Skip to content

Archive for February 2008

29
Feb

‘Brad’ Pulang Ke Pangkuan Fasha



KUALA LUMPUR – Kucing kesayangan Fasha Sandha Hasan, 24, yang dicuri dari kediamannya di Ampang, Ahad lalu selamat dipulangkan ke pangkuannya malam tadi.

FASHA SANDHA

Menurut Fasha, ‘Brad’ nama kucing yang dibeli dengan harga RM2,000 tiga tahun lalu dihantar sendiri oleh empat lelaki yang mencuri kucing tersebut pada pukul 9.50 malam.

“Empat lelaki berumur 20 hingga 30 tahun memohon maaf dan memberitahu mereka telah insaf dengan apa yang dilakukan mereka,” kata Fasha.

Katanya, beliau ditemani ahli keluarganya telah meluangkan masa kira-kira sejam bersama empat lelaki terbabit bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Berikutan itu, Fasha memberitahu, beliau telah memaafkan keempat-empat lelaki itu yang juga merupakan jirannya.

“Saya maafkan kesemua mereka dengan ikhlas hati saya dan terima kasih juga kepada media yang menyiarkan kehilangan ‘Brad’,” katanya.

Ditanya niat empat lelaki itu mencuri ‘Brad’, Fasha memberitahu, mereka sebenar memang berniat mengambil kucing tersebut, tetapi tiba-tiba mereka merasa takut setelah berita kehilangan ‘Brad’ disiar secara meluas.

Selain itu, katanya, keempat-empat lelaki itu juga menjadi lebih takut apabila mengetahui rumah teres dua tingkat miliknya dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Akhbar semalam melaporkan, kucing Fasha hilang selepas rumahnya diceroboh empat lelaki menunggang motosikal Ahad lalu.

Powered by Kosmo

28
Feb

Pushpa Di Alam Rumah Tangga

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT


LAMA berehat selepas berkahwin, Puspha kini rindukan lokasi penggambaran.

TIDAK pandai memasak bukan lagi alasan untuk tidak berkahwin! Itu luahan pertama yang tercetus dari bibir pengacara, model serta pelakon bukan Melayu popular, Pushpa Narayan yang tidak lokek berkongsi alam baru yang sedang diterokainya ketika ini.

Mendirikan rumah tangga memang sukar jika semuanya perlu sempurna tetapi jika ada persefahaman antara dua jiwa yang baru bersatu dengan tali pernikahan, semuanya akan okey.

STATUS isteri bukan satu beban buat Puspha tetapi menganggap peluang untuknya belajar dan mematangkan diri.

“Sebelum berkahwin, saya langsung tidak pandai dan tidak ada alasan untuk memasak. Jika pulang ke kampung dan bersama keluarga, semuanya disediakan oleh ibu dan kakak-kakak saya.

“Tetapi sekarang, barulah saya faham. Menyediakan makanan untuk suami merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan rasa sangat dihargai jika makanan itu dinikmati seadanya bersama-sama,” luah Pushpa menceritakan pengalamannya, baru tiga bulan bergelar isteri.

Ada juga teman-teman yang tergelak dan merasa pelik dengan rutin harian yang sedang dilalui Pushpa.

“Jika saya katakan kepada mereka bahawa saya sedang memasak, pasti mereka terkejut. Maklumlah, selama ini saya tidak pernah ke dapur dan tidak tahu memasak,” beritahu Pushpa sambil ketawa.

Dia bernasib baik kerana lelaki bernama Richard Frederick Robless, 39, yang kini bergelar suaminya, tidak pernah cerewet dan tidak memilih apa yang hendak disuapkan ke mulut.

“Saya juga tidak perlu menjauhi makanan berkari kerana dia juga gemarkan makanan India. Kadang-kadang kami akan masak bersama-sama,” jelas Pushpa penuh keceriaan.

Nyata, perkahwinan bersama lelaki 10 tahun lebih matang darinya pada November 2007 ini membawa bahagia yang tidak ternilai buat Pushpa.

