Jamal Suntik Jiwa Sirah Junjungan

JAMAL merupakan elemen penting muzikal Sirah Junjungan.
BERMULA pada 19 Mac ini dan selama lima malam berturut-turut, Istana Budaya bakal mencipta sejarah apabila menampilkan pementasan teater muzikal Islam buat julung kalinya.
Teater yang memiliki judul yang sungguh indah, Sirah Junjungan arahan aktivis seni tersohor Erma Fatimah itu dipentaskan bersempena Hari Maulidur Rasul yang jatuh pada 20 Mac ini.
Mengangkat kisah Nabi Muhammad s.a.w ke pentas teater yang gah seumpama di IB sebenarnya memberi cabaran yang maha berat buat Erma.
Menurutnya, banyak cabaran dan halangan yang dialaminya dalam usaha menjadikan Sirah Junjungan suatu realiti. Namun Erma menegaskan, cabaran terbesar teater tersebut adalah dalam meraih perhatian penonton.
“Memang saya bimbang dengan sambutan penonton nanti. Namun, kalau kita boleh beri sambutan yang hangat terhadap hidangan hiburan yang bukan berbentuk Islam, kenapa tidak kita sendiri sebagai umat Islam memberi sambutan yang hangat kepada teater bercorak Islam ini,” ujarnya.
Menurut Erma lagi, dia bagaimanapun berharap dan yakin Sirah Junjungan bakal meraih sambutan memberangsangkan berdasarkan tenaga kreatif di sebalik teater itu.
Menampilkan Ahmad Yatim memegang peranan sebagai Abu Talib, tenaga lakonan Sirah Junjungan diperkuatkan oleh Norish Karman (Khadijah), Ellie Suriaty (Hendon), Aman Graseka (Saidina Abu Bakar) dan Azri Iskandar (Saidina Ali).
Namun tegas Erma lagi, daya tarikan utama Sirah Junjungan sudah tentu dari segi elemen muzikalnya.
Dan bagi memastikan sisi tersebut kuat, individu yang diberi tanggungjawab utama bagi merealisasikannya diberikan kepada pemilik vokal ‘berhantu’, siapa lagi kalau bukan Jamal Abdillah.
“Jiwa muzikal Sirah Junjungan disuntik oleh vokal malar segar penyanyi yang tiada tolok bandingnya, Jamal Abdillah.
“Vokal Jamal akan bergema di sepanjang Sirah Junjungan dipentaskan menerusi enam buah lagu yang bakal dialunkannya,” jelas Erma.
Selain enam lagu yang dialunkan Jamal, sebanyak tiga lagi lagu mengisi period Sirah junjungan dendangan Al-Fahmy, Tuty dan Salleh dari kumpulan Brothers.
Sirah Junjungan boleh ditonton menerusi tiket-tiket berharga RM50, RM100 dan RM150 yang boleh didapati menerusi Box-Office, Istana Budaya di talian 03-40265558 atau layari laman web www.ticket2u.biz.
Powered by Kosmo
Anak Cemerlang
Anak Azean Irdawaty dan Aznil dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM
BUKAN mudah untuk mendidik anak. Apatah lagi jika bergelar selebriti dengan kerja tidak tentu masa serta jarang berada di rumah kerana banyak masa dihabiskan di lokasi penggambaran.
Namun, anak dua personaliti popular Malaysia, Azean Irdawaty dan Aznil Nawawi, ternyata berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang setaraf dengan peringkat ‘O’ apabila keputusan diumumkan Rabu lalu.
Anak sulung Aznil, Fildza Haifa atau Fifi, 17 tahun, pelajar Sekolah Sri Kuala Lumpur mendapat keputusan cemerlang, 9A, dalam SPM-nya.
‘Saya berasa sebak dan pada masa sama teramat gembira melihat kejayaan anak sulung saya itu. Selain bekas isteri, sayalah orang pertama dihubungi Fifi selepas mendapat keputusan SPM kira-kira 12.30 tengah hari.
‘Alhamdulillah, saya bersyukur teramat sangat kerana doa saya untuk melihatnya berjaya termakbul,’ katanya, lapor Harian Metro. Beliau mempunyai seorang lagi anak, Fariq, 13 tahun.
Berkongsi rahsia kejayaannya dalam mendidik anak, Aznil berkata beliau dan bekas isteri tidak pernah melepaskan tanggungjawab masing-masing dalam mendidik anak selepas bercerai.
‘Kami bergilir-gilir menjaga Fifi dan Fariq. Apabila giliran saya menjaga Fifi dan Fariq, saya pastikan mereka membuat kerja sekolah yang dibekalkan guru setiap hari.
‘Saya juga akan buat ‘spot check’ kerja sekolah mereka beberapa kali dalam seminggu. Pada masa sama, pihak sekolah juga memastikan setiap ibu bapa menandatangani buku latihan anak mereka sebelum diserahkan kepada guru,’ katanya.
Aznil memberi kepercayaan kepada anaknya membuat jadual belajar mereka sendiri di rumah, selain mengambil tutor peribadi.
Sebagai bapa, Aznil memberi kebebasan sepenuhnya pada anak untuk memilih kerjaya yang mereka minati apabila dewasa.
‘Fifi bercita-cita menjadi peguam. Kini dia melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di Kolej Sunway dalam jurusan undang-undang,’ katanya.
Sementara itu, seniwati Azean Irdawaty turut berkongsi kegembiraan apabila anak bongsunya, Inessa Irdayanty, 17 tahun, mendapat keputusan cemerlang 10 1A IB3.
