Semangat Atlet Paralimpik
Walaupun kehilangan ramai atlet, pengadil dan jurulatih, namun semua itu bukan halangan kepada rakyat Iraq menyertai Sukan Paralimpik 2008 di Beijing.

PEMAIN tenis paralimpik, Suhair Abdul Amir (kanan) giat menjalani latihan sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik 2008 di Beijing, China.
FAKHER AL-JAMALI telah kehilangan sembilan atlet, pengadil dan jurulatih dalam insiden pengebom berani mati dan tembak-menembak oleh radikal Islam dan tentera Amerika syarikat (AS).
Kematian mereka telah menjadikan Sukan Paralimpik 2008 di Beijing, bagi beliau sebagai lebih daripada hanya satu acara sukan.
“Kami akan membawa mesej kasih sayang dan keamanan kepada masyarakat dunia dengan menyatakan bahawa Iraq menyintai kehidupan, keamanan dan ingin hidup dengan aman.
“Kami juga bertekad untuk meneruskan hidup sungguhpun kehilangan abang-abang kami,” kata Fakher, Setiausaha Agung Jawatankuasa Paralimpik Iraq.
Kematian dan ugutan pengeboman, sedikit pun tidak menghentikan langkah 31 atlet mencari arah dari rumah mereka ke pusat latihan di Baghdad untuk sesi latihan sebanyak tiga kali bagi persediaan mereka ke Sukan Paralimpik, yang akan diadakan selepas temasya Sukan Olimpik pada bulan Ogos ini.
Mereka perlu bertahan bukan sahaja terhadap keganasan tetapi juga hidup dalam sebuah komuniti yang menawarkan sedikit, jika ada, perkhidmatan khas untuk mereka yang kurang upaya.
“Saya telah melawat 66 buah negara dan di kesemua negara itu, mereka yang kurang upaya boleh bergerak tanpa bantuan kerana perkhidmatan khas yang disediakan,” kata Fakher.
Tambah beliau, “Malangnya Iraq telah terlibat dalam perang-perang yang bodoh dan mempunyai tiga juta penduduk yang kurang upaya. Peralatan khas yang diperlukan untuk golongan ini amatlah sedikit.”
Fakher berkata, salah seorang atlet yang terbunuh sejak pencerobohan yang diketuai AS pada tahun 2003 ialah Qassem Matar, yang bermain bola gol, satu permainan berpasukan yang telah direka untuk peserta buta.
Beliau berkata, Ibrahim Abdullah yang melatih pasukan bola keranjang berkerusi roda juga telah terbunuh oleh tentera AS.
Pada bulan Julai 2006, Ketua Jawatankuasa Olimpik Iraq ketika itu, Ahmed al-Hadjiya dan kira-kira 30 kakitangan sukan lain telah diculik dari sebuah dewan di Baghdad. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah ditemui.
Pada bulan Jun, mayat reput sekurang-kurangnya 13 ahli pasukan taekwondo Iraq telah ditemui selepas lebih setahun mereka diculik di kawasan kuat al-Qaeda, selatan Baghdad.
Semasa hampir lima tahun peperangan dan pertumpahan darah berdasarkan puak, sukan telah menyebabkan rakyat Iraq untuk buat sementara waktu, melupakan perbezaan mereka untuk mewujudkan pasukan bola sepak kebangsaan dalam kempen kejayaan mereka memenangi Piala Asia 2007.
Atlet-atlet paralimpik Iraq juga tidak asing kepada kejayaan – pada temasya paralimpik Athens 2004, dua pengangkat berat telah memenangi pingat perak dan gangsa.
Namun, kekurangan peralatan latihan dan kemudahan telah menyukarkan lagi cabaran yang akan dihadapi di Beijing, kata Fakher.
“Kami tidak mempunyai sebarang bas untuk membawa atlet-atlet ini dari rumah mereka untuk latihan.
“Perenang kami tidak boleh berlatih semasa musim sejak kerana kolam renang akan menjadi sangat sejuk dan kami tidak mempunyai tenaga pemanas,” kata Fakher di pejabatnya yang dihias dengan gambar-gambar dirinya bersama pelakon aksi Hollywood, Jackie Chan dan atlet-atlet Iraq lain.
Pasukan olahraga Iraq berlatih di sebuah taman kecil yang terletak di luar sebuah stadium di Baghdad yang tidak mempunyai trek larian.
“Kami sengsara kerana tidak ada padang untuk kami. Infrastruktur yang diperlukan tidak ada,” kata jurulatih, Karim Mohammed, sambil berdiri di taman berlatarkan bunyi ambulans dan tembakan.