Pada sambutan Hari Kekasih 14 Februari lalu, Pushpa dan Richard tidak ketinggalan meraikannya bersama. Tidak keluar makan di restoran lima bintang, Pushpa dan Richard sebaliknya memilih untuk makan malam berdua di rumah bertemankan redup cahaya lilin.

Memanjangkan butir bicara, soal komitmen dan cahayamata menjadi topik.

“Saya sedang biasakan diri dengan status isteri. Lucunya, saya masih kekok apabila diperkenalkan sebagai isteri oleh Richard, begitu juga apabila saya bercerita dengan teman-teman.

“Seronok apabila hidup bersama sebagai suami isteri tetapi saya sedar, isteri bukan sekadar satu status bahkan lebih daripada itu. Buat masa ini, saya sedang belajar, masih terlalu banyak benda baru yang harus kami tempuhi.

“Tentang anak, kami tidak mahu tunggu terlalu lama. Boleh dikatakan kami sudah bersedia kerana segala-galanya telah lengkap,” jawap Puspha yang terlalu rindukan lokasi penggambaran setelah lebih empat bulan berehat kerana sibuk dengan urusan perkahwinan.

Menyambung konflik Elly

Muncul semula menerusi drama bersiri Elly musim kedua yang disiarkan setiap Jumaat pukul 8.30 malam di ntv7, Puspha mahu penerbit dan mana-mana pengarah tahu, dia juga bersedia untuk aktif semula.

PUSHPA (kiri) bersama para pelakon yang membintangi siri TV, Elly.

“Buat masa ini, tiada lagi tawaran filem untuk saya. Mungkin tiada watak yang sesuai agaknya. Mujurlah minggu depan saya akan ke lokasi sebuah telemovie untuk siaran RTM. Dapatlah saya melepaskan rindu,” jelas Pushpa sudah tidak sabar melepaskan kerinduannya beraksi di depan kamera.

Menerusi Elly, Puspha melakonkan watak Latta Dewi, seorang gadis India dari kawasan kampung yang ingin keluar daripada kepompong pemikiran keluarganya di Kedah.

Di Kuala Lumpur, Latta bersahabat dengan Elly lakonan Raja Farah, Latifah (Sherry Ibrahim), Zalia (Nabila Huda Suhaimi) dan Su Fern (Aenie Wong).

“Untuk musim ini, watak Latta Dewi semakin menjadi-jadi. Daripada gadis India tipikal yang ingin bebas daripada kongkongan keluarga, dia menjadi agak keterlaluan dan liar.

“Kerana terpaksa meneruskan hubungan dengan kekasihnya (Raj lakonan Ben AF1) yang sudah merogolnya, hidup Latta Dewi penuh kebencian dan konflik,” luah Puspha yang mewakili generasi wanita India moden tetapi masih menyanjung budaya tradisinya hari ini.

Powered by Kosmo

28
Feb

15,000 Banjiri Surf Beach

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SETIAP sudut Taman Tema Sunway Lagoon terasa begitu sesak dengan cuaca panas terik. Rata-rata pengunjung yang hadir, lelaki dengan hanya bermuda, wanita dengan bikini, seakan tidak sabar menantikan peluncur air bertaraf dunia beraksi dalam Quiksilver Revolution 2.0.

Petang itu, ombak buatan setinggi 8 kaki memberi cabaran kepada jaguh luncur seperti Ry Craike, profesional yang berada di senarai teratas, Troy Brooks dan Josh Kerr, peserta termuda dari Puerto Rico, Dylan Graves serta Wayan ‘Betet’ Merta, anak kelahiran Bali.

Lebih 15,000 pengunjung membanjiri Surf Beach Sunway Lagoon, pantai buatan manusia terbesar di dunia. Angka ini tidak termasuk lebih 50,000 pelawat yang menyaksikan siaran langsung menerusi laman web, www.quiksilver.com.

Tidak cukup bersesak di kawasan pantai buatan manusia terbesar itu, pengunjung membanjiri jambatan gantung sepanjang 428 meter yang merentasi kawasan lagun untuk menyaksikan aksi luncur penuh akrobatik dari jarak dekat.

Juara dunia Aerial dua kali, Josh Kerr (Australia), peluncur profesional yang menempa nama di peringkat antarabangsa tampil membuat kejutan dengan aksi menakjubkan pengunjung yang hadir seawal jam 1 tengah hari.

