Amy Mastura Dapat Raya Bersama Suami
Oleh: WANDA IDRIS
KIRA-KIRA dua minggu lagi, kita akan menyambut kehadiran Syawal dan ketika ini tentunya kaum Muslimin dan Muslimat sedang sibuk membuat persiapan menanti hari mulia itu.
Ibu bapa pasti sibuk menyiapkan kelengkapan rumah tangga serta membeli-belah pakaian dan barangan keperluan anak-anak.
Anak-anak pula pastinya tidak sabar untuk menyambut lebaran dan pulang ke kampung bertemu datuk dan nenek.
Namun bagi penyanyi genit lagi ceria, Amy Mastura, kehadiran suaminya Alvin Tham Suffian di sisi merupakan berita paling gembira yang diterimanya bagi sambutan Syawal tahun ini.
Masakan tidak, sepatutnya suaminya itu terpaksa pergi ke Kazakhstan untuk memulakan tugas di sana semasa lebaran ini namun di saat-saat akhir mendapat pelepasan.
“Kita dapat tahu suami kita dapat cuti raya. Seronoknya,” ujar Amy sambil memberitahu bahawa suaminya kini berada di kawasan perairan Vietnam berikutan tugasnya sebagai jurutera minyak bebas.
Sebaik tugasnya di sana selesai, Alvin, kata Amy, harus terbang ke Kazakhstan untuk memulakan tugas baru di negara itu.
“Memang pada awalnya kami merancang, jika Alvin tidak mendapat cuti raya, Amy dan anak-anak, Adriana dan Adalia akan mengikut Alvin ke ke Kazakhstan untuk meraikan Syawal di sana. Alhamdulillah, nampaknya tak perlulah kami beraya di negara orang.
“Bukannya apa, memanglah seronok melawat negeri orang. Tapi suasana lebarannya tentulah tidak sama dengan tempat kita. Saya sendiri dah lama tidak berhari raya di luar negara selepas meninggalkan kerjaya pramugari.
“Kalau boleh memang saya tak mahu berhari raya di luar negara lagi. Bagi saya lebih seronok berkumpul dengan kaum keluarga di kampung,” ujar Amy.
Menurut Amy, berikutan kerja suaminya di pelantar minyak di tengah lautan maka sehingga hari ini dia dan anak-anak juga masih belum berkesempatan menyambut Ramadan bersama.
“Bukan tidak sedih dan rindu tapi dia kan bekerja. Kerjanya pula jauh nun di tengah lautan. Bukan boleh pulang selalu.
“Ramadan ini pun saya masih belum berkesempatan menyambutnya dengan Alvin. Jadi tak sabar rasanya menunggu kepulangannya. Bukan Amy sahaja. Anak-anak juga begitu,” kata penyanyi dan pelakon itu lagi.
Sepanjang Ramadan ini juga kata Amy, dia turut mengurangkan aktiviti seninya kecuali menghadiri majlis berbuka puasa kerana mahu meluangkan masa bersama anak-anak.
Menyepikan diri bukan menghilangkan diri! Memang sudah lama tidak mendengar khabar berita si genit ini. Tidak banyak muncul di program TV, hanya baru-baru ini, dia muncul semula mengacara rancangan mengenai dekorasi dan hiasan dalaman Casa Impian yang ditayangkan di TV3.
Bukan tidak ada aktiviti seni hanya kerana lambakan artis realiti, seperti yang disoalkan kepadanya baru-baru ini oleh program Melodi, cuma kata Amy, pendedahan mengenai dirinya sahaja yang agak berkurangan di media massa.
“Kalau ikutkan aktiviti seni masih berjalan seperti biasa. Undangan masih ada cuma mungkin saya kurang muncul di akhbar mahupun majalah atau majlis hiburan.
“Malah sebelum puasa baru-baru ini, saya sempat berlakon dalam sebuah telefilem komedi berjudul Bawang Besar Bawang Putih bergandingan dengan Syanie.