‘Sebagai ibu, doa saya untuk anak tidak pernah putus. Saya masih ingat lagi, Inesa membuat persiapan menghadapi peperiksaan SPM dulu sambil menjaga saya yang sakit.
‘Dia dan kakaknya, Elza, bergilir-gilir menjaga saya di hospital ketika menjalani rawatan kimoterapi. Dialah yang memandikan dan menukar baju saya.
‘Alhamdulillah, dengan keadaan tidak cukup tidur kerana menjaga saya yang sakit ketika itu, dia mampu meraih keputusan cemerlang,’ katanya.
Azean berkata semua anaknya buat jadual belajar sendiri di rumah. Sebagai ibu, Azean banyak bertanya kepada mereka mengenai subjek yang mereka lemah dan adakah masa diperuntukkan mengulang kaji subjek berkenaan mencukupi.
Powered by Cyberita
Cincin Hati Mawi, Ekin
Oleh MALIAH SURIP maliah.surip@kosmo.com.my

CINCIN yang tersarung pada jari Mawi sama seperti yang disarungkan Ekin.
KELIBATNYA walau tanpa kisah kerjaya masih lagi menjadi buruan. Barang kali, dia sendiri sudah letih untuk bertemu dan memberikan jawapan yang sama kepada media tentang hal peribadi yang tidak mahu disahkannya.
Bagaimanapun pelakon drama Kawan, Nora’asikin Rahmat atau Ekin masih ramah melayan segala pertanyaan.
Selesa dengan imej bertudung yang melekat pada dirinya sejak Aidiladha tahun lalu, Ekin tampak lebih manis. Lebih bersederhana dan mencerminkan peribadi yang selalu diidamkan oleh seorang lelaki.
Sementelah, dirinya juga dikaitkan dengan penyanyi nombor satu negara, Asmawi Ani. Bertemu Ekin yang hadir memeriahkan majlis Pengenalan Program dan Sambutan Maulidur Rasul Astro Oasis di Hotel Park Royal baru-baru ini, kembar kepada Nor’Ain Rahmat atau Aean ini memberitahu kondisi hidupnya sejak berhijrah dan tidak lagi aktif dalam dunia lakonan.
“Saya tidak berhenti berlakon kerana dihalang kekasih,” lancar dia menjawab tanggapan nakal terhadap ‘kehilangannya’ dengan hanya muncul dalam sebuah drama.
Tambah Ekin lagi, jika dia dihalang berlakon, mengapa kembarnya, Aean juga tidak meneruskan perjuangan yang baru ingin mereka mulakan. “Jadi sebenarnya kami sama-sama ambil keputusan untuk tidak berlakon buat sementara.
“Semuanya kerana kami sibuk sebagai duta produk kecantikan R&Z yang kini membesarkan empayar mereka dengan menjual tudung dan pakaian.
“Kerana komitmen inilah saya atau Aean tidak lagi aktif. Saya tidak mahu menyusahkan pihak lain. Bukan sebab dilarang,” kata anak kelahiran Johor Bahru ini lancar.

EKIN menjawab segala persoalan mengenai Mawi tanpa berselindung lagi.
Disambar soalan nakal mengenai hubungannya dengan Mawi, Ekin mengakui bukan sengaja untuk bermain tarik tali dengan tidak memberi jawapan pasti, sebaliknya dia tidak mahu tersalah bicara lalu menjerut leher sendiri.
Tetapi katanya, Mawi memang insan yang paling rapat dengan dirinya kini. Dan cincin serupa dengan Mawi yang juga dipakai olehnya kini, sebagai simbolik persahabatan mereka.
“Ya, ini cincin sebagai simbolik persahabatan,” jelas Ekin yang sudah tidak dapat lagi menyorokkan cincin besar di jarinya sambil tersenyum malu.
Kemudian, dia pantas memberitahu: “Namun ini tidak bermakna saya dan Mawi mempunyai ikatan yang sangat istimewa atau menjurus kepada perkahwinan.
“Ia hanya simbolik persahabatan dan saya mahupun dia bebas berkawan dengan sesiapa selagi kami tidak mempunyai ikatan yang lebih serius.
Melanjutkan kisah hubungan persahabatan mereka, kata Ekin, dia juga tidak mahu banyak pihak tersalah anggap.
Katanya cukup dengan segala fitnah dan nista yang telah dia tempuh pada awal perkenalan mereka dahulu. Malah Ekin juga menafikan hal kononnya dia membomohkan Mawi untuk terpikat kepadanya.
“Selisih, saya tak pernah buat macam itu. Saya tidak akan berbuat begitu hanya kerana ingin membuat sesiapa sahaja terpikat kepada saya,” katanya serius.
Dan ditanya tentang persediaannya mendirikan rumahtangga, jawab Ekin, sebagai wanita yang sudah memasuki usia 29 tahun, dia juga mempunyai naluri ingin berkahwin.
Sudah bersedia dan reda jika esok lusa jodohnya sampai untuk berkahwin. Itu kata Ekin dengan jelas.
“Tapi saya tidak kata saya akan kahwin dengan Mawi ya. Jangan salah anggap. Saya hanya menjawab tentang kesediaan sebagai seorang wanita untuk mendirikan rumah tangga,” katanya bimbang disalah tafsir.
Powered by Kosmo
Impian Aliff Terlaksana
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)
|
|
|
MEMANG sudah menjadi impian anak muda ini untuk menjadi seorang penyanyi sejak kecil lagi. Lantas, pelbagai pertandingan yang disertainya bagi menunjukkan kepada khalayak bahawa dia ada bakat tersendiri.