Kemahiran teknikal Kerr dalam menyempurnakan aksinya seakan kurang mendapat penghargaan, namun tidak pernah gagal menghiburkan penonton.

Seketika kemudian, semua mata terpaku dengan kehebatan bekas juara dunia Aerial, Ry Craike (Australia) dengan aksi luncur yang bagaikan melayang ke udara.

Tory Brook (Victoria) adalah peluncur tunggal yang menampilkan gaya Superman, aksi pelumba motocross yang melepaskan pemegang sambil menyandarkan badan sepenuhnya di atas tempat duduk – tetapi di atas papan luncur.

Wakil Indonesia Wayan ‘Betet” Merta (Bali) dan Dylan Graves (Puerto Rico) tidak mahu kalah apabila kelihatan seakan terbang dalam gelombang ombak buatan dibantu dengan kelajuan jet ski.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai program interaktif, termasuk mengikuti klinik meluncur atau menyertai undian memilih peluncur air terbaik berdasarkan aksi masing-masing.

Peminat papan luncur juga berpeluang mengikuti bengkel percuma, selain melihat aksi jaguh nombor 13 dunia Sascha Mueller bakal beraksi selain finalis Jaguh Dunia dan X-Games, Renton Millar.

Istimewanya, acara yang bermula jam 1.30 petang hingga 10 malam itu turut menyenaraikan persembahan hiburan membariskan Pop Shuvit, Joe Flizzow dan Futon yang popular di Thailand.

Pengurus Pemasaran Quiksilver Asia Tenggara, Brad Cunningham, berkata Surf Beach Sunway Lagoon dipilih sebagai destinasi luncur terbaik di tengah ibu kota kerana menawarkan cabaran hebat dengan ombak setinggi 8 kaki.

“Walaupun ia hanya pantai buatan manusia, ombak yang menggerunkan itu pasti membuatkan setiap peluncur teruja menonjolkan kebolehan masing-masing, malah kehadiran ribuan penyokong membuatkan Sunway Lagoon begitu unik.

“Daripada kehadiran pengunjung pada Quiksilver Revolution 2.0 tahun lalu, kami yakin sukan luncur air semakin mendapat tempat di negara ini,” katanya.

Powered by Harian Metro

27
Feb

Rentak Senam Lagu Rakyat

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

Aktiviti senaman sebegini bukan sekadar mahu meningkatkan tahap kecergasan setiap lapisan masyarakat, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan taulan.


SENAMAN ini digerakkan dengan tarian Inang Masri, Zapin Sarah, Asli Sewang, tarian Cina dan India yang disulami dengan muzik menyegarkan.

PAGI itu, ruang angkasa di Dataran Merdeka berkumandang dengan lagu-lagu tradisional. Mungkin terasa sedikit pelik apabila irama itu dilaungkan pada awal pagi ketika majoriti warga kota masih lena diulit mimpi.

Muzik itu kedengaran begitu kuat, disalurkan menerusi beberapa pembesar suara gergasi yang pasti membuatkan mata yang mengantuk akan menjadi segar serta merta.

Di atas padang yang masih basah dengan embun pagi, ribuan manusia berbaris dan mengambil kedudukan masing-masing. Dengan penuh semangat, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan tertentu yang dapat ditentukan menerusi warna-warna yang ada pada bendera Malaysia, apa lagi kalau bukan merah, biru, kuning dan putih.

Aktiviti senaman sebegini bukan sekadar mahu meningkatkan tahap kecergasan setiap lapisan masyarakat, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan rakan taulan.

Mahu menjadikan aktiviti senaman seperti senamrobik yang selama ini sering dikonotasikan dengan muzik-muzik rancak lebih menarik, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) mengambil pendekatan berbeza dan kreatif menerusi pengenalan program yang diberi nama Senam Seni Malaysia.

Mengetengahkan kepelbagaian bentuk tarian dan seni mempertahankan diri yang ada pada akar budaya rakyat Malaysia, keunikan seni ini dijadikan sebagai muzik latar dan gerak asas dalam senamrobik.