“Sebenarnya kalau ikutkan undangan hari minggu masih lebat. Sementara hari-hari biasa pula saya lebih banyak melibatkan diri dalam program promosi produk untuk Quaker Oat, Safi Rania dan Slim World kerana saya merupakan jurucakap dan duta mereka.
“Cuma sepanjang Ramadan, seperti tahun-tahun sebelum ini, saya tidak aktif kerana lebih senang menguruskan rumah tangga dan anak-anak,” jelasnya.
Berhasrat untuk menghasilkan album penuh tahun depan, kata Amy, tahun ini perancangan seninya lebih terarah kepada dunia lakonan dan pengacaraan.
Mengikut perancangan, Amy sepatutnya terlibat dengan pembikinan drama Kirana untuk tayangan di RTM namun kerana masalah dalaman maka projek itu tergendala di tengah jalan.
“Oleh kerana perancangan itu tidak dapat diteruskan, jadi saya hanya meneruskan aktiviti persembahan. Namun kemudian saya mendapat tawaran mengacara program Casa Impian.
“Jadi dalam waktu-waktu yang terluang sekarang ini, saya kini sedang mengumpulkan lagu-lagu untuk dipilih bagi dimuatkan dalam album baru itu nanti.
“Konsepnya, konsep Amy Mastura,” kata Amy yang masih bernaung di bawah syarikat rakaman SonyBMG dan terikat dengan dua album lagi.
Ditanya mengenai kisahnya ‘menyembur’ wartawan Melodi terhadap soalan provokatif yang dilontarkan sehingga dia meminta wartawan itu ‘membersihkan hati’, kata Amy dengan selamba:
“Kita gurau saja.”
Powered by Utusan Malaysia
Tragedi Nurin Guris Adibah Noor
Oleh: WANDA IDRIS
|
|
|
HANYA air mata yang mengiringi raungannya pada saat dia mengetahui keputusan ujian DNA kanak kanak yang mati akibat penderaan seks tragis itu ialah Nurin Jazlin Jazimin.
Tidak terungkap kesedihan itu dengan kata-kata malah hati tertanya-tanya mengapa tergamak manusia memperlakukan kanak-kanak sekecil itu dengan perbuatan yang lebih hina daripada seekor binatang.
Sudahlah usianya baru sahaja menjangkau lapan tahun, menghidap pula penyakit kronik, tidak terbayang oleh Adibah bagaimana sengsaranya hidup Nurin sepanjang hampir sebulan dia ‘disorok’ oleh mereka yang tiada jiwa manusia.
Sehingga hari ini, Adibah Noor mengakui terus terbayang-bayang wajah comel adik Nurin saat jantungnya masih berdenyut dan wajah kurus keringnya jika memperkatakan tentang kematian tragisnya.
Bagi penyanyi itu, mereka yang melakukan perbuatan keji tersebut adalah seorang manusia normal yang mempunyai fikiran waras, tidak oleh seorang yang mempunyai jiwa kacau seperti yang digembar-gemburkan.
Alasan Adibah mudah, jika tidak, takkan dia mampu dan pintar untuk berfikir mencari beg, melipat kakinya hingga ke dada dan kemudian meletakkan beg itu di tempat yang boleh ditemui orang.
“Sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan keji itu ketika ini mungkin sedang mendabik dada berbangga dengan perbuatannya,” ujar Adibah.
Pada Adibah, mungkin mereka yang melakukan pembunuhan kepada Nurin seorang yang sudah tidak punya jiwa dan hanya tahu untuk memuaskan nafsu serakah mereka semata-mata.
“Mereka ini tidak lagi kisah tentang undang-undang, jauh sekali Tuhan. Mungkin bagi mereka semua itu tidak wujud. Bagi mereka, apa yang memuaskan ialah melihat seorang kanak-kanak menjerit kesakitan dan terseksa dengan penderaan yang dilakukan. Mereka ini jauh lebih hina daripada binatang,” katanya.
Ya, itulah amarah Adibah terhadap perbuatan keji lagi tidak berperikemanusiaan terhadap seorang kanak-kanak yang hadirnya ibarat kain putih hanya semata-mata untuk mendapatkan keseronokan.
