Skip to content

Archive for April 2008

22
Apr

Cerita Itu Karut! – Aqasha



AQASHA mengakui cukup selesa dan serasi berlakon bersama pasangan lakonan terbarunya, Fazura dalam drama bersiri, Bicara Cinta yang akan ditayangkan di Astro Prima bermula 7 Mei depan. Gambar JEFFRI IRAN

TIBA-TIBA sahaja, nama aktor dan penyanyi kacak ini, Firdee Akassya Rosli, 26, atau dengan nama komersialnya, Aqasha menjadi bualan. Dia menjadi mangsa gossip liar kononnya menjalin hubungan cinta dengan model dan pelakon terkenal, Nasha Aziz sewaktu mereka digandingkan bersama membintangi telemovie arahan Rashid Sibir, Kasihnya Mia.

Saat diajukan soalan tersebut kepada empunya diri, tiada kata yang mampu dilafazkannya melainkan dengan memberikan wajah yang cukup terkejut kerana tidak menyangka sama sekali namanya dibabitkan dengan model terkenal itu.

Dia yang terkejut dengan berita itu menganggap berita itu sebagai tidak berasas serta sebuah cerita yang karut.

“Siapalah saya untuk mendampingi Nasha. Saya masih lagi berpijak di bumi nyata. Jujurnya, saya memang tidak menyangka sama sekali hubungan kami yang hanya sekadar teman artis telah disalah erti oleh sesetengah pihak.

“Saya profesional dalam kerja dan saya pasti Nasha juga begitu. Saya berharap agar cerita sebegini tidak timbul lagi dan semoga penjelasan saya ini dapat menjawab segala persoalan anda juga,” jelas Aqasha penuh mengharap ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Astro Megadrama, Bicara Cinta di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Malah, Aqasha memberitahu, hubungannya dengan Tasha yang juga bekas peserta konsert prelude Akademi Fantasia musim keempat pada ketika ini juga masih berjalan dengan lancar dan tiada masalah yang mereka hadapi sepanjang perhubungan mereka.

“Kami masih lagi berkawan dan hubungan kami masih baik seperti biasa. Kami berjaya mengekalkan hubungan yang harmoni setakat ini. Malah, saya juga tidak mahu terlalu merancang untuk membawa hubungan kami ini ke peringkat perkahwinan.

“Saya berserah kepada qada’ dan qadar dalam menentukan siapa jodoh saya. Mungkin juga kerana sebelum ini, beberapa hubungan cinta saya menemui kegagalan dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi diri saya untuk lebih berhati-hati.

“Seandainya jodoh saya bersama Tasha, saya terima dan begitu juga sebaliknya. Buat masa ini, saya suka melihat bagaimana kami mengekalkan hubungan ini dan menjaga ikatan silaturahim itu dengan sebaiknya,” cerita Aqasha yang mula mencipta nama sebagai seorang pelakon menerusi filem Embun arahan Erma Fatima pada tahun 2002.

Bercerita tentang karier seninya pula, dalam diam, anak jati Kuala Lumpur ini sudah memasuki tahun kedua pengajiannya dalam bidang kejuruteraan audio di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) sepenuh masa sejak tahun 2007 lagi.

Dia mengakui, begitu meminati bidang muzik dan keinginannya melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut sebagai jaminan masa depan kerana Aqasha akur bahawa industri hiburan tanah air ada pasang dan surutnya.

“Setidak-tidaknya, saya sudah mempersiapkan diri saya dengan ilmu pengetahuan serta saya dapat aplikasikan apa yang saya belajar dalam pengajian saya ini untuk menerbitkan lagu-lagu saya sendiri kelak.

“Setakat ini, memang saya banyak mencipta lagu dan koleksi saya juga kalau dikira sudah cukup untuk membuat sebuah album. Saya akan membuat kemunculan semula selepas saya tamat belajar yang dijangka pada awal 2010 kelak. Mungkin saya akan melahirkan sebuah album mini selepas ini. Pastinya saya akan lebih berpuas hati kerana dapat menentukan arah tuju saya dalam bidang muzik,” ujarnya.

Anak muda itu sebelum ini pernah menjadi artis rakaman Suria Records (SRC) selama lima tahun dan sempat melahirkan dua buah album iaitu Cahaya Hati (2001) dan Impian (2002).

Malah menerusi dua buah album itu juga, Aqasha yang memiliki suara yang boleh dikategorikan sebagai penyanyi bersuara jantan pernah mencuri perhatian peminat hiburan tanah air dengan lagu Cahaya Hati dan Embun.

Kegagalan

Namun, tidak berasa putus asa dengan kegagalan kedua-dua buah albumnya sebelum ini, Aqasha memberanikan diri dengan menceburi bidang lakonan yang ternyata berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pelakon pelapis yang berwibawa membawa karakter yang diberikan.

“Saya bersyukur kerana rezeki saya cukup murah dalam bidang lakonan dan walaupun begitu, saya tetap akan memilih karakter yang bersesuaian dengan diri saya kerana saya tidak mahu dilabelkan sebagai tamak dan mengambil apa sahaja watak yang diberikan kepada saya.

“Seandainya nanti saya tidak mampu membawakan watak yang diberikan, saya juga akan dilabelkan sebagai seorang pelakon yang tidak pandai berlakon,” ucapnya jujur saat ditanya tentang pasangan pelakonnya.

Baginya, apa yang paling penting untuk setiap drama mahupun filem adalah keselesaan dan keserasian itu akan datang sendiri dalam diri masing-masing.

Anak muda ini mengakui beliau cukup selesa berlakon di samping Rita Rudaini dan terbaru, Nur Fazura yang pertama kali digandingkan bersama saya dalam Bicara Cinta. Begitu juga dengan Nasha yang disifatkannya sebagai pelakon berbakat.

Selain Aqasha dan Fazura, Bicara Cinta yang akan menemui penonton setia saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Rabu bermula 7 Mei depan pukul 9.30 malam selama satu jam turut dibintangi Beego, Zizie Izette dan Fauziah Nawi.

Powered by Utusan Malaysia

21
Apr

Dunia Kanak-Kanak Zoey

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

MENATAP raut wajahnya, bagaikan budak belasan tahun yang masih bersekolah menengah.

Namun, siapa sangka Mohd Hairey Azhar atau mesra disapa abang Zoey di kalangan peminat cilik sebenarnya sudah berusia 23 tahun selain pemegang diploma dalam Rekaan Hiasan Dalaman.

Barangkali kerana tuah berwajah comel, memudahkan laluan Zoey membina karier sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing (GGG) yang disiarkan menerusi saluran Astro Ceria, meskipun itulah pengalaman pertama beraksi di depan kamera.

Melaluinya, Zoey mendaki populariti dalam sekelip mata dan menjadi pengacara kesayangan penonton cilik. Bayangkan, dek kerana kerana terlalu teruja melihatnya ada peminat bertindak agresif sehingga menyebabkan Zoey jatuh longkang.

“Mereka berasak-asak mahu bergambar dan mengambil autograf saya sehingga makin lama semakin ke belakang sehingga jatuh ke longkang. Kelakar betul waktu itu namun ia pengalaman cukup manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Sebenarnya saya tidak pernah merancang menjadi pengacara sebaliknya sekadar mencuba nasib pada sesi uji bakat GGG. Itupun atas desakan abang yang berkali-kali mahu saya mencuba.

