Skip to content

Archive for March 2008

25
Mar

Rahsia Ratu Cantik Universe




KURARA CHIBANA

Rahsia ratucantik UniversePENGAJAR peserta-peserta Ratu Cantik Universe, Ines Ligron dari Perancis berjaya melatih beberapa gadis sehingga menjadi juara ratu cantik.

Antara kejayaannya itu adalah Riyo Mori dari Jepun yang menjadi pemenang Ratu Cantik Universe pada tahun lalu.

Mori menjadi rakyat Jepun pertama memenanginya sejak tahun 1959.

Ligron juga melatih seorang lagi peserta ratu cantik Miss Universe dari Jepun, Kurara Chibana sehingga dia berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan tahun 2006.

Ratusan juta orang di seluruh dunia akan menyaksikan pertandingan tahunan itu yang bakal diadakan pada Jun ini di mana 800 buah negara menyertainya di peringkat kelayakan.

Kejayaan disenaraikan untuk menjadi pelajar Ligron bermakna seseorang gadis itu mampu menjadi terkenal.

Ligron yang merupakan seorang ahli perniagaan wanita berjaya mengurangkan jumlah senarai ribuan wanita yang berusaha untuk menjadikannya jurulatih ketika pertandingan itu berlangsung di Vietnam, Jun depan.

Selain Jepun, Mori akan melatih peserta dari Korea Selatan.

Selepas itu, dia mahu melatih peserta dari negara kelahirannya, Perancis.

“Gadis-gadis itu adalah seperti bayi ketika mereka datang kepada saya,” kata Ligron.


LIGRON (kanan) bercakap dengan seorang calon peserta ratu cantik Jepun di Tokyo pada tahun lalu.

“Apabila saya sudah melakukannya (melatih mereka), mereka seperti mempunyai diploma,” tambahnya.

Dalam salah satu sesi latihan sebelum dia menamakan kumpulan terakhir ratu cantik Jepun, Ligron pernah menolak seorang peserta yang juga seorang model kerana dia enggan menambah berat badan.

“Saya tidak melakukan iklan anoreksia,” katanya ketika gadis lain memerhati Ligron.

“Saya tidak mahu arnab yang kurus,” tambahnya.

Dalam sesi itu, Ligron mengajar peserta-peserta itu cara bercakap, fesyen, berjalan, bersolek dan penampilan diri serta sikap.

Seperti steroid, pembedahan kecantikan merupakan rahsia kotor yang dilakukan oleh peserta ratu cantik.

Bagaimanapun, pembedahan plastik itu tidak diharamkan dalam pertandingan ratu cantik.

“Saya memberi jaminan bahawa lima daripada peserta akhir ratu cantik Miss Universe tahun lalu menjalani pembedahan platik,” katanya.

Selain Mori, empat lagi peserta akhir adalah dari Amerika Syarikat (AS), Venezuela, Brazil dan Korea Selatan.

RIYO MORI

Ligron mahu pelatih-pelatih yang mengikuti pembelajarannya menandatangani satu kenyataan bahawa mereka tidak digalakkan menjalani pembedahan plastik.

Menurutnya, alasan yang dikemukakan mengenai larangan pembedahan itu adalah kesihatan.

“Adalah jelas, kami tidak mahu gadis-gadis kelihatan seperti Michael Jackson.

“Cuba bayangkan, jika seorang gadis menjalani pembedahan dan berlaku kesilapan dalam pembedahan itu, ia akan menjadi satu skandal besar,” tambahnya. – AP

Kosmo

24
Mar

Sentuhan Mazlin Sentiasa Menjadi

Oleh MERAN ABU BAKAR

Mazlin Nordin berada di pejabatnya yang dipenuhi dengan cenderahati daripada keluarga yang pernah ditemuinya.

SELAMA ini wajah dan tingkahnya yang lincah hanya dapat dilihat melalui kaca televisyen. Bagi peminat setia TV3, siapa yang tidak mengenali Mazlin Nordin, wanita berkarakter tomboy yang berani, lasak dan petah bertutur.

Peredaran masa dan usia membawa perubahan pada wanita ini. Sejak tahun lepas, Mazlin dilihat sudah mengenakan tudung namun fesyen yang dipakainya setiap hari tetap sama, kemeja dan seluar serta kasut lelaki.

Bagi Mazlin, dia lebih selesa begini apatah lagi dengan tugasnya yang memerlukan dia aktif dan lasak meredah kampung untuk mencari bahan bagi rancangan yang dikendalikannya.