Malah Adibah Noor sebenarnya bukanlah sesiapa kepada keluarga Nurin, jauh sekali mempunyai pertalian dan hanya sekadar orang luar yang tidak pun mengenali mereka.
Namun sebagai manusia, Adibah juga punya perasaan dan perasaan itu sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang hanya mengutuk perbuatan keji itu.
Mungkin sahaja jiwa halusnya mudah tersentuh dengan kisah kanak-kanak yang melibatkan penderaan seks, dirogol, diliwat dan dibunuh.
Dan Adibah sendiri mungkin begitu prihatin dengan kanak-kanak sementelah dia sendiri sebelum ini pernah bergelar seorang guru dan rapat dengan kanak-kanak.
Dengarkan sendiri isi hatinya terhadap kanak-kanak ketika menghasilkan lirik lagu Terlalu Istimewa yang ditujukan khas kepada kanak-kanak malang seperti Nurin.
Lagu dengan melodi indah ciptaan Azlan Abu Hassan yang diinspirasi daripada kejadian malang yang menimpa adik Nurulhuda tentu sahaja mampu menginsafkan sesiapa yang menyelami liriknya.
Terbayang wajah anak dengan keletahnya yang memerlukan perhatian kita. Dan kesibukan kita sebagai ibu atau ayah yang bekerja dan dalam masa yang sama lelah menguruskan rumah tangga, mungkin keperluan mereka untuk dibelai sering terabai.
Malah mungkin dimarahi lagi kerana mengganggu kesibukan duniawi kita. Sebenarnya mungkin dengan kesudian kita mendengar ceritera mereka sudah mampu membuat mereka tersenyum sepanjang hayat mereka. Sementelah mereka masih sudi dipinjamkan oleh Allah s.w.t. kepada kita.
Malah secara simboliknya lagu Terlalu Istimewa bagi penyanyi bersuara indah itu diharap mampu menyampaikan mesej kepada orang di luar sana agar menjaga anak mereka atau mengambil tahu tentang anak-anak sesiapa sahaja supaya kes seperti Nurin dan kanak-kanak lain yang dirogol dan dibunuh dapat dibendung.
“Tidak akan ada lagu lain, Terlalu Istimewa adalah lagu yang saya dedikasikan untuk mereka, anak-anak yang tidak berdosa yang mati di tangan mereka yang tidak ada sifat kemanusiaan lagi,” ujarnya.
Lupakan siapa yang betul, siapa yang salah sebaliknya marilah kita sama-sama berdoa agar si pembunuh kejam itu tertangkap.
“Ini bukan masa menuding jari mencari kesalahan siapa. Tapi masa untuk bersama-sama memohon kepada Tuhan yang Esa agar si pembunuh kejam itu tertangkap akhirnya,” kata Adibah.
“Hati saya pilu dan sayu mengenangkan adik Nurin. Dia seorang kanak-kanak yang cantik. Tapi mengapa ada manusia yang tergamak menyakiti dan menyeksanya? Saya masih ingat, ketika gambarnya disiarkan di akhbar, saya sedang menjalani penggambaran program Sukaria Raya Bersama KFC bersama-sama Ezlyn.
“Ketika menatap wajah kurus keringnya itu, Ezlyn kata lihatlah bulu matanya yang seakan-akan basah kerana air mata. Mungkin dia menangis atau terseksa.
“Saya pada awalnya tidak begitu mengikuti perkembangan kehilangan adik Nurin sehinggalah berita penemuan mayatnya itu.
“Ya! Saya benar-benar sedih… Tapi apa yang mampu saya lakukan. Malah sebenarnya saya kagum dengan ibu bapanya kerana begitu tabah mengharungi dugaan ini,” katanya yang hanya mampu menghadiahkan doa bagi kesejahteraan Nurin ‘di sana’.
“Pergi dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan, dia sudah pasti tempatnya di sana,” kata Adibah lagi.