“Bagi orang yang tiada pengalaman langsung, memang mengejutkan apabila dimaklumkan terpilih walhal pada hari uji bakat ramai artis remaja dan bintang Akademi Fantasia yang datang.

“Namun entah apa agaknya yang produser nampak pada saya sehingga berani memberi kepercayaan ini untuk saya galas. Alhamdulillah, diam tak diam sudah masuk musim ketiga saya mengendalikan program itu,” katanya.

Tidak ingin selama-lamanya dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, duta Astro Ceria selama dua tahun ini juga memasang impian mengendalikan program hiburan yang mensasarkan kelompok remaja dan dewasa. Atau erti kata lain menjadi pengacara versatil.

Bagaimanapun, dalam merancang perjalanan seninya pemuda kelahiran Besut, Terengganu yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola tidak pula berasa bosan dikelilingi kanak-kanak.

“Sememangnya saya selesa mendampingi kanak-kanak kerana saya sendiri sukakan budak-budak. Malah, setiap musim saya bertambah yakin dan selesa mengemudi GGG.

“Barangkali orang ramai mempunyai persepsi mengacarakan program kanak-kanak tidak mencabar atau tugas mudah tetapi tidak semua pengacara mampu mengendalikan program sedemikian.

“Kanak-kanak adalah manusia paling jujur. Mereka akan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak pandai menyembunyikan perasaan.

“Contohnya dalam GGG, ada peserta yang terlalu emosi apabila kumpulan mereka tewas. Segelintirnya pula terlalu aktif, tidak kurang yang pemalu sedangkan kamera mahu merakam ‘mood’ dalam keadaan terkawal dan ceria.

“Justeru, sebagai pengacara saya perlu memainkan peranan bukan saja dalam memastikan program berjalan lancar malah untuk membuatkan mereka selesa berhadapan dengan kamera,” katanya.

Sempena musim cuti sekolah Mei nanti, Zoey akan kembali ke rakaman GGG musim ketiga yang tampil dengan beberapa kelainan. Hadiah yang disediakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.

Beberapa perubahan turut dilakukan, jika dulu warna kuning, merah, biru dan hijau diguna sebagai nama kumpulan, untuk musim terbaru ini ia diubah kepada nama produk keluaran Steadtler selaku penaja musim kali ini.

“Bukan itu saja, peserta juga akan digandingkan dengan selebriti cilik Astro seperti pelakon Hikayat Putera Shazlan dan Geng Bas Sekolah sebagai satu pasukan.

“Lebih menarik, hadiah yang disediakan juga lumayan kerana peserta berpeluang memenangi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.

Pernah berjinak-jinak dalam dunia komersial sebagai model iklan sebelum bergelar pengacara, anak keempat daripada lima beradik yang semuanya lelaki ini turut mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Bermula dengan Impian Ilyana, Zoey kemudian dilamar membintangi siri terbitan Ace Motion Pictures, Bong, yang memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 diikuti Fara.

Terbaru, Zoey sedang menjalani penggambaran drama Putera Asmara yang turut dibintangi artis popular antaranya, Watie Elite, Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.

Tidak lama lagi dia juga bakal menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim keempat dan difahamkan peranannya kali ini lebih besar berbanding musim pertama.

“Saya tidak pasti bagaimanakah jalan cerita atau konflik yang berlaku pada musim keempat ini namun saya difahamkan watak yang dibawakan dikembangkan lagi.

“Berlakon tidak semudah disangka. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa dimarahi pengarah Aziz M Osman ketika menjayakan penggambaran Fara. Abang Aziz mengarahkan saya naik, turun tangga sebanyak tiga kali gara-gara ‘mood’ lakonan tidak sampai.

“Namun saya percaya setiap teguran dan kritikan itu adalah terapi paling berkesan untuk menjadikan kita lebih baik pada masa akan datang. Sejak kejadian itu juga saya lebih peka dan komited terhadap tugas saya.

“Kalau diberi kesempatan saya teringin sekali berlakon di samping pelakon hebat, Fauziah Nawi,” katanya

Biarpun setiap tawaran perlu ‘ditapis’ terlebih dulu oleh Astro Ceria, Zoey tidak pernah berasa terkongkong kerana dia juga bukan jenis orang yang terburu-buru untuk merebut semua peluang.

“Buat masa sekarang, saya lebih selesa mengambil watak ringan kerana belum begitu yakin dengan kemampuan. Dari segi pengacaraan pula, sebagai selebriti Astro, kami mempunyai perjanjian apabila tidak boleh terbabit dengan sebarang program terbitan stesen lain.

“Bukan setakat itu saja, sebagai duta Astro Ceria saya juga terikat dengan beberapa syarat iaitu tidak boleh mengunjungi kelab malam termasuk merokok,” katanya.

Jika tidak terbabit dengan sebarang urusan seni, pemuda berbintang Capricon ini akan membantu abangnya menguruskan syarikat milik keluarga iaitu Calista Design.

“Calista Design sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan rekaan hiasan dalaman untuk pejabat serta pelbagai kemudahan berkaitan bidang seni bina kerana abang saya seorang arkitek.

“Jika ada pihak berminat untuk mengetahui lebih lanjut fokus syarikat ini dan kemudahan yang disediakan boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web www.calistadesign.t35.com. Mereka juga boleh berhubung dengan kami menerusi nombor yang tentera,” katanya.

PROFIL

NAMA: Mohd Hairey Azhar

PANGGILAN: Zoey

TARIKH LAHIR: 3 Januari 1985

UMUR: 23 tahun

BINTANG: Capricon

ASAL: Besut, Terengganu

KARIER: Model, pelakon, pengacara

Powered by Harian Metro

21
Apr

Aqasha Cinta Baru Nasha?

Oleh HARYATI KARIM

SUDAH lama tidak mendengar khabar jejaka yang bernama Aqasha ini. Nampaknya badannya sedikit susut tetapi dia tetap laris sebagai pelakon.

Sebelum ini dia dikenali sebagai penyanyi dan sempat melahirkan dua buah album, tetapi kini nampaknya dia lebih selesa dengan gelaran pelakon pula.

Lihat saja deretan filem dan drama yang pernah dilakonkannya, antaranya filem Embun dan GK3 The Movie serta drama Tikar Buruk, malah banyak lagi sehingga tidak terkira dek jari.

Namun, baru-baru ini ada khabar angin sepoi-sepoi bahasa yang membawa berita bahawa sang jejaka ini sedang hangat bercinta dengan supermodel Malaysia yang juga pelakon handalan, Nasha Aziz.

Apabila tercetus gosip artis bercinta sesama artis, apatah yang membabitkan Nasha pula, mahu atau tidak mahu, Aqasha terpaksa menerima kenyataan diri diheret menjadi bahan tulisan hangat dalam dunia hiburan tempatan.

Lagipun, sebelum ini dia dihebohkan bercinta dengan seorang gadis bernama Tasha.

Dia juga dikatakan sudah putus kasih dengan Tasha hanya kerana Nasha.