Katanya, dia memang berpakaian seperti itu sejak kecil lebih-lebih lagi dibesarkan dalam sebuah keluarga besar lapan adik-beradik, enam lelaki dan dua perempuan. Dia pula anak yang bongsu dan sudah tentu banyak terikut-ikut dengan gaya abang-abangnya.

Bagaimanapun, perwatakan seperti itulah yang memang diperlukan bagi tugas-tugas yang pernah diserahkan oleh majikannya. Justeru, tidak perlu baginya mengubah personaliti.

Kepercayaan demi kepercayaan yang diberikan bagi menerbitkan rancangan seperti Nona, Majalah 3, Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini, Remaja, Misteri Nusantara, Potret Terbilang, Potret Kejayaan dan Medik TV , semuanya dapat dilaksanakan dengan baik.

Malah, setiap rancangan sentuhannya semuanya menjadi dan mendapat rating yang tinggi di kalangan penonton.

Kini Mazlin diserahkan pula satu tugas yang menuntut ketabahannya apabila perlu berhadapan dengan kemiskinan insan lain yang mungkin sebelum ini tidak pernah ditemuinya.

“Dengan Bersamamu, saya perlu menyelami perasaan mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kekurangan,’’ katanya ketika ditemui di Sri Pentas.

Mungkin sebelum ini Mazlin hanya mendengar tentang kemiskinan dan kesengsaraan hidup mereka yang tidak berupaya kerana dia sendiri berasal daripada keluarga ‘senang’, namun setelah melihat sendiri, hatinya begitu bersyukur dengan apa yang dimilikinya.

Katanya, mungkin ada keberkatan dan hatinya didorongkan Allah bagi membuat kebajikan dan membantu sesama manusia setelah dia pulang daripada menunaikan haji pada tahun lalu.

Lagipun ujarnya, dia hanya mengikut arahan ketua. Jika ketuanya telah menyerahkan sesuatu tugasan, biasanya dia akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan sebaik mungkin.

“Sebenarnya idea menerbitkan Bersamamu lahir selepas selesai Karnival Sure Heboh.

“Wang sumbangan yang diterima banyak dan setelah dipersetujui, wang tersebut akan didermakan kepada golongan susah, tidak berkemampuan dan kurang upaya,’’ jelasnya yang memiliki Ijazah Penyiaran daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) pada tahun 1990.

Mazlin berkata, Bersamamu adalah perkataan keramat yang merupakan doa dan membuka jalan kepadanya agar dapat bersama dengan golongan tersebut.

Jelasnya, segala-gala yang dilihat penonton dalam rancangan tersebut adalah benar dan bukan lakonan.

“Saya pegang, belai, menatap mata mereka dengan hati yang ikhlas. Saya sama-sama dapat merasakan kesedihan dan kepedihan mereka sehingga tidak sedar air mata turut mengalir dan kami sama-sama menangis,’’ ujar Mazlin telus.

Tanggapan

Katanya, jika ada tanggapan yang mengatakan bahawa mereka yang ditemui itu disuruh menangis sehingga teresak-esak, itu adalah tidak benar.

“Bagaimana boleh kita menyuruh budak kecil menangis tersedu-sedu sehingga bengkak mata atau si bapa yang tenggelam suaranya dek menahan sebak atau si ibu yang tidak malu menangis menceritakan kemiskinan yang ditanggung selama ini.

“Paling menyentuh perasaan saya ialah semasa musim pertama Bersamamu di Sabah, di mana keluarga tersebut setiap hari hanya makan nasi dengan air garam semata-mata. Anak-anak mereka menghirup air garam tersebut seperti semangkuk sup yang amat lazat. Saya menangis di situ juga mengenangkan penderitaan mereka.

“Peristiwa lain ialah semasa menemu ramah keluarga miskin di Setapak. Setiap malam kira-kira pukul satu atau dua pagi, dua orang anak mereka, lelaki dan perempuan akan masuk ke dalam tong sampah besar mencari barang-barang yang boleh dijual. Selesai ‘tugas’ itu, mereka pulang ke rumah. Sebelum tidur, saya dengar sendiri mereka berdoa agar Allah mengampunkan dosa mak dan ayah mereka,’’ katanya dengan nada yang sebak.

Mazlin berkata, untuk bersama golongan miskin ini, dia perlu membuang perasaan geli dan jijik. Peluk dan cium yang diberikan kepada kanak-kanak terbabit walaupun berhingus adalah ikhlas.

