Mencari Cinta Dalam Kau Yang Ku Sayang
Diturutkan rasa hati menyiksa diri, diturutkan rasa badan binasa. Mana satu yang harus dipilih. Inilah dilema yang dirasai oleh Lia (Rita Rudani) dan Kamal (Fahrin Ahmad) yang berharap agar mereka mendapat jodoh dan pasangan yang sesuai.
Persoalan ini ditampilkan dalam drama bersiri terbaru 26 episod Kau Yang Ku Sayang siaran RTM1 menerusi slot Astaka Perdana sejak 30 April lalu setiap Isnin hingga Khamis.
Cerita berkisar tentang pencarian cinta Kamal dan Lia. Cinta Kamal berputik pada rakan lamanya Jamie. Sementara Lia pula mula memberikan perhatian kepada Zarul.
Tapi kedua-duanya kecewa bila Zarul menyuarakan hasrat hatinya ingin berpisah dengan Lia kerana telah bertemu pilihan hatinya. Begitu juga dengan Kamal apabila Jamie meminta hubungan mereka diputuskan.
Bagi mengubati kekecewaan itu, Lia bercuti ke luar daerah.
Kamal pula memberitahu ibu bapanya, jika dalam percutiannya dia gagal mencari jodoh yang sesuai, dia akan menyerahkan soal jodoh kepada orang tuanya.
Tanpa pengetahuan Kamal, ibu bapanya sebenarnya sudah pun berjanji dengan seorang bekas guru yang juga jiran mereka semasa tinggal di kampung, untuk menjodohkan anak-anak mereka itu.
Kebetulan Kamal bercuti di tempat yang sama dengan Lia.
Di lobi hotel, penyambut tetamu memanggil nama Kamal untuk sampaikan pesanan. Lia yang berada di situ menunggu siapakah Kamal kerana dalam diam Lia sebenarnya mencari Kamal yang pernah mencuri hatinya semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Pada masa sama Mustafa, seorang kontraktor muda, berada di situ lantas Lia terus pergi kepadanya kerana menyangka dia adalah Kamal. Disebabkan kecantikannya, Mustafa terus mengenalkan dirinya sebagai Kamal. Kamal yang berada dekat situ hanya mampu melihat sahaja.
Dalam pertemuan dengan Mustafa, Lia masih sangsi disebabkan Mustafa yang disangka Kamal itu tidak berapa mesra dan tidak tahu latar belakangnya.
Kamal yang kecewa dengan keadaan itu sering menatap gambar Lia semasa kecil tanpa menyedari Lia yang ditemui di lobi hotel itulah gadis yang dicarinya selama ini.
Menyedari Mustafa hanya ingin mengambil kesempatan ke atas Lia, Kamal mula memasang perangkap untuk mengenakan Mustafa dan teman wanitanya, Linda.
Tetapi Lia sudah tawar hati untuk menerima sesiapa walaupun hatinya masih lagi mencari Kamal. Kamal yang hampa menyerahkan kepada keluarganya untuk mencari pasangan untuknya setelah apa yang dicari selama ini gagal ditemui.
Apakah Lia dan Kamal akan menemui cinta sejati seperti yang diimpikan mereka sewaktu zaman kanak-kanak dulu? Bolehkah kenangan lalu dijelmakan semula menjadi realiti indah menemani hati yang sunyi dan rawan?
Pastikan drama bersiri Kau Yang Ku Sayang menerusi slot Astaka Perdana di RTM1, Saluran Inforia setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.30 malam.
Selain Rita Rudani dan Fahrin Ahmad sebagai peneraju utama, pelakon-pelakon lain yang turut membintangi drama ini adalah Rusdi Ramli (Zarul), Zizie Ezzette (Jamie), Lisdawati (Linda), Zed Zaidi (Mustafa), Abu Bakar Omar, Wan Maimunah, Ahmad Tarmimi Sariger dan Datuk Sarimah.
Powered by Utusan Malaysia