Sungguhpun demikian, dalam sebuah bilik kecil di mana pasukan ping pong berlatih untuk kejohanan yang akan datang itu, kesukaran yang dihadapi gagal mematahkan semangat tinggi di kalangan pemain-pemainnya.
“Di sebalik kesukaran yang kami dan negara ini hadapi, semangat kami tinggi dan diizinkan Tuhan, kami akan mengibar tinggi bendera Iraq,” kata Suhair Abdul-Amir, satu-satunya wanita dalam tiga pasukan kuat ke Beijing. – Reuters
Kosmo
Palit Arang Ke Muka Artis
Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my

Faizal Tahir
TIRAI kontroversi tahun 2008 nampaknya dimulakan dengan penyanyi muda, Faizal Tahir. Baru saja ledakan kisah aksinya “menggelongsor” dalam rancangan separuh akhir Muzik-Muzik kategori Balada hendak berakhir, kini timbul lagi satu kontroversi.
Pucuk baru yang berjuang di landasan “rock” ini sekali lagi melakar “kejayaan” peribadi gara-gara beraksi keterlaluan.
Kali ini Faizal tanpa segan silu membuka baju di pentas menunjukkan dada bidangnya kepada peminat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana artis tempatan sebelum ini.
Bukan itu sahaja, Faizal juga dengan beraninya membuka tali pinggang yang dikenakannya ketika membuat persembahan sempena ulang tahun ke-4 TV8 baru-baru ini.
Natijahnya, Faizal mengundang padah untuk diri sendiri.
Selepas didenda syarikat pengurusannya sendiri dan royalti albumnya disekat, terbaru Faizal berhadapan dengan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Penyanyi Mahakarya Cinta itu dilarang muncul dalam sebarang rancangan secara langsung ataupun tertunda untuk tempoh selama tiga bulan.
Ini bermakna wajah Faizal tidak akan muncul di mana-mana saluran televisyen swasta dalam tempoh hukuman berkenaan yang bermula 15 Januari lalu.
Sikap luar biasa Faizal itu bukan sahaja menyusahkan dirinya sendiri, tetapi turut mengheret 8TV ke dalam keadaan yang sukar.
SKMM turut menarik balik serta-merta kelulusan bersiaran langsung atau tertunda bagi rancangan konsert dan program berbentuk hiburan stesen 8TV dalam tempoh yang sama.
Begitulah kesannya. Kadang-kadang, boleh pening kepala dibuatnya memikirkan gelagat sesetengah artis sekarang.

FAIZAL (dua dari kanan) pernah menggotai kumpulan nasyid Mirwana.
Mereka sanggup lakukan benda-benda yang dianggap tidak wajar tanpa mengkaji terlebih dahulu impaknya di kemudian hari.
Siaran televisyen yang dipancarkan secara langsung dan ditonton jutaan peminat itu sedikit sebanyak telah memalit arang di muka para penggiat seni tanah air khususnya kelompok penyanyi.
Usai sudah isu lamanya, satu lagi dicipta. Apa semua ini?
Sekiranya populariti yang didambakan Faizal dengan membuka baju dan menunjukkan tubuhnya kepada khalayak, itu bukanlah satu cara yang waras.
Malah jika dia berfikir itu sesuatu yang baik untuk pekembangan kerjayanya, nyata percaturan Faizal tersasar.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez menganggap tindakan Faizal adalah sesuatu yang terkeluar dari norma masyarakat Timur.
Walaupun mungkin niatnya murni untuk memberi kelainan dan menghiburkan peminat, Faizal perlu lebih berwaspada.
ΐKita tak perlu nak ikut gaya penyanyi Barat yang sanggup tanggal seluar di pentas. Itu budaya mereka.
“”Saya harap tindakan pihak kerajaan dapat buka mata Faizal untuk lebih berhati-hati di masa depan,”" katanya.
Mengulas tentang tindakan yang dikenakan ke atas Faizal, Freddie berharap ia sudah cukup memberi pengajaran.
Rocker senior, Hattan pula menjelaskan Faizal harus menerima apa yang telah ditetapkan kementerian berkenaan dengan hati terbuka.
Dalam waktu sekarang penyanyi itu perlu bersedia menerima hukuman atas perbuatannya sendiri.
ΐItu dia kena tanggung sendiri, tegas Hattan memberi reaksi kepada isu berkenaan.
Penyanyi Biso Bonar ini memberitahu, sebelum memulakan persembahan setiap penyanyi perlu berfikir terlebih dahulu apa yang bakal dilakukan di depan khalayak.
