Jalaluddin Masih Keras Dalam Lembut
Posted by admin on April 26th, 2008
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
ENTAH apa sebabnya, watak ‘lelaki lembut’ semakin menjadi perhatian anak seni tanah air. Bukan saja pengarah tetapi pelakon seakan-akan berlumba menonjol bakat menghidupkan jalan cerita mengenai realiti kehidupan golongan itu.
Selepas aktor Rusdi Ramli melakonkannya dalam filem Waris Jari Hantu, diikuti Ahmad Tarmimi Siregar menerusi drama Wali dan Awie dalam Apa Kata Hati, kini giliran Datuk Jalaluddin Hassan menjiwainya dalam teater muzikal, Patung Kertas.
Lakonan Rusdi membawa kejayaan kepadanya apabila diiktiraf Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM) begitu juga Tarmimi menang di Anugerah Oskar tahun lalu.
Karya arahan Lokman Ghani yang dipentaskan hampir dua jam ini cuba menyingkap sisi gelap kehidupan golongan lelaki lembut atau ‘mak nyah’. Ternyata gaya hidup mereka sebagai ‘wanita jadian’ bukan saja menjadi bahan hinaan tetapi ada juga yang dipuja.
Bagaimanapun situasi dibuang keluarga kerana malu dan disisih menjadi asam garam kehidupan yang perlu ditelan. Namun, berbekalkan semangat hidup perlu diteruskan, golongan ini berjaya menghadapi segalanya dengan cara mereka sendiri.
Hidup dalam kelompok insan senasib, masing-masing sentiasa mahu bersaing. Siapa lebih bagus dan tampak menawan. Tetapi, soal kebajikan masyarakat masih diambil kira dan sama-sama berganding bahu membantu.
Itulah cuba ditonjolkan insan digelar patung kertas ini dalam teater muzikal yang skripnya ditulis A Wahid Nasir. Bagaimanapun, pada masa sama mereka tidak dapat lari daripada permainan perasaan untuk disayangi dan dicintai insan bergelar ‘kekasih’.
Mampukah cinta yang bersarang di hati berjaya dimiliki? Itulah antara yang dapat disaksikan dalam teater muzikal Patung Kertas yang dipentaskan di Dewan Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia(MTC), Jalan Ampang, sejak semalam hingga 30 April, jam 8.30 malam.
Patung Kertas menampilkan barisan pelakon berbakat tempatan seperti Ashraff Muslim, Zuhairi Ibrahim, Along Fariz, Siti Aishah Atan dan Ebby Yus.
Malah, buat pertama kalinya Jalaluddin yang tampil seperti ‘wanita’ dengan watak Kak Kay atau Abang Long di kalangan patung kertas lain, semacam ‘kurang menjadi’. Mungkin, auranya masih belum sampai.
Bahkan, penampilannya yang tidak ’sepenuhnya’ dalam pakaian wanita kurang menyerlah. Namun, ia masih mampu mencuit hati dengan kemunculan pelakon sampingan yang disertai golongan patung kertas dari kumpulan Ika Fancy.
Lakonan mereka boleh dikatakan mantap dan ‘penyelamat’ teater ini. Walaupun dialog diucapkan ringkas, aksi mereka cukup bersahaja. Ini membuatkan penonton tidak kering gusi.
Jalaluddin berkata, beliau sedar belum berjaya menghayati watak lelaki lembut yang dilakonkan itu dengan baik. Akuinya, lakonan ditonjolkan kasar dan perlu diperbaiki.
“Ini kali pertama saya melakonkan watak lelaki lembut. Jadi, apabila berada di pentas menjayakannya, baru saya sedar ada beberapa perkara yang perlu dibaiki untuk satu lakonan mantap.
“Pada saya, lakonan yang sebenar ia sangat halus. Oleh itu, saya kena belajar lagi untuk mencari dan mengetahuinya. Namun, selagi pengarah berpuas hati, pada saya lakonan itu berjaya disampaikan.
“Kepuasan pengarah amat penting bagi seseorang pelakon. Bagaimanapun, sejak latihan hingga ke persembahan ini, saya tahu gerakan dibuat sentiasa berbeza. Ini kerana saya mahu penonton mendapat kelainan,” katanya.
Menjawab persoalan mengapa tidak menggayakan busana wanita sepenuhnya, aktor berusia 54 tahun ini berkata, dia masih menggayakannya tetapi pada babak kedua itu beliau perlu menyamar lelaki kerana ada pemeriksaan pihak berkuasa.
