Mahu Kurang Tampil Seksi
Posted by admin on April 25th, 2008
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
ORANGNYA cantik, tutur kata pula sopan. Sayang sekali dia sering menjadi mangsa gosip dan fitnah. Namun dia tidak cepat melatah dengan semua itu. Bagi gadis manis bernama Fasha Sandha, 24, perkara itu sudah menjadi asam garam hidupnya.
Katanya, sebagai artis dia tidak pernah ‘terlepas’ daripada menjadi mangsa manusia yang suka bercakap dan menikamnya dari belakang. Malah ketika di alam persekolahan dulu Fasha mengakui sudah berhadapan dengan manusia seperti itu.
Pemenang Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 07) buat kali kedua ini mengakui menerima lamaran daripada MIG Beats Sdn Bhd untuk menjayakan drama Jangan Main Belakang kerana jalan ceritanya ada kaitan dengan semua ini.
“Saya tertarik dengan kisah yang diselitkan dalam drama bersiri arahan Feroz Khan kerana ia memaparkan kisah realiti yang mengetengahkan masalah kehidupan seharian manusia yang suka cakap dan tikam belakang.
“Saya terus tertarik sebaik saja membaca skripnya. Bagi saya cerita yang dimuatkan ada persamaan dengan kehidupan saya yang sebenar.
“Ini realiti kehidupan yang saya pernah lalui. Justeru saya amat berharap penonton mendapat mesej yang baik apabila drama Jangan Main Belakang disiarkan nanti. Pada saya, semoga semua orang lebih bersikap jujur antara satu sama lain.
“Apapun, watak Kiska yang saya jayakan boleh dianggap sebagai ‘penyelamat keadaan’. Namun pada masa sama saya juga menjadi mangsa teman serumah yang pelbagai kerenah seperti Julia lakonan Anne Ngasri, Mimi (Jue Aziz) dan Rafael Chan (Jesse Lim),” katanya ketika ditemui di majlis kesyukuran drama itu, baru-baru ini.
Pelakon dan juga duta produk ini mengakui Jangan Main Belakang adalah drama bersiri komedi pertama lakonannya. Katanya, skrip drama ini amat menarik dan dia gembira bekerjasama dengan orang yang biasa bekerja dengannya.
“Feroz tidak cerewet dan boleh bertolak-ansur. Dia tidak mengikat kreativiti pelakon dan apa saja yang hendak dilakukan, tiada halangan. Jadi, aksi komedi dalam drama ini begitu bersahaja serta tidak dibuat-buat.
“Bahkan saya banyak belajar daripada Anne. Apapun, kerja dalam produksi ini memang seronok kerana kami semua rapat dan ibarat satu keluarga. Ia memudahkan proses penggambaran berjalan lancar dan kini kira-kira 70 peratus sudah siap,” katanya.
Ditanya antara filem dan drama, yang mana memberi kepuasan kepadanya, anak kedua daripada lima beradik ini tanpa berselindung mengakui kepuasannya lebih kepada drama. Fasha yang sudah berlakon empat drama berkata, berlakon drama memberi peluang untuknya lebih mendekati penonton.
“Selain itu, saya turut berpeluang mencorakkan lakonan sendiri kerana masa yang panjang. Kalau filem pula, ia suntuk kerana terhad. Justeru, terus-terang dikatakan saya belajar berlakon daripada drama. Berbanding dulu, sekarang memang ada peningkatan.
“Daripada aspek watak, tidaklah hanya memaparkan wajah saya semata-mata tetapi lakonan yang menampilkan karakter berbeza-beza. Umpamanya dalam drama Natasha, saya melakonkan watak gadis malang dan asyik menangis setiap hari.
“Tangisan saya itu asli dan tidak sedikit pun menggunakan ‘eye more’ (pencuci mata). Itu yang membuatkan saya puas dengan mutu lakonan. Selain Natasha, berlakon dalam Jangan Main Belakang pun memberikan saya satu kepuasan,” katanya.
