Nana Tanjung 2 Tampil Dengan 3 Subplot
Oleh WANDA IDRIS
|
|
|
KETIKA Mega berkesempatan mengunjungi lokasi penggambaran filem Nana Tanjung 2 di Shah Alam tidak lama dahulu, pihak produksi di bawah arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen sedang menyelesaikan beberapa babak terakhirnya.
Antara adegannya ialah Akhbar Khan lakonan Saiful Apek dan Zulkarnain (Jehan Miskin) yang terpaksa menyamar sebagai badut semata-mata untuk bertemu kekasih hati masing-masing, Khairunisa (Fasha Sandha) dan Balkis (Waheeda).
Semuanya gara-gara Nana Kassim, lakonan Pie melarang keras bakal menantunya itu bertemu dengan anak-anaknya.
Jadi dalam usaha untuk merealisasikan impian bertemu kekasih masing-masing, pelbagai helah dilakukan.
Selain menjadi badut, Akhbar Khan dan Zulkarnain sanggup bertukar jantina untuk menjadi orang gaji di rumah Nana Kassim.
“Itu sebahagian elemen komedi dalam filem Nana Tanjung 2. Jika filem pertamanya, Nana Kasiim tidak tahu siapa teman lelaki anak-anaknya.
“Kesinambungannya kali ini, Nana Kassim meletakkan pula syarat yang ketat untuk bakal-bakal menantunya itu sebelum bergelar suami isteri,” ujar Razak.
Semuanya kerana Nana Kassim mulai kurang senang apabila orang sekeliling memperkatakan mengenai sikap Nana Kassim yang cukup sporting membiarkan mereka bebas keluar masuk ke rumahnya dan bertemu dengan anak-anaknya.
Selain tidak dibenarkan bertemu selagi belum berkahwin, Nana Kassim juga meletakkan syarat agar bakal menantunya menyediakan wang simpanan sebanyak RM50,000 di akaun bank masing-masing dengan wang hantarannya sebanyak RM10,000.
Menariknya, pada filem kali ini, bukan sahaja anak-anak Nana Kassim yang berkahwin, Nana Kassim juga bertemu jodohnya dengan teman wanita lamanya, Mami Mumtaz.
Menurut Razak yang juga penulis lakon layarnya, dia menyediakan tiga subplot dalam filem kali ini yang melibatkan kisah-kisah percintaan dan perkahwinan Akhbar Khan-Kharunisa, Zulkarnain-Balikis dan Nana Kassim sendiri.
Ia bukan sahaja dipenuhi dengan komedi tetapi juga pengajaran buat tontonan seisi keluarga.
“Ini termasuklah mengenai alam perkahwinan yang bukan sekadar untuk suka-suka. Sebaliknya merupakan satu tanggungjawab besar dan memerlukan pengorbanan,” jelas Razak.
Dijangka ditayangkan kepada umum penghujung tahun ini, selain Shah Alam, penggambaran yang bermula pada pertengahan April lalu juga diadakan di Pulau Pinang.
Turut menampilkan kelainan daripada segi sinematografinya, kata Razak, Nana Tanjung 2 berakhir dengan penuh kegembiraan.
Pada hari terakhir pengambaran filem Nana Tanjung 2 juga, pihak produksi sempat mengadakan majlis kejutan buat Razak bagi meraikan filem ke-25 arahannya.
FILEM: NANA TANJUNG 2
ARAHAN/CERITA/LAKON LAYAR: PROF. MADYA A. RAZAK
MOHAIDEEN
SKRIP: A. SHUKOR MOHAIDEEN
PENGARAH FOTOGRAFI: EMRAN MOHRAM
PENERBIT: LINECLEAR MOTION PICTURES SDN. BHD.
PENERBIT EKSEKUTIF: GRAND BRILLIANCE SDN. BHD. (GBSB)
PELAKON: PIE, SAIFUL APEK, FASHA SANDHA, WAHEEDA, JEHAN MISKIN, AZEAN IRDAWATY & SHEILA MAMBO
LOKASI: SHAH ALAM, SELANGOR
TAYANGAN: PENGHUJUNG TAHUN 2007
Powered by Utusan Malaysia