Mungkin sudah tertulis bahawa kemenangan mutlak menjadi miliknya saat menjuarai salah satu pertandingan realiti televisyen paling popular di Singapura, Anugerah tahun lalu menewaskan saingan terdekatnya, Maiya Rahman.
“Saya sendiri tidak pernah menyangka akan mengecapi kejayaan sebegini. Sudah pasti, semuanya tidak datang bergolek dan saya perlu bekerja lebih keras lagi dalam memastikan karier saya akan terus bertahan dan diterima oleh peminat saya yang tidak pernah henti menyokong saya,” kata Md Aliff Aziz atau Aliff Aziz yang ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, Aliff di Planet Hollywood, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mungkin ramai juga yang tertanya-tanya siapakah empunya vokal serak-serak basah menerusi lagu paling popular ketika ini iaitu Sayang-Sayang.
Mendengarkan suaranya itu pasti ramai yang menyangka Aliff seorang penyanyi dewasa namun, siapa sangka, anak sulung dari dua beradik ini baru sahaja menginjak usia 17 tahun pada 16 Februari lalu.
Bercerita tentang album sulungnya yang sudah berada di pasaran sejak bulan Disember lalu, Aliff melahirkan rasa kepuasannya tatkala apa yang diidamkannya selama ini termakbul.
“Sudah lama saya kepingin untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer Malaysia terutama sekali lagu ciptaan Azlan Abu Hassan yang memang saya kagum dari dulu lagi.
“Lagu-lagu ciptaan Azlan memang bersesuaian dengan diri saya dan apabila peluang ini datang, saya memastikan saya akan memberikan yang terbaik memandangkan untuk merakamkan album ini menuntut pengorbanan yang besar,” jelasnya jujur.
Tambahnya, dia menghabiskan masa lebih seminggu dalam menyiapkan album sulungnya itu serta perlu berulang-alik dari Singapura ke Malaysia.
Dalam masa itu, dia perlu menghafal lagu dan lirik dalam memastikan dia dapat memberikan kepuasan maksimum kepada penerbit dan komposer.
Rancak bercerita tentang albumnya itu, Aliff turut memberitahu, dia terkejut dengan penerimaan peminat di Singapura dan Malaysia terhadap albumnya.
“Saya diberitahu dalam tempoh dua minggu album itu dipasarkan di Singapura, jualannya sudah mencecah 3,000 unit dan itu sudah cukup menggembirakan saya.
“Di Singapura, single pertama saya adalah Ku Sendiri ciptaan Azlan Abu Hassan tetapi di Malaysia, lagu Sayang-Sayang yang telah menjulang nama saya.
“Apa yang saya harapkan adalah sokongan yang beterusan dari semua pihak terutama peminat serta penyokong saya,” kata bekas pelajar Zhenghua Secondary School, Singapura ini lagi.
Ketika ditanya mengapakah album sulungnya itu tidak mendapat sentuhan dari komposer Singapura, dengan penuh hemat, dia memberitahu: “Itu di luar bidang kuasa saya untuk memberikan jawapannya. Saya tidak kisah menyanyikan lagu dari sesiapa kerana saya suka menyanyi dan ini adalah pekerjaan saya.”
Daripada respons yang diterima, ada yang berpendapat album Aliff hanya sesuai untuk pendengaran budak-budak sekolah dan remaja sahaja.
Apa pula reaksi Aliff berhubung hal itu?
“Saya tidak ada hak untuk mengatakan album saya hanya untuk sasaran golongan tertentu sahaja. Apa yang boleh saya katakan, saya telah memberikan yang terbaik untuk album ini dan secara peribadi, saya percaya album ini mampu diterima oleh semua golongan,” ujar abang kepada pasangan kembar, Nur Aisyah dan Nur Ain ini lagi.
Dalam majlis itu juga, kehadiran lebih daripada 20 orang peminatnya yang menganggotai kelab peminatnya, Aliff Angels turut memeriahkan suasana dan mengambil kesempatan meraikan hari jadinya.
Bukan itu sahaja, Aliff juga berjaya mencipta kejayaan buat dirinya apabila dia berjaya tercalon untuk enam kategori dalam Anugerah Planet Singapura (APM) yang bakal di adakan pada 20 April depan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) iaitu Album Terbaik Singapura (Aliff), Artis Terbaik Singapura, Artis Singapura Paling Popular, Artis Baru Lelaki Terbaik, Lagu Terbaik Singapura (Ku Sendiri) dan Lagu Singapura Paling Popular (Sayang-Sayang).
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Aliff bolehlah melayari laman webnya, www.aliff-aziz.com
Powered by Utusan Malaysia
Saya Masih Waras – Nora
Oleh Norliza Mohamad Zakaria (liza.zakaria@utusan.com.my)
Watak Nora Danish dalam sitkom Puteri menonjolkan bakat lakonannya.
KALAU kaki sudah melangkah ke dunia seni, itulah permulaan kepada seseorang artis itu membenarkan seluruh kehidupannya dikongsi oleh masyarakat.
Apa lagi bagi artis wanita. Segenap inci kehidupannya kalau mahu diintai oleh peminat dan media. Semuanya kerana dia orang popular.
Lalu, apabila pelakon muda Nora Danish dihambat gosip liar khususnya yang berkaitan dengan cerita peribadi, mahu atau tidak dia harus berhadapan dengan situasi itu.
Tidak mampu melarikan diri, jauh sekali memberi 1001 alasan untuk tidak menjawab segala persoalan yang diajukan oleh media kepadanya.