Dia menambah, hubungannya dengan mereka bukan setakat habis begitu saja. Dia akan sentiasa membuat susulan, bertanya khabar dan jika berkesempatan akan meluangkan masa melawat mereka.

“Saya ajar mereka bertatih dan apabila mereka dapat berlari, saya rasa amat berpuas hati. Anak-anak mereka macam anak-anak saya sendiri. Allah sahaja yang tahu macam mana gembiranya saya bila mereka menelefon dan memberitahu kejayaan mereka dalam peperiksaan dan sebagainya.

“Macam-macam mereka panggil saya, mak cik, kakak dan Cik In. Mereka sengaja nak merapatkan diri dengan saya. Ada dua bayi yang dinamakan dengan nama saya dan ibu mereka bangga menelefon saya,’’ ceritanya.

Mazlin berkata, segala yang dilakukan adalah bekalan ke akhirat. Orang lain juga boleh beramal dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan miskin ini.

Walaupun sumbangan yang diberikan hanya RM1 atau RM2 namun harapan yang diberikan kepada mereka tiada ternilai dengan wang ringgit.

Kenali Dia
Mengenai Mazlin Nordin

- Memegang jawatan Penerbit Eksekutif dan wartawan di lokasi.

- Sudah 17 tahun bertugas di TV3.

- Penghormatan buatnya apabila membuat program Misteri Nusantara.

- Dilahirkan di Klang, Selangor.

- Keluarga terdiri daripada ahli perniagaan, namun dia ingin berdikari.

- Bertekad mahu berjaya dalam dunia penyiaran kerana terlalu kurang wanita yang berjaya dalam bidang ini hingga ke peringkat paling atas.

- Pernah menerima anugerah Tokoh Pekerja Wanita Kebangsaan 2003 daripada Tun Mahathir Mohamad, Tokoh Pekerja TV3, Anugerah Wartawan dan Anugerah Skrin.

- Jika diberi peluang, ingin membuat rancangan dokumentari bertaraf antarabangsa seperti Discovery Channel.

- Hobi bermain boling dan melancong.

- Telah menemu ramah kira-kira 150 keluarga bersama program Bersamamu.

Powered by Utusan Malaysia

22
Mar

Yazid, Adibah Berduet

LAGU Mungkinkah ciptaan M.Sani yang pernah yang dicanangkan sebagai lagu kontroversial tahun ini menjadi lebih hangat apabila versi duet Yazid Abu Bakar dan Adibah Noor akhirnya ‘dilancarkan’ dalam majlis hi-tea di Orchid Inn Country Club, baru-baru ini.

Ternyata, versi Yazid/Adibah lebih mirip kepada nyanyian asal penyanyi Emilia Contessa – yang cukup syahdu dan tinggi alunan nadanya.

Versi penyanyi Azyza, yang pertama kali mempersembahkan lagu itu di depan awam dalam majlis pertemuan Persatuan Pemuzik Melayu Singapura (Perkamus), di The Arts House, pula mendapat gubahan baru Moliano dengan muzik ada ciri teknonya.

Persembahan Yazid dan Adibah, dengan iringan petikan gitar Man Kidal dan permainan piano Syawal Kassim, sejauh ini belum dirakamkan secara rasmi di studio.

Ketika ditemui, Adibah berkata beliau menerima pelawaan Yazid untuk berduet biarpun sebelum ini beliau tidak begitu mengenali vokalis daripada kumpulan Lovehunters itu.

‘Saya tak tahu Yazid popular ke tidak. Saya percaya saja kemampuannya. Ternyata dia memang bagus dan ramai peminat di sini,’ kata Adibah.

Powered by Cyberita

22
Mar

Azian ‘Hot’ Di Seberang

Oleh Kamali Hudi

NAMANYA kurang menjadi sebutan, tetapi setiap kali wajah Azian Pasiran muncul di kaca televisyen, seperti sudah memberi jaminan apa yang ditonton pasti menghiburkan atau meninggalkan kesan.

Bahkan kerana keberkesanan lakonannya, orang lebih mengenali Azian dengan nama-nama watak dalam drama, termasuk Cik Tona Tahi Lalat (dalam siri drama Enot 3) dan Esah Dangdut dalam siri drama tempatan, Erlin Montel.

Pelakon Singapura yang kini lebih aktif menjayakan drama di Malaysia itu mengakui tidak kisah dirinya tidak diglamorkan seperti pelakon lain, bahkan lebih selesa jika orang tidak mengenalinya apabila berada di luar.