“Saya perlu berlagak semacam lelaki untuk bantu menyelamatkan rakan lain. Sebab itu, gaya wanita tidak terlalu menonjol. Apapun, babak paling meruntun jiwa saya ialah ketika menanggalkan rambut palsu.
“Terus-terang, saya berasa ‘bebas’ seperti lelaki dalam keadaan diri yang sebenar. Ketika itu, perasaan amat menyeronokkan,” katanya yang ditemui selepas pratonton Patung Kertas, Rabu lalu.
Menyentuh soal sokongan, pelakon yang mempunyai seorang cucu ini mengakui isteri dan anaknya memberi sokongan penuh kepadanya. Malah akuinya, semua ahli keluarga bercadang mahu hadir menonton persembahannya.
Ditanya apakah bapanya yang juga tokoh agama terkenal, Datuk Hassan Azahari akan datang menonton, Jalaluddin berkata, beliau tidak boleh membawa bapanya menonton persembahan itu kerana ia tidak dipersetujui.
“Ayah saya tidak setuju saya berlakon watak ini. Oleh itu, sebaik saja persembahan ini selesai nanti, saya akan berjumpa dengannya untuk memohon maaf. Saya harap dia (bapa) faham ini sekadar lakonan saja. Komitmen saya dalam kerjaya sebagai anak seni,” katanya.
Pelakon filem Diari Romeo ini berkata, pengalamannya selama 20 tahun bercampur dengan lelaki lembut dalam industri seni ternyata banyak membantunya menjiwai watak itu.
Sementara itu, Ashraff berkata, dari segi mutu lakonan dia akui belum puas hati. Katanya seperti pelakon lain dia berasakan banyak benda perlu dibaiki memandangkan ini pertama kali dia berlakon dalam teater dan sebagai pondan.
“Saya amat gementar kerana semua orang tengok. Malah watak ini terlalu besar dan mencabar kredibiliti saya selaku pelakon baru. Sebab itu, saya perlukan masa untuk menerima watak ini sebenarnya.
“Tidak dinafikan, saya pernah menolaknya apabila Lokman meminta saya berlakon dalam Patung Kertas. Namun, akhirnya saya terima juga kerana menyahut cabaran Lokman supaya membuktikan sememangnya berbakat sebagai pelakon.
“Apapun, bagi menjiwai watak Adik Chu itu, saya berlatih dengan seorang mak nyah. Belajar cara mereka bertutur, berjalan dan makan. Pada mulanya, memang sukar tetapi bila sudah ‘mendekati’ golongan itu, baru saya mula mendapat ‘mood’,” katanya.
Pelakon Impak Maksima The Series ini berkata, dia berharap teater muzikal Patung Kertas lakonannya itu berjaya mendapat sambutan. Katanya, ia realiti kehidupan yang berlaku di kalangan golongan lelaki lembut yang sering di salahertikan.
Pengarahnya, Lokman pula berkata dia kagum dengan komitmen semua pelakon yang membintangi Patung Kertas. Katanya, kebanyakan pelakon rajin membuat penyelidikan dan berlatih dengan baik supaya mesej diketengahkan sampai kepada penonton.
“Sekalipun Jalaluddin diberi watak lelaki lembut tetapi beliau berusaha melakonkannya sebaik mungkin. Begitu juga dengan Ashraff, Zuhairi dan Along Fariz Melihatkan kesungguhan mereka, saya puas hati dan harap penonton terhibur.
“Patung Kertas ini sebenarnya mengisahkan seorang lelaki lembut iaitu Abang Long (Jalaluddin) yang menyimpan perasaan seperti lelaki biasa untuk hidup bersama wanita dicintainya, Suhana (Siti Aishah). Dia keliru apa yang sebenar diinginkannya.
“Kegagalan Abang Long melawan perasaan malunya menjadi lelaki lembut membuatkan dia lari dari kampung dan berhijrah ke ibu kota. Lalu, dia meneruskan hidupnya sebagai mak nyah yang akhirnya turut menarik pembabitan Adik Chu,” katanya.
Akui Lokman, sebelum Patung Kertas mendapat kebenaran dipentaskan, dia terpaksa merombak skrip teater itu tiga kali kerana ditolak. Katanya, selepas dibaiki, terhasillah pementasan itu yang membawa masyarakat berfikiran positif terhadap golongan lelaki lembut.
Powered by Harian Metro