MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Geraldine Mabuk Sebelum Bergelut Dengan Fazura – Saksi

Posted by admin on April 26th, 2008



Fazura (kanan ) bersama saksi pihak pembela, Shereen Shah di Mahkamah Majistret Jenayah Jalan Duta, semalam.

KUALA LUMPUR 25 April – Perunding teknologi maklumat (IT), Shahrizan Mohd. Rodzi memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa surirumah, Geraldine Mariana Wong berada dalam keadaan mabuk sebelum bergelut dengan rakannya yang juga pelakon jelita, Fazura.

Beliau yang memberi keterangan sebagai saksi kedua pembela berkata, keadaan itu dapat dilihat dengan jelas daripada kelakuan Geraldine yang begitu ceria serta sedang berseronok dengan rakan-rakannya.

Shahrizan, 35, berkata, Geraldine juga dilihat cuba menggoda dan bermesra dengan teman lelaki Fazura, Ahmad Razman Tan Sri Ahmad Razali selain meminta lelaki itu menambah minumannya.

”Bila tak mabuk, Geraldine biasanya hanya duduk dan berbual dengan kawan-kawannya. Tapi pada malam itu, saya dapat lihat dia begitu berseronok dengan kawan-kawannya serta kelihatan seperti mabuk.

”Sebelum itu juga, saya diberitahu oleh kawan-kawan yang lain bahawa Geraldine telah mabuk. Saya nampak dia mengambil minuman keras tetapi tidak pasti brandi atau whiski,” katanya menjawab soalan peguam Fakhrul Azman Abu Hassan pada sesi pemeriksaan utama.

Fazura atau Nur Fazura Sharifudin, 24, yang merupakan pelakon utama filem dan drama bersiri Gol & Gincu sedang membela diri atas tuduhan mencederakan Geraldine di Bar Luna Pacific Regency Hotel & Apartments, Jalan Kia Peng di sini kira-kira pukul 1.20 pagi, 19 Disember 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut Shahrizan, dia dan Fazura berkunjung ke bar tersebut pada malam kejadian selepas diajak oleh Razman untuk menyertainya.

Katanya, semasa berada di meja bar, Fazura memberitahu bahawa Geraldine telah mengutuk dan memperlekehkannya semasa berbual dengan seorang lelaki bernama Bibo.

”Fazura beritahu saya dia mahu bersemuka dengan Geraldine. Saya kata jangan, tapi dia tetap berdegil mahu mendapatkan penjelasan dari Geraldine.

”Kemudian saya nampak Fazura bersemuka dengan Geraldine. Ketika saya sedang berbual-bual dengan rakan-rakan yang lain, saya terdengar Fazura dan Geraldine bertengkar,” jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut tentang kejadian pada malam itu, Shahrizan berkata dia kemudiannya ternampak Fazura dan Geraldine menarik rambut dan tolak menolak antara satu sama lain.

Katanya, dalam pergelutan itu, Fazura tiba-tiba terjatuh sehingga salah satu kasut tumit tingginya tertanggal sebelum ia dicampakkan ke dalam kolam mandi oleh salah seorang rakan Geraldine.

Menurut saksi, tiada siapa yang cuba meleraikan kedua-duanya sehingga dia datang dan cuba menarik Fazura, manakala Razman menarik Geraldine.

Dalam suasana kelam kabut itu, beliau kemudiannya ternampak Fazura berjalan ke pintu keluar sambil memegang sebelah kasutnya sebelum Geraldine datang dari arah belakang dan menarik rambut rakannya itu.

Jelas Shahrizan, dia ternampak Fazura terkejut dan menghayunkan kasutnya ke arah Fazura sebelum kedua-duanya dileraikan oleh bouncer bar tersebut.

”Bouncer minta Geraldine meninggal bar itu dan meminta saya membawa Fazura pulang. Pada masa itu saya nampak muka Fazura lebam-lebam.

”Saya hantar Fazura pulang ke rumahnya di Tropicana dan berada di sana sehingga pukul enam atau tujuh pagi bagi menenangkan Fazura serta bercakap dengan ibunya tentang apa yang berlaku,” katanya lagi.

Ditanya sama ada sebarang laporan polis dibuat, kata Shahrizan, beliau hanya menemani Fazura ke Balai Polis Dang Wangi selepas rakannya menerima panggilan dari seorang inspektor berhubung kejadian itu.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani bersambung pada 22 Mei ini.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>