Seboleh mungkin artis perlu mengelakkan diri dari melakukan perkara kurang elok yang boleh merosakan nama dan kerjaya sendiri.
ΐCuma saya tak faham kenapa dia perlu buat begitu. Orang lainpun “rockers” juga. Bagaimanapun baik saya, Awie atau Amy (Search) tak pernah terfikir nak buka baju depan peminat, katanya Hattan.
Hattan bagaimanapun menjelaskan, perbuatan Faizal perlu dimaafkan disebabkan dia masih baru dan belum masak lagi dengan industri.
ΐKasihanilah dia, jangan terus menghukum. Bagi peluang kepada Faizal kerana dia memiliki bakat yang bagus asalkan dia janji tidak ulangi tindakan lamanya itu, ungkapnya penuh toleransi.
Sementara itu penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Muhamad Asri Ibrahim berharap insiden yang berlaku kepada Faizal dapat dijadikan iktibar kepada semua pihak.
Menurut beliau, meskipun Faizal adalah bekas anggota kumpulan nasyid, perlakuan setiap individu berbeza bergantung kepada niat yang tersendiri.
ΐAda yang mengaitkan Faizal sebagai bekas penyanyi nasyid dalam situasi ini, tapi saya tak kisah.
ΐYang penting dia melibatkan diri dalam industri ini dengan tujuan apa? Saya harap dia ambil iktibar dengan apa yang berlaku serta akur dengan hukuman yang dikenakan.”" katanya.
Manakala rakan seperjuangan Faizal dalam OIAM, Farah Asyikin pula tidak terkejut dengan aksi yang dibuat oleh Faizal itu.
Katanya, Faizal memang terkenal dengan gaya energetik di pentas dan sentiasa mahu tampil dengan kelainan.
ΐDan sekarang Faizal harus menanggung sendiri kesilapan yang dilakukannya kerana ramai beranggapan ia melampaui batas,”" kata Farah.
Farah mengakui terdapat sesetengah peminat yang datang bertanya pendapatnya mengenai kelakuan Faizal memandangkan mereka terlibat sama dalam OIAM beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun katanya dia tidak mahu dengan mudah menyalahkan penyanyi berkenaan atas apa yang berlaku.
ΐAdakalanya perbuatan yang kita anggap remeh akan dipandang berat oleh orang lain. Apatah lagi Faizal adalah bekas anggota kumpulan nasyid, ujar penyanyi lagu Seribu Penipuan ini.
Powered by Kosmo
Umie Aida – Ya, Dah Berpunya
Oleh: WANDA IDRIS
|
|
|
GAYANYA semakin meyakinkan. Penuh sifat kewanitaan. Malah sudah pandai mengenakan kasut bertumit tinggi kala keluar bersiar.
Dulu sifatnya lain. Mengenali Umie Aida sejak beberapa tahun lalu, orangnya sukakan gaya yang serba-serbinya ringkas.
Paling tidak shirt dan jean sahaja. Kasut tinggi? Tiada dalam kamus harian kecuali menghadiri majlis formal. Beg yang dijinjing pun kelihatannya biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana pengaruh gaya yang begitu ringkas. Ia juga sekadar tempat menyimpan segala barangan.
Hari ini dalam usia kematangan 33 tahun, Umi Kalsom Rahmad ini semakin selesa dengan tubuhnya.
Menyarung pakaian lebih bersifat kewanitaan – blaus dengan legging – yang menjadi pilihan gaya masa kini, Umie juga sudah pandai menjinjit beg tangan berjenama mewah.
Pilihannya pada hari penggambaran ialah Dior gaucho dengan sepatu wedges daripada himpunan Escada. Dia tidak lagi ragu-ragu dengan pilihannya seperti dahulu. Dulu dia pernah bertukar ganti pakaian semata-mata kerana tidak selesa.
Malah pada satu ketika, saat mahu melangkah keluar rumah dengan gaya yang menyerlah, dia akhirnya kembali ke kamar dan sanggup bertukar pakaian lain. Dia kemudiannya keluar dengan gaya ringkas berseluar jean.
Namun mungkin itulah perubahan usia yang meningkatkan kematangan gadis yang pernah bergelar wanita penuh kemelayuan ini lantaran watak-watak klasik yang dibawa dalam filem.
Aktres yang pernah menggondol Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Embun ini juga mengakui hakikat ini.
Katanya, memang ada perubahan pada imej dan penampilannya hari ini berbanding suatu ketika dahulu.
Lebih bergaya, Umie Aida juga hadir dengan wajah dan tubuh yang lebih segar. Mungkinkah ada sesuatu yang membuatkan wanita ini beralih arah dalam berpenampilan? Malah saat diajukan dengan soalan apakah kini dia sedang bercinta lantaran gayanya yang penuh feminin, Umie hanya tertawa.