Aqasha dengan riak terkejut menjawab: “Itu kurang tepat dan tidak betul sama sekali. Mana ada saya bercinta dengan Nasha, saya tidak tahu macam mana cerita ini boleh timbul,” tegas Aqasha menafikan dakwaan itu.

Dia yang bergandingan bersama Nasha Aziz dalam drama Kasih Mia menegaskan hubungan mereka berdua tidak lebih daripada seorang kawan sahaja.

“Memang saya pelik, saya sendiri pun tak pernah dengar cerita ini. Mungkin orang cakap begitu sebab nampak kami minum bersama, tetapi itu mungkin masa penggambaran.

“Lokasi penggambaran kami semua tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti KLCC, masa rehat kami ada juga minum di kedai makan berdekatan mungkin orang nampak kami berdua waktu itu dan terus mengatakan kami bercinta,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Tambah pemilik nama Ferdee Akassya ini lagi, hubungannya dengan Nasha sama seperti pelakon lain dan menurut Aqasha dia sedar siapakah dia.

Untuk bertakhta di hati Nasha dia mungkin tidak layak jauh sekali bergandingan dengan wanita jelita dan ternama sepertinya.

“Dia siapa dan saya siapa? Saya orang baru, kami menghormati antara satu sama lain tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

“Lagipun kami hanya bertemu di set penggambaran sahaja, malah kami juga tidak pernah keluar berdua selepas waktu penggambaran, habis sahaja penggambaran kami tidak lagi berhubung,” ujarnya.

Reaksi diri Tasha


AQASHA mengakui Tasha terkejut dengan gosip hubungan cintanya dengan Nasha.

Justeru itu, bagaimana pula reaksi Tasha, kekasih hati yang sudah dikenalinya hampir empat tahun lalu, berhubung cerita cinta ini?

Tidakkah terluka dan terguris apabila kekasih hati kita sedang dikatakan rapat dengan artis tersohor seperti Nasha?

“Saya pasti dia juga akan terkejut dan tidak menyangka yang saya akan dikaitkan dengan Nasha. Tetapi itu tidak mendatangkan masalah kerana hubungan kami masih berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Bercerita lebih lanjut tentang temannya itu, Aqasha memberitahu mereka ada juga merancang untuk menamatkan zaman bujang masing-masing, tetapi buat masa ini dia mahu memantapkan kerjayanya terlebih dahulu

“Saya orang yang sudah lalui beberapa hubungan yang tidak menjadi, itu yang memberi saya pengajaran dan pengalaman untuk menjaga hubungan ini dengan lebih baik lagi.

“Bohonglah kalau saya kata saya tidak merancang untuk masa depan saya sendiri. Jadi atau tidak hubungan kami hanya Tuhan sahaja yang tahu, tetapi andai kata tiada jodoh, kami akan terus berkawan sebagai manusia biasa,” jelasnya lagi.

Belajar sambil bekerjaDalam kesibukan dirinya di lokasi-lokasi penggambaran, jejaka berusia 26 tahun ini sempat juga mencuri masa untuk menyambung pelajarannya di peringkat diploma dalam jurusan jurutera audio.

Katanya lagi, tahun ini merupakan tahun akhir dia di International College Of Music.

“Saya memang minat dalam jurusan yang saya ambil ini, kerana saya dulunya seorang penyanyi dan kini masih lagi seorang penyanyi cuma tidak seaktif dulu.

“Matlamat saya, selain berlakon saya juga ingin menjadi seorang pemuzik yang berilmu dan apabila tamat belajar saya akan teruskan perjuangan muzik saya yang tergendala sebelum ini,” tuturnya.

Apa yang penting baginya kini ialah menamatkan pelajaran dahulu sebelum mengambil mana-mana tawaran.

“Memanglah belajar sambil bekerja penat tetapi saya tidak mahu mengulang semula kerana gagal, oleh itu pelajaran merupakan perkara yang paling penting untuk saya sekarang ini,” luahnya lagi.

Serasi bersama Fazura

AQASHA bersama cinta hati terbarunya di layar kacanya, Fazura.

Aqasha yang ditemui semasa majlis MegaDrama Astro di Damansara baru-baru ini, kelihatan secocok dengan pelakon Fazura yang merupakan pasangan heroinnya di dalam drama bersiri arahan Rashid Sibir, Bicara Cinta.

Dan jangan pula selepas ini tiba-tiba dia dikaitkan pula dengan Fazura kerana mereka hanya berhubungan di lokasi penggambaran. Itu sahaja, tidak ada lebihnya.

Ulas Aqasha lagi tentang Fazura, “Dia memang seorang yang menarik dan juga amat berbakat, saya juga senang berlakon bersamanya.

Keserasian itu dapat dilihat dalam drama terbaru lakonan mereka berdua yang dipertontonkan kepada media pada majlis itu.

“Dia memang senang untuk dibawa berbincang, dia juga banyak membantu saya untuk menghayati watak yang saya bawakan,” tuturnya jujur.

Ditanya apalah misinya selepas ini dalam karier dan kehidupan, dengan tenang Aqasha menjawab: “Saya ingin bercuti dan berehat kerana sepanjang tahun lalu saya sibuk berlakon.

“Mungkin saya akan bercuti dalam tiga bulan sebelum meneruskan kerja dan kuliah seperti biasa.

Powered by Kosmo

20
Apr

Ifa Raziah – Huh! Panasnya

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

IFA RAZIAH.

Akhirnya selepas sekian lama menanti, tertunai juga hasrat penyanyi kontroversi, Ifa Raziah mengisi ruang hari Ahad ini sebagai penghias muka depan Pancaindera. Hampir setahun lalu Ifa pernah bertanya bilakah dia dapat memenuhi kesempatan itu tetapi saya kata, Ifa Raziah perlu panas untuk layak diambil sebagai penghias muka depan.

Panas? Ya… sememangnya Ifa Raziah pada hari ini dan selamanya ‘panas’. Saya masih teringat peristiwa pada tahun 1997 ketika saya bersama majalah HAI. Ketika itu beliau bertanya tidak adakah ruang untuknya muncul di majalah tersebut?

Saya berkata, dia perlu ‘panas’ dahulu kalau dia mahu lebih ‘laku’. Dan saya masih ingat lagi gandingan Ifa dan pelakon Norman Hakim ketika itu sememangnya menjadi ‘panas’? Kenapa? Jika majalah itu masih ada dalam simpanan, anda akan mendapat jawapannya.

Bercerita soal ‘panas’ semenjak dua minggu lepas hampir semua akhbar menulis tentang pemilik nama Saripah Raziah Mustapha ini. Tidak kurang juga dia menjadi buruan penerbit rancangan televisyen dan radio untuk mengulas isu yang tiba-tiba mengalih perhatian satu “Malaya” ke arah wanita ini.

Tetapi maaf! Saya tidak akan menulis atau mahu membangkitkan “perkara busuk” itu kerana ada benda lain yang lebih menarik dan hangat untuk bercakap tentang beliau. Ketika pertemuan kami juga, Ifa tidak sedikitpun membangkitkan soal kontroversi yang ditempuhinya.

