Edrie Hashim Komposer Rock Berjiwa Romantis
Oleh: Khadijah Ibrahim
|
|
|
MELIHATKAN imejnya yang berambut panjang dan bertindik di kening serta di telinga, anda mungkin akan melabelkannya sebagai mat rock atau mat metal.
Jika begitu andaian anda, anda silap. Jangan terlalu cepat memberi penilaian. Seperti kata pepatah jangan menilai seseorang berdasarkan luaran kerana apa yang dipandang dengan mata kasar tidak sama dengan yang tersirat di sudut hati.
Sejak 1998, memang begitulah imej Edrie Hashim, 33. Namun biarpun nampak rugged tapi Edrie sebenarnya berjiwa romantik dan mengutamakan keluarga. Kalau tidak percaya hayati lirik dan lagu Iris, dendangan Awie yang terdapat dalam album Santai.
Lagu Iris (maknanya mata hitam) yang berentak perlahan dan liriknya yang penuh erti adalah karya Edrie.
Kata Edrie, lagu itu ditujukan khas untuk isteri tercinta, Nurul Nadhira Patricia Robert, 32, anggota kumpulan Candy.
“Memang lagu itu saya tujukan kepada isteri saya. Idea itu datang tanpa dirancang. Saya pilih nama Iris sebab terdengar seorang jurufoto mengungkapkan perkataan itu sewaktu merakamkan gambar Awie,’’ cerita Edrie yang ditemui di rumahnya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Selain Iris, lagu yang telah mengangkat nama Edrie sebagai komposer ialah Akan Kutunggu (Candy), Andai (Dia Fadila) dan Suralaya Dalam D’Major (Amy Search).
Sebenarnya kalau dilihat pada senarai lagu-lagu ciptaan Edrie kebanyakannya berentak balada dan rock.
Bagaimanapun, pada awal kerjayanya, Edrie lebih berminat mencipta lagu rock. Cuma kini jiwanya cenderung kepada irama balada.
Kata Edrie, jika diberi pilihan antara balada dan rock, dia selesa mencipta lagu rock. Kalau ada artis rock yang meminta khidmatnya, dia rela mengorbankan masa untuk menjadi penerbit album.
Berlainan pula kalau artis genre pop meminta lagu daripadanya. Untuk penyanyi aliran pop, Edrie lebih senang menerbitkan sebuah lagu daripada menjadi penerbit album.
“Saya suka buat apa yang saya selesa. Biarpun lagu Iris itu berentak balada tapi disebabkan Awie seorang penyanyi kategori rock saya tidak menolak bila ditawarkan menjadi penerbit. Sebelum menerbitkan sesebuah album, saya perlu meminati artis itu dulu,’’ katanya yang telah menerbitkan album untuk Ella dan Amy Search.
Edrie yang merupakan bapa kepada Darren Haikal, 2, berkata, dia mula mencipta lagu pada tahun 1995 iaitu Dewi untuk kumpulan Shaka.
Anak jati kelahiran Keramat, Kuala Lumpur itu bukan sahaja bertindak sebagai komposer malah dia juga penerbit, penulis lirik, pemuzik dan pengarah muzik.
“Orang mula kenal saya bila lagu Akan Kutunggu dendangan kumpulan Candy meletup pada tahun 1996. Sejak situ saya mula dapat tawaran mencipta lagu,’’ katanya yang pernah menyertai beberapa kumpulan muzik sebelum ini.
Edrie yang pernah dilantik menjadi Pengurus Artiste & Reportaire (A&R) syarikat rakaman BMG pada tahun 2000 – 2004 mula bermain muzik sejak dalam tingkatan lima.
Dia yang pernah belajar di Sekolah Menengah Taman Keramat bersama Zamani dan Acong Sweet mula bermain muzik secara suka-suka.
“Biasalah bila lepak bersama kawan-kawan saya suka main gitar. Waktu itu tidak pernah terfikir pun nak jadi macam sekarang. Tapi saya memang minat muzik dan sebab itu saya berusaha belajar muzik di Studio Sound Dimension, Kampung Baru.
“Mula-mula main muzik, mak saya selalu kata carilah kerja lain tapi bila lihat saya sungguh-sungguh, dia pun memberi restu,’’ kata Edrie yang meminati pemain gitar Steve Ywei.
Edrie yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik berkata, gitaris itu menjadi idolanya kerana Ywei mempunyai ideologi tersendiri dalam melayari seni.
Edrie yang juga boleh bermain piano dan dram kini sering diundang menjayakan pelbagai persembahan mengiringi artis-artis tempatan sebagai pengarah muzik.
Tanggungjawab pertama sebagai pengarah muzik dipikul oleh Edrie sewaktu menjayakan konsert anjuran sebuah majalah hiburan pada tahun 2004.
Sejak itu dia terus mendapat kepercayaan penganjur dan artis. Untuk mengiringi persembahan penyanyi, Edrie sering berkolaborasi dengan pemuzik Kellay (bass), Yuri (dram), Firdaus (keyboard) dan Zahrin (percussion).
“Setiap kali dipanggil menjadi pengarah muzik untuk sesuatu persembahan, saya akan menggunakan khidmat pemuzik yang sama kerana kami sudah faham antara satu sama lain,’’ katanya yang turut menjadi Pengarah Urusan untuk syarikat Neo Gendang di Petaling Jaya.
Antara artis yang bernaung di bawah label syarikat yang ditubuhkan tiga tahun lalu itu ialah kumpulan Chili, Candy dan Search.
Kata Edrie, dia tidak menghadapi masalah untuk menguruskan Neo Gendang kerana segala pengalaman yang diperoleh sewaktu menjadi A&R di BMG dulu dipraktikkan dalam kerjanya sekarang.
“Sewaktu mencipta lagu saya bukan sahaja melihat kriteria artis tapi juga kehendak pasaran. Saya banyak belajar tentang perniagaan sewaktu di BMG dulu,’’ katanya yang telah menerbitkan lebih daripada 70 buah lagu.
Selain itu untuk bertahan dalam bidang ini kata Edrie, seseorang itu perlu ada sasaran dan jujur dalam kerja.
Powered by Utusan Malaysia