Skip to content

Archive for February 2008

22
Feb

Lelaki Tampan Bergelar Suami



Oleh FAIZAL SAHARUNI

SIAPA sangka, pertaruhan pelakon kacak dan berbakat besar dari seberang tambak, Aaron Aziz, 32, yang mencipta nama dalam industri lakonan ternyata menguntungkan dirinya.

Senario kemasukan artis luar ke pesisir pantai Malaysia nampaknya sudah menjadi isu ordinari yang tidak harus dipersoalkan lagi.

Bagai menjadi lumrah, rakyat di negara ini tidak pernah mendiskriminasi, malah sering mengalu-alukan kehadiran muka baru di lantai lakonan tempatan.

Lalu, tidak hairanlah kelibat Aaron sentiasa singgah dan bertamu di ruang kaca televisyen dan layar lebar sepanjang empat tahun dia bergelumang sebagai anak seni.

Dari hari ke hari, Aaron terus digilai ramai kerana dia berkebolehan membawakan watak yang diamanah dengan baik dan berkesan di mata audiens.

Atas semangat dan inspirasi yang ditumpahkan sepenuh jiwa dalam arena ini, Aaron pantas menjalani laluan mudah meskipun terdapat persaingan sengit dari pelakon lain.

Bagi pemuda tinggi lampai ini, dia tidak bersetuju jika sesetengah pihak berpendapat Aaron mengukir kemasyhuran dengan cara singkat.

“Kalau hendak tahu, saya melibatkan diri dalam lakonan mulai tahun 2004 dengan mengambil watak sampingan saja.

“Saya sanggup bermula dari bawah demi untuk belajar serta kutip pengalaman semata-mata mengejar impian jadi pelakon.

“Waktu itu, saya tidak kisah walaupun menerima karakter kecil,” ungkap Aaron sewaktu sidang media memperkenalkan dirinya sebagai duta L’OREAL Men Expert di Mutiara Damansara kelmarin.

Menetap di KL

Aaron yang dilahirkan pada 23 Februari 1976 menjelaskan, lewat dua tahun melalui cabaran getir itu, dia mendapat banyak tawaran lakonan dalam produksi tempatan.

Perkembangan seni yang mempamerkan sinaran cerah sekali gus membuatkan Aaron nekad berlakon sepenuh masa dan sanggup berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur.

“Dua tahun lalu, barulah saya nampak peningkatan dalam karier.

“Enggan melakukan kesilapan, saya kaji semula masa depan lakonan di Malaysia dan menimbang taraf kestabilan hidup.

“Setelah berfikir masak-masak, saya ambil keputusan untuk menetap di negara ini dan membawa ahli keluarga bersama.

“Saya ingin pastikan kerjaya saya terus berkembang dan maju di sini,” katanya sambil melampiaskan azam penuh membara di dada.

MENCEBURI dunia lakonan bagi mengembangkan bakat dalam dirinya.

Bukan saingi sesiapa

Dek namanya semakin dijulang tinggi, maka timbul persoalan tentang kemampuan pelakon tempatan sehinggakan rakyat luar dilihat mudah mencurah pasir ke dalam periuk nasi mereka.

Pernah membintangi siri popular, Emil Emilda tahun lalu, Aaron menafikan, dia bukannya mahu menyekat tuah aktor tanah air.

“Saya tahu banyak pelakon berbakat dan terkenal di Malaysia.

“Barangkali pengarah mempunyai pilihan sendiri untuk menentukan pelakon yang akan membintangi drama atau filem mereka.

“Jadi, tiada istilah saya dominasi mereka kerana setiap sutradara ada kegemaran masing-masing.

“Saya tidak merasa soal kerakyatan menjadi penyebab untuk saya tidak meneruskan kerjaya sebagai pelakon di Malaysia,” tegasnya.

Tanpa berselindung, Aaron berkata, dia cukup bertuah kerana diterima dengan baik penduduk di negara ini.

“Saya lihat Malaysia menyediakan banyak peluang lakonan berbanding negara kelahiran saya.

“Tiada salahnya kalau saya ingin menonjolkan bakat dan enggan melepaskan peluang keemasan yang tersedia depan mata.

“Saya terima banyak watak berbeza, malah skop bidang lakonan di Malaysia cukup besar.

“Ramai penggiat seni di sini yang memberi tunjuk ajar dan bantuan demi memperbaiki mutu lakonan saya,” ujar Aaron sambil memanjatkan kesyukuran atas kejayaan memperolehi ‘cinta’ barunya di negara ini.