Azian sebenarnya berlakon sejak zaman stesen televisyen tempatan dikenali dengan nama Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC) dulu. Drama pertamanya berjudul Kesumat, arahan Allahyarham Bani Buang, ketika beliau berusia 18 tahun.

Beliau mendapat perhatian pihak unit drama SBC ketika itu setelah mengirimkan gambarnya yang memenangi Ratu Kebaya anjuran sebuah balai rakyat.

Ternyata Azian tidak main-main apabila melangkahkan kaki dalam bidang seni ini. Pada usia 21 tahun, beliau mencabar dirinya membawa dirinya ke Malaysia untuk mencari peluang berlakon yang lebih luas di sana.

‘Yan terpaksa membohongi emak dengan memberi alasan ke Malaysia sekadar pergi melancong sahaja. Tapi sebaliknya Yan mencari peluang bertemu pihak syarikat penerbitan yang disarankan kawan Yan,’ ceritanya.

Syarikat Home Video Distributors (HVD), yang banyak menghasilkan penerbitan drama-drama Malaysia, membuka peluang yang dicari Azian selama ini.

Dengan bantuan pengarah Amir Khan (juga asal Singapura dan abang penggubah Azmeer), Azian mendapat kepercayaan bukan saja berlakon, bahkan menulis naskhah drama.

‘Encik Amir adalah orang yang banyak memberi bimbingan kepada Yan, bukan sahaja dalam lakonan tetapi menulis skrip, arahan dan penyuntingan kerana Yan begitu minat dengan kerja yang berkaitan penerbitan drama,’ katanya lagi.

Beliau juga pernah dibantu oleh pelakon dan pengarah Yus Emali yang pernah bergiat dalam drama pentas dan televisyen di sini satu ketika dulu dan kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Selain drama TV, Azian juga aktif menjayakan telemovie VCD, antaranya termasuklah drama televisyen Gosok 1 dan Gosok 2 yang mendapat sambutan hebat di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Bahkan Azian merupakan penulis skrip bagi kedua-dua VCD tersebut yang mengisahkan kehidupan anggota band Spider di kampung sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi penyanyi.

Dalam lakonan drama swasta berjudul Enot 3 arahan Jinggo (suami Sheila Rusly) Azian berpeluang berlakon dengan pelakon seperti Yusni Jaffar, Norlia Ghani, Hamid Gurkha, Jalil Hamid dan Sheila sendiri.

Walapun pernah dibohongi, ibu Azian, Hajah Khamsaton Haji Amin, 64 tahun, tetap memberi restu dan dorongan terhadap Azian dalam kerjaya seninya.

‘Keinginan seseorang tidak boleh disekat asalkan ia dalam landasan yang betul dan tidak menjadi cemuhan masyarakat,’ kata Hajah Khamsaton yang menemani Azian ketika menemui penulis.

Azian telah berumah tangga dengan seorang jurukamera drama, Azryanizham, 35 tahun, yang merupakan warga Malaysia. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Elmyra Azryanizham, tiga tahun.

Kepada bakat tempatan yang ingin mengembangkan bakat di negara jiran, pesan Azian, langkah mereka harus disertakan dengan kesungguhan dan kerja keras.

‘Berpegang pepatah lama, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung membantu kita dalam segala cita-cita atau bakat yang ingin kita memperolehi pencapaian di masa depan,’ katanya.

Powered by Cyberita

21
Mar

Shafnie Bangkit Demi Anak

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

MELIHAT raut wajahnya yang manis dengan senyuman menawan dan berkulit putih mulus, pasti ada beranggapan Shafnie Zainudin, 33 atau Shafnie orangnya terlalu lembut, naif dan agak manja.

Bagaimanapun apabila pengacara rancangan Sebutan Syariah yang disiarkan di Astro Oasis, setiap Ahad ini memulakan bicara ternyata sikapnya berbeza daripada apa yang dibayangkan.

Dalam kelembutan wujud ketegasan yang utuh dalam diri anak jati Batu Feringgi, Pulau Pinang ini. Celotehnya sangat bernas terutama apabila membicarakan mengenai rancangan dikendalikan bersama seorang lagi pengacara, Akhtar Saari.

Lebih penting, kata Shafnie selepas tiga bulan mengendalikan Sebutan Syariah yang mengetengahkan isu berkaitan perundangan Islam, pengetahuannya mengenai isu perceraian dan hak individu semakin bertambah.

Sebagai ibu tunggal yang turut berhadapan masalah perceraian dan berlanjutan hingga kini, tegas Shafnie, Oasis sebenarnya memberi sumbangan besar kepada wanita apabila menerbitkan dan menyiarkan Sebutan Syariah.

