubra, memang benar bahawa tanpa panel penilai yang bersikap terbuka, tentunya beberapa adegannya tidak lepas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).
Bukan mengatakan adegan yang terlepas itu lucah namun ia boleh mendatangkan rasa kurang selesa pada sebilangan penonton.
Antaranya, babak yang menampakkan punggung seorang pesakit ketika Orked (Sharifah Amani) bertanya di mana tandas dan ketika Orked keluar dari bilik mandi dengan hanya berkemban tuala selain sikap liberal seorang Bilal yang memegang anjing (yang kedua-duanya dalam keadaan kering).
Kita tidak perlu bercerita tentang aspek kasih sayang yang ditonjolkan kerana rasanya penonton tahu bagaimana hasil kerja Yasmin dalam menonjolkan babak sedemikian.
Namun Yasmin mempunyai prinsip. Jika dia menjual sebiji kek coklat yang mengandungi pelbagai hiasan, dia mahu keknya itu dijual kepada pelanggan dalam keadaan yang sama.
“Ini adalah sebiji kek yang saya buat untuk anda dan saya gembira kerana anda dapat menikmati kek (filem) yang sebenarnya,” ujar Yasmin.
Dan apabila ditanya tentang kontroversi yang bakal timbul, sambil ketawa Yasmin berkata: “Tawakal sajalah….”
Anak kelahiran Muar, Johor yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom ini memberitahu, dia tidak mahu meramalkan sambutan yang diterima oleh Gubra, filem ketiga arahannya selepas Rabun dan Sepet.
“Saya mengharap tetapi tidak mahu menjangkakan,” katanya yang turut memberitahu tidak akan mempertandingkan Gubra atau mana-mana filemnya pada festival filem tempatan.
Gubra akan ditayangkan kepada umum pada 6 April ini. Diterbitkan oleh Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd., ia menelan belanja sebanyak RM1 juta.
Berlokasikan sekitar Ipoh, Perak, selain Sharifah Armani, Ida Nerina, Harith Iskander Musa dan Adibah Noor, Gubra dibintangi Alan Yun, Adlin Aman Ramlie, Nam Ron, Norkhiriah, Rozie Rashid, Khir Rahman, Juliana Ibrahim, Thor Kah Hoong dan Tan Mei Ling.
Walaupun ia boleh diibaratkan sekuel Sepet namun ia sebenarnya tidak dalam erti kata sebenar kerana Gubra mengandungi dua cerita berbeza.
Ia mengangkat kisah Orked yang sudah berumah tangga dan menghadapi konflik dalam kehidupannya.
Pada sisi lain di sebuah kampung berdekatan, muncul pula cerita tentang kehidupan Bilal dan keluarganya yang berjiran dengan pelacur.
Walaupun memaparkan dua cerita yang langsung tiada hubung kait, Gubra tampil dengan cerita yang simple namun kompleks dari segi emosinya.
Ceritanya tiada kena-mengena antara satu sama lain tetapi mesej yang ditampilkan menjadi penghubungnya.
“Cuma,” kata Yasmin, “saya ingin menasihati penonton agar tidak terus balik ketika credit title dipaparkan kerana ada perkara yang berlaku selepas itu.”
Sememangnya penonton tidak seharusnya melepaskan babak terakhir itu kerana ia merupakan sinambungan filem Yasmin yang akan datang, Mokhsein, yang sedang dalam pembikinan.
“Mokhsein boleh dianggap sebagai filem prekuel yang mengisahkan Orked ketika berusia 10 tahun yang bertemu dengan seorang budak lelaki bernama Mokhsein (12 tahun) yang datang ke kampung Orked sewaktu cuti sekolah.
“Kali ini Mak Inom dan Pak Atan masing-masing dibintangi oleh Sharifah Aleya dan Zul Huzaimi,” katanya.
Filem yang sudah memulakan proses latihan sejak dua minggu lalu itu akan diterbitkan oleh Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dengan lokasinya berpindah dari Ipoh ke Kuala Selangor.
Powered by Utusan Malaysia
Ilham Solekan Nuansa Semula Jadi
SETIAP musim memiliki trend tersendiri. Bagi musim bunga/panas 2006, tatarias wajah juga memiliki gaya tersendiri. Produk kosmetik M.A.C yang setiap musim menampilkan gaya terbaru menghadirkan Pengarah Make-Up Artistry M.A.C Pro Team, Bianca Alexander dari New York baru-baru ini untuk memperkenalkan solekan terkini.
“Solekan juga dapat diibaratkan seperti melukis dan kreativiti diperlukan. Apa yang terkini daripada M.A.C adalah keberanian mencipta wajah yang anda inginkan.