Senam Seni Malaysia ini didasari oleh lagu-lagu rakyat Malaysia. Mengambil durasi selama 27 minit, modul senam seni dimulakan dengan sesi memanaskan badan, sebelum diikuti gerakan regangan, kardiovaskular, penyejukan badan dan berakhir dengan gerakan singkat. Apa yang menariknya ialah setiap sesi ini diselitkan dengan muzik, tarian atau gerakan seni mempertahankan diri yang berbeza.

Pada empat minit pertama iaitu dalam sesi memanaskan badan, setiap peserta Senam Seni dibuai dengan keindahan muzik Zapin Budi dan Joget Rentak 106. Mereka diminta melakukan gerakan tarian Inang, Joget dan Zapin yang dipimpin oleh koreografer berpengalaman.

Awal-awal lagi, sudah ada yang tersalah langkah. Diiringi senyuman dan ketawa kecil, semua peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur cuba untuk mengikut langkah yang ditunjukkan sebaik mungkin.

Semangat setiap peserta semakin melonjak dalam sesi regangan yang dilatari dengan muzik gendang silat selama tiga minit. Mengikut gerak bunga silat yang ringkas, mereka seakan sedang mengikuti latihan silat di sekolah menengah.

Sesi kardiovaskular (aerobik) mengambil masa paling lama dalam modul Senam seni ini, selama 14 minit. Namun, masa itu terasa begitu pantas berlalu apatah lagi apabila senaman yang digerakkan dengan tarian Inang Masri, Zapin Sarah, Asli Sewang, tarian Cina dan India itu disulami dengan muzik menyegarkan.

Antaranya ialah lagu Hati Kama, Zapin Hanuman, Sewang dan Jumbalika. Walaupun ramai yang tidak pernah mendengar lagu-lagu rakyat ini (kecuali lagu Hati Kama nyanyian Datuk Siti Nurhaliza), ia tidak menjadi penghalang untuk mereka terus menari sambil mengelap penuh yang mula mengalir.

Senamrobik penuh berseni ini diakhiri dengan sesi menyejukkan badan selama tiga minit. Ruang masa ini diisi dengan muzik daripada lagu etnik Sabah dan Sarawak seperti Sape Kame’. Ketika ini, semua peserta mula menarik nafas lega kerana ia menandakan senamrobik bakal berakhir.

Tetapi, sebelum mereka dibenarkan berehat, para peserta perlu mengikut rentak dan gerak yang diambil daripada pergerakan tarian Datun Jalud, Sumazau, Manganutip, Mengiluk serta gabungan gerakan seni bela diri.

Biarpun agak memenatkan, kesemua peserta nampaknya begitu gembira mengikuti segala gerak tubuh koreografer senamrobik tanpa banyak masalah.


SENAMROBIK penuh berseni ini diakhiri dengan sesi menyejukkan badan selama tiga minit.

Sebenarnya, Senam Seni Malaysia ini bertitik tolak daripada aktiviti hampir sama yang diadakan di Laman Seni KL (LSKL) pada tahun 2005 dan 2006. Diilhamkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Senam Seni Malaysia ini turut mendapat kerjasama daripada Istana Budaya serta Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Kecergasan Kebangsaan (NFC).

Kemeriahan Senam Seni yang bertemakan ‘Kekal Sihat Ala Malaysia’ ini tambah terasa dengan penglibatan beberapa ‘orang kuat’ kementerian termasuklah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA), Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Dalam ucapannya, Rais menyatakan bahawa Senam Seni Malaysia membawa erti yang besar dalam usaha KeKKWA mendukung warisan seni negara, selain menandakan anjakan seni budaya pada sudut berbeza.

“Ilham mengadaptasi seni tarian dan seni bela diri masyarakat Malaysia dalam senaman mampu menjadi pemangkin usaha mengekalkan warisan bangsa. Sebabnya, pengisian senamrobik ini merangkumi semua tarian tradisi masyarakat berbilang kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak.

“Senam Seni Malaysia harus dilihat sebagai titian dalam menjalin hubungan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbeza latar budaya dan agama,” katanya penuh semangat.

