Oleh FAIZAL SAHARUNI

PENERBIT dan pelakon Afdlin Shauki (kiri) menerima cek pemulangan duti hiburan daripada Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal (tengah).
SEJAK kebelakangan ini, industri perfileman tempatan mengalami perubahan sihat bermula tahun 2000 apabila jumlah penerbitan filem meningkat dengan purata 23 filem setahun.
Ia dapat dibuktikan melalui kutipan kasar filem di Malaysia memperlihatkan kenaikan kepada 10.9 peratus dengan RM26.71 juta pada 2005 kepada RM29.62 tahun 2006.
Sementara itu, jumlah penonton yang menonton di 68 buah pawagam pada tahun 2006 sebanyak 27.87 juta naik kepada 33.55 juta di seluruh Malaysia.
Secara rasminya, perolehan sasar itu menonjolkan perubahan ketara daripada RM234.98 juta pada 2006 kepada RM289.31 tahun 2007.
Barangkali, situasi ini memberi perkhabaran baik buat semua penggiat seni untuk menghasilkan produk bermutu dan berkualiti.
Secara tidak langsung, bidang seni di negara ini yang dulunya dianggap malap akan mempamerkan sinar cerah sekali gus mengangkat martabatnya di satu tahap membanggakan.
Dan selaras dengan pembangunan arena filem tanah air yang berpaksi kepada Dasar Perfileman Negara (DPN), insentif diwujudkan kepada golongan karyawan sebagai dorongan atas kerja keras yang dijana sebelum ini.
Hal itu dapat dijelaskan menerusi pemberian pulangan duti hiburan filem kepada sekumpulan penerbit filem dalam satu skim galakan kewangan yang diberi kerajaan sejak dilaksana pada tahun 1988.
Sepanjang tempoh dua dekad berlalu, sebanyak RM35 juta dipulangkan semula kepada penerbit dan pulangan kali ini melibatkan jumlah RM4 juta untuk 24 buah filem yang diterbitkan dari April hingga Disember 2007.
Cicakman yang pernah meraih tumpuan audiens sebelum ini keluaran KRU Communications Sdn. Bhd. serta dibintangi Yusry, Aznil Nawawi, Fasha Sandha dan Saiful Apek turut menerima pulangan duti hiburan berjumlah RM726,792.17.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Berhad, Norman Abdul Halim berkata, skim tersebut mampu memberi galakan berterusan kepada penggiat filem untuk menghasilkan naskah bermutu serta diiktiraf peringkat antarabangsa.
“Memang pulangan duti hiburan banyak membantu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan duti hiburan dan menandatangani perjanjian persefahaman antara Finas dan National Geographic Channel di Kompleks Finas, Hulu Klang baru-baru ini.
Beritahu Norman lagi, sebelum ini minggu pertama tayangan sesebuah filem di pawagam, 50 peratus harus dibahagi sama rata antara pihak panggung dan penerbit.
“Minggu kedua, ketiga dan seterusnya semakin berkurangan antara jumlah yang diperoleh penerbit.
“Saya lihat skim ini beri keseimbangan dan kesaksamaan daripada segi perkiraan yang diputuskan.
“Jumlah yang kami perolehi dalam pulangan dana ini sebenarnya masih belum dicampurkan dengan perolehan daripada negeri lain.
“Walaupun terima duit ini lambat sedikit setelah setahun filem itu ditayangkan, saya tidak anggapnya sebagai satu masalah,” ujarnya.
Selain Cicakman, antara filem yang turut menerima duti hiburan ini ialah Buli Balik, Cinta, Bilut, Cinta Fotokopi, Chermin, Tentang Bulan, Jangan Pandang Belakang, Qabil Khushry Qabil Igam, Cinta Yang Satu, Sumolah dan Zombie Kampung Pisang.
NORMAN KRU
Grand Brilliance Sdn. Bhd., Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd., Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Vision Works Sdn. Bhd, Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. antara syarikat dan penerbit yang tersenarai dalam skim galakan kewangan berkenaan.
Powered by Kosmo