Dan kerana itu, apabila Nora dikaitkan dalam insiden menepis tangan aktres Fasha Sandha dalam satu majlis seperti yang dilaporkan baru-baru ini, pelakon sitkom popular, Puteri itu sekali lagi tidak mampu berdiam diri.
Nora kami hubungi dan pertemuan dengannya diatur Isnin lalu. Bagai sudah menjangka, topik perbualan kami, Nora bersedia ditemu bual.
Naif dan sentiasa merendah diri. Itu kesimpulan yang dapat dibuat mengenai aktres berusia 26 tahun itu.
“Saya tidak tahu kenapa saya terus diuji sebegini. Belum reda isu yang pernah dicetuskan sebelum ini, sekali lagi nama saya dikaitkan dalam insiden ini. Apa salah saya?” sayu nada suara Nora memulakan perbualan.
Barangkali, ada kebenarannya kerana sebelum ini, Nora pernah dilaporkan berhadapan dengan masalah rumah tangga sedangkan dia dan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram cukup bahagia.
Ketika ini, ujar Nora, dia dan suami mahu meraikan sepenuhnya kebahagiaan perkahwinan mereka yang bakal genap dua tahun pada Jun depan.
Apabila kebahagiaan sudah berada dalam dakapan, Nora tidak mahu membebankan diri dengan masalah-masalah kecil yang boleh menjejaskan nama baiknya.
Paling penting, sebagai seorang anak dan menantu dalam sebuah keluarga yang dihormati, Nora sentiasa berusaha untuk tidak mencemar reputasi orang-orang yang sentiasa menyayanginya.
Kalau begitu, bagaimana dia masih dikaitkan dalam gosip-gosip yang tidak manis untuk didengar terutamanya mengenai insiden dia menepis tangan Fasha.
“Saya tidak tepis tangan dia. Apa yang ditulis dalam akhbar itu tidak benar sama sekali. Ia seperti memberi tanggapan buruk terhadap saya.
“Saya ada saksi, masa itu saya bersama beberapa rakan saya. Memang kami ada bersalaman, tapi saya tidak menepis tangan dia (Fasha),” tegas Nora dalam nada kecewa.
Mengakui terkilan dengan tersiarnya laporan tersebut tanpa mengambil sebarang penjelasan daripadanya, Nora tidak menafikan gosip itu benar-benar melukakannya.
Insiden ‘menepis’ tangan itu dikatakan berlaku apabila Fasha yang hadir lewat 10 minit daripada Nora ke majlis tahlil Allahyarham bapa Erma Fatima di Taman Melawati, Selangor, minggu lalu.
“Selama ini saya ambil sikap mendiamkan diri kerana tidak mahu dianggap sebagai mudah melenting.
“Sebaliknya, kini saya dianggap seperti tidak profesional kerana mengenepikan agama dan tidak menghormati majlis.
“Saya ini orang Islam, saya tetap tahu bezakan antara yang baik dengan yang buruk,” Nora meluahkan kesedihan yang sukar dibendung di sanubarinya.
Selama empat tahun menjadi artis, Nora dilihat sebagai antara artis yang ‘bersih’ daripada sebarang gosip dan cerita-cerita panas melainkan kisah rumah tangga dan sengketanya dengan pelakon tersebut.
Walaupun berasa malu dengan tohmahan yang dilemparkan ke atasnya, kata Nora, dia akan tetap bertahan selagi masih terdaya.
“Terus terang saya katakan saya langsung tidak rasa tercabar dengan dakwaan tersebut sebab saya tahu apa yang saya lakukan. Lagipun, Tuhan lebih tahu apa yang berlaku sebenarnya,” luahnya lagi.
Pada masa yang sama, aktres yang berdarah kacukan Arab-Myanmar itu memohon agar dia tidak lagi dikaitkan dengan Fasha selepas ini.
Menurut Nora, dia mahu memulakan hidup barunya dengan lebih matang lebih-lebih lagi selepas menginjak ke usia 26 tahun pada 7 Mac lalu.
Biarpun begitu, Nora mengakui, dia sedia bekerjasama dengan Fasha andai ada tawaran yang mahu menggandingkan mereka berdua dalam mana-mana filem dan drama.
“Secara profesional, saya tak kisah berlakon bersama dengannya. Kalau ada tawaran sebegitu Insya-Allah saya akan terima. Lagipun saya bukannya seorang yang suka berdendam,” jelasnya.
Ke lokasi Puteri The Movie bulan depan
Seperti yang sering disebut, setiap ujian menjanjikan hikmah buat setiap insan dan Nora tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh ganjaran itu.
Rezekinya dalam bidang lakonan terus mencurah apabila dia baru sahaja selesai membintangi telefilem Gadis Cuci yang menyaksikan dia memegang karakter Nasha, seorang gadis pekak.
Projek terbitan Pilot Nasreen Pictures Sdn. Bhd., di bawah arahan Zek Zukry itu turut menggandingkan Darling Ngasri, Fara Fauzana dan Anne Ngasri dan bakal bersiaran Jumaat ini di Astro.
Bulan depan pula, Nora dan rakan-rakan sitkom Puteri bakal ke lokasi bagi memulakan penggambaran filem Puteri The Movie arahan sutradara tersohor, Aziz M. Osman.
Sebelum ini, Nora turut membintangi beberapa filem lain termasuk Senario, Pemburu Emas Yamashita dengan membawa watak sebagai Doktor Lisa dan Gila-gila Pengantin Popular menerusi watak Mala.