Tidak sembunyi perkara sebenar

Sudah menjadi perkara klise apabila golongan selebriti suka menguncikan mulut tatkala diaju pertanyaan terhadap status mereka.

AARON mencipta sejarah sebagai lelaki Melayu pertama terpilih menjadi duta L’OREAL.

Berlainan pula bagi Aaron, dia tidak mahu menyembunyikan perkara sebenar dirinya sudah jadi milik wanita bernama Diyana Halit, 26.

“Selepas lima tahun mendirikan rumahtangga, saya dikurniakan dua cahayamata, Danish Anaqi, 4 dan Dwi Ariana, 2.

“Saya percaya rezeki terletak di tangan Tuhan. Dia yang menentukan segala-galanya.

“Buat apa hendak sorok perkara baik. Saya libatkan diri dalam bidang ini pun semata-mata ingin menonjolkan bakat yang ada.

“Bekerja dengan ikhlas dan jujur menjadi prinsip utama apatah lagi saya ada tanggungjawab terhadap keluarga,” ungkapnya.

Gara-gara Eja

Menjadi individu ternama lengkap dengan paras rupa menawan menjadikan Aaron mempunyai peminat sendiri yang rata-ratanya terdiri dari kaum Hawa.

Aaron mengakui, ada waktunya si isteri menerbitkan sikap amarahnya gara-gara Aaron sering ‘disatukan’ dengan ramai pelakon jelita.

“Alhamdulillah, dia seorang yang memahami. Cuma kadang-kala saja dia berasa cemburu bila lihat saya berdampingan dengan aktres lain.

“Isteri pernah melahirkan rasa tidak puas hati sewaktu saya berlakon dengan Eja. Saya dilihat seperti mencium pelakon tinggi lampai itu.

“Saya beri penjelasan kepada dia bagi mengelak kekeliruan yang timbul.

“Ia menggunakan teknik tertentu yang membuat si pelakon kelihatan berkucup walaupun hakikatnya tidak benar sama sekali.

“Setelah diterangkan, baru dia faham keadaan itu,” balasnya sambil tertawa dengan kerenah isteri kesayangannya itu.

Powered by Kosmo

21
Feb

Sherry Dicabar Watak Hitam

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

DI kalangan nama-nama popular yang hampir sebaya dengannya, pendatang baru di persada lakonan tanah air, Sherry Ibrahim, baru hendak menampakkan sirna. Selamat datang buat Sherry kerana industri seni tempatan tidak pernah menolak kelahiran muka-muka baru.

Sungguhpun demikian, bukan populariti tetapi kerja keras adalah terma pertama yang perlu dipatuhi jika diri sudah bersedia menandatangan kontrak sebagai pelakon dalam arus sinema Malaysia.

“Saya sedar saya masih baru, sebab itulah saya tidak mahu terlalu memilih dengan watak yang ditawarkan. Saya mahu melakonkan setiap watak itu sehabis baik,” ucap Sherry saat bertandang ke Studio Utusan bagi sesi promosi siri televisyen lakonannya, Elly yang kini kembali ke musim kedua, dan ditayangkan setiap Jumaat pukul 8.30 malam di ntv7.

SHERRY enggan digelarkan sebagai ‘pelakon watak gedik’.

Berbanding rakan-rakan gandingan lakonannya dalam Elly seperti Nabila Huda Suhaimi, Raja Farah dan Pushpa Narayan, Sherry merasakan dirinya masih terlalu baru dan mentah dalam soal lakonan.

“Mujurlah ramai yang sudi membantu. Selain pengarah para pelakon, Nabila dan Pushpa khususnya selalu memberi sokongan dan minta saya beri lakonan yang terbaik. Begitu juga dengan Raja Farah, dia lebih muda daripada saya tetapi saya tidak segan meminta pandangannya,” beritahu Sherry atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim.

Selain Elly, wajah bujur sirih Sherry sering menghiasi drama seperti Jelatang dan Dunia Baru di TV3, Gaia (di Astro Ria) dan sebuah telemovie, Cinta Tidak Bertepi.

Menerusi Elly, Sherry melakonkan watak Latifah, GRO yang terjebak dengan dunia pelacuran, Sherry mengakui watak wanita jalang sebegitu mencabar kredibiliti lakonannya apatah lagi sebagai pendatang baru.

“Latifah seorang pelacur yang jatuh cinta dengan seorang Datuk lakonan aktor veteran Abu Bakar Juah. Dia menjadi pelacur kerana terpaksa tetapi tidak pernah berpura-pura dalam soal cinta.