Shafnie pernah mendirikan rumah tangga dengan pengacara dan pelakon popular AC Mizal pada Jun 1995, bagaimanapun hubungan mereka tidak berpanjangan dan bercerai pada 2001.

Sepanjang tempoh perkahwinan itu, Shafnie dan AC Mizal dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9 tahun.

Sewaktu ditemui di sesi fotografi khas bersama RAP baru-baru ini, Shafnie berkata, pengetahuan yang ditimba menerusi rancangan itu turut mengubah persepsinya terhadap beberapa perkara.

“Sepanjang tiga bulan ini banyak perkara saya nampak dan antara kes ditampilkan dalam Sebutan Syariah sangat pelik dan tidak masuk akal. Namun itulah kenyataannya. walaupun pelik tetapi ia berlaku.

“Namun satu persamaan saya nampak dalam kebanyakan kes ditampilkan ialah selalunya yang menjadi mangsa adalah wanita. Perkara ini amat menyedihkan,” katanya.

Tegas Shafnie antara sebab dia bersetuju untuk mengacarakan rancangan ini, kerana ia memberi informasi kepada wanita yang menjadi mangsa perceraian.

“Tanpa ilmu, kita akan hidup dalam kegelapan. Begitu juga yang berlaku kepada kebanyakan wanita apabila ditinggalkan suami. Apabila mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan, anak-anak akan menjadi mangsa.

“Sebutan Syariah boleh dijadikan panduan. Ia bukan saja sesuai untuk ibu tunggal sepertinya tetapi juga wanita lain yang sedang berkahwin atau merancang mendirikan rumah tangga.

“Sekurang-kurangnya apabila berlaku sesuatu mereka tahu hak mereka dan tahu apa yang harus dilakukan serta siapa perlu dicari. Apa yang lebih penting bagi saya nasib anak-anak tetap terbela apabila berlaku perpecahan dalam rumah tangga,” katanya.

Shafnie sebelum ini turut dikenali sebagai peragawati dan sering menggayakan busana Muslimah. Tawaran untuk mengacara, katanya pernah juga diterima sebelum ini namun waktu itu dia tidak punya keberanian untuk melakukannya.

“Terus-terang saya katakan ia berpunca daripada perceraian yang dihadapi. Apabila keluar kenyataan dan tuduhan yang tidak berasas ia membuatkan saya rasa hilang keyakinan. Saya bimbang, siapalah saya sekiranya hendak dibandingkan dengan bekas suami.

“Tekanan yang datang dari luar waktu itu membuatkan saya takut jika keputusan dibuat salah dan selama dua tahun juga saya berhadapan dengan masalah ini.

“Sehinggalah baru-baru ini saya kembali bangkit. Semuanya kerana anak-anak. Mereka menjadi penguat semangat untuk saya meneruskan hidup. Sebagai ibu tunggal saya tidak boleh sentiasa lemah dengan mengenang nasib diri. Kalau saya terus meratap soal hidup ada orang lain jauh lebih susah daripada saya.

“Waktu sama segala keperluan anak saya terpaksa sediakan sendiri.

Hendak harapkan gaji bulanan tidak mencukupi kerana anak-anak semakin membesar dan keperluan mereka semakin mahal terutama membabitkan pendidikan.

“Tawaran dari seorang penerbit rancangan Sebutan Syariah, Rushilda yang kebetulan kenalan lama saya terima dengan hati terbuka. Syukur, Alhamdullilah ini rezeki anak-anak.

“Dalam hati saya berkata, ‘tidak mengapalah saya susah sedikit sekarang kerana terpaksa membahagikan masa antara kerja tetap, mengacara dan anak-anak. Asalkan anak-anak dapat membesar dengan selesa’,” katanya lagi.

Begitupun jelas Shafnie dia tidak bimbang kerana anak-anak memahami kepayahan terpaksa dihadapi. Tambahan pula mereka sudah semakin dewasa dan mereka mampu berdikari.

“Apabila saya sibuk bekerja, mereka akan tinggal bersama pembantu rumah dan pada waktu sama ibu bapa saya turut membantu,” katanya lagi.

Pakaian: Riesik Riesik Sdn Bhd, No.25-1, Jln Wangsa Delima 10, D’Wangsa, Wangsa Maju, Kuala Lumpur (03-41420575)

Solekan: Syawal dari Riesik Riesik (013-3729302)

Powered by Harian Metro