Bak kata Ifa sendiri, “Banyak lagi hal berfaedah yang boleh kita sembang-sembang. Lupakanlah hal-hal yang tak laku sesen pun itu.”

Itulah Ifa, seorang wanita yang penuh dengan kejujuran. Sekalipun dia mungkin akan dianggap buruk oleh orang lain, padanya kebenaran adalah asas utama kehidupan.

Manusia hanya akan dipandang tinggi dan mulia seandainya tidak mengamalkan sikap bermuka-muka. Tidak juga ‘pepat di luar rencong di dalam’.

Tetapi jujur kata penyanyi yang sentiasa tampil dengan imej panas ini, kisah itu dianggap sebagai satu tragedi malang yang pada akhirnya memberikan banyak pengajaran kepada dirinya.

“Yang lebih penting lagi, Ifa mahu membuang segala unsur negatif yang mungkin ada dalam diri. Selepas insiden itu Ifa anggap sesuatu yang sangat penting untuk kita mempunyai kawan yang sentiasa bersikap positif.

“Hidup pun tidak lama dan kawan-kawan merupakan orang penting dalam kehidupan seharian kita. Jadi untuk menjadi manusia yang lebih positif kita perlu dikelilingi oleh kawan-kawan yang positif. Saya semakin sedar akan kepentingan mempunyai kawan positif akhir-akhir ini,” kata Ifa dengan tenang.

Benar kata-kata itu. Dalam hidup ini selain keluarga, kawan adalah insan yang amat penting dalam sesebuah hubungan. Tetapi tidak semua manusia yang bernama kawan itu boleh menjadi sahabat sejati sebaliknya mereka boleh menjadi musuh.

Ada kawan di depan kita bercakap baik tetapi di belakang bermulut jahat. Mengadu domba serta kerjanya hendak melaga-lagakan orang lain.

Apakah jenis manusia seperti itu? Yang tak ubah seperti barang-barang plastik apabila terkena api, menjadi semakin marak.

Manusia seperti ini hendaklah kita jauhi kerana ia seperti kita melihat harimau yang ada di depan mata.

Ifa sendiri pernah mengalami peristiwa ‘dimakan’ oleh kawan sendiri sejak dari zaman bujangnya lagi. Tetapi disebabkan manusia berhati mulia seperti Ifa ini yang sentiasa memaafkan orang, dia mudah untuk melupakan segala-galanya.

Bagi Ifa setiap kali fajar muncul, ia adalah sebuah hari baru. Tetapi malang sekali sikap baik itu sering disalahgunakan oleh orang lain yang kerjanya hendak mengambil kesempatan terhadap Ifa.

Selain itu Ifa juga bukan seperti sesetengah selebriti yang gemar menjaja harga diri dengan begitu murah. Tak ada cerita bikin kontroversi sendiri, semata-mata untuk mendapat tempat di akhbar. Minta dijauhkan!

Tapi percaya atau tidak kalau terlalu banyak kisah sensasi itu dicipta dan dijaja, suatu hati nanti seseorang itu akan menerima padah di atas perbuatannya.

Dan percayalah dengan kata-kata saya, pembaca hari ini sudah bosan, muak dan geli dengan cerita basi dan kisah-kisah retorik yang mengangkat diri sendiri.

Pembaca hari ini mahu melihat artis yang mereka sanjung itu berada dalam empayar kejayaan masing-masing dengan kesungguhan dalam mengejar cita-cita mereka. Maka, dek kerana keikhlasan bekerja itu Yang Maha Kuasa tentunya akan membuka jalan selain menjanjikan satu limpahan rahmat dan rezeki lebih luas termasuklah untuk kita semua.

Jangan kaitkan soal kontraversi Ifa yang berlaku hari ini untuk kami mengundang dia menjayakan sesi fotografi. Sebaliknya banyak kisah panas lain yang mahu dikongsi bersama pembaca Pancaindera.

Lagipun saya faham sangat dengan gaya Ifa yang jarang mengharapkan publisiti murah untuk mempopularkan diri sendiri. Dia hanya akan bertemu media kalau ada benda baru iaitu perkara positif yang ingin dikongsikan.

Kenapa panas?

Ramai yang tertanya-tanya kenapa tajuk panas digunakan kali ini? Adakah untuk mengaitkan kisah Ifa dengan cerita-cerita panasnya?

Ia mungkin secara kebetulan tetapi yang sebenarnya selepas empat tahun mendiamkan diri tanpa ada sebarang album, hari ini wanita berusia 34 tahun ini boleh menarik nafas lega kerana hasratnya tercapai sudah.

Dengan menggunakan wang ringgitnya sendiri, Ifa akan menghasilkan album terbarunya tidak lama lagi berjudul Panas.

Memilih Panas sebagai tajuk albumnya, bersesuaianlah dengan diri Ifa yang sentiasa berada dalam ‘dunia’ panas selama ini.

“Syukurlah saya menggunakan hampir RM30,000 untuk menghasilkan album yang memuatkan lima buah lagu ini.

“Yang lebih menarik single pertama saya dengan lagu Panas sudah mula berkumandang di stesen radio termasuklah Suria FM,” katanya.

Menganggap dirinya masih bergetah, Ifa mengakui dirinya dahulu dan sekarang tetap sama iaitu tidak boleh lari dari berita-berita sensasi. Tetapi awas, dia tidak mengejar sensasi itu tetapi ia datang dengan sendirinya.

Rezeki anak

Khamis ini (24 April) Ifa akan menyambut ulang tahun perkahwinannya yang keempat bersama suaminya Mohd. Yani Abdul Rahman, 32. Tidak putus-putus melimpahkan rasa syukur terhadap Yang Maha Kuasa, kata Ifa rezeki untuknya datang melimpah ruah ketika usia perkahwinannya yang keempat itu semakin menghampiri.

Sejak melahirkan anak Muhammad Shakir Aqili,2, hasil perkahwinan keduanya itu, Ifa mengakui Allah itu membuka jalan yang luas untuknya. Itulah ganjaran terhadap orang yang sentiasa bersyukur.

“Selepas pantang 46 hari, saya mendapat tawaran berlakon Seputeh Qaseh Ramadan.

“Selepas peluang itu saya terus mendapat banyak tawaran berlakon diikuti dengan Spa-Q (2007) dan pada tahun ini Sinderela, drama Senario dan filem Bohsia.

“Ini semua rezeki anak-anak saya termasuklah anak pertama saya dari perkahwinan terdahulu iaitu Sharifah Puteri Umairah yang kini sudah berusia sembilan tahun,” ujarnya.

Selain lakonan, lebih bermakna Ifa juga diberi peluang menjadi pengacara Wanita Hari Ini di TV3. Bersiaran pada setiap hari Khamis, pukul 12 tengah hari, ramai yang bercakap Ifa agak gedik dalam rancangan bual bicara itu.

Ifa mengakui perkara tersebut tetapi dia mahu semua peminatnya sedia maklum, dia bukan sengaja berkelakuan sedemikian. Sebaliknya Ifa diarahkan melakukannya oleh penerbit kerana topik pada hari Khamis membicarakan sesuatu yang agak panas.