Powered by Utusan Malaysia
Ajai, Liza Rancang Kahwin Julai
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA (saharudin.musthafa@utusan.com.my)
|
|
|
SELEPAS bergelar duda, komposer terkenal Ajai, dikaitkan dalam beberapa episod percintaan.
Namun, semua itu saling tidak ubah sekadar gosip semata-mata.
Yang pasti, selepas berakhirnya perkahwinan Ajai dengan penyanyi terkenal, Nurul, ada seorang wanita yang cukup istimewa di hati komposer itu.
Bagi sebilangan besar penggiat seni tanah air, hubungan Ajai dengan Liza yang juga salah seorang pegawai kanan di syarikat pengurusan artis Maestro Talent Management Sdn. Bhd., bukan rahsia lagi.
Justeru, ketika Ajai dikaitkan mempunyai hubungan dengan gadis lain seperti yang dilaporkan hujung minggu lalu, bekas anggota kumpulan Exists itu sekali lagi mendapat perhatian media.
Begitu juga dengan Liza atau nama sebenarnya Norliza Ilias tidak ketinggalan didekati rakan-rakan wartawan.
Sebabnya ialah semua orang mahu mengetahui sama ada Ajai dan Liza masih lagi berpacaran.
Hits berpeluang menemui pasangan romantis itu baru-baru ini.
Kedua-duanya, mengakui, mereka masih lagi menjalin hubungan baik dan sedang merancang menuju hari bahagia.
Menurut Ajai, dia juga bersedia untuk menamatkan zaman dudanya dan sudah tentu pilihan hatinya ialah Liza.
Dan sebagai membuktikan keseriusannya juga, hujung minggu ini, Ajai atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Maas bakal mengunjungi keluarga bakal isterinya itu di Pulau Pinang untuk menyatakan kesediaannya mengambil Liza sebagai isterinya.
“Insya-Allah hujung minggu ini saya akan berjumpa ibu dan ayah Liza untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai hasrat saya.
“Saya mengharapkan, penjelasan ini akan menamatkan segala spekulasi dan cerita-cerita kurang manis yang sering diperkatakan mengenai diri saya,” kata Ajai kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.
Bahkan, Ajai juga memberitahu, keluarganya di Johor juga sudah dimaklumkan berhubung hasratnya itu.
Enggan menunggu lama, Ajai dan Liza pada dasarnya sudah sepakat untuk bernikah pada Julai depan.
Ikrar Ajai, dia mahu menjadi suami yang baik kepada Liza sebaik mereka berdua diijabkabul kelak.
“Perkahwinan pertama banyak memberi pengajaran kepada saya. Saya tidak mahu melakukan kesilapan buat kali kedua.
“Doa saya semoga jodoh saya dengan Liza akan kekal sehingga ke akhir hayat kami berdua,” ujar Ajai lagi.
Buat masa sekarang, Ajai belum bersedia untuk menceritakan dengan lebih lanjut mengenai hari bahagia dia dan Liza.
“Tunggu saja harinya, pasti rakan-rakan media akan diundang,” kata komposer yang cukup terkenal menerusi lagu Percayalah nyanyian Datuk Siti Nurhaliza itu lagi.
Sementara itu, bakal isteri Ajai, Liza pula memberitahu, dia menyerahkan kepada Ajai untuk menentukan tarikh perkahwinan mereka.
“Insya-Allah saya juga sudah bersedia menjadi isteri Ajai,” kata Liza yang berusia awal 30-an itu.
Liza juga mengakui, dia cukup mesra dengan anak Ajai menerusi perkahwinannya dengan Nurul, Ayu Nazirah.
Menurut Liza, dia yakin Ayu juga boleh menerimanya sebagai ibu tiri lantaran kemesraan antara mereka berdua sudah terjalin sebelum ini.
“Saya berdoa rancangan perkahwinan saya dan Ajai akan berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Powered by Utusan Malaysia
Syamsul Buat Yusoff Bangga
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)
TAHUN lalu, penggemar dunia pemotoran dihidangkan dengan filem bertajuk Impak Maksima arahan Ahmad Idham.
Melalui babak-babak aksi lumba yang ditayangkan, ia merupakan formula paling mudah untuk memikat generasi muda bertandang ke pawagam.
Bulan depan, kelangsungan filem bercorak sedemikian diteruskan lagi apabila Syamsul Yusof memberanikan diri menghasilkan filem sulungnya iaitu Evolusi KL Drift.
Egoisme, dendam dan gelodak jiwa yang membara merupakan intipati yang menjadi nadi serta nafas kepada filem tersebut.
Apa yang menarik, Evolusi KL Drift menghidangkan deruman dan pelbagai aksi lumba yang diperhebatkan melalui kemunculan barisan kereta berkuasa tinggi seperti Skyline, RX7 dan 180SX.
Meskipun dikatakan mampu menandingi filem Impak Maksima, sutradara muda yang juga anak kepada jutawan filem, Datuk Yusof Haslam itu bagaimanapun, lebih senang mengambil pendekatan merendah diri.
Menurut Syamsul, penghasilan Evolusi KL Drift bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana filem tetapi ia merupakan sebuah karya yang bakal membawa perubahan kepada industri perfileman.
Mendapat pujian daripada bapanya, Syamsul memberitahu, Evolusi KL Drift mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak perlu dibandingkan dengan filem-filem lain.
“Filem lain ada kekuatan masing-masing dan begitu juga dengan Evolusi KL Drift. Saya tidak mahu meninggi diri dan penontonlah yang layak memberikan penilaian nanti,” ujarnya.
