Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
GAUN kembang warna putih gading yang digayakan pelakon manis, Nur Fazura Sharifuddin, 24, memang padan dengan susuk tubuhnya yang langsing.
Walau dengan hanya solekan ringkas, kejelitaannya tetap terserlah. Pastinya gaun digayakan membuatkan hati Fazura berbunga-bunga menjadi pengantin sebenar.
Katanya, gaun rekaan Riezman Ruzaini itu hasil ideanya sendiri diilhamkan daripada gaun pengantin yang digayakan pelakon antarabangsa, Grace Kelly ketika majlis perkahwinannya dengan Putera Monaco.
“Sejak dulu lagi saya memang meminati Grace Kelly baik dari segi lakonan, penampilan sehinggalah konsep majlis perkahwinannya. Mungkin gaun seperti ini akan saya pakai pada majlis perkahwinan nanti.
“Saya juga inginkan majlis perkahwinan yang ringkas tetapi meriah. Paling penting, makanan yang disediakan perlulah banyak dengan pelbagai jenis lauk-pauk.
“Maaf cakaplah, kebanyakan majlis perkahwinan orang Melayu agak kedekut dalam hal ini sebaliknya lebih mengutamakan perkara lain. Tapi kalau majlis saya nanti, saya akan pastikan makanan dihidangkan diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui di majlis M’sian Bridal Gown Designers Showcase, baru-baru ini.
Mengenai bila hari bahagianya itu akan berlangsung, Fazura mengatakan buat masa ini dia belum mempunyai calon tetapi sekadar kawan rapat memang ada.
Pelakon yang mula diperkenalkan Datin Rosnani Jamil menerusi filem Bicara Hati kemudian Qaisy & Laila ini tidak pernah sepi dikaitkan dengan lelaki. Kini Fazura dikatakan sedang berkawan rapat dengan pemuda dari kalangan kerabat raja.
Ada mengatakan hubungan mereka lebih daripada kawan malah ada tanda-tanda bakal diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Malah Fazura juga pernah memaklumkan dia tidak mempunyai masalah untuk berkahwin muda.
“Kawan rapat itu adalah tetapi teman lelaki serius belum ada. Saya pun bukannya budak-budak lagi untuk tepis atau menafikan soalan begini.
“Untuk mencari pasangan hidup bukan seperti petik buah tepi jalan kerana perkahwinan bagi saya adalah untuk selama-lamanya. Kalau ikutkan, memang teringin berumah tangga lebih-lebih soalan ini sering diajukan kepada saya sejak kawan-kawan seperti Dynas dan Sazzy Falak mengakhiri zaman bujang.
“Justeru, sementara belum bertemu jejaka yang sesuai, eloklah saya fokus kepada kerja dulu. Bekerja puas-puas serta cari duit banyak-banyak kerana tidak mahu apabila sudah berumah tangga kelak, baru menyesal.
“Apabila berkahwin nanti, saya mahukan lebih masa bersama keluarga dan mungkin tidak akan sesibuk sekarang ini,” katanya.
Kata Fazura, dia tetap sibuk memenuhi undangan berlakon tetapi mengakui kebelakangan ini publisiti untuknya tidak begitu banyak.
Bagaimanapun berita mengenainya kini lebih kepada kesnya naik turun mahkamah berhubung ‘isu gaduh’ dengan seorang wanita di kelab malam. Ia belum selesai meskipun sudah empat tahun perkara itu berlaku.
“Kes itu sudah masuk empat tahun. Kalau hendak kata susah, saya sudah lama pun susah sepanjang tempoh itu. Namun bohonglah kalau saya kata tidak tertekan dengan kes itu.
“Selagi ia tidak selesai, selagi itu saya tidak berasa bebas dan lega. Sampai sekarang setiap kali pulang ke rumah, fikiran saya masih dibelenggu kes ini hingga membuatkan saya rasa sedih dan tertekan tetapi tidaklah sampai menjejaskan karier lakonan.
“Sebenarnya saya masih aktif berlakon selain bakal terbabit dalam beberapa projek terbaru cuma mungkin saya bukan jenis individu yang suka kecoh atau cuba mendapatkan perhatian apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
“Sebaliknya saya lebih selesa duduk diam-diam buat kerja kemudian selesai tanggungjawab, pulang ke rumah serta jalani kehidupan seperti orang lain. Barangkali kerana sikap saya itulah yang membuatkan ramai tidak tahu perkembangan terbaru saya.
“Contohnya, baru-baru ini saya baru saja selesai menjayakan penggambaran drama bersiri Bicara Hati arahan Rashid Sibir. Drama mengisahkan cinta empat segi ini menggandingkan saya dengan Aqasha sebagai pasangan kekasih.
“Percintaan kami begitu mengasyikkan tetapi berhadapan tekanan daripada orang sekeliling. Selain saya dan Aqasha drama ini turut dibintangi Beego dan Zizie Ezette,” katanya.
Fazura turut menjadi pelakon utama telefilem Izora arahan Ahmad Idham. Ia mengisahkan kepayahan seorang kakak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan perlu menyara adiknya (lakonan Diana Rafar) selepas kematian ibu.
“Selain berhadapan dengan kepayahan itu, Izora menuntut janji daripada kekasih yang menghilangkan diri tanpa sebarang khabar selepas berhijrah ke kota.
“Pemergian buah hatinya itu untuk mencari rezeki supaya mereka boleh berkahwin dan membina masa depan bersama,” katanya.
Selain drama, Fazura akan kembali ke set penggambaran filem terbarunya Julai ini yang belum berjudul. Filem itu diarahkan pengarah Gol & Gincu, Bernard Chauly dan skrip ditulis pengacara 3R, Rafidah.
Powered by Harian Metro