Namun Adibah juga mengharapkan dalam kita penuh beremosi dengan kes Nurin, janganlah hendaknya apabila penjenayahnya tertangkap, kita melupakan undang-undang.
“Memang perbuatannya itu sungguh kejam tapi janganlah kita pula terlalu emosional. Kita ada undang-undang dan biarlah dia mendapat hukuman setimpal, ” ujar Adibah lagi.
Powered by Utusan Malaysia
Rita Rudaini Menanti Jodoh
Oleh: NIEZAM ABDULLAH
|
|
|
Rasa-rasanya sudah hampir setahun saya menghubungi pelakon Rita Rudaini Mokhtar untuk mengadakan pertemuan dengannya tapi tak juga menjadi. Pesanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ada kalanya mendapat balasan dan ada kalanya tidak.
Biasanya ayat yang ditulis, “Kami sibuk. Ada shooting. Kami tak dapat nak buat fotografi.” Itu jawapan yang kerap kali dibalas wanita berusia 31 tahun ini.
Saya terfikir juga Rita yang sesekali gemar membahasakan dirinya ‘kami’ mungkin tengah laku. Sebab itulah dia tidak boleh duduk diam kerana banyak tawaran berlakon yang sedang menantinya. Tetapi percayalah itu adalah populariti. Orang yang popular tentunya tak boleh duduk diam. Dia laris ibarat pisang goreng panas. Dek kerana itu saya tidak mahu mengganggu dia sehinggalah saya kata kepadanya, “Kalau free terus saja SMS saya.”
Selepas berita kisah cintanya dengan pemain bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun – Aidil Zafuan Radzak, 20, kembali memanaskan dunia hiburan, saya sekali lagi terpaksa mengganggu waktunya.
Ketika itu dia di Ipoh, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Banyak perkara ‘off record’ yang diceritakan tetapi tidak dapat untuk dihebahkan di sini.
Akhirnya kami mengatur sesi fotografi pada hari Sabtu minggu lalu. Sudah hampir setahun tidak bertemu, saya kata, Rita agak susut sekarang ni. Wajahnya pun nampak penat.
Terus wanita ini mencelah dia sebenarnya penat bekerja dan ada kalanya tak cukup rehat. Disebabkan sudah lama berjanji, Rita terpaksa memenuhi permintaan saya untuk mengadakan sesi fotografi ini.
“Kalau nak ikutkan kami ni penat sangat. Tapi kerana dah lama dah janji dengan Pancaindera, terpaksa juga datang. Lepas ni kami sibuk lagi dengan shooting,” katanya.
Tak apalah. Yang penting janji itu ditunaikan. Seperti biasa Rita sudah mengagak apa yang hendak saya tanya. Selain kisah terbaru dirinya, topik mengenai alam rumah tangga menjadi perbualan. Mari baca pengakuan Rita.
* Teman tapi mesra
Kembali panas! Saat kisah adegan tarik rambutnya di lokasi penggambaran dengan pelakon Lisdawati kian terpadam, kehangatan kisah terbaru Rita kembali menerjah.
Dunia hiburan dihangatkan dengan penyebaran gambarnya dengan pemain bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun – Aidil Zafuan Radzak.
Dalam gambar itu memperlihatkan hubungan Rita dengan Zafuan, pemain bola sepak berusia 20 tahun itu bukan seperti kawan biasa sebaliknya teman tapi mesra.
Tentunya ramai yang tertanya-tanya sejauh manakah hubungan mereka kerana sebelum ini Rita belum secara terbuka mengesahkan mengenai status hubungan itu.
Seperti biasa kata Rita, Zafuan adalah kawan dan antara insan yang paling rapat dengannya pada waktu ini iaitu dalam konteks ‘teman tapi mesra’. Akui wanita itu, dia gembira berkawan dengan lelaki tersebut biarpun perbezaan usia mereka jarak 11 tahun.
“Dia baik orangnya dan tidak berperangai macam budak-budak. Rita memang suka berkawan dengannya. Sebab itulah kami mungkin serasi dan boleh bertukar-tukar fikiran,” kata Rita.
