Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Bank Rakyat Sasar Untung Kasar RM1 Bilion

Posted by admin on April-26-2008 Add Comments


Oleh CYNTHIA YEOH

KAMARUZAMAN CHE MAT (kanan) menunjukkan poster Karnival Bank Rakyat 2008 sambil disaksikan oleh selebriti Jaafar Onn (kiri) selepas pengumuman prestasi kewangan suku pertama 2008 Bank Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 April – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) menetapkan sasaran mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, sasaran itu berikutan peningkatan keuntungan sebelum cukai dan zakat bank itu bagi tiga bulan pertama berakhir 31 Mac, tahun ini.

”Keuntungan sebelum cukai dan zakat meningkat sebanyak 40.3 peratus kepada RM250.4 juta berbanding RM 178.5 juta, pada tempoh yang sama, pada tahun lalu.

”Peningkatan ini adalah hasil kenaikan pendapatan untung bersih dan pendapatan berasaskan fi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Bank Rakyat 2008, di sini hari ini.

Menurut Kamaruzaman, sasaran tersebut mampu dicapai disebabkan pertumbuhan kukuh pembiayaan Bank Rakyat sebanyak 22.4 peratus kepada RM23.8 bilion dan penambahbaikan ke atas kualiti aset.

”Baki bersih pembiayaan konsumer kita meningkat sebanyak 21 peratus kepada RM23.2 bilion, manakala nisbah pembiayaan tidak berbayar bersih telah menurun kepada 2.2 peratus daripada 2.7 peratus,” katanya.

Tambahnya, pembiayaan konsumer adalah tumpuan utama kerana ia menyumbang 94.1 peratus daripada keseluruhan pembiayaan bank itu, manakala bakinya daripada pinjaman komersial.

”Jumlah aset dan deposit masing-masing telah meningkat sebanyak 21.1 peratus kepada RM34.6 bilion dan 14 peratus kepada RM27.2 bilion.

”Dana pemegang saham juga meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM4.15 bilion, berbanding RM3.81 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya,” ujarnya,

Beliau berkata, pihaknya positif dengan prospek prestasi kewangan untuk suku kedua tahun ini berikutan penambahan pembukaan akaun-akaun baru.

Mengenai karnival itu pula, Kamaruzaman berkata, ia membuka ruang dan peluang kepada para usahawan kecil dan sederhana serta koperasi memasarkan produk-produk mereka.

Karnival yang dianjurkan bersama stesen radio Sinar FM dan THR Gegar itu akan diadakan selama dua hari di setiap lokasi iaitu, Butterworth, Pulau Pinang; Pasir Putih, Kelantan dan Batu Pahat, Johor.

Beliau menjangka kira-kira 15,000 pengunjung akan hadir di setiap lokasi itu dengan 10,000 dijangka membuka akaun pada karnival itu.

Powered by Utusan Malaysia

Post a Comment

(required. But it will not be published)