Program Khas Maulidur Rasul Di RTM1
Posted by admin on 30th March 2007
Sepanjang sambutan Maulidur Rasul mulai 30 Mac ini (Jumaat), RTM1 telah menyusun pelbagai rancangan menarik, sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Antaranya ialah dokumentari khas Mutiara Hati, dokumentari muzikal Gurindam Kasih Junjungan dan sebuah dokumentari berbahasa Inggeris Deviationis.
Turut disiarkan ialah telemovie Rebah Di Hujung Pelamin menerusi slot Panggung 1, filem Melayu Qaisy & Laila menerusi slot Wayang Emas, telemovie Indonesia Kiamat Sudah Dekat dan tidak dilupakan Siaran Langsung Perarakan dan Perhimpunan Maulidur Rasul .
Jumaat – 30 Mac
- 12.30 tengahari
Siaran dokumentari khas, Mutiara Hati merupakan rancangan terbitan RTM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia memfokus kepada kejayaan para ilmuwan Islam yang terkenal di mana hasil usaha mereka menjadi contoh kepada dunia Barat. Di samping itu, dokumentari ini juga memaparkan tokoh Maulidur Rasul yang bukan beragama Islam namun jasa mereka tetap dihargai dan dikenang.
Sabtu – 31 Mac
- 7.30 pagi
Siaran Langsung Perarakan dan Perhimpunan Maulidur Rasul dari Stadium Putra, Bukit Jalil. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan Allah kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul seumpama ini.
- 2.00 petang
Slot Panggung 1 menyiarkan telemovie berjudul Rebah Di Hujung Pelamin. Telemovie ini berkisar tentang kekecewaan Halim yang membawa diri ke bandar apabila gadis idaman hatinya, Fatimah akan dikahwinkan dengan Ustaz Nasir, seorang yang disegani di Kampung Sungai Mas. Tidak diduga sama sekali kedatangannya ke bandar telah menyingkap segala rahsia Ustaz Nasir. Antara pelakon yang membintangi telemovie ini ialah Eman Manan, Nadea Zafrullah, Nasrizal Ngasri dan Arfah Damanhuri.
- 6.30 petang
Dokumentari muzikal Gurindam Kasih Junjungan menemui para penonton RTM1. Dokumentari ini mengisahkan pengembaraan Nordin Jaafar (bekas vokalis kumpulan Raihan) yang merupakan seorang penggiat muzik nasyid dan zikir kerohanian selain aktif dalam bidang motivasi. Pengembaraan Nordin bertujuan mencari qari yang dapat mengajarnya lagu berzanji secara mendalam kerana beliau ingin menyelami bait-bait Sirah Rasulullah s.a.w. yang terkandung di dalam berzanji dan marhaban. Program ini dipenuhi dengan alunan selawat kontemporari selain perincian mengenai berzanji dan marhaban.
- 11.30 malam
Slot Wayang Emas menampilkan filem Qaisy & Laila yang dibintangi oleh Jehan Miskin, Nur Fazura, Umie Aida, Radhi Khalid, Redzuan Hashim, Rahimah Rahim, Fahrin Ahmad, Tengku Nurtasha dan Farok Khan.
Ia mengisahkan cinta dan pengorbanan gadis Malaysia, Laila yang menyertai Malaysia Relief Team untuk membantu mangsa perang di Afghanistan. Sebagai seorang sukarelawan muda, Laila tidak terlepas daripada terjerumus dalam kancah percintaan dengan pemuda Afghanistan, Qaisy.
Ahad – 1 April
- 3.05 petang
Para penonton RTM1 akan disajikan dengan sebuah telemovie Indonesia yang menarik dan penuh pengajaran, Kiamat Sudah Dekat menerusi slot Aura 1. Ia menceritakan bagaimana seorang pemuda bernama Fandy (Andre Stinky) yang dibesarkan di Amerika Syarikat dan berjiwa kebaratan tiba-tiba terpesona dengan seorang gadis bertudung litup, Sarah (Ayu Pratiwi) yang dilihatnya sedang menjemur kain. Fandy cuba melamar Sarah tetapi dikenakan pelbagai syarat oleh Haji Romli (Deddy Mizwar), bapa Sarah.
- 5.30 petang
Kepada para peminat filem dokumentari, jangan lepaskan peluang menonton sebuah dokumentari khas berbahasa Inggeris Deviationist. Apa yang ingin disampaikan menerusi dokumentari ini ialah walaupun kita hidup di zaman yang serba moden dan canggih, masih terdapat lagi sesetengah golongan masyarakat di Malaysia yang berfikiran sempit dan mengamalkan ajaran sesat dan khurafat. Turut dimuatkan ialah temu bual dengan seorang pensyarah universiti.
- RTM
Powered by Utusan Malaysia
Posted in Fahrin Ahmad, Jehan Miskin, Nur Fazura, Rahimah Rahim, Umie Aida | No Comments »