“Mungkin ada pelakon yang mengelak watak sebegini kerana takut tempiasnya kena pada diri sendiri, tetapi saya tidak. Saya terima watak ini sebagai satu cabaran dan saya mahu mendalaminya lebih lagi,” luah Sherry yang juga melakonkan watak gadis gedik menerusi siri Dunia Baru.

“Saya tidak tahu kenapa dipilih untuk watak sebegini, mungkin pengarah melihat kesesuaian yang ada pada saya. Saya tidak kisah kerana saya anggap ini semua cabaran yang harus saya ambil,” beritahunya yang turut membintangi filem Malaikat Maut dan bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Bukan Elly dan Dunia Baru sahaja yang menampilkan sisi negatif lakonan Sherry, akan datang, gadis berusia 24 tahun ini turut terlibat dengan sebuah drama kepolisan terbitan Skop Production berjudul Akademi Polis.

Lebih menarik, menerusi drama itu juga, Sherry akan melakonkan watak sebagai tunang kepada salah seorang pelatih polis tetapi menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Tolonglah jangan kata saya asyik dapat watak jahat. Watak itu tidak jahat tetapi dia ada konflik dan sebab tersendiri, jadi kena tonton dahulu,” tegas Sherry yang tidak mahu jolokan ‘pelakon watak gedik’ melekat pada dirinya sehingga menutup peluang untuk melakonkan pelbagai karakter lain pada masa datang.

Powered by Kosmo

18
Feb

Seabad Jenama Ikon Converse

Oleh JOHANNA A. SOBREY

Bermula dengan perkembangan sukan bola keranjang, Converse terus berkembang seiring dengan perubahan trend sehinggalah menempa sejarah dalam dunia fesyen.

DARIPADA lahirnya kasut Converse All-Star pada tahun 1917 untuk pasukan juruterbang lagak ngeri atau barnstorming Afrika-Amerika sekitar tahun 1920-an dan 1930-an hinggalah kewujudan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) dan Rock n Roll serta budaya pop pada hari ini, ramai individu yang telah menggegar dunia dan mengubah sejarah telah mengenakan kasut berjenama Converse ini.

Lembaran sejarah jenama kasut itu bermula daripada ilham Marquis M. Converse yang membuka Converse Rubber Shoe Company di Malden, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1908.

Bermula dengan perkembangan sukan bola keranjang, Converse terus berkembang seiring dengan perubahan trend sehinggalah menempa sejarah dalam dunia fesyen.

Tidak sahaja menghasilkan kasut bola keranjang dan atlet ataupun model-model ikonik seperti Jack Purcell dan Chuck Taylor, Converse juga melahirkan pakaian dan aksesori gaya hidup yang trendy untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

WANITA juga sesuai menyarung kasut Converse.

Bersempena dengan ulang tahun ke-100 Converse, Converse Century Launch Party, satu keraian bertemakan Rock n Roll telah diadakan di Maison the Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilihan tema adalah berdasarkan penglibatan dan kaitan jenama Converse dalam dunia muzik itu sejak 50 tahun lalu, dari era psychedelic (1965) ke heavy metal (1970) sehinggalah grunge (1990).

Pada tahun 2007, difahamkan 12 daripada 15 artis utama yang paling dibincangkan atau ditulis dalam blog memakai Converse.

BEG yang sepadan dengan kasut.

Sementara itu, pada bulan November tahun lalu, artis-artis merekodkan tujuh daripada 10 album digital paling laris menggayakan jenama itu.

Pada malam penuh kemeriahan itu, penyanyi rock tanah air, Amy Search telah diberi penghormatan oleh Converse dengan pemberian plak kasut Converse Century kerana status quo terhadap fesyen dan industri muzik tempatan yang dimilikinya.

Selain pembidaan edisi terhad kasut Converse dan koleksi Premium Kasut Black Fives Converse Century Pack khas untuk sambutan ke-100 Converse pada tahun ini, acara utama parti iaitu peragaan fesyen jenama berkenaan turut diadakan.

Difahamkan koleksi Century Pack merupakan kasut inspirasi vintaj yang mempunyai keperincian seperti kulit, tampalan signatur, jahitan kontras, getah dan alas istimewa,

SESUAI untuk bersukan.

Hanya terdapat 300 unit Century Pack yang dihasilkan untuk setiap benua, dan hanya lapan pasang yang disediakan bagi pasaran Asia Tenggara.