Namun dia mengakui antara sebab perubahan dirinya kerana menerima teguran daripada kawannya.
“Memang dulu saya lebih senang berkasut sneaker berbanding kasut tinggi. Juga suka tampil dengan t-shirt. Pergi ke mana-mana macam tomboi pula rasanya.
“Makin dewasa saya ikut juga aliran dan mula hadir dengan helaian yang lebih kewanitaan apabila ada kawan yang bising. Mula-mula itu memanglah terasa janggal kena dress up selalu tetapi akhirnya saya selesa. Memang ada seseorang yang begitu mempengaruhi, tak perlulah saya nyatakan sesiapa tetapi dia antara insan yang rapat dalam hidup saya.
“Memang dia pernah menegur saya, kenapa tak pernah pakai kasut tumit tinggi. Bila dia tanya begitu, saya terus terkesima,” Umie ada membuka cerita.
Memang wanita yang ini sukar benar menelah apa yang ada dalam jiwanya. Jadi untuk membuka mulut berbicara soal hati, memang selalunya dia akan mengelak.
Tetapi apabila dia berbicara soal kawan? Siapakah yang dimaksudkan? Apakah hati wanita yang satu ini sudah dipunyai? Siapakah yang bertuah berjaya memupuk kasih dan sayang bersamanya?
Tanpa mahu mengulas pertanyaan-pertanyaan nakal itu, Umie bagaimanapun tidak pula melenting sebaliknya hanya tertawa.
Jadi bila mahu merasa nasi minyak? Sementelah kawan baiknya sendiri, Erra Fazira sudah mendirikan rumah tangga.
Umie sendiri sudah merasai pengalaman menjaga anak angkat. Jadi bila mahu menimang anak sendiri pula?
Saat ditanya bila mahu mengakhiri zaman bujangnya, dia hanya menjawab: “Ala klise… Kalau ditanya soalan itu maka jawapannya akan terus sama,” kata Umie.
Pun begitu kemudiannya, ibu kepada dua anak angkat yang masing-masing berusia 14 dan 13 tahun, Mohd. Daniel Firdaus dan Mohd. Dzulhelmy mengakui hatinya sudah dipunya.
“Terus terang saya cakap, saya sudah berpunya,” katanya sambil tersenyum manja. Namun saat cuba menyelongkar siapakah yang bertuah yang bertakhta di hatinya, Umie tanpa mahu memberikan penjelasan lanjut hanya memberitahu bahawa ia terlalu peribadi untuk diperkatakan apalagi untuk dikongsi bersama.
Lalu benarlah kerana hati sedang berbunga bahagia maka tempiasnya hadir pada penampilannya kini yang lebih indah seindah bunga yang sedang mekar.
“Sudah tentu, ditambah dengan kematangan saya untuk tampil bergaya. Dalam usia begini yang kita juga sudah selesa dengan tubuh sendiri, pasti kita semakin yakin untuk bergaya apa sahaja yang tentunya lebih berunsurkan kewanitaan,” tambahnya yang turut gemar bersenam membuatkan dia berasa lebih berkeyakinan dengan penampilan kewanitaannya.
* Penuhi rohani
Tahun 2008 sudah pun hampir seminggu dijejaki dan tentunya setiap daripada kita menjadikan resolusi tahun baru sebagai satu landasan menempuh satu kehidupan yang lebih cemerlang.
Sedang berbahagia dengan dunianya, Umie yang sudah 16 tahun bergelar anak seni juga tidak melupakan aspek kerohanian malah mahu memperkukuhkannya.
“Kalau boleh saya mahu lebih bertanggungjawab dan memperbaiki dalaman diri. Maksud saya dalam soal-soal fardu. Kalau boleh biarlah saya tidak lagi lalai melakukannya,” kata Umie.
Di samping itu, aktres ini juga mahu mengubah sikapnya kepada satu sikap yang lebih terbuka dan tidak bermain dengan teka-teki seperti sebelum ini.
“kalau dulu bila ditanya saya selalu bagi jawapan samar tapi sekarang saya mahu bersikap terbuka dan terus jawab straight to the point.
“Tak mahu rahsia-rahsia dan misteri lagi. Saya nak perbaiki diri supaya lebih berani menyuarakan apa yang difikirkan,” tegasnya.
Bakal muncul dengan dua buah filem sebagai pembuka tirai 2008, Umie bergandingan dengan Rosyam Nor untuk filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid dan filem Cuci, arahan Hans Isaac.