Menghasilkan Evolusi KL Drift kata Syamsul, bukan satu kerja yang mudah.
Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sehinggakan waktu tidurnya selama menjalani penggambaran sekadar terbatas untuk tiga hingga empat jam sahaja.
“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan ibu bapa serta semua pelakon dan krew filem ini,’’ katanya pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift di ibu negara, baru-baru ini.
Evolusi KL Drift mengisahkan dua sahabat, Zack, lakonan Syamsul dan Sham (Farid Kamil) berkongsi hobi dan minat dalam perlumbaan kereta drift.
Kelazimannya bidang permotoran didominasi golongan maskulin tetapi ia tidak menghalang Fasha (Fasha Sanda), teman wanita Zack untuk memecah monopoli itu.
Dalam hubungan Zack dan Fasha dilanda pergolakan, Sham dalam diam menaruh rasa cinta terhadap Fasha.
Apakah kesudahan kekalutan yang melanda? Di manakah garisan penamat sebenar dalam perlumbaan kehidupan Zack dan Shah? Adakah keintiman Fasha dan Sham mampu membina satu ikatan?
Kesemua konflik ini akan terjawab setelah anda menonton Evolusi KL Drift yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 3 April ini.
Evolusi KL Drift diiterbitkan secara usaha sama dengan antara Skop Productions Sdn. Bhd., dengan Grand Brilliance Sdn. Bhd.
Filem tersebut turut dibintangi Aaron Aziz, Iqram Dinzly, Shaifuddin Hashim, Rizal Ashraf, Hetty Sarlene dan Diana Danielle.
Merajuk dengan bapa?
Sementara itu, pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift baru-baru ini, Yusof mendedahkan rahsia yang anaknya itu pernah merajuk sebelum filem itu dihasilkan.
Menurut Yusof, ia berlaku begitu kerana kerana skrip asal filem itu yang diserahkan oleh anak terunanya pada tiga tahun lalu itu bukan sahaja dipandang sepi tetapi menerima kritikan keras oleh Yusof.
Disebabkan itu, Syamsul bagaikan mengasingkan diri sehingga menyerahkan sekali lagi skrip Evolusi KL Drift kepada Yusof pada tahun lalu.
Menjawab mengenai perkara itu, Syamsul berkata: “Ketika itu saya memang marah tetapi disebabkan kritikan bapa, saya akhirnya kembali dan dapat menghasilkan satu skrip yang mantap.”
Kata Syamsul, filem yang mengambil masa 38 hari pengambaran itu pada awalnya direncanakan penerbitannya dengan kos sebanyak RM1 juta tetapi terbabas kepada RM2 juta.
“Aksi di jalan raya terpaksa menggunakan ramai stuntman. Kamera juga perlu banyak. Sebab itu bajet terbabas.
“Tapi, Alhamdulillah, akhirnya siap juga filem ini,’’ ujarnya sambil menambah bapanya turut menyumbang idea dalam pembikinan Evolusi KL Drift.
Pada masa yang sama, ada khabar yang menyebut Evolusi KL Drift bakal ditayangkan di Jepun.
Menjawab persoalan itu, Syamsul berkata: “Memang ada sebuah syarikat pemotoran di Jepun berminat untuk membawa filem ini ke sana. Tetapi, sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak, kena tunggulah nanti,’’ katanya ringkas.
Powered by Utusan Malaysia
Komedi Lemah Dalam Duyung
ANTARA cerita dongeng yang begitu popular hingga ke seluruh dunia ialah duyung iaitu sejenis ikan yang berbadan dan kepala manusia wanita yang jelita, tetapi kakinya adalah ekor ikan.
Dongeng duyung sudah berada begitu lama sejak zaman Rom lagi. Ia dipopularkan lagi oleh penulis Denmark, Hans Christian Anderson melalui cerita kanak-kanaknya, The Little Mermaid hinggakan patung duyung telah menjadi ikon pelabuhan Copenhagen yang begitu terkenal.
Kewujudan duyung sama ada ia dongeng terus menjadi misteri yang begitu menarik.
Disebabkan oleh populariti dan misteri kisah dongeng duyung, ia telah difilemkan dengan beberapa pendekatan, antara yang cukup popular ialah filem Splash (1984) lakonan Tom Hanks dan Daryl Hannah dan filem animasi Walt Disney, Little Mermaid (1989).
Malah filem Melayu keluaran Cathay Keris semasa di Singapura juga telah pernah menghasilkan filem Duyung. Yang terbaru tentulah filem Duyung, lakon layar dan arahan oleh Abdul Razak Mohaideen terbitan KRU Films.
Sebagai sebuah filem, Duyung ialah sebuah filem dalam genre fantasi moden. Sebagai sebuah filem fantasi, ia sebenarnya sama dalam kelompok filem seram dan fiksyen sains.
Filem fantasi meneroka subjek yang kita sebenarnya tidak begitu tahu atau pasti dan ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang real.
Fantasi ini sebahagian daripada realiti di bawah sedar dan dunia mimpi. Bagaimanapun, sebagai sebuah filem fantasi moden, Duyung samalah seperti filem Jurassic Park (1993) arahan Steven Spielberg, filem yang menghidupkan semula dinosaur yang telah pupus ribuan tahun dahulu.
Filem ini telah mengkaburkan elemen rekaan dan realiti melalui kehebatan mise en scene ciptaan teknologi digital CGI.
