Skip to content

Archive for August 2007

1
Aug

Peserta MyStarz LG Tiada Identiti?



Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

IJAM (kiri), Nina, Tashya dan Rachel akan meneruskan perjuangan dalam peringkat seterusnya bagi merebut hadiah utama RM100,000.

TIADA identiti tersendiri dan masih terikut dengan penyanyi sedia ada! Itulah yang boleh dirumuskan daripada hasil keseluruhan konsert kelima program TV realiti terbaru terbitan TV3 dan ntv7, MyStarz LG yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, petang Ahad lalu.

Sebahagian daripada lima peserta cuba memikat hati juri dan penonton dengan lagu yang tidak kena dengan diri mereka. Ada yang terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal.

Misalnya peserta yang bernama Khairul Hizam Kaha, 32, atau Ijam, yang memilih lagu popular kumpulan Samsons, Naluri Lelaki. Pada dasarnya, lagu itu memang sesuai dengan jiwa Ijam. Dari segi kawalan vokal dan mutu suaranya, tidak menghampakan. Namun vokal Ijam ketika menyampaikan lagu tersebut ada sedikit persamaan dengan penyanyi utama Samsons, Bams.

Hal ini diakui oleh juri jemputan iaitu Azmeer. Malah Azmeer mahukan anak muda dari Kuala Lumpur itu berusaha mencipta dan mencari identiti sendiri jika mahu terus kekal lama dalam bidang seni.

Begitu juga dengan peserta wanita muda, Rachel Wesley, 14, atau Rachel yang berasal dari Sabah. Meskipun memukau dengan vokal yang hebat ketika menyampaikan lagu popular Jaclyn Victor, Di Bawah Pohon Asmara, namun Rachel juga dilihat seakan-akan cuba mengikut gaya nyanyian Jaclyn. Namun, Rachel juga wajar dipuji kerana berjaya mencari kelainan pada persembahannya.

Azwan Ali yang menjadi juri jemputan turut memberikan komen positif apabila mengatakan Rachel mampu berdiri dan ditempatkan dengan penyanyi wanita yang sedia ada jika terus berusaha dan memperbaiki diri.

Kurang tepat

Ada juga peserta yang mahu menonjolkan identiti mereka dan lari dari muzik yang klise dan popular. Tetapi, langkah itu dilihat sebagai satu langkah yang ‘kurang tepat’.

Hal ini dapat dilihat pada peserta kegemaran, Hamiza Tashya Basir, 20, atau Tashya apabila mempersembahkan lagu Itu Kamu dendangan kumpulan Estranged. Mungkin Tashya merasakan dengan menyanyikan lagu penyanyi lelaki adalah selamat dan sesuai dengan jiwanya. Namun, Tashya juga perlu sedar untuk menjadi seorang penyanyi yang versatil, dia perlu membawakan lagu yang keluar dari zon selesanya.

Sementara itu, Shaza Marina Azmi atau Nina yang membawakan lagu Pasangan Yang Tepat dilihat tidak menunjukkan persembahan bertenaga. Jika lagu dendangan asal Marshanda itu dinyanyikan oleh Tahsya, percayalah, lagu itu akan menjadi lebih baik dan mampu memberikan impak.

Dalam pada itu, percubaan berani Andy Adrian, 25, atau Andy yang menampilkan kelainan pada persembahannya, tidak berjaya menjamin kedudukan selesa untuknya. Andy menjadi peserta keempat yang disingkirkan selepas Awang, Afif dan Mimi.

Dengan membawakan lagu M.Nasir, Tujuh Nafas, Andy dilihat tidak memberikan konsentrasi dan fokus yang penuh pada persembahannya. Dia menjadikan alasan penat kerana terlibat dengan aktiviti riadah pada hari sebelumnya sebagai faktor penyingkirannya.

Namun, pengetua MyStarz LG, Farihin Abdul Fattah menyelar alasan itu. Pada hemat Farihin, penyanyi yang bagus dan cemerlang harus menunjukkan kesungguhan walau apa yang berlaku.

Apa yang pasti, MyStarz LG boleh dianggap sebagai satu lagi produk TV realiti yang hanya melahirkan barisan penyanyi-penyanyi baru. Untuk menjadi penghibur, peserta MyStarz LG perlu tingkatkan usaha dan mencari identiti sendiri.