Kala Malam Bulan Mengambang yang bakal ditayangkan kepada umum pada 10 Januari ini, Umie menjayakan watak Che Putih, seorang wanita misteri.
Sementara Cuci, lakonannya sebagai setiausaha kepada Erra Fazira akan ditayangkan kepada khalayak pada 23 Januari ini.
Turut menanti ialah filem Dukun yang masih belum dapat dipastikan bilakah akan ditayangkan namun Umie mengakui amat teruja untuk menanti reaksi daripada para peminatnya. Menjelang akhir bulan ini, Umie akan sibuk kembali di lokasi penggambaran untuk projek terbaru Aziz M. Osman.
Slot baru untuk tayangan TV3 berjudul Vice Verse itu bakal dijayakan bersama Hans Isaac, Nor Aliah Lee, Abby Abadi dan Bront. Ia sebuah drama ringan tentang kehidupan tiga perempuan dengan tiga lelaki.
Jika tiada aral, Umie juga bakal digandingkan sekali lagi bersama Rosyam Nor untuk slot Samarinda.
“Umie suka ceritanya. Tentang seorang wanita berkerjaya yang berdepan dengan suka duka kehidupannya,” jelas Umie yang terakhir muncul untuk drama Samarinda Kerana Cintaku Saerah pada Ramadan lalu.
* Keinginan Umie
Apalagi yang dimahukan oleh seorang Umie Aida kerana segala-galanya sudah dicapai. Bergelar aktres, dia sudah diangkat sebagai yang terbaik tidak sahaja filem tetapi juga drama. Lalu apa lagi yang diingininya?
“Saya idamkan watak yang mampu berdiri. Kita sebagai pelakon hanya membawa dan menghalakannya sahaja untuk menyerlahkan lagi watak itu.
“Saya tidak kisah watak kecil atau besar. Yang penting mampu memberi impak. Pun begitu watak begini sukar diperoleh,” katanya.
Lalu mengapa tidak sahaja dia menerbitkan sendiri drama atau filem yang punya karakter yang kuat kerana dia sendiri punya rumah produksi, Amazon Entertainment Production Sdn. Bhd. dan pernah pula berpengalaman menerbit sebuah filem komedi, Diva Popular, arahan kakaknya, Erma Fatima.
Umie ada alasannya. Bukan kerana kutipan tiket yang kurang memberangsangkan yang menyebabkan Umie tidak mahu menghasilkan filem lagi.
Sebaliknya dia masih belum mahu menanggung risiko seandainya hanya menerbitkan sebuah filem setahun berbanding jika dia berkeupayaan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya tiga projek setahun.
“Tidak mahu menjalankan perniagaan ini. Risikonya besar. Lagi pula kita tidak tahu apa keinginan khalayak. Jadi lebih baik saya ‘rehatkan diri’ dahulu.
“Biarlah saya terus berlakon. Bila saya sudah bersedia untuk kembali ke arena penerbitan, saya akan kembali dengan produk yang menjanjikan pulangan yang memberangsangkan,” katanya.
Powered by Utusan Malaysia
Aksi Hikayat Putera Shazlan
Oleh SUBASHINI RAJANDRA

Anak wayang yang cilik
KETIKA adik-adik kita bersiap-sedia untuk memulakan sesi persekolahan tahun 2008, lima kanak-kanak ini sibuk “berlakon” di sebuah taman permainan di Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Mereka tidak mengeluh berjemur di bawah matahari sekalipun ia merupakan hari pertama permulaan tahun baru.
ΐKan lebih bagus kalau tidur di rumah? saya ajukan persoalan untuk mengetahui isi hati si kecil yang sudah siap berpakaian seperti seorang ahli silap mata. Cuma ahli silap mata ini nampak lebih comel dalam kostum serba hitam dan diikat dengan selendang labuh berwarna merah jambu di belakang leher. Kononnya, ala-ala superman!
ΐSaya tak suka tidur. Lagipun, saya tidak mudah penat dan seronok dapat bermain dengan kawan-kawan, ujar Farhana Qismina Supandi yang membahasakan dirinya sebagai “Sweet”.
Sweet sebenarnya gelaran yang diberikan kepada Farhana selepas dia mula aktif berlakon. Rakan sepasukan yang mengerumuninya ternyata suka dengan gelak ketawa Farhana yang unik. ΐCuba dengar ketawanya, sampuk Nasiruddin Nasir, seorang lagi pelakon kanak-kanak yang memegang watak sampingan dalam rancangan televisyen yang bertajuk Hikayat Putera Shazlan.
