Saya Masih Waras – Nora
Oleh Norliza Mohamad Zakaria (liza.zakaria@utusan.com.my)
Watak Nora Danish dalam sitkom Puteri menonjolkan bakat lakonannya.
KALAU kaki sudah melangkah ke dunia seni, itulah permulaan kepada seseorang artis itu membenarkan seluruh kehidupannya dikongsi oleh masyarakat.
Apa lagi bagi artis wanita. Segenap inci kehidupannya kalau mahu diintai oleh peminat dan media. Semuanya kerana dia orang popular.
Lalu, apabila pelakon muda Nora Danish dihambat gosip liar khususnya yang berkaitan dengan cerita peribadi, mahu atau tidak dia harus berhadapan dengan situasi itu.
Tidak mampu melarikan diri, jauh sekali memberi 1001 alasan untuk tidak menjawab segala persoalan yang diajukan oleh media kepadanya.
Dan kerana itu, apabila Nora dikaitkan dalam insiden menepis tangan aktres Fasha Sandha dalam satu majlis seperti yang dilaporkan baru-baru ini, pelakon sitkom popular, Puteri itu sekali lagi tidak mampu berdiam diri.
Nora kami hubungi dan pertemuan dengannya diatur Isnin lalu. Bagai sudah menjangka, topik perbualan kami, Nora bersedia ditemu bual.
Naif dan sentiasa merendah diri. Itu kesimpulan yang dapat dibuat mengenai aktres berusia 26 tahun itu.
“Saya tidak tahu kenapa saya terus diuji sebegini. Belum reda isu yang pernah dicetuskan sebelum ini, sekali lagi nama saya dikaitkan dalam insiden ini. Apa salah saya?” sayu nada suara Nora memulakan perbualan.
Barangkali, ada kebenarannya kerana sebelum ini, Nora pernah dilaporkan berhadapan dengan masalah rumah tangga sedangkan dia dan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram cukup bahagia.
Ketika ini, ujar Nora, dia dan suami mahu meraikan sepenuhnya kebahagiaan perkahwinan mereka yang bakal genap dua tahun pada Jun depan.
Apabila kebahagiaan sudah berada dalam dakapan, Nora tidak mahu membebankan diri dengan masalah-masalah kecil yang boleh menjejaskan nama baiknya.
Paling penting, sebagai seorang anak dan menantu dalam sebuah keluarga yang dihormati, Nora sentiasa berusaha untuk tidak mencemar reputasi orang-orang yang sentiasa menyayanginya.
Kalau begitu, bagaimana dia masih dikaitkan dalam gosip-gosip yang tidak manis untuk didengar terutamanya mengenai insiden dia menepis tangan Fasha.
“Saya tidak tepis tangan dia. Apa yang ditulis dalam akhbar itu tidak benar sama sekali. Ia seperti memberi tanggapan buruk terhadap saya.
“Saya ada saksi, masa itu saya bersama beberapa rakan saya. Memang kami ada bersalaman, tapi saya tidak menepis tangan dia (Fasha),” tegas Nora dalam nada kecewa.
Mengakui terkilan dengan tersiarnya laporan tersebut tanpa mengambil sebarang penjelasan daripadanya, Nora tidak menafikan gosip itu benar-benar melukakannya.
Insiden ‘menepis’ tangan itu dikatakan berlaku apabila Fasha yang hadir lewat 10 minit daripada Nora ke majlis tahlil Allahyarham bapa Erma Fatima di Taman Melawati, Selangor, minggu lalu.
“Selama ini saya ambil sikap mendiamkan diri kerana tidak mahu dianggap sebagai mudah melenting.
“Sebaliknya, kini saya dianggap seperti tidak profesional kerana mengenepikan agama dan tidak menghormati majlis.
“Saya ini orang Islam, saya tetap tahu bezakan antara yang baik dengan yang buruk,” Nora meluahkan kesedihan yang sukar dibendung di sanubarinya.
Selama empat tahun menjadi artis, Nora dilihat sebagai antara artis yang ‘bersih’ daripada sebarang gosip dan cerita-cerita panas melainkan kisah rumah tangga dan sengketanya dengan pelakon tersebut.
Walaupun berasa malu dengan tohmahan yang dilemparkan ke atasnya, kata Nora, dia akan tetap bertahan selagi masih terdaya.
“Terus terang saya katakan saya langsung tidak rasa tercabar dengan dakwaan tersebut sebab saya tahu apa yang saya lakukan. Lagipun, Tuhan lebih tahu apa yang berlaku sebenarnya,” luahnya lagi.
Pada masa yang sama, aktres yang berdarah kacukan Arab-Myanmar itu memohon agar dia tidak lagi dikaitkan dengan Fasha selepas ini.
Menurut Nora, dia mahu memulakan hidup barunya dengan lebih matang lebih-lebih lagi selepas menginjak ke usia 26 tahun pada 7 Mac lalu.
Biarpun begitu, Nora mengakui, dia sedia bekerjasama dengan Fasha andai ada tawaran yang mahu menggandingkan mereka berdua dalam mana-mana filem dan drama.
“Secara profesional, saya tak kisah berlakon bersama dengannya. Kalau ada tawaran sebegitu Insya-Allah saya akan terima. Lagipun saya bukannya seorang yang suka berdendam,” jelasnya.
Ke lokasi Puteri The Movie bulan depan
Seperti yang sering disebut, setiap ujian menjanjikan hikmah buat setiap insan dan Nora tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh ganjaran itu.
Rezekinya dalam bidang lakonan terus mencurah apabila dia baru sahaja selesai membintangi telefilem Gadis Cuci yang menyaksikan dia memegang karakter Nasha, seorang gadis pekak.
Projek terbitan Pilot Nasreen Pictures Sdn. Bhd., di bawah arahan Zek Zukry itu turut menggandingkan Darling Ngasri, Fara Fauzana dan Anne Ngasri dan bakal bersiaran Jumaat ini di Astro.
Bulan depan pula, Nora dan rakan-rakan sitkom Puteri bakal ke lokasi bagi memulakan penggambaran filem Puteri The Movie arahan sutradara tersohor, Aziz M. Osman.
Sebelum ini, Nora turut membintangi beberapa filem lain termasuk Senario, Pemburu Emas Yamashita dengan membawa watak sebagai Doktor Lisa dan Gila-gila Pengantin Popular menerusi watak Mala.
Powered by Utusan Malaysia