Hayden Mahu Bunuh Imej

HAYDEN PANETTIERE
HAYDEN PANETTIERE yang melakonkan watak ahli pasukan sorak, Claire Bennet menerusi siri TV popular, Heroes berusaha untuk lari dari imej tersebut dengan menerima watak mencabar dan berlainan menerusi filem terbarunya.
Aktres berusia 18 tahun itu bakal bergandingan bersama pemenang Oscar, Julia Roberts menerusi filem, Fireflies In The Garden.
Beritahunya kepada Contactmusic: “Saya mahu bunuh imej ahli pasukan sorak yang telah mempopularkan diri saya itu. Jadi untuk watak baru bagi filem Fireflies In The Garden saya telah menukar warna rambut dan langsung tidak mengenakan solekan. Agak sukar bagi saya apabila peminat enggan melepaskan imej Claire Bennet.”
Selain Panettiere dan Roberts, Fireflies in the Garden yang mengisahkan mengenai sebuah ikatan keluarga yang hancur selepas dilanda tragedi yang tidak diundang turut menampilkan lakonan Ryan Reynolds, Willem Dafoe, Emily Watson dan Ioan Gruffudd.
Kosmo
TV9 Cari Gadis Melayu Asli
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
HANYA dua tahun beroperasi, TV9 sudah berjaya mengumpul sejumlah penonton sehingga menjadikan ia stesen kedua tertinggi ditonton selepas TV3.
Kejayaan awal diraih stesen yang popular dengan tema ‘Dekat di Hati’ ini mengagumkan penggiat industri stesen televisyen tempatan, terutama apabila sebaik memulakan operasi, 70 peratus pengisian rancangan disiarkan berupa terbitan produksi dalaman.
Menampilkan konsep keislaman dan pengisian rohaniah, TV9 menjadi alternatif kepada penonton yang cuba mencari keseimbangan dari sudut hiburan dan pendidikan.
Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda tidak menafikan rancangan berbentuk keagamaan seperti Mencari Menantu, Mari Mengaji dan Akademi Al-Quran mempunyai jumlah penonton agak tinggi.
“Melihat dari rating diterima rancangan paling ramai jumlah penonton adalah drama Bong dan diikuti Akademi Al-Quran. Drama terbaru kami, Akademi Polis, walaupun masih baru tetapi sudah mempunyai pengikut dengan ditonton hampir 500,000 orang.
“Ingin saya jelaskan di sini walaupun ada beberapa rancangan bercorak keagamaan disiarkan stesen ini tetapi konsep TV9 lebih kepada menyajikan rancangan yang dikehendaki penonton Melayu luar bandar.
“Mengambil contoh, Bong banyak ditonton kerana ia mengisahkan kehidupan seorang jejaka dari kampung yang mahu memulakan hidup di bandar. Ia menarik minat orang kampung untuk melihat perubahan kehidupan dilalui Bong.
“Apa yang saya nampak penonton kami lebih gemarkan rancangan berbentuk hiburan ringan seperti sitcom mahupun drama yang ada unsur lawak jenaka,” katanya.
Bagaimanapun, Bukhari mengakui formula awal digunakan dengan menerbitkan rancangan realiti Akademi Al-Quran, dikatakan antara faktor kejayaan mereka dalam menarik minat orang Melayu terutama di luar bandar untuk menonton TV9.
“Sebaik disiarkan, rancangan Akademi Al-Quran ditonton hampir satu juta orang. Pertandingan akhir musim pertama berlangsung disaksikan 1.2 juta penonton dan pada musim kedua jumlah itu terus meningkat kepada 1.4 juta orang.
“Bagi musim ketiga yang berlangsung sekarang, sambutan penonton terus meningkat. Saya percaya mutu penerbitan semakin baik membuatkan penonton terus mengikutinya,” katanya.
Lebih membuatkan Bukhari teruja apabila jumlah penonton remaja dan kanak-kanak menyaksikan TV9 turut menunjukkan peningkatan.
“Buat masa ini dua golongan terbabit menjadi sasaran kami. Mengejutkan apabila tahun lalu kami berjaya mengumpul lapan peratus jumlah penonton muda sedangkan di peringkat awal kami hanya meletakkan sasaran enam peratus.
“Begitu juga dengan kanak-kanak. Kami mensasarkan 10 peratus saja peningkatan tetapi apabila kajian jumlah penonton dikeluarkan, TV9 memperoleh 14 peratus penonton. Saya percaya strategi kami menyiarkan rancangan kartun dalam bahasa Melayu turut membantu,” katanya.