Disertai oleh kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kategori seperti pihak berkuasa tempatan, kementerian-kementerian, syarikat korporat dan banyak lagi, penganjuran kali ini dilihat begitu berjaya.

Kepada mereka yang terlepas peluang, tidak perlu bimbang kerana aktiviti ini tidak mustahil akan diluaskan kepada khalayak dan diadakan di negeri-negeri lain.

Kosmo

22
Feb

Bahang Hari Jadi Hot FM

Oleh JESSABELL SOO


PARA artis dan penyampai Hot FM yang bakal menghiburkan pendengar.

TIADA cara lain yang lebih baik untuk menyambut ulang tahun kedua stesen radio Hot FM selain daripada konsert khas buat pendengar yang menyokong mereka selama ini.

Bakal berlangsung esok di Dataran Petaling Jaya, seawal 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, konsert akan bermula dari pukul 4 petang.

Selain dihangatkan dengan kehadiran 24 penyanyi solo dan berkumpulan, Hot FM Big Jam 2008 turut menawarkan karnival, siaran luar Hot FM (pukul 12 tengah hari hingga 4 petang) dan konsertnya pula bermula pukul 4 petang.

Berlangsung di Dataran Shah Alam tahun lalu, lokasi kali ini ditukar kerana Hot FM menjangkakan kehadiran lebih ramai pendengar dengan bertemankan sembilan penyampai Hot FM, Fara Fauzana, Faizal Ismail, Azura, Fiqrie, Leya, AG, Anne, Tini dan Ikhwan.

“Tahun lalu kami menerima kunjungan lebih 15,000 pendengar dan tempat itu terlalu kecil. Maka tahun ini, kami memilih untuk mengadakannya konsert di Dataran Petaling Jaya,” kata Azura ketika ditemui di studio Utusan.

Mahu menghiburkan pendengar dengan muzik tanpa henti, konsert percuma ini memilih artis yang sedang meletup di stesen radio tersebut.

“Disebabkan ramai artis yang akan membuat persembahan, kami hanya akan menyampaikan dua buah lagu dan lagu tersebut adalah pilihan Hot FM,” jelas vokalis kumpulan Kristal, Lan.

Selain pemuzik tempatan, pendengar yang hadir juga akan dihiburkan dengan kumpulan popular dari sebarang, Ungu di penghujung konsert.

“Menurut penyelidikan kami, ramai yang meminati kumpulan Ungu. Jadi itu salah satu sebab mengapa kami membawa mereka untuk menghiburkan pendengar setia Hot FM.

“Ungu akan mendapat masa selama setengah jam dan Hujan serta Meet Uncle Hussein akan menghiburkan peminat selama 15 minit. Manakala penyanyi lain hanya diberi slot selama 10 minit,” kata Eksekutif Promosi Rangkaian Hot FM, Khairina Khiradin.

Sambutan ulang tahun kedua ini akan dimeriahkan dengan suara Ahli Fiqir, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim, Fiq (Mentor) Mila, Nurul, Adibah Nor, Nitrus, Jinbara, Adam (AF), Ramlah Ram, Misha Omar, Jaclyn Victor, Elyana, New Boyz, Sofaz, Aku dan Andy Flop Poppy.

“Ini merupakan kali kedua kami menyertai konsert Hot FM. Namun, kali ini kami akan menghiburkan peminat dengan lagu dari album baru kami,” jelas vokalis Sofaz, Amir.

Bagi kumpulan Aku yang pertama kali akan menjalankan persembahan di khalayak ramai, mereka tidak sabar untuk melihat respons orang ramai.

“Kami jarang diberi peluang untuk menjalankan persembahan besar dan konsert kali dapat membantu mempromosikan kumpulan Aku,” kata vokalisnya, Yus.

Pernah bekerjasama semasa konsert Nite Jam Hot FM di Pulau Pinang tahun lalu, kumpulan New Boyz sekali lagi akan menghiburkan pendengar Hot FM.

“Selepas menjalankan persembahan di Pulau Pinang, kami menerima respons yang baik. Contohnya, banyak lagu kami yang tidak diketahui ramai tetapi selepas persembahan, kami lebih dikenali,” jelas Tomok mewakili New Boyz.

Powered by Kosmo