Disiarkan setiap hari Ahad pada pukul 3 petang di Astro Ceria, Hikayat Putera Shazlan mengupas kisah seorang budak yang menjadi yatim piatu selepas kematian kedua-dua ibu bapa. Dia yang tinggal dengan seorang mak cik, pak cik dan anak perempuannya, terjumpa sebuah buku yang diwasiatkan oleh ibu bapanya. Buku itu, pada hakikatnya adalah sebuah naskhah yang mempunyai kuasa magis dan berupaya untuk memberi objek-objek ajaib seperti topi, periuk, jam, tali pinggang karate dan sebagainya.
Berkonsepkan sebuah drama komedi kanak-kanak, siri ini baru sahaja memasuki musim pertama yang mengandungi 26 episod. Pada minggu lalu, episod kelima telah disiarkan dan kini, pengarahnya, P. Prem Anand Pillai, 27, sibuk membuat rakaman untuk episod 12 hingga 20.
Drama ini banyak mengutarakan mesej-mesej yang bersifat positif, membina dan mendidik penonton untuk menanamkan sifat-sifat yang murni sambil berhibur dengan lawak jenaka yang diselitkan menerusi watak pelakon-pelakon cilik ini.
Pemilihan pelakon cilik ini telah berlangsung sejak lewat tahun lalu apabila beberapa pusingan sesi uji bakat diadakan di Filmscape Sdn. Bhd. di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Dari situ, kesemua pelakon-pelakon cilik ini dipilih berdasarkan kepada kepetahan berbahasa Melayu dan kebolehan berlakon secara semula jadi.

Kesemua pelakon cilik ini dipilih berdasarkan kepada kepetahan berbahasa Melayu dan kebolehan berlakon secara semula jadi.
Hasilnya, watak terpenting iaitu Shazlan jatuh kepada Shafimie Saedon, 10, dari Kota Damansara, watak Aaron dipegang oleh Chan Qi Feng, 12, dari Subang Jaya, watak Sathiya dilakonkan oleh Nasiruddin Nasir, 11, dari Kampung Pandan, watak Lydia dipegang oleh Ili Mariah Mohd. Sharif, 12, dari Subang Jaya dan sudah tentu Farhana sebagai Fasha dari Kampung Baru.
Shafimie dan Nasiruddin mengenali satu sama lain sejak berlakon dalam drama, Malam Tujuh Likur. ΐBerbanding dengan kakak saya, saya gemar menari dan berlakon, ungkap Nasiruddin yang nampak kelakar apabila cuba menghidupkan lakonannya menari bersama Aaron sambil menghumbankan dirinya ke kiri dan kanan.
Nasiruddin mula aktif semasa berusia enam tahun apabila dia menyertai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian untuk menjayakan filem Tentang Bulan dan terbaru, Brain Scan yang bakal ditayangkan pada tahun ini.
Sejauh mana pun minat berlakon dalam program televisyen dan juga teater seperti Tasik Chini, Nasiruddin mengaku dirinya tidak pernah lalai mengikuti pelajaran di sekolah. Lagipun, dia memastikan agar pembahagian masanya adalah seimbang dan aktiviti berlakon dilakukan pada masa lapang atau di musim cuti sekolah.
Memandangkan dia agak bertuah kerana mendapat pendedahan di kedua-dua layar kaca dan di pentas, Nasiruddin pantas melahirkan rasa teruja berlakon di atas pentas berbanding program televisyen. ΐKalau program TV, selalu ada cut cut. Kena ulang (lakon) banyak kali. Kalau di atas pentas, terus lakon seperti yang dilatih, katanya beria-ria.
Seperti Sathiya dalam Hikayat Putera Shazlan, Nasiruddin juga kuat makan. Dia tidak malu untuk mengakunya. Mengenai masa depan, katanya, dia teringin menjadi seorang penyampai radio sehebat Farah Fauzana dan Faizal Ismail dari Hot FM. Jika tidak, dia hendak menjadi seorang arkitek termasyhur atau seorang pengawai polis yang berdedikasi. ΐSaya suka tugas-tugas yang mencabar, jelasnya yang tidak menunjukkan niat kekal menjadi seorang pelakon sepenuh masa.
Sungguhpun masih mentah dan ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengalaman berlakon di hadapan lensa kamera, namun, kanak-kanak ini pandai bersikap “profesional”. Seperti orang dewasa, mereka memberi komitmen yang terbaik dan memastikan tidak mendukacitakan daddy (rujukan yang diberi oleh kanak-kanak ini kepada Prem).