Bercerita mengenai perancangan TV9 pada masa hadapan, jelas Bukhari selain menambah waktu tayangan pihaknya turut menerbitkan beberapa rancangan baru antaranya program bual bicara waktu sarapan, Nasi Lemak Kopi ‘O’ yang disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Kami turut merancang untuk menerbitkan satu lagi program realiti pencarian bakat dalam bidang nyanyian nasyid iaitu Akademi Nasyid. Selain itu satu lagi rancangan adalah mencari gadis Melayu asli. Dua rancangan ini kami sasarkan untuk golongan muda.
“Pada waktu sama sebagai stesen terkenal dengan tema Dekat Di Hati, selepas Perkampungan Hadhari, kami akan terus menerbit rancangan yang membawa kami lebih dekat dengan penonton sasaran seperti Apa Khabar Orang Kampung,” katanya.
Majlis ulang tahun kedua TV9 di Sri Pentas, Jumaat lalu turut diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Farid Ridzuan. Beberapa orang penyanyi popular seperti Jaclyn Victor dan Anuar Zain tampil mengadakan persembahan.
Selain itu sketsa pelakon sitcom Geletek dan Anak Mami turut memeriahkan lagi suasana.
Powered by Harian Metro
Filem Malaysia Berwajah Indonesia
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
Orang kata cinta pertama itu indah dan walau seribu cinta lain yang datang, perasaan itu tidak akan sama dengan cinta pertama.
Lantas, jangan salahkan semua jika perasaan ini berlegar-legar apabila menyaksikan filem Love, versi Indonesia yang di kitar semula dari filem Malaysia, Cinta ini.
Dari segi idea asal dan konsep, Love arahan Khabir Bhatia ini masih mengitar semula semua elemen yang pernah digunakan untuk mengangkat Cinta yang dijulang sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-20.
Berbanding Cinta, Love dikatakan terlalu memaksa penonton untuk mengalirkan emosi mereka dan bersimpati dengan apa yang diluahkan oleh pelakon.
KHABIR dan Fuad positif Love akan diterima di Malaysia sama seperti di Indonesia.
Juga usah terlalu memikirkan Love milik negara mana, Malaysia atau Indonesia? Ini kerana Love dihasilkan oleh sebuah produksi di Malaysia yang mempunyai hasrat dan cita-cita menggunung tinggi, melebarkan sayap filem Malaysia ke negara seberang itu.
Meskipun pada awalnya Love terpaksa menggunakan khidmat pelakon Indonesia untuk dijual di negara berkenaan, itu barangkali strategi awal syarikat produksinya, Grand Brilliance Sdn. Bhd. untuk menyebar pengaruh di sana.
Bukti kehebatan produksi kita adalah setelah pembikinan Love, ramai di kalangan karyawan filem Indonesia khususnya pelakonnya sendiri sudah mula membuka mata terhadap karyawan dan bentuk filem dari Malaysia.
Jangan terkejut kerana walaupun mengisytiharkan diri mereka sebagai pelakon, ada di kalangan pelakon-pelakon filem ‘hebat’ yang dipilih untuk menjayakan Love ini langsung tidak pernah kenal filem Malaysia lain, selain Cinta.
Itu pun kerana Cinta menjadi rujukan awal mereka tentang siapa Khabir dan apa yang mereka perlu faham tentang projek kerjasama dua negara ini.
Dan sesuatu yang boleh dipuji, apabila kesemua pelakon Love, baik senior seperti Sophan Sophiaan dan Widyawati serta pelakon-pelakon baru seperti Wulan Guritno, Surya Saputra, Acha Septriasa dan Fauzi Baadila mereka semua memuji hasil kerja Khabir yang disifatkan sangat profesional dan langsung tidak ada elemen cela sehingga membuatkan mereka tidak sanggup menolak tawaran yang dihulurkan.
Yang paling ketara, pelakon lelaki yang sedang mengukir nama di Indonesia ini, Fauzi Baadila.
Menyifatkan dirinya sebagai pelakon yang sangat mementingkan profil seseorang pengarah yang ingin mengambilnya untuk berkerja, Fauzi menerima tawaran Love kerana yakin Khabir ada ketegasan dan kaliber untuk menjadikan sebuah filem yang berjaya.
“Sebetulnya saya seorang yang agak kritis dan harus benar-benar yakin dengan siapa saya hendak berkerja. Saya habiskan menonton Cinta dan menilai watak yang dilakonkan oleh pelakon asalnya (Pierre Andre). Tujuannya untuk membentuk kelainan.