Tidak dinafikan penyebaran gambar tersebut memberi kejutan. Bukan sahaja kepada Rita sebaliknya Zafuan sendiri. Malah apa yang dibimbangkan, gambar yang diambil di pusat peranginan Genting Highlands itu dikhuatir disalahertikan.
Sebenarnya menurut Rita, dia bersama dua orang sepupunya dan juga Zafuan kepingin untuk makan dan berjalan-jalan di pusat peranginan itu dan berbuat keputusan untuk pergi ke sana.
Selepas makan dan bergambar, mereka pulang dan mengabadikan gambar-gambar kenangan terindah itu di dalam e-mel masing-masing.
Malangnya e-mel berkenaan telah diceroboh dan gambar mereka itu disebarkan dengan pantas.
Akibatnya bukan sahaja Rita sebaliknya Zafuan dan keluarganya turut menanggung sengsara apabila macam-macam tohmahan buruk mula dilemparkan.
“Keluarga Zafuan terdiri daripada mereka yang baik-baik. Mereka tidak terdedah dengan dunia hiburan dan juga dunia gosip ini. Apabila keluar cerita yang bukan-bukan, mereka turut tertekan dan tentu juga mengganggu tumpuan Zafuan untuk membuat latihan bola sepak,” katanya.
Bagaimanapun Rita bersyukur kerana keluarga teman tapi mesranya itu boleh menerima dan mula memahami terhadap apa yang berlaku.
* Bersedia untuk kahwin
Tujuh tahun hidup solo selepas kecewa dalam rumah tangganya akui Rita, tempoh itu memang cukup membuatkan dirinya sunyi. Bohonglah kata Rita dia tidak pernah mengimpikan untuk mendirikan rumah tangga.
Malah akui wanita ini, dia sebenarnya sudah terfikir untuk mencari seseorang yang layak menjadi suami.
Malah kadangkala Rita akui dia cemburu melihat saudara-maranya yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak.
“Mungkin hidup Rita lebih bahagia kalaulah selepas ini Rita kahwin dan ada anak. Tetapi jodoh belum ada dan Rita masih menantikannya,” jelas beliau.
Saya bertanya secara bergurau, jodoh mungkin ada. Zafuan mungkin orangnya tetapi Rita hanya tersenyum sebaik sahaja soalan itu diajukan.
Katanya, masih terlalu awal untuk mengesahkan perkara itu tetapi kalau ada jodoh di antara mereka, kemungkinan ada. Cuma dia dan Zafuan tidak pernah berbicara secara serius tentang perkara itu kerana Zafuan mempunyai tugas yang paling berat di dalam pasukan bola sepak.
Cuma Rita berharap benda yang baik akan berjalan dengan baik walau dengan siapa pun Tuhan mempertemukan jodohnya nanti.
Bagaimanapun keluarga Rita pula tidak menghalang dengan sesiapa saja dia ingin berumah tangga.
Tetapi nasihat daripada ibu Rita sendiri, lelaki yang dipilih untuk menjadi suaminya biarlah mampu untuk menggembira dan membahagiakan dirinya.
“Emak Rita memang tak memilih. Dia memberi kebebasan kepada Rita untuk memilih calon yang sesuai asalkan seorang yang baik.
“Walaupun Rita ini artis, jangan anggap Rita macam orang lain ataupun mementingkan material. Rita tak macam itu. Kalau sesuai, tak kiralah dia kerja apa sekalipun, Rita sudi berkahwin dengan dia,’’ katanya.
* Kenapa suka Zafuan?
Bukan faktor paras rupa, Zafuan yang dikatakan lelaki macho serta menjadi kegilaan gadis-gadis jelita itu sememangnya seorang yang mempunyai karisma tersendiri pada pandangan mata Rita.
Jelasnya, dia seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Malah Rita gembira kerana ibu dan bapa Zafuan melatih anaknya itu supaya mempunyai sifat saling hormat-menghormati.
