Maya Karin Jari Hantu Pula
Posted by admin on April 2nd, 2006
Oleh: JAMLIAH ABDULLAH

MAYA KARIN.
SERONOK bertemu dengan aktres cantik Maya Karin. Apatah lagi pemilik sepasang mata galak yang mengkhayalkan itu punyai banyak cerita untuk dibualkan. Tentang Hollywood, filem dan album baru. Tidak ketinggalan gosip terbaru yang kembali menerjah.
Di sebalik itu, Maya menggambarkan kehidupannya sebagai terisi lewat pelbagai rencana terbaru itu.
“Tuhan sangat baik kepada saya selama ini, saya berasa sangat beruntung. Kehidupan saya sangat seimbang antara kerjaya dan kehidupan peribadi, itu yang lebih membahagiakan,” akui wanita kacukan Melayu Jerman itu.
* Pengalaman bermakna di Hollywood
KECERIAAN masih tergambar pada wajah Maya tatkala dia bercerita tentang pengalaman manisnya di Hollywood baru-baru ini. VJ Channel [V] itu menghabiskan masa seminggu di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk program Oscars Road to the Red Carpet yang tersiar secara langsung di Star Movies setengah jam sebelum Anugerah Academy ke-78 berlangsung. Pengalaman yang pertama itu memang mendebarkan akui Maya.
“Barangkali apa yang mendebarkan adalah hakikat bahawa program itu ditonton lebih 80 juta penonton di seluruh dunia. Bimbang tersilap cakap ke apa. Saya bawa harapan media Asia termasuk Star World sendiri yang sudi memilih saya, jadi saya pikul tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik.
“Tetapi semuanya kelihatan berpuas hati termasuk Star World sendiri kerana kami berjaya menemu bual banyak selebriti di sebalik keriuhan karpet merah itu,” beritahu Maya.
Sememangnya bukan mudah untuk memujuk bintang ternama Hollywood yang melangkah di karpet merah itu untuk ditemu bual. Apatah lagi dengan ribuan wakil media dari seluruh dunia yang beratur sepanjang karpet merah tersebut.
Maya dan pasangannya pelakon Hong Kong, Terence Yin bagaimanapun berpeluang menemu bual bintang terkenal seperti Matt Dillon, George Clooney, Keira Knightley, Jessica Alba dan Ang Lee.
“Ia benar-benar menguji kemampuan anda kerana anda perlu melakukan yang terbaik untuk memujuk bintang tersebut untuk ditemu bual. Anda perlu bijak membawa diri dan membuat penampilan,” kata Maya.
Star World barangkali tidak salah memilih Maya kerana siapa pun tidak dapat menafikan pesonanya walaupun di tengah ribuan khalayak.
Sepanjang tempoh tersebut Maya juga berpeluang menghadiri banyak parti pasca Oscar yang diadakan di sekitar Los Angeles dan ketika itu juga dia berpeluang bertemu banyak orang terkenal Hollywood.
“Pengalaman lebih berharga adalah berpeluang mengenali komuniti Hollywood. Los Angeles sangat meriah ketika Anugerah Academy berlangsung, ia seolah-olah seperti pesta dan semua terkena demam Oscar,” tambah Maya.
Seperti yang dirancang iaitu mengintai peluang berlakon di Hollywood, Maya juga tidak melepaskan peluang berkenalan dengan beberapa ejen dan penerbit di Hollywood.
“Bukan mudah untuk mendapat peluang di Los Angeles kerana ia melibatkan pelbagai pihak dan ejen selalunya memainkan peranan. Tetapi saya berpeluang juga berkenalan dengan beberapa ejen.
“Apa yang perlu saya lakukan selepas ini adalah menyediakan portfolio saya dan lihat jika mereka berminat atau tidak.”
Dengan langkah tersebut, Maya mengibaratkan dia sudah meletakkan sebelah kakinya di situ dan kini menanti tuah menyebelahinya.
Tentu saja seperti kebanyakan artis lain, Maya juga menaruh harapan untuk berlakon di Hollywood dan berjalan di karpet merah itu sebagai bintang.
“Jika ada peluang saya akan ambil. Tetapi itu tidak bermakna saya akan tinggalkan Malaysia. Saya suka menetap di sini dan saya tidak dapat bayangkan kehidupan di tempat yang penuh glamor seperti Hollywood itu.
“Saya ni kan seorang yang lebih suka low profile dan sederhana saja. Sepanjang di Hollywood saya berpeluang melihat bagaimana komuniti di situ menjalani kehidupan yang penuh glamor dan mewah. Tidak mungkin saya sesuai dengan hidup seperti itu. Lagipun saya sukakan Malaysia,” luahnya.
* Dari puntianak ke Jari Hantu
WALAUPUN kelihatan agak kompeten dengan komitmen sebagai VJ Channel [V] namun ia tidak bererti Maya akan mengetepikan karier yang lain terutama lakonan. April dan Mei, Maya akan kembali ke lokasi filem terbarunya iaitu Jari Hantu.
Jari Hantu adalah filem terbaru pengarah Pontianak Harum Sundal Malam dan sequel Pontianak Harum Sundal Malam 2, Shuhaimi Baba.