Shafimie mungkin yang paling muda dalam kumpulan ini dan memegang watak utama, namun, dia tetap menunjukkan kesopanan apabila mencari ruang untuk menjenguk dan sempat bersalam walau sesibuk mana pun perlu berlatih. Apabila Prem menyuruh mereka berehat minum petang, Shafimie, dengan sifat keanak-anakkannya yang tebal leka bermain domino dengan seorang “kakak” dari krew penggambaran.
Qi Feng yang pertama kali berjinak dalam dunia lakonan, tidak merasakan dirinya popular. Mengapa? Jawapannya ialah setakat ini dia belum menerima panggilan telefon dari kawan-kawan. Begitupun, Qi Feng tidak menyangkal hidupnya sedikit berubah. ΐSekarang saya kena belajar lebih masa agak tidak tercicir dalam pendidikan, katanya yang sememangnya aktif menyertai pertandingan menari dan syarahan.
Farhana dan Ili Mariah pula dilihat penulis cukup serasi. Di samping mempunyai pengalaman berlakon dan saling melengkapi satu sama lain dalam penceritaan Hikayat Putera Shazlan, mereka berkongsi pendapat yang sama terhadap daddy yang digambarkan sebagai mesra kanak-kanak.
ΐDia tak marah tapi bagi arahan secara tegas dan jelas. Dia layan kami seperti kanak-kanak dan kadangkala bermain UNO dengan kami. Dia yang selalu menang tapi adalah sesekali bagi kami menang, luah Ili Mariah sambil dipersetujui oleh Farhana.
ΐAda masanya kami terpaksa balik lepas pukul 12 malam tetapi tak rasa penat. Seronok sampai tak sedar masa berlalu,ujarnya.
Dalam realiti, Ili Mariah aktif dalam sukan lumba lari, lompat jauh dan lompat tinggi. Selain itu, dia membuat penampilan dalam pementasan Bunga Raya manakala Farhana berlakon dalam Manjalara, Kasih dari Syurga dan Kasih Suci.
ABBY menerima didikan Prem
Sementara itu, Prem sebagai seorang pengarah yang cukup berpengalaman melalui arahan drama Manjalara, Jojo’s Ticket to Wellbeing, Doop dan lain-lain, melihat pembikinan drama Hikayat Putera Shazlan sebagai satu cabaran baru.
Sebelum ini, dia tidak pernah bekerja dengan kumpulan pelakon yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak. Penggunaan efek juga ditingkatkan untuk menyampaikan visual secara berkesan.
ΐSetakat ini, tak ada masalah dan penggambaran berjalan dengan lancar. Kami biasanya berkumpul di rumah Shazlan yang terletak di Ampang untuk rakaman indoor dan keluar ke lokasi pada hari-hari tertentu, katanya yang gembira kerana drama ini tercatat dalam senarai 10 program televisyen terhangat di antara rancangan-rancangan tempatan yang disiarkan di Astro.
Turut menjayakan lakonan ini ialah pelakon popular drama bekas Gerak Khas, Abby Abadi, 30, yang menjadi Mak Som atau ibu kepada watak yang dibawa oleh Farhana dan Fasha. Katanya: ΐDalam drama ini, saya adalah mak cik Shazlan yang jahat. Suka marah-marah tapi tak marah macam dalam drama lain. Marah seperti kartun, main-main sikit.
ΐSeronok juga berlakon dengan kanak-kanak ini. Saya selalu buat homework, berlatih menghafal skrip dan imbangkan dengan lakonan si kecil, katanya yang percaya tidak sesuai membawa watak “penggoda”.
Powered by Kosmo
Juliana Rindu Nasi Lemak
Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

JULIANA Sophie Johari Evans
JULIANA Sophie Johari Evans yang bakal berusia 19 tahun pada tahun ini, merupakan antara pelakon dan pengacara yang sedang meningkat naik.
Tugas sebagai pengacara Remaja yang disiarkan di saluran TV3 pada setiap hari Sabtu, pukul 1 petang, merupakan satu tugas yang begitu menyeronokkannya.
Gandingannya bersama bekas finalis, One In a Million musim pertama, Muhammad Alif Mohd Satar (Alif) tampak serasi. Ini sekali gus membuktikan bahawa pasangan remaja ini selesa mengendalikan rancangan yang bersesuaian dengan jiwa remaja mereka.
Walaupun tahun 2007 sudah melabuhkan tirai, namun anak kacukan Melayu sebelah ibu dan Inggeris di sebelah bapanya, masih terkenangkan pelbagai peristiwa manis yang dikecapi sepanjang tahun tersebut.
