Bengkel Harmoni Bersama Aura Seri
|
|
|
SETELAH menjelajah ke Johor Bahru, Kuantan dan Pulau Pinang, akhirnya Bengkel Harmoni Bersama Aura Seri anjuran majalah Harmoni terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. menemui lokasi terakhirnya iaitu di Hotel Quality, Kuala Lumpur.
Bengkel sehari itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai, khususnya pembaca majalah Harmoni menimba ilmu bersama pakar motivasi, Prof. Dr. Ibrahim Ahmad.
Peserta dihidangkan dengan topik-topik yang menarik seperti Membina Keluarga Harmoni dan Mendidik Anak Ke Arah Kecemerlangan.
Selain itu terdapat tip kecantikan wajah dan memelihara kecantikan dalam daripada pengasas Aura Seri, Norzainah Abdul Ghani atau Ira. Beliau juga mengajar teknik-teknik senaman bagi menghangatkan hubungan suami isteri.
Paling menarik ialah kemunculan artis popular, Rosyam Nor yang menceritakan pengalaman kehidupan berumah tangga dan rahsia kejayaan dalam bidang seni serta perniagaan.
Di samping itu, beliau turut berkongsi rahsia awet muda dan tip untuk mengekalkan keremajaan kulit wajah lelaki dan wanita.
Setiap peserta menerima tiga bulan (enam keluaran) percuma majalah Harmoni dan cenderamata daripada Aura Seri, manakala tujuh peserta bengkel yang bertuah membawa pulang pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.
Powered by Utusan Malaysia