“Namanya saja Jari Hantu tetapi ia bukan filem seram atau hantu,” kata Maya.
Kembali berlakon di bawah Shuhaimi, ia tentu membawa andaian ramai bahawa aktres itu kini menjadi ‘anak emas’ pengarah terkenal itu.
“Saya tahu isu itu akan timbul tetapi terus terang sukar untuk saya menolak tawaran Shuhaimi kerana ia tiba pada masa yang betul. Bukannya saya tidak mendapat tawaran lain tetapi selalunya bercanggah dengan jadual kerja yang sedia ada. Kebetulan April dan Mei ini saya kosong,” kata Maya yang mengakui menjadi pelakon utama untuk filem tersebut.
Maya memberitahu bahawa dia sebenarnya tidak akan sesekali mengikat pembabitan lakonannya dengan pengarah tertentu saja. Walaupun kini mengakui bersikap agak selektif kerana berhati-hati bukan terlalu memilih kata Maya, dia senantiasa terbuka untuk menerima tawaran lain jika bersesuaian.
“Saya pernah buat silap dulu dan kini saya tidak berharap untuk mengulang kesilapan yang sama,” tambah Maya yang juga rindu untuk berlakon dalam filem cinta.
“Saya teringin sebenarnya untuk berlakon dalam filem bertemakan cinta. Jika ada peluang tentu saya akan ambil,” kata Maya. Tahun 2006 ini juga, Maya berazam untuk melakukan comeback dalam karier nyanyiannya.
“Setakat ini saya dalam proses perbincangan dengan syarikat rakaman terbaru. Jika ada peluang insya-Allah sebelum hujung tahun ini saya akan hasilkan album terbaru. Sebelum ini mungkin saya akan keluarkan single dahulu untuk cari pasaran,” jelasnya.
Maya pernah menghasilkan dua album ketika bernaung dengan syarikat rakaman MIG Records dan memandangkan kontraknya dengan syarikat itu tamat beberapa bulan lepas, dia kini bebas mengembangkan sayapnya.
Maya juga menaruh harapan agar kariernya dalam dunia nyanyian itu kelak membawa lebih banyak tuah. Selain itu Maya juga sibuk sebagai hos program televisyen Ratu Sehari yang kembali ke Astro Ria bagi musim kedua.
lVIP? Mungkin tidak!
MAYA tenang ketika diminta komen tentang gosip terbaru yang mengaitkan dirinya dengan VVIP. Dia menggambarkan gosip itu sebagai tidak masuk akal.
“Ia memang mengejutkan bagaimana satu pertemuan yang rasmi boleh menghasilkan cerita-cerita karut seperti ini. Saya selalu berhati-hati dalam soal ini dengan menjaga pergaulan saya tetapi hal sebegini berlaku juga dan ia di luar kawalan,” keluh Maya dalam nada sedikit kesal.
Apa pun, dia masih tidak gentar jika gosip seperti itu bakal merobek reputasinya sebagai artis yang bersih.
“Saya tidak takut sebenarnya kerana saya tahu gosip itu tidak betul. Tidak ada apa yang perlu saya risau.
“Jika ada yang ingin terus mengorek cerita yang karut itu koreklah. Mereka tidak akan menemui apa-apa,” jelasnya penuh ketegasan. Dalam soal peribadi termasuk cinta, Maya memberitahu bahawa dia seorang yang realis.
Berpegang kepada kenyataan, itu jawapan kepada pencarian cinta Maya. Jiwanya tidak mungkin cocok untuk bercinta atau memilih pasangan hidup daripada kelompok orang terkenal atau ternama baik VIP atau VVIP.
“Tidak mungkin saya memilih kelompok seperti itu sebagai pasangan hidup saya. Saya tahu bagaimana cara kehidupan mereka dan tidak mungkin saya boleh hidup dalam suasana penuh perhatian seperti itu.
“Terus terang saya seorang yang low profile dan sederhana jika terlalu banyak perhatian ia akan merimaskan,” luahnya.
Dalam soal cinta, Maya tetap mengakui bahawa dia kini memang berpacaran dengan seseorang tetapi belum bersedia untuk mengumumkan siapa si dia yang bertuah itu.
“Saya cuma akan umumkan siapa dia bila semuanya sudah pasti. Sekarang malulah, baru saja berkawan lainlah kalau sudah bertunang ke,” katanya.
Lagipun kata Maya, hubungan itu masih dalam fasa kenal-mengenal dan memahami hati budi masing-masing. Sebagai seorang yang realis, Maya juga menetapkan jangka masa dua atau tiga tahun untuk dia mengenali dengan mendalam pasangannya.
“Saya seorang yang romantis dan percaya bahawa ikatan perkahwinan itu harus kekal sampai mati. Oleh sebab itu, penting untuk saya mencari orang yang betul-betul sesuai dengan jiwa dan memahami saya.
“Saya tidak mahu berkahwin setahun dua kemudian bercerai. Saya juga tidak mahu berkahwin kerana orang menginginkan saya berkahwin. Wedding of the Year? Yang pasti ia belum milik saya lagi,” katanya menutup pertemuan singkat itu.
Utusan Malaysia