Produk kosmetik Serifa Raziah

Jangan tak tahu, dalam pelbagai kontroversi, Ifa bakal bergelar pengusaha produk kecantikan jenama sendiri tidak lama lagi. Setelah sekian lama menjadi duta kepada produk kecantikan orang lain, Ifa melangkah setapak ke depan dengan menghasilkan produk jenama sendiri.

Produk kecantikan atas label Serifa Raziah itu akan berada di pasaran sekitar Mei ini. Tampil dengan dua barangan dalam satu pakej lengkap, Serum Anti Wrinkle Firming dan Firming Bar Soap, kedua-duanya adalah percubaan pertama Ifa dalam menjenamakan sendiri barangan kecantikannya.

“Hampir tiga tahun Ifa mencari formulasi yang terbaik dan akhirnya impian Ifa tercapai untuk memiliki produk jenama sendiri. Memang hasrat sudah lama, cuma Ifa yang terlalu cerewet.

“Pada Ifa untuk mengeluarkan produk sendiri perlu lebih berhati-hati dan bukan senang mencari pengilang produk yang terbaik. Tetapi akhirnya Ifa bertemu juga. Setelah hampir setahun mencuba sendiri, Ifa yakin untuk memunculkan produk Serifa Raziah di pasaran,” katanya.

Jika selama ini dia diberi gelaran Ratu Suntik dan Ratu Botox, dengan jenama produk kosmetik sendiri ini, Ifa berharap sekali lagi dia dapat berkongsi formulasi kecantikan terbarunya dengan peminat.

“Ifa bukan jenis artis hipokrit. Jika sebelum ini Ifa buat apa saja mesti hendak beritahu peminat, kali ini pun begitu juga. Dua produk kecantikan Serifa Raziah ini adalah pengganti kepada mereka yang tidak mahu menggunakan suntikan. Hanya dengan menggunakan dua produk ini, pengguna boleh mendapatkan kulit yang cantik dan segar,” tambahnya.

Ifa akan turun padang mendekati golongan pengguna produk berkenaan tidak lama lagi, sekali gus mempromosikan lagu terbarunya, Panas.

“Tidak sabar rasanya untuk Ifa muncul dalam bengkel-bengkel kecantikan. Di situ Ifa akan berkongsi semua petua dan rahsia untuk mendapatkan kulit cantik dan berseri. Selain itu juga, Ifa akan membantu rakan niaga Serifa Raziah untuk memajukan lagi bisnes mereka dalam bengkel kecantikan,” janji Ifa.

Bagi mereka yang mahu menjadi rakan kongsi produk Serifa Raziah bolehlah menghubungi talian 019-3929238 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Powered by Utusan Malaysia

19
Apr

Terapi Doktor Ikan

Oleh Zaidi Mohamad



SABAR: Juliana dan Diana menantikan tukang urut masing-masing.

Diana Danielle, Juliana Evans tenangkan diri di Kenko Reflexology

GELI dan agak menakutkan. Itu antara reaksi awal dua selebriti berwajah Pan Asia, Diana Danielle, 16, dan Juliana Evans, 19, apabila menenggelamkan kaki mereka ke dalam spa terapi ikan di Kenko Reflexology & Fish Spa, Pavilion.

Bagaimanapun selepas beberapa minit mereka mula menikmati keseronokannya. Tenang dan mengasyikkan. Rawatan spa kaki itu menggunakan kacukan ikan garra rufa atau lebih sinonim dipanggil sebagai doktor ikan.

Sebaik kaki anda dicelup ke dalam air, ikan itu akan mengerumuni kaki pengunjung dan mengikis kulit mati atau kering. Kesannya akan timbul rasa seperti ukuran mikro dan hasilnya kulit anda akan lebih sihat dan cantik berseri.

Biarpun kali pertama mencuba spa terapi ikan, Diana dan Jue seakan terkasima melihat betapa indahnya ikan itu mendekati kaki mulus mereka. Sebagai selebriti, menjaga kecantikan dan kesihatan menjadi satu rutin wajib kepada mereka. Jue lebih suka menghabiskan masa senggang dengan berenang dan melakukan urutan yang tidak menggunakan teknik ‘kekerasan’, sebaliknya Diana lebih suka kepada urutan lembut dengan menggunakan losen.

Diana juga sering ke salun kecantikan untuk melakukan rawatan muka. Ditanya adakah satu tuah bagi dirinya dilahirkan sebagai anak kacukan, agak sukar bagi Diana menjawabnya kerana kelebihan dan kekurangan menjadi artis berwajah Pan Asia ada baik dan buruknya.


TELITI: Diana menerima rawatan kuku di Kenko Reflexology & Fish Spa,

“Ini pertama kali Diana mencuba terapi menggunakan ikan. Kawan-kawan pernah mencubanya sebelum ini dan mengesyorkan saya mencubanya. Akhirnya, Diana dah mencuba dan merasainya sendiri. Agak menarik apabila ikan itu dengan sepantas kilat terus mengerumuni kaki. Saya memang jenis manusia yang tak tahan geli, lihatlah tadi, letak saja kaki sekejap ke dalam air, tak semena-mena Diana angkat balik kaki ke lantai. Lama-lama sudah okey. Menarik juga rawatan menggunakan ikan ini. Anda semua patut mencubanya.

“Bagi Diana, sejak kecil lagi lebih suka berenang. Kalau banyak kerja dan stress, airlah yang menjadi penenang jiwa. Baru beberapa hari saja Diana melakukan urutan badan. Apabila jadi selebriti ini, ia menjadi satu keperluan untuk jaga kesihatan dan kecantikan. Bidang seni tuntut kerja tak tentu masa. Tetapi walau apa jua alasan, penat atau tidak cukup masa, saya kena menjaga penampilan agar sentiasa segar. Perlu ada masa berkualiti untuk memanjakan diri.

“Satu kemestian Diana ialah melakukan rawatan muka. Dalam sebulan, empat kali Diana lakukan rawatan muka. Kalau urutan badan pula, ia tertakluk kepada masa. Selalunya Diana mengurut badan sebulan sekali. Diana tak suka urutan badan menggunakan teknik picitan yang agak kasar. Guna losen lebih lembut dan sesekali Diana letakkan masker,” katanya.

Berlainan pula dengan hos Remaja dan pelakon siri drama Kami ini, Jue yang lebih gemar memanjakan dirinya di Bangkok kerana ia murah.


LEKA: Diana dan Juliana membiarkan kaki mereka dikerumuni doktor ikan.

“Sebetulnya, Jue jarang ke spa. Jue lebih suka pergi ke Bangkok untuk melakukan refleksologi kaki dan urutan badan, ia murah dan bagus. Jue ke Bangkok beberapa kali dalam setahun dan memang tak sah kalau Jue ke sana tidak melakukan aktiviti dan rawatan itu.

“Jue memang tak suka melakukan rawatan muka sebab tidak mahu kesan produk kimia itu terus merosakkan sel kulit Jue yang amat sensitif ini. Jue cuma pastikan sebelum tidur kena tanggalkan semua kesan mekap yang ada pada wajah. Selepas bangun tidur pun, Jue biasakan membasuh muka. Bezanya hanya pada sebelah siang Jue akan memakai pelembap muka.