Seiring dengan konsepnya yang menekankan fesyen gaya hidup, Converse memaparkan diversiti pakaiannya daripada baju dan jaket kepada seluar dan skirt sehinggalah kasut serta aksesori seperti beg dan topi yang melengkapkan gaya si pemakai.

Dengan kasut-kasut yang bukan sahaja berwarna konvensional hitam dan putih, Converse menyerlahkan sifat berani mencuba dan keriangan dalam kasut-kasutnya dengan penggunaanarna-warna cerah seperti merah jambu, kuning, biru dan merah.

MENEKAKNKAN gaya hidup moden.

Di samping itu, pakaian seperti jaket, baju panas, baju-T, skirt dan seluar panjang mahupun pendek seperti board shorts, cargo dan capri pastinya sesuai digayakan pada hari-hari biasa atau ketika bersantai.

Dengan rekaan yang seiring dengan trend masa kini, bukanlah sesuatu yang menghairankan mengapa Converse menempa namanya sebagai sebuah jenama ikonik sungguhpun telah berusia 100 tahun.

Powered by Kosmo

16
Feb

‘spiderman Malaysia’ Terus Warnai Pentas Stunt

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my



SHAHARUDDIN ketika memanjat bangunan KLCC.

ISTILAH gayat, takut mahupun gementar dibuangnya jauh daripada kotak fikiran. Malah, jika boleh tiada satu pun khabar kurang baik harus sampai ke pengetahuannya selagi adegan lagak ngeri belum dilaksanakan.

Nyata, sampai begitu sekali pegangan dan tahap disiplin yang menjadi resipi kepada kejayaan Sharuddin Yusof selama hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang yang penuh mencabar dan merbahaya itu.

Walaupun mendapat bayaran agak lumayan bagi setiap aksi lagak ngeri, namun bukan itu yang menjadi keutamaan dan agendanya. Baginya, wang perkara kedua kerana faktor keselamatan diri dan perjanjian hitam putih adalah yang harus diutamakan.

“Tipulah kalau saya katakan tidak takut bila berada di tempat tinggi umpamanya. Tetapi jika sudah biasa dan sentiasa berfikiran positif, unsur-unsur negatif itu berjaya ditolak ketepi.

“Jika tidak, masakan saya sendiri berjaya melakukan abseiling dari Menara KL pada 9 Disember 1998, sekali gus ia berjaya dicatatkan ke dalam The Malaysia Book of Records,” kata Sharuddin yang mementingkan hitam putih perjanjian sebelum bersetuju melakukan aksi lagak ngeri.

Bukan rekod itu saja yang membanggakannya kerana pada 1997 dia pernah berganding dengan seorang warga Perancis, Alain Robert yang diizinkan memanjat bangunan Yayasan Sabah setinggi 28 tingkat dalam satu pertunjukan.


Untuk rekod, Robert yang juga digelar Spiderman sering mencipta kontroversi ekoran kegemarannya memanjat bangunan tinggi seluruh dunia dan pernah menggemparkan pengunjung Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana cubaannya memanjat bangunan pencakar langit itu. Bukan sekali, kerana tahun lalu juga dia pernah mencubanya sekali lagi!

“Selepas peristiwa saya dan Robert memanjat bangunan Yayasan Sabah, saya pula dipanggil dengan nama Spiderman Malaysia. Ada juga yang memanggil saya Deens Stunt dan Deens Spider gara-gara aksi ekstrim di khalayak ramai pada ketika itu,” kata Sharuddin.

Di awal pembabitan Sharuddin, dia hanya melakukan aksi-aksi lagak ngeri biasa yang memerlukan keberanian dan semangat juang yang tinggi. Bagi beliau, aksi lasak bukanlah suatu masalah besar memandangkan latar belakang kerjayanya sebelum ini sebagai anggota tentera.

Antara filem terawal dijayakan Shaharuddin ialah filem Lenjan lakonan Rosyam Nor yang memerlukan aksi beliau untuk terjun hinggalah watak-watak tambahan termasuk melakonkan babak Nina Jurin dan Eman Manan.

Sejak itu, lebih banyak tawaran diterima bagi melakonkan aksi lagak ngeri seperti terjun daripada bangunan setinggi empat tingkat, terjun ke laut dalam dan terbabit dalam babak kemalangan.

Sumbangan Shaharuddin dalam lakonan aksi lagak ngeri bukan kecil kerana dia sudah banyak menggantikan watak sebenar pelakon untuk sesuatu babak merbahaya. Selain Rosyam Nor sendiri, Sharuddin dipertanggungjawabkan melakonkan watak Awie, Hans Isaac dan Vanidah Imran.