Dalam Duyung, watak Jimmy (Saiful Apek) digambarkan sebagai gemar berimaginasi tentang kemunculan duyung, makhluk yang sering diceritakan oleh ibunya semasa Jimmy kecil lagi. Kerana sikapnya itu, Jimmy yang sering ditemani Orix (lakonan Yassin) makhluk seperti beruk tidak dihiraukan oleh penduduk kampung dan sering dianggap gila.
Bagaimanapun, pada suatu malam Jimmy benar-benar dikunjungi ikan duyung yang bernama Puteri (lakonan Maya Karin).
Kemunculan ikan duyung yang diceritakan oleh Jimmy bagaimanapun tidak dipercayai oleh orang kampung sehinggalah duyung tersebut dapat dijerat oleh pukat Kordi (Awie) dan dipertonton kepada orang kampung.
Jimmy terpaksa menyelamatkan si duyung yang hendak dijual oleh Kordi kepada taukeh sarkis.
Dari satu aspek terdapat keselarasan menarik dalam naratif filem duyung ini. Antara Jimmy yang gemar berimaginasi hingga sering tenggelam dalam dunia ilusinya dan pertemuannya dengan si duyung selaras dengan dunia khayalan dan dunia sebenar.
Dan pertemuan itu berlaku di waktu malam dan secara rahsia antara mereka berdua sahaja. Oleh sebab itu pertemuan antara Jimmy dengan Duyung boleh sahaja sebenarnya tidak berlaku dan ia hanya muncul dalam imaginasi Jimmy.
Tetapi apabila kemunculan duyung menjadi heboh di kampung itu, duyung akhirnya terpaksa menghilangkan diri demi keselamatan dirinya.
Dan kisah duyung ini kemudiannya akan kekal dalam ingatan orang kampung sahaja.
Bagaimanapun, naratif dalam Duyung tidak benar-benar mengangkat watak Jimmy dan si Duyung dengan pendekatan dan gagasan yang lebih menarik.
Yang diutamakan oleh naratif filem ini ialah adegan komik dan lucu. Duyung sebagai makhluk yang penuh misteri tidak diperlihatkan elemen mistiknya.
Malah apabila imej duyung sudah dimuncul seawal pembukaan filem ini maka ia telah menghilangkan kesan misteri dalam kisah fantasi yang menjadi kunci utama filem Duyung.
Kelemahan ini sebenarnya adalah sebahagian daripada kelemahan ketara plot filem ini yang gagal meyakinkan kita dengan struktur penceritaan melalui jalinan watak dan peristiwa yang menarik.
Hubungan watak Jimmy dengan watak Puteri tidak memperlihatkan hubungan yang istimewa.
Begitu juga hubungan tiga segi Jimmy dengan gadis pujaannya Aspalela (Yasmin) dan Kordi adalah lemah untuk menghasilkan konflik hubungan.
Malah, Saiful Apek yang memegang watak Jimmy langsung tidak dapat membezakan antara diri dan lawaknya seharian dengan melakonkan watak Jimmy.
Sebab itu kita dapat mendengar dialog-dialognya yang ‘entah apa-apa’.
Walaupun sebuah filem komedi memerlukan dialog yang disampaikan secara spontan tetapi ia perlu terkawal dan yang penting mempunyai makna.
Malah filem ini tidak ubah seperti sebuah drama radio yang mana adegan-adegannya sentiasa dipenuhi dengan dialog yang panjang hingga membosankan.
Kasihan Maya Karin yang memegang watak Duyung, dia hanya perlu berenang dan muncul di permukaan air, tetapi kemunculannya tidak membawa banyak makna dan tujuan.
Sebagai sebuah filem komedi, Duyung sebenarnya boleh menjadi cukup menarik jika dialognya terkawal dan naratifnya dapat mengeksploit elemen suspen dan misteri dengan baik.
Tetapi disebabkan pengarahnya gagal memberikan pendekatan baru, maka Duyung sekadar sebuah filem hiburan dan komedi biasa sahaja.
DUYUNG
Arahan: Abdul Razak Mohaideen
Lakon layar: Abdul Razak Mohaideen
Pelakon: Saiful Apek, Maya Karin, Yasmin Hani, Yassin, Awie, Abu Bakar Omar, Rosnah Mat Aris, Raja Noor Baizura dan lain-lain.
Powered by Utusan Malaysia
Misha Sabar Menanti
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL (shazryn.faizal@utusan.com.my)
|
|
|
SETIAP kali jika bertemu dengan si dara kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini persoalan yang akan diajukan padanya pastinya mengenai album solo ketiganya yang masih belum menampakkan bayangnya di pasaran.
Tahun demi tahun, peminat setianya ternanti-nanti akan bingkisan terbarunya sedangkan dua singlenya sebelum ini iaitu Nafas Cahaya dan Sembunyi sudah meraih perhatian yang cukup meluas.
Ketika ditemui baru-baru ini, Misha Omar atau nama sebenarnya, Samihah@Aisah memberitahu, dia sentiasa sabar menanti tentang album ketiganya kerana apa yang diutamakannya ialah kualiti dan kepuasan yang bakal dinikmati pendengar dan peminatnya nanti.
“Saya rasa tidak perlu terburu-buru untuk mengeluarkan album. Apa yang utama ialah kualiti.
“Saya tidak mahu seandainya saya keluarkan album dengan cepat tetapi kualitinya tidak memuaskan. Nanti, saya yang ditempelak balik oleh peminat,” jelasnya yang sebelum ini muncul dengan album Misha (2002) dan Aksara (2004).