“Wow… bestnya Jue dapat menikmati terapi spa berasaskan ikan ini. Seronok memang tak terkata apabila pertama kali mencuba sesuatu benda baru. Jue dah merasai pengalamannya dan ternyata ia memang baik untuk kesihatan. Walaupun geli dan takut, Jue beranikan diri membiarkan ikan itu mendekati kaki Jue.

INFO: Kenko Reflexology & Fish Spa

  • Pusat refleksologi dan spa itu mula bertapak di Malaysia sejak Oktober tahun lalu. Pavillion menjadi pusat beli-belah pertama mempopularkan jenama pusat itu. Rentetan itu, Malaysia Book Of Records telah menyenaraikan pusat itu sebagai The First Fish Therapy Spa Pool in Shopping Centre sejak Mac lalu.

  • Diasaskan oleh Dr Jimi Tan, pusat kesihatan itu bermula sejak 15 tahun lalu di negara Singapura dengan 16 cawangan. Seterusnya berkembang di Malaysia di Pavilion dan Mid Valley.
  • Pelbagai rawatan dan perkhidmatan menarik disediakan di Pavilion dan Mid Valley, antaranya spa terapi ikan, terapi seluruh badan menggunakan ikan, urutan bahu dan bahagian belakang badan, urutan kepala, refleksologi kaki dan mandian kaki beraroma.
  • Jika berminat untuk mendapatkan rawatan dan khidmat di Pavilion, anda boleh berkunjung ke alamat: Lot 5.01.09, Level 5, Pavilion Kuala Lumpur, No. 168, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur.
  • Laman web: www.kenko.com.sg
  • Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Eksekutif Jualan & Pemasaran, Veron Wong dan stafnya yang sudi memberikan kerjasama sewaktu sesi fotografi berlangsung.

PROFIL:

  • NAMA: Juliana Sophie Johari Evans
  • PANGGILAN: Juliana Evans
  • UMUR: 19 tahun
  • KERJAYA: Pengacara
  • KELUARGA: Bongsu (3 beradik)
  • ASAL: Shah Alam, Selangor
  • PENDIDIKAN: Ijazah Komunikasi Masa (tahun pertama di HELP University College)
  • PROGRAM TV: E-Zone, TV Pendidikan dan Remaja
  • FILEM: Kami dan Hopperz
  • DRAMA: Kami
  • NAMA: Diana Danielle Danny Beeson
  • PANGGILAN: Diana Danielle
  • Umur: 16 tahun
  • TARIKH LAHIR: 22 November 1991
  • TEMPAT LAHIR: Houston, Texas, Amerika Syarikat
  • ADIK BERADIK: Anak tunggal
  • DRAMA: Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan, Mentari dan Air Mata Maria
  • FILEM: Idola, Evolusi: KL Drift dan Malaikat Maut
  • KERJAYA: Penuntut, pelakon dan model

Powered by Berita Harian

19
Apr

Macam Baru Keluar Penjara – Faizal

Oleh TENGKU SUZANA & FAIZAL SAHARUNI

“HARI ini buat pertama kalinya semenjak tiga bulan, mandi saya betul-betul basah. Sebelum ini saya mandi tapi rasa macam pakai baju saja setiap masa,” luah jejaka yang mendapat jolokan ‘super Faizal’ ketika berdiri di pentas pertamanya selepas bebas dari ‘tawanan’.

Bukan sekadar jolokan manja, tetapi gelaran ‘super Faizal’ yang ditujukan kepadanya itu ada benarnya. Faizal, 30, ternyata memilik faktor yang sewajarnya ada pada seseorang selebriti.

Biarpun direjam dengan kontroversi, dikeji kononnya bersikap kurang bijak dan tidak beretika, tetapi itu bukan penyebab dia dibenci peminatnya. Bahkan di luar dugaan, pada persembahan Minggu Setiausaha di Hotel Crown Princes, Kuala Lumpur, Khamis lalu, membuktikan segala-galanya.

Faizal dipeluk dan dikerumuni peminat setia yang rata-ratanya terdiri daripada wanita, bahkan ada yang berpangkat ibu dan kakak buat Faizal.

Ini maknanya, Faizal tetap disayangi dan pembebasannya pada 16 April lalu adalah saat yang diraikan dengan gembira oleh semua, khususnya para peminat.

“Saya terkejut dan teruja bukan kepalang dengan respons yang sangat memberangsangkan daripada para hadirin yang datang. Masa kena peluk tadi, saya tidak mampu berkata apa-apa, kejang sekejap rasanya,” kata Faizal yang pertama kali diberi peluang memeriahkan Minggu Setiausaha sejak bergelar artis.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mahakarya Cinta ini juga menyifatkan persembahan Minggu Setiausaha ini juga pembuka tirai dan platform untuknya memulakan langkah baru selepas terkandas akibat kesilapan sendiri.

Sambil berseloroh bapa kepada dua anak ini memberitahu: “Saya harap lepas ini orang datang untuk tengok persembahan saya, bukannya mahu tengok saya buka baju.”

Tidak banyak menunjukkan kepakaran gimik atau membuat kejutan, Faizal lebih selesa menghiburkan para setiuasaha dan golongan korporat yang hadir pada persembahannya ini dengan vokal dan nyanyian yang bertenaga.

Barangkali mahu melepaskan rindu dendamnya, dia menyanyi tanpa rasa bersalah.

Berkongsi pentas dengan penyampai radio Hot FM, Sharifah Aleya yang bertindak sebagai pengacara majlis, Faizal mendapat tepukan gemuruh dan jeritan rindu seluruh dewan selepas mendendangkan beberapa lagu termasuklah Sampai Syurga, Kasih Tercipta, Mahakarya Cinta, Sempurna, We Will Rock You dan Superman (It’s Not Easy).

AKU SUDAH BEBAS… Aksi klise Faizal mengiringi pembebasannya pada 16 April lalu.

Biarpun sekejap, tetapi apa yang dirasai sepanjang persembahan Faizal ini, memang satu petanda yang sangat cemerlang.

Bisik seorang teman, “sudah lama tidak ada penonton begitu obses terhadap seseorang artis.”

Biasanya Mawi dan Anuar Zain sahaja yang mendapat sambutan begini, tetapi rupa-rupanya Faizal juga punya keunggulan tersendiri di mata peminatnya.

Sehari sebelum mengadakan persembahan Minggu Setiausahanya ini, Faizal terlebih dahulu diundang untuk bersiaran secara langsung buat pertama kali semenjak 15 Januari lalu.

Faizal yang meraikan hari pembebasannya pada 16 April turut memberitahu Kosmo! mengenai perasaannya pada hari pertama selepas pembebasannya itu.

Debaran melewati tarikh itu sebenarnya satu detik gemuruh biarpun rasa lega bersiram di jiwa.

“Saya gementar semasa bangun pagi. Lebih menakutkan lagi apabila mengenangkan saya akan muncul secara langsung di TV, radio, internet dan telefon bimbit melalui Hot FM AM Krew.

“Rasa macam baru keluar dari penjara, hakikatnya memang menggembirakan lepas jalani hukuman,” luah Faizal ketika ditemui di konti radio Hot FM, Sri Pentas, Bandar Utama, pada hari pembebasannya itu.

