MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Ika Ingin Berlakon, Mengacara

Posted by admin on April 3rd, 2008



Oleh Nor Akmar Samudin

Rap

PELAJAR Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Ika Nabila Abdul Rahim, 19, menyedari kekurangan bakat dalam bidang nyanyian lantas ingin mengorak langkah sebagai pelakon dan pengacara.

Katanya, dia pernah menyertai pertandingan nyanyian peringkat sekolah dan anjuran pihak tertentu di tempat kelahirannya, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang tetapi perasaannya berbeza ketika berhadapan AF6.

“Baru dua minggu di akademi, tidak banyak yang dapat dipelajari. Jika terus berpeluang mengikuti pembelajaran di akademi, saya yakin boleh menyanyi dengan baik hasil bantuan tenaga pengajar berpengalaman.

“Sebelum ini sudah biasa menyanyi tetapi apabila masuk ke akademi terasa banyak kekurangan diri terutama teknik nyanyian.

“Saya akui gementar melihat penonton dalam dewan itu. Apa pun saya sudah mencuba sebaik mungkin dan mungkin setakat itu saja rezeki saya di akademi.

“Saya akan meneruskan cita-cita menjadi penyanyi dengan belajar vokal bersama cikgu Siti Hajar,” katanya selepas konsert minggu kedua Sabtu lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu masih belajar di Island College of Technology (bawah penyeliaan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang), dalam tahun satu, pengkhususan komunikasi.

Demi menyertai AF6, dia terpaksa bercuti seketika. Namun, perjuangan Ika sudah berakhir apabila disingkirkan pada konsert minggu kedua.

“Saya gembira dapat masuk AF6 kerana itulah harapan ibu bapa yang memahami minat saya dalam seni.

“Oleh itu saya akan berusaha mencari tapak dalam persada seni sama ada sebagai penyanyi, pelakon atau pengacara.

“Kalau ada peluang, teringin juga berlakon iklan komersial. Perjuangan saya tidak boleh terhenti setakat di sini saja. Saya berharap pihak pengurusan Maestro Talent and Management dapat mengurus kerjaya seni saya dengan baik,” katanya.

Terkenang ketika dia masih di akademi, Pengetua AF6, Ramli MS pernah minta Ika menukar lagu lain apabila dia tidak mampu membawakan lagu Umbrella nyanyian asal Rihanna.

Menjelaskan perkara itu, apabila diminta Astro untuk menyenaraikan lagu kegemarannya dia memilih beberapa lagu termasuk Umbrella, Gelombang (Salamiah Hassan) dan Menghitung Hari (Kris Dayanti).

“Ketika masuk pertandingan nyanyian di Pulau Pinang dulu pun, saya tidak pernah membawakan lagu itu. Jadi saya tidak tahu sejauh mana kemampuan saya untuk menyanyikannya,” katanya.

“Saya tak sangka antara lagu yang disenaraikan itu terpilih untuk dinyanyikan pada konsert mingguan pertama AF6. Saya sudah hafal lagu Umbrella tetapi pada hari Rabu, Ramli minta saya tukar lagu itu dengan lagu Kesetiaan (Siti Sarah Raisuddin).

“Kesetiaan juga lagu bernada tinggi tetapi jika saya masih berkesempatan belajar di akademi, saya pasti dapat menyanyikannya. Bagaimanapun, pengetua lebih tahu kemampuan pelajarnya.

“Sungguhpun begitu, terasa sedih dan rendah diri apabila disuruh tukar lagu. Konsert mingguan kedua pula, saya menyanyikan lagu Dina, Malu Tapi Mahu, yang bernada tinggi juga. Lagu itu memang menguji keupayaan saya,” katanya.

“Dibandingkan pelajar lain, ada yang sudah mempunyai pengalaman menyanyi tetapi saya baru lagi. Ketika uji bakat dulu OK saja tetapi apabila berjaya ke akademi, lain pula rasanya. Baik atau buruk ia tetap pengalaman yang menarik,” katanya.

Powered by Harian Metro

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>