Oleh WANDA IDRIS
PADA pukul 8.30 malam ini, empat finalis akhir So You Think You Can Dance bakal berdepan realiti siapa antara mereka yang terbaik antara yang terbaik.
Dipancarkan melalui saluran 8TV yang bersiaran secara langsung dari sebuah kelab, Ruums, Life Centre, Kuala Lumpur, salah seorang daripada mereka bakal bergelar juara sulung program realiti tarian itu dan seterusnya menggondol hadiah kemenangan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM50,000.
Bukan itu sahaja, juaranya juga bakal melakarkan nama sebagai antara salah seorang penggerak pementasan muzikal My Name is Remy… The Life, The Love & the Inspiration di bawah bimbingan Datin Seri Tiara Jacquelina.
Tentunya setelah melalui masa-masa sukar – dua hari sesi ujibakat, tiga hari ujian Bootcamp dan lapan minggu mengharungi latihan dengan genre tari berbeza – tiba ke peringkat ini, setiap seorang daripada mereka menjanjikan sajian terbaik.
Pun begitu, acara yang dikendalikan oleh Juliana Ibrahim bersama Jehan Miskin serta diserikan dengan persembahan istimewa Reshmonu dan Joe Flizzow itu nanti bakal merubah rutinnya.
Berbeza sebelum ini, mereka menari secara berpasangan (lelaki dan wanita) dengan genre tarian pilihan, bagi pertandingan akhir nanti, peserta lelaki bakal berentap sesama sendiri dan begitulah sebaliknya.
Setiap daripada mereka juga diberi peluang menghayun langkah dalam gerak solo melalui jenis tarian dengan lagu pilihan sendiri.
Dan para juri tetapnya Pat Ibrahim, Ramli Ibrahim dan Judimar Hernandez serta juri jemputan, Tiara Jacquelina diberi kuasa untuk memilih jenis tarian yang pernah dipersembahkan pada acara mingguan untuk dipersembahkan finalis secara berpasangan (lelaki dan perempuan).
“Kami menjanjikan yang terbaik dan teristimewa pada malam itu,” demikian kata Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim dan dipersetujui Penerbit Eksekutifnya, Sunil Kumar pada satu sidang akhbar memperkenalkan Top 4 finalisnya baru-baru ini.
Dan keempat-empat Top 4 – Alam, Dennis, Sue dan Brancy – pula mengakui sudah bersedia bertarung sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik.
Selami hati mereka untuk berdepan dengan realiti malam nanti serta impian mereka sekiranya memenangi RM50,000.
Powered by Utusan Malaysia