Tiga bulan menjalani hukuman berat dan menyeksakan itu, Faizal menganggap bagai disisihkan masyarakat akibat silap membuat percaturan seterusnya mengatur langkah sumbang.


HANYA bersandarkan kebolehan vokal, persembahan Faizal Tahir mempesonakan hadirin yang datang.

“Alhamdulillah, saya dapat laluinya dengan baik. Denda itu saya anggap pengajaran berguna.

“Saya tidak pernah rasakan hukuman itu jadi satu masalah, sebaliknya ia memotivasikan saya untuk bekerja lebih kuat.

“Kalau boleh saya mahu buktikan kepada masyarakat dengan menyumbang hasil atau produk berguna kepada industri seni,” azam Faizal bersungguh-sungguh.

Langkah baru FaizalSejarah itu mahu dibukukan sebagai iktibar, lelaki berkulit hitam manis semakin bersemangat dengan perkembangan dan perancangan masa depannya bergelar anak seni.

“Selepas ini saya sibuk mengendalikan GangStarz 2 sebagai hos bersama Fara Fauzana dan Kartini bermula 27 April ini.

“Saya juga tak sabar menanti kelahiran album baru yang masih dalam perancangan awal. Tiada apa yang lebih membahagikan saya melainkan muzik,” luah Faizal teruja.

Penuh hemah menyusun tiap baris ayatnya, Faizal memberitahu, selama dia ‘bertapa’ dan bermuhasabah diri sepanjang 90 hari, pelbagai perkara sudah diteroka termasuk hal berkaitan kehidupan dan tanggungjawab sebagai pemuzik.

“Saya dapat tingkatkan skil menggubah dan tulis lirik lagu yang bukan hanya untuk kegunaan saya, sebaliknya kepada penyanyi lain.

“Banyak belajar dengan Audi Mok bagi memantapkan lagi kemahiran dan bakat yang saya punyai.

“Setakat ini saya tulis lagu untuk Badri yang berjudul Selamanya. Selain itu, saya sedang terlibat dalam pembikinan lagu Fiq Mentor, Maya Karin, Aliff, Bob dan Fazli Zainal,” ungkapnya.

Kalaulah diberikan kekuatan, ingin benar Faizal merealisasikan impiannya mengadakan satu showcase atau persembahan khas buat peminat.

Faizal menaruh harapan untuk berdendang di pusat-pusat hiburan seperti Planet Hollywood mahupun Hard Rock Cafe pula.

Jelas Faizal, selama ini dia sudah dikenali sebagai penyanyi tetapi fokusnya adalah memperkenalkan jalur muzik yang dibawanya.

“Saya mahu jadi pemuzik serba-boleh. Saya selesa dilihat dalam status pemuzik, selain nyanyian yang menjadi keutamaan saya,” katanya yang meraih nominasi paling banyak bagi penyanyi lelaki dalam Anugerah Industri Muzik 15 (AIM 15) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 3 Mei ini.

Pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM) yang akan berlangsung malam esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Faizal juga turut mendapat empat pencalonan termasuklah kategori Album Terbaik.

Powered by Kosmo

19
Apr

Suara Ketitir RM200,000

Oleh KHAIRI MOHAMAD

Pasir khas iaitu campuran pasir pantai yang digoreng diberikan kepada burung berkenaan untuk membantu proses penghadaman selain menjaga kemerduan suaranya.

BAK kata pepatah, hanya jauhari mengenal manikam. Begitulah perumpamaan bagi mereka yang menggilai seni suara burung ketitir (merbok) yang subjektif dan abstrak.

Bagi kebanyakan orang, tiada apa yang istimewa dengan seekor burung sebesar tapak tangan itu, tetapi kepada para penggemarnya, kemerduan suara burung ini terlalu istimewa.

Mengapa? Meskipun cuaca panas terik, mereka sanggup berdiri menanti dan mengamati suara burung yang paling merdu di antara ratusan burung yang lain.

Dengan keindahan adunan warna dan pelbagai reka bentuk sangkar yang dipamerkan, sudah cukup menarik perhatian mereka yang meminatinya selain setia menunggu dendangan burung bertuah.

Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir Antarabangsa Kelantan 2008 yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik 2,000 peminatnya sempena perayaan menyambut ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-58 yang diadakan di Lubok Jong, Rantau Panjang.

Acara yang diadakan setiap tahun itu terus mendapat sambutan penggemar seni suara burung itu bukan sahaja dari dalam negara, malah dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

Pengerusi Persatuan Seni Suara Burung Ketitir Kelantan, Datuk Nik Ishak Nik Daud memberitahu, pertandingan ini telah dianjurkan sejak lebih 30 tahun lalu.

PARA peminat sanggup berdiri menanti dan mengamati suara burung yang paling merdu meskipun cuaca panas terik.

Menurutnya, acara ini biasa dimainkan oleh golongan petani ratusan tahun lampau yang menjadikan aktiviti membela burung ketitir ini sebagai satu kemestian.

“Aktiviti memelihara burung ketitir terus kekal sebagai kegemaran tradisi rakyat Kelantan yang diwarisi turun temurun.

“Biasanya inilah hiburan golongan petani zaman dahulu, penat lelah seharian di bendang dan ladang bagaikan terubat apabila mendengar burung belaan mereka menari dan menyanyi,” katanya.

Tambahnya, proses membela seekor burung ketitir untuk pertandingan bukanlah semudah yang disangka, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memastikan burung-burung ini mampu mengeluarkan suara yang merdu dan lunak.

Burung-burung ini perlu dijaga dari segi pemakanan sehinggalah soal ubat-ubatan bagi memastikan keupayaan mereka.

“Suara yang merdu dan lunak ini merupakan anugerah Allah kepada makhluknya dan kita sebagai tuan punya burung hanya berusaha memberi burung-burung tersebut latihan dan penjagaan yang sewajarnya,” ujarnya.

Bermula dengan proses makanan, burung ini akan diberi bunga rumput ataupun sekoi selain makan utamanya.

Selain itu, pasir khas iaitu campuran pasir pantai yang digoreng juga diberi untuk membantu proses penghadaman haiwan berkenaan selain menjaga kelunakan suaranya.

Burung-burung ini juga diberikan sedikit vitamin ataupun bancuhan air khas untuk membantu meningkatkan kesihatan mereka. Selain itu, sangkar juga perlu dibersihkan setiap hari.

Tidak semua burung-burung ini mempunyai suara yang baik. Hanya yang terpilih dan faktor genetik menentukan keupayaan suara mereka.

NIK ISHAK NIK DAUD

Kepada yang tidak meminati permainan ini, jangan terkejut kerana ia boleh dikategorikan sebagai antara hobi mewah. Ini kerana nilai seekor burung yang baik boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

“Pernah seekor burung ketitir dari Pattani, Thailand dijual pada harga RM200,000 kepada seorang warga Singapura beberapa tahun lalu.

“Bagi sesetengah orang, ia mungkin tak masuk akal tapi hakikatnya memang telah terbukti sebelum ini dan harga antara RM15,000 hingga RM20,000 seekor adalah perkara biasa bagi peminat seni suara burung ini,” jelas Nik Ishak.