KARYAWAN filem Indonesia menyifatkan karya Khabir Bhatiar sebagai sesuatu yang mengagumkan mereka.
“Daripada sinematografi Cinta sahaja, saya dapat rasakan Khabir ada wibawa dan saya nyaman (selesa) sekali dengan skrip Cinta begitu juga Love,” kata Fauzi yang sebelum ini pernah berlakon lebih 10 buah filem seperti 9 Naga, Tentang Dia, Mengejar Matahari, Rindu Kami Pada Mu, Coklat Stroberi dan Perempuan Punya Ceriter.
Walaupun tidak selesa melakonkan watak pemuda yang pendiam dan kurang bersuara, pelakon berusia 29 tahun ini menambah, dia jatuh cinta dengan Love kerana skrip filem ini bukan khayalan. Ceritanya adalah tentang realiti dan walaupun diakhiri dengan kegembiraan, watak Rama lakonannya harus menerima hakikat, anak yang dikandung oleh In (Acha) adalah anak bersama lelaki lain.
“Sebab itu juga saya tidak pernah berlakon sinetron, cerita terlalu fantasi dan penuh dengan khayalan, saya bukan jenis yang begitu,” tambah Fauzi gemarkan watak-watak agresif, sesuai dengan jiwanya moody dan agak keras.
Sering melakonkan watak jahat, baginya menerima watak Rama bererti dia bersedia untuk melatih dirinya untuk lebih maju sebagai pelakon.
Ditanya tentang wataknya sebagai Rama, Fauzi minta jangan dibandingkan penghayatan yang dibawanya dengan lakonan Pierre.
“Saya tahu pasti itu yang akan diperhatikan, mudah-mudahan dapat diterima penonton Malaysia dan jangan cepat menghukum Love walaupun ada persamaan dengan Cinta,” kata Fauzi.
Pasangannya, Acha juga tidak terkecuali, apa lagi secara fizikalnya dia sudah terlalu dekat dengan Malaysia, terlibat dengan Love satu kesempatan yang bodoh untuk ditolak.
BAWAH: WULAN Guritno dan Darius Sinathria percaya filem Love mampu memberi kejutan.
“Idea kolaborasi ini segar dan rasanya ini pertama kali filem seumpama Love dibikin. Lebih membanggakan kerana barisan pelakon yang membarisi filem ini semuanya hebat,” kata Acha ketika ditemui pada Mala Gala Love di ibu negara, baru-baru ini.
Cuba menjadi diri sendiri dan mengelak untuk terikut-ikut gaya lakonan Sharifah Amani, masalahnya Acha tidak tahu bagaimana untuk bercakap dalam dialek Sunda dia juga tidak biasa membawa watak gadis kampung yang baru tiba di Jakarta.
“Saya merujuk kepada pembantu rumah untuk bercakap dalam bahasa Sunda kerana dalam Love saya adalah seorang gadis kampung.
“Mujur saya sudah mengenali Fauzi, jadi saya tidak menghadapi masalah dengannya. Dia juga sering mengingatkan saya agar bertutur dalam bahasa Sunda setiap kali apabila saya terlupa,” kata Acha yang dilihat berjaya membentuk satu paduan emosi bersama Fauzi menerusi Love.
Wulan Guritno yang menjayakan watak Miranda isteri yang curang juga kagum dengan karya sutradara dari Malaysia ini.
“Semasa menonton Cinta, saya tertanya-tanya apakah benar filem ini dari Malaysia, kerana syot Khabir ternyata tidak kalah,” beritahu Wulan yang asalnya berat hati untuk menerima watak Miranda kerana dia sendiri pernah bercerai.
FAUZI BAADILA
“Filem ini seperti memaksa saya untuk membuka semula luka lama. Kemudian, saya fikir ada juga baiknya, setidak-tidaknya ia membawa mesej kepada masyarakat,” kata Wulan berkahwin di usia 19 tahun, bagaimanapun perkahwinan dengan seorang artis itu hanya mampu bertahan tiga tahun. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Shaloom yang kini berusia lapan tahun.
Darius Sinathria yang memegang watak Awin, seorang jurujual di kedai buku pula berkata, sebelum menerima tawaran Love, dia sempat meneliti skripnya. Selain teruja, Darius menyifatkan karya Khabir ini mampu memberi kejutan.
“Ketika kali pertama membaca skrip yang diberikan, saya jadi terharu dan berminat dengan watak yang ditawarkan. Apa lagi dapat berganding sekali lagi dengan Luna Maya yang sudah sering berlakon di sisi saya menerusi beberapa projek sebelum ini.