Mengenai kekuatan dirinya menghadapi segala gosip, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan, Fasha berkata dia sering membayangkan dirinya sebagai Natasha. Malah Fasha menjadikan Natasha ‘idola’ dirinya untuk sentiasa kuat dan tabah.
“Oleh itu, saya ambil pendekatan tidak kisah dengan apa orang hendak cakap pasal diri ini. Saya bukan saja berfikiran positif tetapi pastikan jalani hidup dengan gembira selalu. Malah, saya juga yakin peminat sekarang sudah pandai menilai.
“Semuanya dapat saya lihat apabila masih dipilih memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular di ABPBH2007 lalu. Biarpun tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang, rezeki masih berpihak kepada saya atas sokongan peminat.
“Saya amat berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu menyokong karier seni yang saya ceburi. Prinsip saya ialah memberi lakonan berkualiti supaya terus diberi tawaran,” katanya yang sudah berlakon enam filem di bawah arahan Prof Madya A Razak Mohaideen.
Terbaru, Fasha membintangi filem Cinta U-Turn berganding dengan Awie. Penampilannya bersama Awie dalam filem itu mula mendapat perhatian ramai apabila gambar seksinya dalam satu babak dalam filem itu disebarkan di Internet.
Mengulas perkara itu, Fasha berkata, dia tidak berniat tampil seksi tetapi dia tiada pilihan kerana kostum itu sudah disediakan. Dia berharap peminat memahaminya.
“Sebenarnya saya sudah berniat hendak kurangkan penampilan seksi ketika sambutan ulang tahun hari lahir yang ke-24 pada 28 Mac lalu. Ini kerana saya tahu peminat tidak suka dan saya juga sentiasa bersikap terbuka menerima apa saja teguran mereka.
“Saya sedar ketika seksi dulu, saya masih ikut darah remaja. Kini niat itu timbul kerana saya sekarang sudah matang berfikir. Saya sudah dewasa akibat pelbagai masalah dan kontroversi sekitar awal tahun ini,” katanya.
Apapun, tatkala berbicara soal menamatkan zaman bujang, pelakon filem Nana Tanjung ini tersenyum mengakui dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berkahwin pada usia muda. Namun katanya, dia masih mencari-cari calon sesuai dan berkenan di hati.
Menjadikan aktres Sofia Jane sebagai idolanya dalam lakonan, Fasha berkata dia turut menyimpan impian melakonkan watak berat seperti Sofia dalam filem Perempuan, Isteri dan…
Katanya, dia berharap dapat bekerja dengan pengarah U-Wei Shaari dan Shuhaimi Baba.
Profil
NAMA: Nur Fasha Sandha Hassan
NAMA KOMERSIAL: Fasha Sandha
UMUR: 24 tahun
KERJAYA: Pelakon dan Model
ASAL: Pulau Pinang
KELUARGA: Anak kedua daripada lima beradik
DRAMA/ TELEFILEM: Kasih… Relaku Pujuk, Songket Cinta Bertenun Duka, Natasha,
Natasha 2, Dengan Nama Cinta, Rumah Itu Dunia Ku, Mentari Jingga, Usia
Seiras dan Jangan Main Belakang
FILEM: Black Maria, Anak Halal, 9 September, Skrip 7007 (belum
ditayang), Nana Tanjung 1 & 2, Badai Pasti Berlalu, Cicak Man, Cinta,
Bujang Senang, Gong, Anak Mami Kembali, SH3, Berlari Ke Langit, Bintang
Hati, Evolusi KL Drift dan Cinta U-Turn.
IKLAN: Maxis, Petronas, Nokia, Darlie dan Pantene.
PENCAPAIAN: Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita
Harian ABPBH 2005, Pelakon TV Wanita Popular & Pelakon Filem Wanita
Popular ABPBH 2006 dan Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2007
DUTA PRODUK: Maybeline, Garnier dan Bata
Powered by Harian Metro