“Misalannya bagaimana menggunakan warna hitam dengan cara berbeza. Pelbagai ton bedak asas juga digunakan untuk membentuk wajah yang sempurna,” kata Bianca yang pernah menyolek artis terkenal seperti Alicia Keys, Shakira dan Pamela Anderson.
Menurut Bianca, untuk musim terbaru itu, para jurusolek artis M.A.C mengolah gaya solekan era 90-an yang menampilkan solekan mata yang dramatik, wajah polos tetapi menarik dan kelihatan semula jadi.
“Solekan mata misalannya memainkan peranan. Apa yang penting dalam solekan itu adalah menyerlahkan mata dan pada masa yang sama mengurangkan solekan lain termasuk bibir dan pipi,” Bianca menurunkan petua.
Sebenarnya, tatarias wajah bergantung gaya hidup dan keperibadian setiap orang. Untuk aplikasi, tidak ada penambahan yang disesuaikan dengan trend.
Solekan selalunya bersifat peribadi tetapi untuk musim bunga/panas 2006, bedak asas digunakan untuk menampilkan kesan wajah polos dan bersih. Teknik itu dinamakan sebagai Skin Thing.
“Jika kita lihat peragaan fesyen kebelakangan ini banyak label fesyen yang menampilkan model di pentas dengan wajah yang natural dan polos. Mereka seolah-olah tidak mengenakan sebarang solekan.
“Ia adalah salah satu teknik menggunakan pelbagai tekstur bedak asas daripada cecair dan kompak. Fokuskan kepada bahagian yang perlu disembunyi dan yang mana perlu diserlahkan dengan concealer,” katanya lagi.
Tatarias yang diperkenalkan Bianca juga memfokuskan kepada bahagian mata apabila smokey eyes kembali tetapi dengan gaya berbeza. Ilham itu membawakan solekan bernama So Super, kata Bianca.
“Solekan ini mengembalikan gaya supermodel tahun 90-an,” katanya.
Smokey eyes adalah riasan mata yang bahagian tengahnya berwarna gelap, dan semakin ke atas menjadi lebih berwarna ringan. Membaurkan warna yang lebih cerah dan ringan menjadi gaya terkini M.A.C.
Selain daripada itu pemakaian bulu mata palsu juga memainkan peranan dan ia bukan sekadar diletakkan pada kelopak mata atas tetapi juga bawah mata.
Untuk teknik yang dinamakan sebagai Eye Max itu produk yang perlu anda ada adalah celak, Eye Kohl dan maskara untuk kesan bulu mata tebal.
Sementara bahagian wajah lainnya seperti bibir dan pipi, dibiarkan senatural mungkin, cenderung nude, dan riasan yang dipakai adalah yang berwarna lembut, tambah Bianca.
Selain itu, kata Bianca, M.A.C turut memperkenalkan gaya solekan segar dan berseri-seri yang dinamakan sebagai Preity, Difficult.
“Variasi warna mungkin terang seperti warna tropika namun ia digunakan dengan cara berbeza termasuk sebagai highlight wajah untuk kesan wajah segar,” kata Bianca yang turut mengadakan demonstrasi solekan untuk tontonan media. Antara solekan terkini yang diperkenalkan cara mengoles gincu bibir dengan tidak memfokuskan kepada garis bibir.
“Gincu bibir matte akan menjadi pilihan untuk teknik tersebut. Ia disapukan pada bahagian dalam bibir untuk kesan solekan natural,” kata Bianca.
Gaya solekan tersebut tentunya untuk menampilkan wajah yang kelihatan cantik dan segar, muda tetapi sofistikated.
Tidak ketinggalan, M.A.C membawakan gaya solekan berkilau untuk Intelligent Bronzing. Ketika memperkenalkan solekan terkini itu, M.A.C turut melancarkan rangkaian produk Culturebloom dengan variasi warna terbaru.
Koleksi Culturebloom daripada M.A.C terdiri daripada gincu bibir, lipstik daripada enam variasi warna garang dan pengilat bibir, Lustreglass yang mempunyai empat ton warna menarik dalam edisi terhad.
Tidak ketinggalan adalah penggaris bibir, Cremestick Liner, pewarna mata edisi terhad, Eyes Shadown, celak Eye Kohl, pemerah pipi Blushcream with Pearl dan maskara Zoom Lash.
Produk yang berada di butik M.A.C daripada harga RM45 hingga RM70 itu didatangkan dalam pelbagai warna menarik.
Utusan Malaysia