MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Filem: Love Biasa

Posted by admin on April 27th, 2008



Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN

Rap

SELEPAS Cinta diangkat sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM20), Grand Brilliance Sdn Bhd mengambil langkah berani menghasilkan Love yang dibintangi barisan pelakon handalan Indonesia bagi menembusi pasaran negara itu.

Penghasilan semula filem ini bagaimanapun mengikut selera penonton negara itu. Ternyata formula ini berjaya apabila ditonton 500,000 orang dengan kutipan RM2.7 juta untuk tayangan selama dua minggu. Malah, buah tangan Kabir Bhatia ini mendapat pujian media dan pengkritik republik itu.

Jika Cinta mengupas lima kisah cinta yang berlaku di Kuala Lumpur yang dijayakan Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Nanu Badaruddin, Que Haidar, Rashidi Ishak, Rita Rudaini, Eizlan Yusof, Fasha Sandha, Sharifah Amani dan Pierre Andre, Love pula paparan lima cinta di Jakarta.

Menyingkap kisah warga emas, Nugroho yang menderita penyakit alzheimer dipertemukan dengan Lestari, janda yang kematian suami. Lestari menerima seadanya keadaan Nugroho yang nyanyuk.

Kisah kedua menceritakan Lin, gadis kampung yang sanggup menggadai kesuciannya demi cinta, berhijrah ke Jakarta untuk mencari kekasih hati tetapi bertemu Rama yang bekerja di kedai percetakan.

Kecenderungan terhadap bidang penulisan menyatukan Tere dan Awin. Masalah timbul apabila Awin tidak bersedia menerima perhatian Tere sehingga wujud jurang antara mereka.

Cinta Restu dan Dinda pula seketika cuma apabila Dinda pergi buat selama-lamanya akibat menghidap penyakit kanser. Kisah kelima mengenai Gilang dan Miranda, pasangan muda yang berkahwin kerana terlanjur. Selepas lapan tahun hidup bersama, cinta Miranda mula beralih arah.

Perbezaan ketara antara Cinta dan Love dapat disaksikan menerusi kisah Gilang dan Miranda, Awin dan Tere serta Restu dan Dinda.

Jujur, saya tidak dapat merasai penghayatan Sophan Sophiaan dan Widyawati yang melakonkan watak Nugroho dan Lestari. Paling menonjol ialah lakonan berkesan Acha menerusi karektor Lin.

Selebihnya, biasa-biasa saja. Bukan menidakkan kemampuan Kabir yang sebelum ini terbukti menerusi Cinta, tetapi garapan kali ini kurang berjiwa.

Mungkin benar kata pihak produksi, di sana filem ini dilihat hebat dan menyentuh perasaan tetapi pada mata saya, penghayatannya tidak sehebat mana.

Jiwa juga tidak terusik sepertimana babak Que menerima berita kematian Nanu dan kesedihan Rashidi apabila isterinya (Rita) mengkhianati cinta mereka.

Apapun, sinematografinya cantik, begitu juga dengan permulaan cerita di mana dua kanak-kanak berjanji tidak akan berpisah tetapi terpaksa akur apabila seorang daripada mereka berpindah.

Jika mahu menonton filem ini, lupakan Cinta!

Data

FILEM: Love

PENGARAH: Kabir Bhatia

PELAKON: Sophan Sophiaan, Widyawati, Acha Septriasa, Fauzi Baadila, Darius Sinathrya, Luna Maya, Irwansyah, Laudya Cintya Bella, Surya Saputra dan Wulan Guritno

GENRE: Romantik

TAYANGAN: 24 April 2008

Powered by Harian Metro

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>