Yang paling penting, Zafuan bukannya jenis lelaki yang suka berpeleseran ataupun menggunakan kedudukan serta popularitinya untuk terlibat dengan aktiviti sosial.
“Ada orang menganggap pemain bola kebanyakannya playboy. Pada mulanya saya mempercayai perkara itu tetapi selepas mengenali Zafuan, ternyata ia tidak seperti yang saya anggap sebelum ini.
“Dia bukan lelaki yang macam itu sebaliknya serius terhadap kerjaya bola sepaknya,” ujar Rita. Mengenali lebih setahun lalu, hubungan Rita bukan sahaja rapat dengan Zafuan sebaliknya juga dengan ibu dan bapa lelaki itu.
Selain berbual di telefon, mereka sering juga mengirimkan SMS untuk bertanya khabar dan bercerita mengenai Zafuan.
* Pulang ke Perlis
Sempena kedatangan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi, ruang yang ada akan Rita gunakan untuk dia pulang ke kampung. Kampung Utan Aji, Kangar, Perlis merupakan kampung halamannya.
Pada tahun ini kata Rita, dia akan berada selama sepuluh hari di kampungnya itu dan masa yang ada akan digunakan untuk bersama keluarga.
“Rita jarang balik kampung. Dalam setahun boleh dikira berapa kali sahaja Rita sempat menjenguk kampung halaman.
“Jadi ruang yang ada sempena cuti Hari Raya ini Rita nak bersama keluarga kerana bukannya selalu dapat bersama dengan mereka,” ujarnya yang mengakui banyak tawaran penggambaran drama menanti selepas Hari Raya nanti.
Powered by Utusan Malaysia
Tidak Pernah Ku Sesali Drama Baru Di RTM1
Kisah pergolakan keluarga dan perebutan harta menjadi taruhan terbaru Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk para penonton RTM1 kali ini. Bermula hari ini, sebuah drama bersiri Tidak Pernah Ku Sesali menyerikan slot Sutera, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menggantikan drama Bicara Aur Dengan Tebing yang tamat siarannya semalam.
Konflik keluarga Datuk Mahmud dan Datin Sharifah memuncak sekembalinya anak lelaki sulung mereka, Prof. Helmi dan isterinya, Hanim yang dinikahi di Amerika. Ini kerana kepulangan Prof. Helmi tidak disenangi adik-adiknya terutama Asmadi dan Rahimi kerana Prof. Helmi dilantik oleh ayah mereka untuk mengambil alih perniagaan keluarga. Malah Junaidah dan Anita, kedua-dua menantu Datuk Mahmud dan Datin Sharifah cemburukan Hanim yang ternyata lebih disayangi oleh mertuanya kerana dia berkeperibadian mulia.
Prof. Helmi bukannya mahu membolot kekayaan ayahnya sebaliknya dia mahukan adik-beradiknya bekerjasama memajukan syarikat, hasil titik peluh ayah mereka selama ini. Namun, Prof. Helmi kecewa apabila mendapati banyak penyelewengan berlaku ketika syarikat diurus oleh Asmadi dan Rahimi ketika ayah mereka sakit akibat serangan jantung. Hanya Asraf, adiknya yang seorang lagi sahaja yang boleh diharapkan yang selama ini menegur tindak tanduk tidak betul Rahimi dan Asmadi. Namun, Asraf lebih berminat mengendalikan perniagaan sendiri dalam industri pertanian.
Saman
Paling mengecewakan Prof. Helmi apabila syarikat menerima surat saman daripada pelanggan kerana kegagalan syarikat perkapalan Datuk Mahmud menepati jadual membawa barang masuk ke Malaysia seperti dijadualkan. Prof. Helmi meminta bantuan Rahimi dan Asmadi untuk menyelesaikan perkara itu, tetapi mereka mengambil sikap sambil lewa.
