Yasmin Hani “Saya Ada Kelas”
Oleh: WANDA IDRIS
|
|
|
NAMA Yasmin Hani tiba-tiba panas. Bukan kerana dia ‘memanaskan’ program Pagi di Era bersama Kieran dan AC Mizal tapi panas dengan cerita peribadi. Semuanya gara-gara kononnya dia merampas suami orang dan kini sedang hamil.
Bertemu dengan Yasmin Hani yang mesra dipanggil Hani di studio Utusan minggu lalu, dia kelihatan tenang sahaja.
Tidak terkejut atau melatah ketika dilontarkan soalan-soalan panas tentang dua perkara itu malah bertanya semula, “Nampak tak perut saya?”
Seperti selalu, gadis kacukan Inggeris-Melayu ini mesra dengan senyum dan mulutnya ramah bak bertih, tak henti- henti bercakap. Apa lagi apabila menyentuh tugas barunya di Era di samping kerja kesayangannya sebagai VJ di Muzik@ Ria.
Namun saat mula berbicara soal peribadi, nada lembutnya bersulam tegas. Semua ini demi menyatakan pendirian yang selama ini memandang serong terhadap dirinya kerana dikatakan menjalinkan hubungan dengan seseorang yang pernah menjadi milik orang lain!
“Saya ada kelas. Saya bukan perampas,” tegasnya. Dia dikatakan menjalinkan hubungan dengan suami kepada seorang personaliti televisyen.
Malah berkali-kali dia meminta supaya mereka yang menjaja ceritanya agar menyelidik latar belakang lelaki yang kini menjadi teman istimewanya itu sebelum membuat sebarang andaian.
“Saya tidak akan sesekali berkawan dengan suami orang malah dengan teman lelaki orang pun saya tidak akan berkawan. Saya bukan perempuan jenis itu. Saya tidak akan berkawan dengan orang yang berpunya jauh sekali untuk merampas,” tegasnya.
Justeru, kata Yasmin Hani, dia tidak peduli dengan ribut yang melanda dirinya itu kerana dia tahu apa yang dilakukan. Malah dia tidak pernah berasa takut untuk berhadapan dengan khalayak kerana dia tahu dia berada di pihak yang benar.
“Orang kalau tak suka atau sakit hati mulalah buat cerita. Yang suka buat cerita ni pun segelintir orang saja. Jadi buat apa nak peduli. Kalau dipedulikan sangat nanti merana. Kita pun bukannya boleh tutup mulut orang,” tambahnya.
Menurut Yasmin Hani, dia tidak faham mengapa dikata sebagai perampas suami orang jauh sekali menjadi orang ketiga yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga kekasih hatinya itu. “Saya baru saja berkawan dengan dia pada tahun lalu. Itu yang saya tak faham mengapa saya dikatakan perampas,” jelasnya.
“Dah jodoh mereka tak panjang dan sekarang ini jodoh saya dengan dia,” ungkap Yasmin Hani lagi dan mengakui tergoda dengan kekasih hatinya itu kerana seorang lelaki yang pandai berlawak dan sering membuatkan dia ketawa.
*Ingin kahwin
Kata Yasmin Hani, dia sudah lama mengenali buah hatinya itu malah hadir menyaksikan perkahwinannya.
“Kami berkawan biasa dan ada juga sesekali melepak sama dan masa dia berkahwin, saya sendiri sudah mempunyai kekasih dan turut hadir bersama di majlisnya,” jelas Yasmin Hani.
Dia mengaku kalau sukakan seseorang, dia memang tidak meluahkan kepada orang berkenaan.
“Saya akan pendamkan sahaja dan berharap orang itu datang kepada saya. Akhirnya kini kami berkawan,” kata Yasmin Hani sambil tersenyum bahagia.
Bagaimana pula boleh timbul kisah hamil? Kata Yasmin Hani, dia sendiri tidak tahu bagaimana kisah ini boleh timbul. Tiba-tiba ada rakannya memberitahu terbaca kisah dia mengandung di internet.
Laporan itu kononnya dia membuat ujian air kencing dan didapati hamil.
“Hakikatnya saya tak pernah pun pergi ke hospital yang dimaksudkan itu. Bukan sahaja tak pernah malah saya tak lalu pun kawasan itu sebab saya tinggal di Sri Hartamas, hospital itu pula di Ampang,” jelas Yasmin Hani.