“Watak Awin, seorang yang sangat tertutup kepada dunia baru, tetapi saya sukakan kenakalan Awin yang berpura-pura tidak mengenali penulis buku terkenal Tere (Luna),” kata Darius, yang sudah bernikah dan mempunyai seorang anak.
Tiada babak ciumKepada peminat filem asmara, jangan kecewa kerana adegan panas, babak cium antara Miranda (Wulan Guritno) bersama teman lelakinya (Al-Fathir Muchtar) menerusi Love telah ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem.
Kata Pengurus Besar Grand Brilliance, Ahmad Puad Onah, adegan itu hanya untuk tayangan di Indonesia sahaja. Apabila ditayangkan di Malaysia bermula 24 April lalu, ia perlu mengikut undang-undang dan garis panduan filem di Malaysia pula.
“Kita harus akur dengan garis panduan oleh LPF, jangan salah faham kerana apa yang anda semua (media) tonton itu adalah cetakan yang belum dipotong,” kata Ahmad Puad yang berbangga apabila Love mencatat kutipan memberansangkan di Indonesia sekitar Februari lalu.
Powered by Kosmo
Pendengar, Wartawan, DJ Kongsi Gelanggang
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
CEMAS apabila penyampai radio Suria FM, Amirah Sakhia Shamsuddin atau Myra hampir pengsan apabila kepalanya terkena rembatan bola lawan menyebabkan dia terbaring di tengah gelanggang futsal beberapa minit.
Kejadian itu menyebabkan perlawanan akhir pertandingan Suria FM Selebriti Futsal 2008 yang berlangsung Ahad lalu di Sport Planet Ampang, terhenti seketika.
Semua rakan artis mahupun wakil media terkejut menyaksikan kejadian itu. Mujur dengan bantuan beberapa teman, keadaan Myra yang separuh pitam berjaya dipulihkan.
Membanggakan walaupun mengalami situasi menakutkan, semangat kental Myra membuatkan dia kembali bermain pada masa kedua.
Lebih manis dia memberi kemenangan apabila sepakan penentuan berjaya dijaringkan ke gawang gol selepas perlawanan akhir terikat satu sama.
Selepas permainan tamat, Myra menjelaskan, sebagai ketua kumpulan Surialicious, dia tidak sampai hati membiarkan pasukannya berjuang sendirian dalam keadaan kekurangan pemain dalam pertandingan peringkat akhir menentang Surianova.
“Hendak diikutkan senarai awal, kumpulan saya turut dianggotai penyanyi utama kumpulan Sofaz, Ameer dan pelakon, Nabila Huda. Bagaimanapun Ameer tidak dapat menyertai kami kerana terbabit dengan Anugerah Planet Muzik 2008 yang berlangsung pada hari sama.
“Nabila pula hanya dapat bersama kami pada perlawanan pertama kerana selepas itu, dia terpaksa meninggalkan gelanggang bagi menjayakan penggambaran drama,” katanya
Selain Myra, pasukan Surialicious turut diwakili anggota kumpulan Fabulouscats, Luqman Nor Hakim (Sumo), Rudy Imran Shamsudin (Wartawan Harian Metro), Mohd Dzul Hidjri (New Straits Times), pendengar bertuah Suria FM, Ben dan Diana juga wakil penaja Samsung Mobile, See.
Pasukan Surianova yang muncul naib juara diketuai penyampai Suria FM, Hairil. Mereka membariskan pemain terdiri daripada selebriti popular Diana Danielle dan Faradhiya diikuti Firdaus Sahat (Wartawan Hiburan Metro Ahad) dan pendengar bertuah, Isma, Salleh dan Aira.
Kejadian membabitkan Myra adalah sebahagian peristiwa menarik berlaku sepanjang Suria FM Selebriti Futsal 2008 berlangsung.
Kepada pendengar setia stesen radio itu yang berpeluang menyertai pertandingan ini menganggap ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan terutama apabila dapat bersama artis kesayangan bermain futsal.
Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin sewaktu ditemui menjelaskan, antara objektif pertandingan itu diadakan untuk merapatkan hubungan antara pendengar, penyampai dan selebriti terbabit.
“Begitupun, pertandingan ini sebenarnya bertujuan merapatkan hubungan wakil media bersama penyampai Suria FM, artis dan pendengar setia memandangkan kami sudah selalu sangat menganjurkan acara membabitkan artis dan pendengar.
“Pendengar kami pun teruja apabila menyaksikan beberapa wakil media beraksi di tengah gelanggang.