Keengganan mereka melakukan penyiasatan kerana mereka sebenarnya berkomplot dengan pelanggan tersebut menaikkan tuntutan saman daripada RM3 juta kepada RM5 juta di mana mereka berdua akan mengambil RM1 juta seorang. Prof. Helmi tidak membuat laporan polis memandangkan mereka adalah darah daging sendiri dan meminta mereka memulangkan wang tersebut kepada syarikat. Tetapi, masing-masing sudah membelanjakan wang tersebut.
Sementara itu, Datuk Mahmud membuat kejutan untuk membahagikan harta dan saham syarikat kepada anak-anak dan menantunya. Anita, Junaidah dan anak perempuan Datuk Mahmud, Malina mempersoalkan saham Hanim yang lebih.
Anita juga menyebarkan cerita bahawa Prof. Helmi dan Hanim akan bercerai kerana kononnya Prof. Helmi menghadapi masalah kelelakian. Untuk menutup mulut daripada perkara itu sampai ke pengetahuan Datuk Mahmud, Anita meminta Prof. Helmi sebanyak RM3 juta. Ugutan Anita itu gagal kerana Datuk Mahmud sudah mengetahui perkara itu.
Dalam pada itu, Prof. Helmi dan Hanim terpaksa membuka cerita sebenar bahawa mereka sebenarnya berlakon sebagai suami isteri akibat kemalangan yang menyebabkan kedua-dua kereta mereka terhumban ke dalam sungai di Amerika. Prof. Helmi dan Hanim sebenarnya telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Prof. Helmi berkahwin dengan Khalidah dan Hanim dengan Dr. Farid dan pasangan mereka hilang tanpa dapat dikesan pada hari kemalangan itu. Prof. Helmi meminta Hanim menjadi isterinya untuk memenuhi harapan keluarga melihatnya pulang membawa isteri.
Apakah yang bakal berlaku kepada hubungan Prof. Helmi dan Hanim apabila Dr. Farid dan Khalidah yang disangka mati selama ini muncul kembali menagih cinta? Pastikan anda menonton Tidak Pernah Ku Sesali, drama bersiri sebanyak 30 episod yang penuh dengan konflik, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi di RTM1 bermula 28 September ini.
Drama terbitan Asia Media Content Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Faisal Ishak dan dibintangi oleh Arni Nazira (Hanim), Fauziah Nawi (nenek), Khairil Anuar (Datuk Mahmud), Khaty Azean (Datin Sharifah), Amyza Adnan (Anita), Watie Elite (Junaidah), Zed Zaidi (Asmadi), Zarina Zainuddin (Rita), Ashraf Sinclair (Dr. Farid) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (Prof. Helmi).
Powered by Utusan Malaysia
Award-Winning Film-Maker Kelvin Tong Starts Work On New Horror Film ‘Rule #1′
SINGAPORE: Filming has started for Singaporean movie director Kelvin Tong’s new US$2 million horror flick ‘Rule #1′.
The film, set in Hong Kong, is co-produced by Kelvin’s Boku Film, MediaCorp Raintree Pictures, Fortune Star Entertainment, Scorpio East Pictures and Dream Movie Entertainment.
It stars Hong Kong actors Ekin Cheng and Shawn Yue. Singaporean actress Fiona Xie plays a supporting role in the film.
In the show, Ekin and Shawn are cops in charge of dealing with hotline calls to the police about supernatural happenings.
Their job is to convince people of ‘Rule #1′, which is, that there are no ghosts.
Director Kelvin said that despite his record-breaking success in Singapore with his horror movie ‘The Maid’, he is under no pressure to replicate that achievement.
He said: “I actually wrote the film for Shawn and Ekin. I knew I wanted them from day one, but of course, the big question was whether they would want the film. But I was very pleasantly surprised because as soon as I finished it, I got it translated to Cantonese… sent it to Shawn, sent it to Ekin.
“They got back within a week and suddenly, I had a cast. So I think they were very attracted to the script, and they saw potential in this very strange mix of cops and ghosts.”
Ekin Cheng said: “I believe he saw my previous movies. I think he understands that I crave for new roles and directions. It’s a great opportunity for me.” – CNA/ir
Channel News Asia