Abie Abdullah
abie@hmetro.com.my
BUAT pertama kali dalam sejarah saya menonton Anugerah Planet Muzik (APM) baik di Singapura mahupun di Kuala Lumpur sebelum ini, inilah yang terbaik pernah dilakukan penganjur. Memang celanya tetap ada tetapi berbanding yang dulu, APM 2008 boleh dianggap terbaik.
BUAT pertama kali dalam sejarah saya menonton Anugerah Planet Muzik (APM) baik di Singapura mahupun di Kuala Lumpur sebelum ini, inilah yang terbaik pernah dilakukan penganjur. Memang celanya tetap ada tetapi berbanding yang dulu, APM 2008 boleh dianggap terbaik.
Ketepikan soal penghubung media APM 2008 yang gagal berhubung baik dengan wakil media Ahad lalu buat sementara. Saya lebih terpaut dengan kelainan APM kali ini yang menampilkan hanya seorang pengacara – Sarah Sechan.
Berbeza dulu dengan tiga atau empat hos, dengan harapan sebagai lambang perpaduan tiga negara – Malaysia, Singapura dan Indonesia. Idea itu memang baik tetapi hakikat pelaksanaannya lebih nampak bercelaru daripada kebaikan idea asalnya kerana masing-masing seolah-olah berebut bercakap serta menunjuk pandai.
Bagaimanapun, APM 2008 menampilkan selamba Sarah, tidak perlu cakap banyak tetapi caranya bersahaja menghiburkan sebagaimana hiburan yang ditampilkan malam itu. Datuk Siti Nurhaliza walaupun dengan hanya satu lagu, Fantasia Bulan Madu mendominasi persembahan malam itu.
Tidak terkecuali gabungan Dayang Nurfaizah, Judika dan Hady Mirza untuk segmen Lagu Terbaik, serta Taufik Batisha, Mila dan Faizal Tahir.
Malam itu lebih cenderung kepada persembahan APM 2008 walaupun kemuncak sebenarnya berfokus kepada penyampaian hadiah. Secara peribadi, boleh dikatakan persembahan artis malam itu yang terbaik setakat ini untuk sebuah majlis anugerah.
Ada baiknya juga hanya seorang pengacara, itu pun harus memilih yang tepat. Tidak seperti penganjuran sebelum ini yang membuatkan saya kadang-kadang terasa malu dengan ‘gurauan’ mereka dan selalunya bosan dengan ‘fiil’ kena mengena antara mereka walaupun ada ketikanya pernah Sarah turut sama ‘berjuang’ di dalam senarai pengacaraan APM.
Sebaliknya jenaka Sarah malam minggu lalu tidak perlu terburu-buru. Skrip spontan mengenai ‘kegantengan’ Anuar Zain, Miss-misteri dan si cantik yang rendah mengundang tawa penonton. Tidak keterlaluan dan menjadikan malam itu lebih santai dan rileks. Sarah memberi kenangan manis untuk sejarah APM.
Manis bertambah ketara dengan pemilihan penyampai anugerah. Penampilan model dan selebriti termasuk Nasha Aziz, Maya Karin, Erra Fazira dan Debra Henry sebagai penyampai begitu profesional. Ringkas tetapi manis.
Tidak seperti kebiasaan yang perlu mengheret dua tiga selebriti untuk menyampaikan hanya satu anugerah. Untuk ke pentas saja, sudah makan masa. Ucapan mereka juga tidak merapu kepada perkara bukan-bukan. Hanya terus kepada tugas yang dipertanggungjawabkan.
Tiada masa untuk bertanya khabar atau memuji cantiknya baju kerana mereka yang ditampilkan penganjur APM kali ini sememangnya cantik yang mencantikkan perjalanan majlis itu sendiri. Bagaimanapun dalam pujian ini, bukannya bermakna APM sempurna sangat.
Namun kecacatan kecil tidak memporak-perandakan keseluruhan gemilang malam itu. Tidak keterlaluan tetapi baik-baik saja. Rasanya penganjur anugerah lain perlu melihat APM 2008 sebagai contoh produksi dan penganjuran anugerah tempatan.
Saya bersetuju dengan penulis blog terkenal, Badrul Hashim yang berpendapat APM 2008 majlis anugerah terbaik setakat ini yang pernah dia lihat baik secara langsung mahupun di TV. Malah kami sependapat mengenai penggunaan seorang hos.
Dia membandingkan ‘award shows’ luar negara yang kebanyakannya hanya ada seorang saja hos. Betul juga katanya kalau kita perhatikan penganugerahan besar seperti Grammy atau Oscar.
Bagaimanapun ada juga yang tidak dipersetujuinya pasal APM tetapi tidak perlulah saya salin di sini. Kalau nak tahu lebih lanjut, cuba layari badrulaftersix.blogspot.com. Bukan untuk promosi tetapi ada baiknya berkongsi cerita dengan penulis blog ini.
Powered by Harian Metro