Juliana yang gemar membahasakan dirinya Jue, tidak pernah menyangka cubaan pertamanya melibatkan diri dalam lakonan drama Kami, membuahkan hasil dan mendapat sambutan daripada para penonton.
Memegang watak sebagai Sophie, Juliana menyifatkan bahawa karakternya di dalam drama, hampir sama dengan keperibadiannya yang sebenar.
ΐItulah diri saya. Sifat sensitif, kasih sayang dalam persahabatan, ceria dan serius ketika melakukan tugasan cukup dekat dengan diri saya. Berlakon di samping pelakon remaja lain seperti Nas-t, Ani Zayanah, Ezany dan Liyana Jasmay memberikan pengalaman baru dan sungguh menakjubkan.
ΐSaya juga tidak menyangka bahawa drama Kami mampu menambat hati penonton, terutamanya golongan remaja yang meminati muzik underground dan suka menyaksikan gig, jelas bekas pelajar Sekolah Sri Kuala Lumpur, Subang dan Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam, ketika ditemui KOSMO! di Studio Utusan Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jue yang kini sedang menuntut dalam ijazah Program Amerika di Institut Help, Damansara, Kuala Lumpur, berazam sempena tahun 2008 ini, dia ingin mengembangkan bidang pengacaraan dan meningkatkan mutu lakonannya.

Ketika ditanya, sejak bila mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan, Jue yang memiliki berat badan 45 kilogram berkata: ΐSejak umur 12 tahun, saya mula menjadi hos bagi rancangan E-Zone yang disiarkan di Astro Ria dan meningkat umur 16 tahun, saya dilamar pula sebagai pengacara program Remaja.
ΐNamun begitu apabila berusia 17 tahun, saya berhenti menjadi pengacara kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Alhamdullillah khidmat pengacaraan saya bersama Remaja kembali semula pada tahun ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai bidang pengacaraan, Jue memasang impian untuk mengacara program yang berbentuk pengembaraan. Ini kerana Jue ingin mempelajari budaya asing, mengetahui sejarah dan mengenali keistimewaan yang terdapat di negeri atau negara yang dikunjungi.
Mengimbas kembali saat mengacarakan hos E-Zone, Jue berasa gembira kerana program tersebut telah membawanya ke seluruh negeri di Malaysia. Antaranya, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.
ΐSabah dan Sarawak bukan sahaja terkenal dengan pelbagai kebudayaan, tradisi dan keindahan tempatnya malah sifat mesra dan menghormati para tetamu, turut menambat hati saya, ujarnya yang pernah mengunjungi negara luar seperti England, Korea, Indonesia, Thailand dan Jepun.
Di sebalik keghairahannya mengembara ke luar negara, jauh di sudut hatinya, dia masih menyanjungi tanah airnya sendiri. Ini terbukti apabila Jue yang mempunyai ketinggian 162 sentimeter menceritakan kerinduannya terhadap Malaysia ketika menyertai program pertukaran pelajar ke Jepun.
Menetap di negara Jepun selama 10 hari dan setiap hari disajikan hidangan sushi, telah menyebabkan hatinya bergelodak untuk segera pulang ke Malaysia kerana ingin menikmati hidangan nasi lemak.
ΐBegitu juga ketika berada di Indonesia dalam tempoh yang lama. Dek kerana setiap hari menikmati nasi padang, membuatkan saya kurang selera makan. Setibanya di Malaysia, perkara pertama yang saya lakukan adalah membeli nasi lemak, katanya yang begitu mementingkan kesihatan dan suka menggenakan solekan nipis.
Jika remaja wanita sepertinya gemar mengumpul aksesori, kasut mahupun beg tangan, Jue pula sebaliknya. Kerjaya bapanya sebagai jurugambar separuh masa telah menyebabkan Jue, meminati mengumpul gambar yang cantik dan memberikan kenangan.
Gambar-gambarnya sewaktu kecil hinggalah meningkat dewasa akan digunting, dikumpul dan ditampal dalam sebuah buku skrap. ΐHobi ini akan membuatkan saya sentiasa mengingati peristiwa indah yang dilalui bersama keluarga dan rakan-rakan, kata anak bongsu daripada tiga orang adik beradik.
TRIVIA
Buku kegemaran: Mengenai kasih sayang, perhubungan dan kehidupan.
Percutian idaman: Los Angeles, Mesir dan Mexico.
Filem kegemaran sepanjang masa: Genre ngeri.
Program televisyen yang digemari: Drama KAMI
Masa yang dinanti- nantikan: Mengharungi kehidupan di Amerika Syarikat.
Saya tidak suka: Lipas.
Idola yang paling disanjungi: Pengacara Asha Gill.
Powered by Kosmo