Powered by Utusan Malaysia

1
Aug

Lina Kamsan Kini Tauke Jamu

OLEH KHADIJAH IBRAHIM

BILA sebut nama Hazlina Kamsan atau Lina Kamsan secara tidak langsung fikiran peminat-peminat muzik sekitar 80-an akan terbayangkan mata yang bundar dan rambutnya yang berketak panjang itu.

Kini Lina, 46, sudah berubah imej. Dia lebih selesa mengenakan pakaian muslimah. Biar apa cara penampilannya, Lina masih tetap anggun seperti dulu.

Ibu kepada enam orang anak itu tersenyum manis apabila ditanya tentang rahsia kecantikannya. Lina yang kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya berkata, semua itu kerana pengambilan jamu yang diamalkannya sejak zaman dara lagi.

“Saya mula makan jamu sejak remaja lagi sebab arwah ayah saya tukang buat jamu. Keluarga kami mengamalkan jamu tradisional Jawa Kraton sejak turun-temurun. Mungkin disebabkan amalan itu dan dengan izinNYA juga saya nampak muda,” katanya sambil ketawa.

Tidak dinafikan jika Lina berjalan seiringan dengan anak sulungnya, Nur Zubaidatul, 20, pasti ramai yang akan sangka mereka adalah kakak dan adik.

Lima lagi anak Lina ialah Nur Syaz wani, 19, Mohd. Benjamin Shah, 10, Mohd. Hazmin Shah, 9, Nur Balkish Safya, 6, dan Nur Qistina, 2 tahun.

Dek keberkesanan amalan jamu itulah Lina sedia berkongsi rahsianya dengan wanita-wanita lain. Justeru itu, Lina memasarkan jamu Asli Putri Ledang yang diamalkan selama ini secara komersial.

“Saya mula jual jamu ini secara komersial sejak 1999 bersama ibu saya, Zahrah Zaid dan adik saya, Halimi Kamsan. Sebelum ini pun saya sudah jual jamu tapi secara kecil-kecilan sahaja,” ceritanya yang merupakan Pengarah Urusan syarikat Ledang Herbs & Venture.

Antara jamu yang dihasilkan ialah Putri Ledang, Panji Semirang (lelaki sahaja), Minyak Telaga 7, Jamu Bersalin Putri Ledang dan jamu-jamu lain untuk resdung, lulur, tangas dan bahan-bahan mandian.

Menurut Lina, jenama Putri Ledang diguna sempena lagu dendangannya yang dipetik daripada album Sirna yang dirakam pada tahun 1993.

Tewas

Lagu Putri Ledang pernah berjaya membawa Lina ke peringkat akhir pertandingan Juara Lagu bagi kategori Irama Malaysia. Bagaimanapun dia tewas kepada To’ki.

Sebelum Sirna, Lina yang kini menetap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak 1996 setelah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, pernah menghasilkan album sulung Jangan Memilih Jalan Sendiri pada tahun 1981, Pujuk Pujuk Dia (1982) dan Curahan Hati (1983).

Namun sejak mendirikan rumah tangga, Lina lebih senang memberikan tumpuan pada keluarga.

“Sebenarnya sudah lama saya tidak menyanyi, tapi orang masih lagi kenal dan ingat saya penyanyi. Sekarang ini kalau ada peluang menyanyi, memang saya nak, tapi bukan lagu-lagu pop. Kalau boleh saya nak nyanyi lagu-lagu nasyid,” katanya yang sering berulang alik antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Lina yang merupakan artis seangkatan Raziz Ismail, Salwa Abdul Rahman dan Ramlah Ram itu juga terus diingati kerana lakonannya dalam drama Pisang Udang (1983).

Sementara drama Inang Bersanggul Dua pula pernah membawa namanya ke peringkat akhir Anugerah TV3 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (1993).

Lain-lain drama lakonan Lina ialah Warkah Dari Ayah, Gelora, Al-Iradah, Demang Lebar Daun, Mahsuri, Tun Perak dan Tuan Guru.

Jelas Lina, sekarang ini tumpuan utamanya ialah pada keluarga dan perniagaan. Justeru itu kata Lina, pada individu yang ingin menganjurkan bengkel andaman atau kecantikan, dia bersedia memberi kerjasama.

“Kalau ada wanita di sebelah utara yang ingin menganjurkan bengkel kecantikan, saya dan rakan kongsi boleh berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya yang tidak lokek ilmu itu.

Powered by Utusan Malaysia