Ditanya sejauh mana hubungannya dengan kekasih hatinya itu, kata Yasmin Hani, mereka kini sudah pun mula berbicara hati ke hati soal mendirikan rumah tangga.
Biarpun belum terlalu serius namun mereka ada berbincang mengenai perkara yang menjadi tuntutan agama itu. Masih menunggu rezeki dan kata Yasmin Hani, jika diizinkan Allah, pasti perkara yang baik akan direstui dan terlaksana apabila tiba waktunya. Tambahan pula lelaki itu baru sahaja menamatkan pangajiannya diperingkat sarjana.
*Bahagia dan gembira
Seronoknya menjadi Yasmin Hani kerana kini dia bukan sahaja sedang berbahagia dengan kehidupan peribadinya, malah kerjayanya juga memberi satu kegembiraan.
Menjadi penyampai radio bukan sahaja diibaratkan seperti pucuk dicita ulam mendatang malah membuka satu lorong rezeki baru buat gadis berkulit kuning langsat ini.
“Inilah kerjaya pertama saya secara tetap,” ujar Yasmin Hani yang mengikat kontrak selama dua tahun untuk mengemudi program Pagi di Era setiap Isnin hingga Jumaat.
Siapa menyangka, gadis yang pada awalnya hanya sekadar model iklan dan pelakon tambahan dan kini mempunyai tapak kukuh dalam bidang penyiaran malah diberi pula kepercayaan untuk mengendalikan program pagi yang dianggap antara program penting sesebuah stesen radio.
“Mungkin masanya sudah tiba untuk saya mengorak langkah lebih jauh dalam bidang penyiaran. Nak berlakon filem pun kena kutuk, ” katanya sambil ketawa.
Yasmin Hani pernah membintangi filem Bilut dan Cicak-Man dan kini sedang dalam proses pascaproduksi filem Duyung. Namun dia mengakui tidak akan pernah melupakan jasa Muzik@Ria yang dikendalikannya sejak 1999 dan dianggap sebagai pembuka mata khalayak kepada bakat pengacaraannya.
“Saya menyayangi Muzik@Ria seperti anak saya. Tanpanya, siapalah saya. Memang secara peribadinya saya amat menyayangi program itu. Malah saya tidak akan pernah jemu untuk mengendalikannya,” tegas Yasmin Hani.
Muzik@Ria bukan sahaja membuatkan dia mampu berdikari malah melalui hasilnya dia membeli rumah dan kereta. Dia memang amat terhutang budi pada program itu. Yasmin Hani mengakui cuba ‘mencuri’ perhatian pendengar terhadap bakat barunya itu.
“Mula-mula bertugas di konti memang menggelabah. Basah tangan saya dek peluh gementar,” kata yasmin Hani.
Dia mengakui bukan orang yang selalu bangun pagi dan minggu pertama terus demam.
“Yalah, biasanya pukul tiga empat pagi baru tidur, pukul tiga empat pagi dah kena bangun bekerja. Sekarang pukul 10 dah masuk tidur,” jelas Yasmin Hani lagi
Kini dia semakin senang dengan kerjaya ini malah seronok untuk ke konti kerana pasangannya, Kieran dan AC Mizal sangat kelakar dan begitu spontan.
“Setiap pagi, saya macam nak pecah perut ketawa dengan gelagat mereka,” ceritanya. Namun biar sudah mula membiasakan diri untuk bangun pagi dan bertugas di konti, Yasmin Hani mengakui banyak perkara yang masih perlu dipelajari untuk memperbaiki diri.
“Proses belajar tidak akan pernah selesai,” katanya yang tidak pernah menyangka ditawar menjadi seorang penyampai radio.
Powered by Utusan Malaysia
Kepincangan Keluarga Dalam Bicara Aur Dengan Tebing
Menyayangi keluarga adalah nilai murni yang perlu dipupuk sejak kecil. Tanpa kasih sayang, institusi kekeluargaan menjadi pincang. Itu antara mesej drama bersiri terbaru, Bicara Aur Dengan Tebing terbitan Tenview Sdn. Bhd., yang mula bersiaran hari ini setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menerusi slot Sutera di RTM1.
