Cit Cat 10 Penuh Soalan Panas
Posted by admin on July 2nd, 2006
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
Sekali pandang, soalan-soalan yang diutarakan boleh dianggap mengaibkan. Tetapi realitinya perkara di sebalik persoalan ini terus bermain di minda peminat-peminat artis-artis.
Justeru penerbit dan pengacara Azwan Ali merasakan dia perlu memberi peluang kepada artis-artis yang terkena, untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku tanpa sebarang prasangka.
Cit Cat 10 kembali lagi dan kali ini dengan isu-isu yang lebih hangat dan menggelegak. Sebanyak 13 artis dipilih oleh Azwan untuk jawab banyak isu kontroversi yang menyelubungi diri mereka sepanjang kerjaya sebagai artis.
Sebagai penerbit, Azwan bijak mencari soalan terbaik bagi meletupkan Cit Cat yang hari ini semakin menginjak usia dewasa.
“Kalau hendak dikatakan soalan yang mengaibkan, saya rasa bukan macam itu. Niat saya adalah untuk beri peluang kepada artis-artis kita berkata tentang 1,001 macam aib yang orang lain telah perkatakan tentang diri mereka selama ini,” katanya.
Ingatan Azwan – Cit Cat bukan sesekali mencari kebenaran di sebalik sesuatu isu. Ini kerana dia menyedari terdapat banyak artis yang bersikap hipokrit dan tidak mahu berterus terang di sebalik soalan.
“Tetapi itu hak mereka. Yang penting saya sudah bertanya soalan-soalan yang diperkatakan oleh masyarakat kepada mereka, terpulanglah kepada mereka untuk menjawab ataupun tidak,” katanya.
Berbalik kepada sensasi Cit Cat kali ini, kata Azwan, seperti biasa ia menyelitkan banyak kisah panas artis-artis popular yang terkini.
Antara yang hangat ialah penjelasan ratu filem Melayu, Erra Fazira tentang perceraiannya.
“Walaupun masih bersedih dan kecewa dengan perceraiannya, saya melihat Erra tidak menjadikannya sebagai halangan untuk memberikan yang terbaik masa sesi penggambaran.
“Soalan-soalan pun boleh tahan panas juga, tapi Erra menjawab dengan profesional walaupun saya nampak ada kalanya dia agak terkejut juga dengan soalan-soalan tu,” beritahu Azwan.
Justeru menyambut usia 10 tahun Cit Cat, Azwan sudah tentu melahirkan rasa terima kasih kepada pihak Astro yang terus memberi peluang kepada rancangan berkenaan bernyawa.
Majlis pelancaran Gemilang Cit Cat 10 Riuh Berdentum akan diadakan di Impiana KLCC Hotel & Spa pada pukul 2 petang 5 Julai ini dengan kehadiran banyak bintang-bintang ternama negara.
Pancaindera transkripsikan antara soalan-soalan laser Azwan kepada artis-artis untuk Cit Cat 10 seperti di bawah:
* Sheila Rusly
“Orang kata, kau ni artis pendendam, sanggup tak bertegur sapa dengan dua personaliti popular. Buat launch kedai nasi dagang bagai nak rak, ada hati hendak saman orang tu pula, kau ingat kau boleh menang ke di mahkamah?” – siar 19 Julai 2006.
* Erra Fazira
“3,333, orang kata nombor ‘suei’. Kau sanggup buat PC (sidang akhbar) dedahkan dah tak sebumbung dengan suami, tapi tak pula buat PC bila bercerai. Kenapa yang tak sebumbung tu kau kecoh-kecohkan?
“Spekulasi punca perceraian macam-macam hal yang negatif. Ada yang kata Erra… ada pula yang kata Yusry…” – 26 Julai 2006.
* Zahid AF2 (Ditanya oleh Siti Sarah)
“Kau makan roti canai tak pandang kiri kanan depan wartawan, kau pelahap ke apa?
“Dalam AF kecoh kau pernah bercinta dengan Sarah, cantik sangat ke Sarah tu? Ke kau nak tumpang populariti dia? – 9 Ogos 2006.
* Nita (Malaysian Idol)
“Kau ingat kau pengacara top, call time pukul 8.30, pukul 11 batang hidung kau pun tak nampak. Siap demand makanan dibawa ke bilik sebab kau tak hendak makan dengan krew, kenapa?
“Kecoh kes kau gambar bogel dalam MMS, betul ke kau buat kerja-kerja terkutuk macam tu? – 16 Ogos 2006.
* Nabila Amy
“Dah tahu kau ni anak penyanyi rock terkenal, kenapa kau sanggup pakai baju nampak seluar dalam pergi PWTC? Kau ingat PWTC tu tempat pesta seluar dalam?
“Gara-gara kau ditangkap khalwat, betul ke ada penerbit yang halau kau di bilik make-up? – 23 Ogos 2006.
* Elly (Mencari Cinta)
“Kau perempuan Melayu sanggup masuk rancangan realiti mencari bakal suami. Kau bukan setakat perigi cari timba, tapi perigi cari kapal korek dah.
“Abang-abang kau bukan main lagi komen tentang lelaki-lelaki tu semua, kalau bagus sangat jadilah pengkritik AF.“ – 27 September 2006.
* Felix & Akma AF3
“Kalau kau berdua tak bercinta, yang duduk riba-meriba tu apa hal?” – 4 Oktober 2006.
Powered by Utusan Malaysia