Pushpa Di Alam Rumah Tangga
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

LAMA berehat selepas berkahwin, Puspha kini rindukan lokasi penggambaran.
TIDAK pandai memasak bukan lagi alasan untuk tidak berkahwin! Itu luahan pertama yang tercetus dari bibir pengacara, model serta pelakon bukan Melayu popular, Pushpa Narayan yang tidak lokek berkongsi alam baru yang sedang diterokainya ketika ini.
Mendirikan rumah tangga memang sukar jika semuanya perlu sempurna tetapi jika ada persefahaman antara dua jiwa yang baru bersatu dengan tali pernikahan, semuanya akan okey.
STATUS isteri bukan satu beban buat Puspha tetapi menganggap peluang untuknya belajar dan mematangkan diri.
“Sebelum berkahwin, saya langsung tidak pandai dan tidak ada alasan untuk memasak. Jika pulang ke kampung dan bersama keluarga, semuanya disediakan oleh ibu dan kakak-kakak saya.
“Tetapi sekarang, barulah saya faham. Menyediakan makanan untuk suami merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan rasa sangat dihargai jika makanan itu dinikmati seadanya bersama-sama,” luah Pushpa menceritakan pengalamannya, baru tiga bulan bergelar isteri.
Ada juga teman-teman yang tergelak dan merasa pelik dengan rutin harian yang sedang dilalui Pushpa.
“Jika saya katakan kepada mereka bahawa saya sedang memasak, pasti mereka terkejut. Maklumlah, selama ini saya tidak pernah ke dapur dan tidak tahu memasak,” beritahu Pushpa sambil ketawa.
Dia bernasib baik kerana lelaki bernama Richard Frederick Robless, 39, yang kini bergelar suaminya, tidak pernah cerewet dan tidak memilih apa yang hendak disuapkan ke mulut.
“Saya juga tidak perlu menjauhi makanan berkari kerana dia juga gemarkan makanan India. Kadang-kadang kami akan masak bersama-sama,” jelas Pushpa penuh keceriaan.
Nyata, perkahwinan bersama lelaki 10 tahun lebih matang darinya pada November 2007 ini membawa bahagia yang tidak ternilai buat Pushpa.
Pada sambutan Hari Kekasih 14 Februari lalu, Pushpa dan Richard tidak ketinggalan meraikannya bersama. Tidak keluar makan di restoran lima bintang, Pushpa dan Richard sebaliknya memilih untuk makan malam berdua di rumah bertemankan redup cahaya lilin.
Memanjangkan butir bicara, soal komitmen dan cahayamata menjadi topik.
“Saya sedang biasakan diri dengan status isteri. Lucunya, saya masih kekok apabila diperkenalkan sebagai isteri oleh Richard, begitu juga apabila saya bercerita dengan teman-teman.
“Seronok apabila hidup bersama sebagai suami isteri tetapi saya sedar, isteri bukan sekadar satu status bahkan lebih daripada itu. Buat masa ini, saya sedang belajar, masih terlalu banyak benda baru yang harus kami tempuhi.
“Tentang anak, kami tidak mahu tunggu terlalu lama. Boleh dikatakan kami sudah bersedia kerana segala-galanya telah lengkap,” jawap Puspha yang terlalu rindukan lokasi penggambaran setelah lebih empat bulan berehat kerana sibuk dengan urusan perkahwinan.
Menyambung konflik Elly
Muncul semula menerusi drama bersiri Elly musim kedua yang disiarkan setiap Jumaat pukul 8.30 malam di ntv7, Puspha mahu penerbit dan mana-mana pengarah tahu, dia juga bersedia untuk aktif semula.
PUSHPA (kiri) bersama para pelakon yang membintangi siri TV, Elly.
“Buat masa ini, tiada lagi tawaran filem untuk saya. Mungkin tiada watak yang sesuai agaknya. Mujurlah minggu depan saya akan ke lokasi sebuah telemovie untuk siaran RTM. Dapatlah saya melepaskan rindu,” jelas Pushpa sudah tidak sabar melepaskan kerinduannya beraksi di depan kamera.
Menerusi Elly, Puspha melakonkan watak Latta Dewi, seorang gadis India dari kawasan kampung yang ingin keluar daripada kepompong pemikiran keluarganya di Kedah.
Di Kuala Lumpur, Latta bersahabat dengan Elly lakonan Raja Farah, Latifah (Sherry Ibrahim), Zalia (Nabila Huda Suhaimi) dan Su Fern (Aenie Wong).
“Untuk musim ini, watak Latta Dewi semakin menjadi-jadi. Daripada gadis India tipikal yang ingin bebas daripada kongkongan keluarga, dia menjadi agak keterlaluan dan liar.
“Kerana terpaksa meneruskan hubungan dengan kekasihnya (Raj lakonan Ben AF1) yang sudah merogolnya, hidup Latta Dewi penuh kebencian dan konflik,” luah Puspha yang mewakili generasi wanita India moden tetapi masih menyanjung budaya tradisinya hari ini.
Powered by Kosmo