Drama 13 episod ini mengisahkan kehidupan Mia (lakonan Rita Rudaini) dan Yeen (Jasmin Jamid), dua beradik perempuan yang dibesarkan oleh bapa tunggal, Omar yang bergantung hidup pada hasil menoreh getah. Mia mengalami masalah dyslexia yang menyebabkan dia tidak dapat menguasai pelajaran dan lembab dalam segala bidang. Kekurangannya itu membuatkan dia lebih disayangi ayahnya sehingga menyebabkan Yeen merasa dirinya disisihkan dan tidak diberi perhatian oleh ayahnya.
Yeen menjadi bertambah benci kepada Mia apabila Mia sering dijadikan bahan ejekan kanak-kanak sebaya kerana kelembapannya sehingga dia merasa menyesal menjadi kakak Mia.
Apabila meningkat remaja, Yeen yang belajar di sebuah universiti mula menjalinkan hubungan dengan seorang pemuda, Jinggo yang tidak disukai oleh ayahnya. Hubungan mereka diketahui oleh ayah dan bapa saudara Yeen (Pak Ngah) setelah Mia menceritakan segalanya. Ayah Yeen memaksa Jinggo mengahwini Yeen, tetapi Jinggo enggan dan menuduh Yeen yang cuba menggodanya. Yeen malu dan melarikan diri ke Kuala Lumpur menjadikan kebencian Yeen terhadap Mia semakin meluap-luap.
Yeen bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat pembinaan. Kecantikan dan kelincahan Yeen telah berjaya menarik perhatian seorang jurutera baru di situ, Razuan. Namun, Yeen tidak menyedari bahawa dia perlu bersaing dengan Dina, seorang jurutera kanan yang juga ingin merebut cinta Razuan. Kemenangan berpihak kepada Yeen apabila Razuan berhasrat memperisterikannya sementara Dina pula menyimpan dendam.
Yeen berbangga tinggal di rumah milik ibu bapa Razuan di sebuah kawasan perumahan mewah. Yeen yang menumpang kesenangan Razuan, menjadi lupa daratan dan mula berkawan dengan rakan-rakan yang setaraf dengannya sahaja.
Mia yang hidup terkontang-kanting di kampung selepas kematian ayah mereka, tidak diperdulikan Yeen sehinggalah Pak Ngah campur tangan mendesak Yeen membawa Mia tinggal bersamanya di bandar sekiranya dia ingin mewarisi tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya.
Sejak itu, bermulalah episod duka dalam hidup Mia yang malang. Yeen memperlakukan Mia seperti orang gaji. Kelembapan Mia sering menjadi punca kemarahan Yeen terhadapnya. Setiap kali balik dari pejabat, Yeen akan menjadikan Mia sebagai tempat melepaskan marah.
Dalam pada itu, Dina meneruskan agendanya membalas dendam terhadap Yeen sehingga akhirnya Yeen terpaksa meletak jawatan. Dina tidak berhenti setakat itu sahaja, dia dengan beraninya meminta Razuan memohon kepada mahkamah untuk berpoligami. Habuannya, Razuan mendapat saham yang diserahkan oleh Dina kepadanya. Razuan mula gelap dalam dunia materialistik ciptaan Dina.
Yeen terperangkap memandangkan dia kini tidak bekerja dan dia terpaksa menerima Dina sebagai madunya yang sah jika ingin terus hidup senang.
Tekanan emosi Yeen bertambah memuncak apabila dia mengetahui bahawa tiada satupun harta yang ditinggalkan ayahnya untuk dirinya. Sejak Yeen tidak mempedulikan keluarganya di kampung, ayahnya menyerahkan semua harta miliknya kepada Mia.
Kebencian Yeen terhadap Mia tidak dapat dibendung lagi apabila suatu malam dia mendapati suaminya cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap Mia. Yeen sebaliknya menuduh Mia sengaja menggoda suaminya. Yeen hilang pertimbangan sehingga sanggup membelasah Mia hingga separuh mati.
Pastikan anda menonton drama menyayat hati Bicara Aur Dengan Tebing mulai hari ini pukul 11.05 pagi menerusi slot Sutera di RTM1. Drama ini dilakonkan oleh Jasmin Hamid, Rita Rudaini, Wan Hanafi Su, Arash Mohammad, Aqasha dan ramai lagi.
Powered by Utusan Malaysia