Menurut penyanyi yang mula meledak dengan lagu Bunga-Bunga Cinta itu, dia mengambil contoh Anuar Zain dan penyanyi antarabangsa, Alicia Keys yang berjaya melahirkan album berkualiti meskipun jarak penghasilan album terbaru mereka dengan album sebelum ini begitu jauh.
“Tetapi, peminat mereka setia menanti dan penerimaan peminat terhadap lagu-lagu mereka begitu positif sekali,” kata ibu angkat kepada Muhammad Adam Emir yang kini sudah mencecah usia setahun tujuh bulan.
Namun, Misha tidak mampu untuk menolak kebimbangannya andai kata peminatnya akan lari dan bosan menunggu albumnya khususnya buat mereka yang menyokongnya hampir enam tahun menjadi anak seni.
Bimbang
“Saya akui agak bimbang juga seandainya mereka tidak lagi setia bersama saya. Seperti yang kita lihat, semakin hari semakin ramai artis yang dilahirkan di Malaysia menerusi pertandingan realiti TV dan sebagainya.
“Apa pun, saya mahu mengambil sikap optimis dan percaya peminat setia saya akan sabar menanti menunggu kelahiran album ketiga saya. Insya-Allah, saya akan pastikan ia akan dikeluarkan pada tahun ini juga. Cuma, ada dua buah lagu sahaja lagi yang belum dirakamkan,” ujar finalis Bintang RTM 2001 itu lagi.
Menjelaskan rasional kelewatan penerbitan album itu juga, kata Misha, dia mahu mencari kelainan dalam jalur muzik yang dibawakannya.
Semua itu dilakukannya semata-mata kerana enggan mengulangi formula yang sama yang digunakan dalam dua album solonya sebelum inii.
“Saya mahu menonjolkan kreativiti dan versatiliti saya sebagai seorang penyanyi. Saya percaya jika kita berusaha untuk mencuba sesuatu yang baru, peminat pasti akan menerimanya dan tidak mustahil untuk seseorang penyanyi itu mengumpul pula peminat yang baru,” ujar pemilik vokal lagu Pulangkan dan Ku Seru ini lagi.
Misha turut memanjatkan rasa syukurnya kerana lagu Nafas Cahaya dan Sembunyi yang dinyanyikannya secara duet bersama Andy, menerima maklum balas yang cukup positif daripada peminat serta dipertandingkan dalam beberapa pertandingan nyanyian.
“Kejayaan lagu Sembunyi misalnya, yang berjaya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) baru-baru ini dan tidak lama lagi di Hits 1 pula, sudah cukup menggembirakan saya.
“Itu bagaikan satu petanda bahawa perubahan yang saya lakukan berjaya dan diterima ramai. Malah, saya rasa penyertaan saya di pentas AJL22 membuktikan bahawa saya masih berada di persada seni,” ujarnya yang turut popular dengan lagu Tak Ku Duga dendangannya bersama Saiful Malaysian Idol musim pertama.
Namun begitu, Misha memberitahu, buat masa ini, dia tidak memikirkan lagi sama ada mahu mengeluarkan single ketiganya.
Powered by Utusan Malaysia
Kakak Siti Nurhaliza Antara Calon Baru AF6
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KUALA LUMPUR 10 Mac – Siti Norsaida Tarudin, 32, yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpilih antara 25 orang calon pelajar Akademi Fantasia 6 (AF6) yang akan mula siarannya 17 Mac ini.
Bukan itu sahaja, percubaan seorang ibu tunggal dan nenek kepada dua orang cucu, Hairina Abd. Halim, 44, juga membuahkan hasil apabila turut terpilih dan dikatakan bakal memberi saingan hebat untuk musim ini.
Penyertaan Hairina atau Rina yang mempunyai pengalaman 25 tahun menyanyi di kelab malam itu membuktikan langkah Astro membenarkan had umur 45 tahun untuk menyertai program realiti TV itu dipandang positif.
Pengumuman kesemua calon pelajar tersebut dilakukan di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Pada majlis yang sama juga, Astro turut mengumumkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan penyanyi terkenal, Ning Baizura sebagai pengkritik tetap yang akan menilai persembahan para peserta pada konsert mingguan yang akan bermula 22 Mac depan.
Namun begitu, kesemua 25 calon pelajar itu akan disaring selama tiga hari bermula esok oleh pengetuanya, Ramli MS dan barisan tenaga pengajar yang lain dalam memilih pelajar yang terbaik.
“Saringan tersebut merangkumi penyertaan calon-calon berkenaan dalam sesi orientasi dan kelas-kelas tertentu sepanjang tiga hari tersebut di satu tempat yang dirahsiakan.
“Di peringkat ini jugalah, Ramli MS dan jenteranya akan menilai peserta yang memang layak dan terbaik sebelum diserapkan menjadi pelajar AF6,” jelas Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Amirullah.
Tambahnya, penonton dan peminat AF akan dapat mengetahui senarai akhir yang akan diumumkan oleh pengacara, Sarimah Ibrahim menerusi Tirai Akademi Fantasia Episod 3 yang akan disiarkan 16 Mac ini di saluran Astro Ria bermula pukul 8.30 malam.
Zainir turut memberitahu penyertaan bagi AF6 merupakan antara yang tertinggi berbanding lima musim lalu apabila pihaknya menerima lebih daripada 6,000 penyertaan di lima buah lokasi sesi uji bakat.
AF6 akan dimulakan dengan Diari Akademi Fantasia yang bermula pada 17 Mac depan manakala konsert mingguan yang akan dihoskan oleh AC Mizal pula akan diadakan setiap malam Sabtu bermula 22 Mac ini.
Powered by Utusan Malaysia