Bunga Cinta
Posted by admin on April 26th, 2008
Beberapa selebriti pamerkan hubungan istimewa
OlehHanim Mohd Saleh
BUNGA-BUNGA cinta nampak segar mekar dalam majlis Anugerah Planet Muzik yang berlangsung di Dewan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad lalu, apabila beberapa selebriti, tidak bersembunyi mempamerkan hubungan istimewa mereka dengan si dia.
Siapa sangka, baru setahun bermastautin di negeri orang untuk membina kerjaya sebagai penyanyi, naib juara Anugerah 2005, Syed Azmir, sudah ada gadis Kuala Lumpur yang bertakhta di hati.
‘Saya datang berteman… seorang pelakon,’ penyanyi hitam manis itu berterus terang, sambil menunjukkan aktres yang dimaksudkan, Liyana Jasmay. Malu-malu.
Mungkin wajahnya belum cukup dikenali di sini, tetapi pelakon remaja berusia 17 tahun ini banyak berlakon di bawah bimbingan Badarudin Haji Azmi (Badar), antaranya dalam filem Castello dan Syaitan.
‘Kami berkawan saja. Belum masuk bab yang lebih serius,’ kata Azmir, yang memberitahu juga pernah disunting berlakon, tetapi mengakui belum bersedia kerana mahu memberi tumpuan kepada pembikinan albumnya yang kedua.
Kata Azmir, selepas beberapa bulan menumpang di rumah penggubah Ajai, beliau kini sudah mendapatkan rumah sewanya sendiri kerana ‘mahu belajar berdikari’ di negeri orang. ‘Setiap hari saya makan di luar. Pulang ke Singapura, hanya sekali dalam tiga bulan. Rindu masakan emak,’ kata Azmir.
Satu lagi pasangan selebriti yang menarik perhatian ramai ialah pelakon Gol & Gincu, Ashraf Sinclair, dengan penyanyi dan pelakon Indonesia, Bunga Cinta Lestari.
Sejak gambar-gambar kontroversial pasangan ini berkucupan mesra ketika berada di Bali tersebar di Internet, Ashraf dan Bunga bersikap terbuka dengan hubungan mesra mereka.
Ketika ditemui sebelum APM bermula, Ashraf mengakui beliau dan Bunga akan berlakon dalam sebuah filem Indonesia, sebagai hero dan heroinnya.
‘Saya tak dapat bercakap banyak tentang filem ini kerana ia belum dihebahkan secara rasmi. Tetapi yang pasti, inilah filem pertama saya bersama Bunga dan itu bererti saya akan lebih banyak menghabiskan masa di Jakarta nanti,’ kata Ashraf sambil menggenggam erat tangan penyanyi comel yang popular daripada sinetron berjudul Gadis itu.
Kata Bunga, biarpun mereka sering saling rindu-merindui kerana sering berjauhan, soal perkahwinan belum difikirkan secara serius.
‘Biarlah kami menikmati zaman berpacaran dulu. Banyak lagi kerja yang harus dibuat. Tak apa-apa kalau saya perlu sering ke Kuala Lumpur untuk bertemu Ashraf, tetapi kerja saya juga banyak menanti di Jakarta.
‘Lagipun saya sedang siapkan album baru,’ kata aktres putih gebu ini. Ketika Bunga berduet dengan Faizal Tahir dalam satu persembahan di pentas APM, Ashraf yang berdiri di celah tirai kelihatan tersenyum melirik… tetapi gusar, terutama ketika Faizal dan Bunga saling berpegang tangan. Ouch!
Penyanyi wanita Ahli Fiqir, Mawarberduri pula, biarpun terpaksa berjauhan dengan suami di Singapura, tetap berseri-seri wajahnya apabila bercakap tentang orang tersayang.
Kasih sayang itu terbukti dengan benih yang tersemai di dalam rahimnya – beliau kini sudah mengandung tiga setengah bulan.
Biarpun hamil, Mawarberduri masih ligat menari, bahkan selamba menggunakan kasut bertumit tinggi ketika membuat persembahan bersama Ahli Fiqir.
‘Apa nak buat, kerja tetap kerja. Suami tetap di Singapura, saya di KL. Yang penting, kami bahagia,’ kata si penyanyi yang semakin hari, semakin seksi dan pandai bergaya.
Mawarberduri berkata, biarpun hamil, beliau akan terus aktif bersama Ahli Fiqir, selagi keadaan tubuhnya mengizinkan.
Lain pula dengan pelakon dan model cantik jelita Nasha Aziz, yang turut menyerikan acara APM sebagai antara penyampai anugerah pada malam itu.
Mungkin umum sudah ketahui, pada Januari lalu Nasha sudah putus tunang dengan jurugambar Mohd Helmi Mohd Yusoff, yang lapan tahun lebih muda daripadanya.
‘Hidup perlu diteruskan. Saya percaya apa yang terjadi ada hikmahnya, semua makhluk diciptakan Allah berpasangan. Saya yakin satu hari nanti Dia akan berikan yang terbaik buat saya,’ ujarnya.
Yang penting, kata Nasha, beliau tidak serik untuk bercinta lagi.
Powered by Cyberita