“Maklumlah, selalunya mereka hanya membaca tulisan wartawan membabitkan artis kesayangan mereka di dada akhbar tetapi hari ini, pendengar Suria FM dapat mengenali mereka dengan lebih rapat. Sehinggakan saya nampak ada pendengar turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan wakil media yang hadir,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai penganjuran Selebriti Futsal 2008, jelas Engku Emran, pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada pendengar setia Suria FM. Malah, mereka mencadangkan supaya pertandingan futsal dijadikan acara tahunan dan dilakukan dalam skala lebih besar.
Pada hari itu, lapan pasukan beraksi dan diketuai penyampai Suria FM lain termasuk Zizie, Zhana, Zaff, Tuah, Akhtar dan Bob Ringgo. Antara artis yang turut menjayakan acara diadakan seperti Erra Fazira, Rashidi Ishak, Farah, Zahid, Nita, Fazli Zainal, Akhbar, Hazama, Raja Farah, Sharifah Shahora, Syed Azmir dan Farhan.
Acara turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan Matta, juara One In A Million musim kedua, Ayu dan Farah.
Juara dan naib juara pertandingan menerima hadiah berupa telefon bimbit, bluetooth dan baju tajaan Samsung dan Adidas. Pada hari itu, Sumo dipilih pemain terbaik sementara penyanyi, Syed Azmir, diumumkan penjaring terbanyak.
Powered by Harian Metro
Ina Naim Dikurniakan Anak Lelaki
KETIKA Khai dan Rosma selamat bergelar suami dan isteri, pasangan Suhaimi Saad dan Nordiana Naim dikurniakan anak lelaki pada Jumaat lalu.
Nordiana atau Ina Naim selamat melahirkan bayi seberat hampir tiga kilogram itu secara pembedahan kira-kira jam 12.20 tengah hari di Pusat Perubatan Gombak.
Suhaimi yang dihubungi Hip berkata, buat sementara ini belum ada nama lagi diberikan kepada anak mereka.
Katanya, buat sementara ini, Ina bersama bayinya berada di bawah jagaan keluarganya di Felcra, Sungai Ara, Johor.
Menceritakan detik kelahiran anak sulungnya itu, Suhaimi berkata ada perasaan terharu bercampur gembira yang turut dikongsi bersama-sama bersama sekumpulan doktor ketika Ina berhempas pulas selama kira-kira 40 minit di dalam wad sebelum bersalin.
“Saya sangat terharu dan tak percaya dalam masa sesingkat ini saya sudah ada isteri dan anak. Saya bersyukur di atas kurniaan ini. Tak sangka pula Ina akan bersalin hari ini (25 April).
“Tiga hari sebelum ini memang ada tanda-tanda dia akan melahirkan anak. Dan, sehari sebelum dia bersalin, kami ada datang ke hospital untuk membuat pemeriksaan.
“Selepas berbincang dengan doktor, Ina berhasrat untuk bersalin secara pembedahan biasa. Kata Ina dia hendak merasai kesakitan melahirkan anak secara biasa demi kelahiran anak sulungnya. Sepanjang dia berada di dalam wad pembedahan, saya bersama-sama doktor untuk memberi sokongan kepadanya. Saya rasa semua suami di dunia ini akan melakukan perkara yang sama. Sekurang-kurangnya saya dapat menghargai jerih perih seorang wanita bergelar isteri,” kata.
Menurut bekas anggota kumpulan nasyid In-Team itu, kerjaya seni isterinya itu selepas ini bergantung kepada diri Ina sendiri.
Suhaimi juga sudah tamat kontrak dengan Hijjaz Record sejak 12 Disember tahun lalu. Kini dia mengorak langkah bersama syarikatnya sendiri iaitu Karya Mosus. Menerusi syarikatnya itu, dia akan muncul dengan album baru, yang mengetengahkan single pertama berjudul Karya.
“Saya sudah tamat kontrak dengan Hijjaz Record dan kini bergerak secara sendiri dengan syarikat saya, Karya Mosus. Saya akan muncul dengan album baru bulan depan dan lagu Karya dipilih sebagai single pertama.
“Soal Ina nak aktif kembali selepas ini, saya tak menghalang andai dia mahu bergiat kembali. Kami sudah ada anak, sebolehnya saya nak dia fokus pada anak dan keluarga. “Apa-apapun semuanya terserah kepada Ina. Soal album barunya sukar dijangka apatah lagi melihat keadaan pasaran album kita pada masa ini yang tidak menentu,” katanya.
Powered by Berita Harian