“Memang bukan mudah untuk melakonkan sesuatu lagak ngeri kerana jika tidak mementingkan aspek keselamatan ia boleh mengundang bahaya kepada stuntman itu sendiri.

“Sebab itu, saya sendiri begitu menitikberatkan soal keselamatan dan pastikan perbincangan hitam putih dilakukan,” katanya yang juga tenaga pengajar untuk prosedur keselamatan di bangunan tinggi.

Bukan saja produksi tempatan yang mengagumi kredibiliti anak kelahiran Kampung Baru Kuala Lumpur itu, beliau juga pernah menjayakan produksi antarabangsa dari Hong Kong menerusi filem Power Office dan filem berbajet besar dari Hollywood, Anna and The King.

Jangan tidak tahu, potensi selaku pelakon lagak ngeri tidak terhad untuk produksi filem dan drama semata-mata kerana Shaharuddin sendiri menjayakan aksi ekstrim untuk iklan komersial.

“Iklan pertama yang saya jayakan ialah Benson & Hedges yang ketika itu dirakamkan di Wisma Goldhill di Kuala Lumpur.

“Ketika itu, bayaran yang diterima lebih lumayan kerana aksinya lebih ekstrim dan tidak menggunakan teknik komputer sebagaimana kecanggihan teknik CGI hari ini,” katanya yang turut terbabit melakukan aksi awal episod Fear Factor Malaysia sebelum boleh dilakukan peserta pertandingan itu.

Ditanya mengenai perkembangan industri lakon lagak ngeri di negara ini, Shaharuddin berkata kemeriahannya masih terasa dan terus mendapat sambutan ekoran kerancakan produksi filem dan drama temapatan dalam mengetengahkan babak sebegitu ke layar perak.

Katanya, dia sendiri sentiasa bekerjasama dengan penggiat stuntman tempatan dari segi menjayakan babak mendebarkan, selain berkongsi tawaran melakonkan aksi lagak ngeri sesama mereka.

“Saya saling berhubung dengan pelakon lagak ngeri seperti William dan Razif untuk bertukar idea dan cerita berhubung projek yang memerlukan aksi lagak ngeri,” katanya yang banyak berpandukan cuaca dan mengikut kalendar Melayu sebelum melakukan sesuatu aksi lagak ngeri.

Pernah terbabit dalam kemalangan?

“Sebenarnya kejadian pada 1996 ini bukanlah disengajakan walaupun ketika itu saya ingin melakukan aksi lagak ngeri di Leisure Mall Cheras. Bayangkan saya terjatuh dari tingkat lima bangunan tanpa sebarang alat keselamatan menyebabkan saya retak buku lali dan sakit tulang belakang.

“Penonton yang tidak tahu tentu berasa ajaib kerana aksi saya itu walaupun tidak tahu perkara sebenar,” katanya yang terlantar enam hari di Hospital Tawakal Kuala Lumpur ekoran kemalangan itu.

Nasihat Shaharuddin kepada mereka yang berhasrat untuk menceburi dalam bidang itu adalah tidak ego dan merendah diri dalam melakukan sebarang bentuk tugasan. Paling penting pesannya, pastikan memiliki perlindungan insurans dan memastikan perjanjian hitam putih berpihak kepada pelakon lagak ngeri!

Powered by Berita Harian

14
Feb

Jasmin Hamid Sah Bercerai

KUALA LUMPUR ῖ Dramatis terkenal, Jasmin Hamid disahkan bercerai talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 4 Februari lalu.

JASMIN dan Ian Rashid.

Menurut sumber, pengesahan perceraian itu adalah susulan permohonan cerai secara baik oleh Jasmin, 34, dan pasangannya Ian Rashid Macquistan, 35, yang dibuat pada hari yang sama.

Hakim Syarie, Tuan Dr. Mohd. Naim Mokhtar mengesahkan perceraian tersebut selepas Ian Rashid melafazkan cerai talak satu terhadap Jasmin di dalam mahkamah.

Terdahulu, pada 25 Januari lalu, Jasmin telah memfailkan cerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Bagaimanapun, dia telah menarik balik permohonan tersebut pada 30 Januari lalu dan dibenarkan oleh mahkamah keesokan harinya.

Bagaimanapun Jasmin yang terlibat dalam filem animasi Budak Lapok tidak dapat dihubungi berhubung perkara ini.

Mereka telah berkahwin pada 15 Disember 2000 dan hanya dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ian Haziq yang berumur kira-kira tujuh tahun.

Powered by Kosmo