Seekor burung yang menyertai pertandingan perlu dipersiapkan dengan latihan supaya mereka tidak malu mengeluarkan suara yang lunak, merdu dan galak kerana faktor tersebut termasuk dalam proses pemarkahan.

Menurut Nik Ishak, suara burung ini perlu dilatih dari segi keupayaan mengeluarkan, mengawal, lenggok, kemerduan, getaran suara selain membiasakannya dengan suasana pertandingan.

Katanya, seekor burung yang baik mampu mengeluarkan suara yang unik dan merdu untuk tempoh antara tujuh hingga lapan tahun.

“Ada sesetengah burung yang hebat, mempunyai suara yang lunak tetapi semasa hari pertandingan ia menjadi pasif kerana beberapa faktor.

“Macam juga program Akademi Fantasia (AF), seseorang peserta mungkin hebat semasa latihan tetapi pada hari pertandingan ia menjadi kaku, gugup dan takut kerana ramai pesaing,” jelasnya.

Pertandingan kali ini menampilkan juri berpengalaman yang mahir dari pelbagai negara untuk mengadili empat peringkat proses penghakiman.

Jelas Nik Ishak, suara burung ini dipecahkan kepada empat bahagian iaitu suara depan, tengah, air suara dan suara belakang.

Keupayaan seekor burung ketitir menguasai keempat-empat bahagian ini membolehkannya dinobatkan sebagai juara selain kesepakatan juri dalam menentukan suara terbaik.

Sementara itu, empat kategori seni suara dipertandingkan iaitu suara A melibatkan burung yang mempunyai suara garau dan kasar, suara B bagi suara peringkat pertengahan, suara C untuk burung yang memiliki suara halus manakala kategori baru yang turut dipertandingkan ialah suara burung muda atau remaja yang berumur tujuh atau lapan bulan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sambutan yang ditunjukkan mendorong kerajaan negeri mengambil inisiatif menambah baik pertandingan ini kerana ia tarikannya yang tersendiri.

“Peminat dan penggiat seni ini pula berkembang tanpa mengira kaum, budaya mahu pun latar belakang, malah ia berkembang ke negeri-negeri lain sama ada sebagai hobi, hiburan dan perniagaan.

PENAT lelah seharian di bendang terubat apabila mendengar suara burung peliharaan menyanyi.

“Pada tahun ini, satu kategori baru iaitu pertandingan burung murai batu diperkenalkan sementara pertandingan burung tiong bercakap masih dikekalkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Pertandingan itu juga mempertandingkan kemerduan suara burung tekukur, candik, tiong dan murai batu

Selain pertandingan suara burung, pertandingan seni kecantikan ayam serama turut memeriahkan suasana.

“Pernah suatu ketika ayam serama menjadi kegilaan sehinggakan harganya mencecah puluhan ribu ringgit seekor.

“Kerajaan negeri melalui agensi pelancongan telah mengambil langkah menggiatkan semula dan menyenaraikan pertandingan ayam serama di dalam kalendar Tahun Melawat Kelantan 2008,” ujarnya.

Majlis perasmian pertandingan itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Pada pertandingan itu, kategori suara A dimenangi oleh Nazri Abdullah dari Kelantan, suara B; Baba Jim dari Singapura, suara C; dibolot oleh Pak Su Hussain dari Yala, Thailand manakala Roslan Mamat dari Sungai Golok memenangi kategori suara burung muda.

Kosmo! juga difahamkan juara kategori B, Baba Jim membeli burung ketitir yang johan kategori tersebut pada harga RM80,000 beberapa tahun lalu.

Kesemua mereka berjaya membawa pulang sebuah piala pusingan Exco Kerajaan, piala iringan, sijil dan hadiah sampingan lain.

Powered by Kosmo

17
Apr

Kempen Astro Megadrama

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap

DALAM usaha menyokong pembangunan seni tanah air dan menawan hati pelanggan, Astro kini menyediakan kepelbagaian kandungan tempatan untuk memenuhi cita rasa audien berbeza dengan peningkatan kandungan tempatan kepada 3,900 jam tahun ini melalui kempen Astro Megadrama di empat salurannya yang berbahasa Melayu.

Kempen ini bukan saja mendapat sambutan positif daripada pelanggan, malah turut memberi insentif kepada penerbit tempatan berusaha lebih gigih supaya hasil karya mereka dapat diketengahkan. Platform Astro Megadrama juga membuka ruang kepada anak seni termasuk pelakon, pengarah dan penulis skrip untuk terus berkarya.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, berkata mereka bangga dapat memainkan peranan dalam meningkatkan taraf dan kualiti produksi tempatan di samping membantu perkembangan seni tanah air.

“Platform ini sebahagian daripada perancangan kami untuk menjadikan Astro sebagai destinasi utama pengisian program pelbagai genre khusus untuk tontonan semua selain kejayaan program realiti seperti Akademi Fantasia, Raja Lawak dan Sehati Berdansa. Drama ditawarkan ini merangkumi pelbagai genre termasuk bercorak kekeluargaan, komedi, romantik dan aksi.

“Himpunan drama terbaik untuk saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Oasis dan Astro Ceria dipastikan mempunyai pengisian yang diwarnai dengan nama besar dalam arena hiburan tanah air, jalan cerita padat dan menghiburkan serta kualiti produksi bermutu tinggi.

“Untuk menghangatkan lagi kempen ini, setiap bulan sebuah drama akan dipilih untuk dipertontonkan kepada pihak media dan pelanggan Astro bertuah sebelum disiarkan di kaca televisyen,” katanya ketika pelancaran Astro Megadrama di Cineleisure Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.

Hadir sama Ketua Program Melayu Astro, Haris Ismail; Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh; Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagull dan Pengarah Drama Bicara Cinta, Rashid Sibir.

Mei ini, drama bersiri 26 episod, Bicara Cinta akan mula bersiaran menerusi kempen Astro Megadrama sebagai pembuka tirai. Drama berdurasi satu jam ini menampilkan gandingan pelakon baru dan lama iaitu Aqasha, Fazura, Beego, Zizie Ezette, Fauziah Nawi dan Ahmad Tarmimi Siregar.

Drama yang akan bersiaran mulai 7 Mei, setiap Rabu jam 9.30 malam di Astro Prima ini mengisahkan percintaan antara Tuah dan Mila yang bermula dengan perasaan benci tetapi kemudiannya berputik menjadi cinta. Tuah mewarisi perniagaan batik dan songket milik ayahnya dan mengambil Mila yang menguruskan perniagaan itu.

Mila memperlihatkan idea dan rekaan baru tetapi tidak dipersetujui oleh Tuah yang masih mahu mengekalkan rekaan lama. Disebabkan itu, Mila berhenti dan memulakan perniagaan sendiri. Selepas itu pelbagai rintangan ditempuhi serta hubungan cinta mereka tidak direstui ibu bapa masing-masing dan kini hanya masa yang menentukan kesudahannya.

Sementara itu Rashid Sibir berkata, Bicara Cinta menggandingkan tema berat, cinta, kekeluargaan dan komedi dengan latar perusahaan batik dan songket di Kelantan yang secara tidak langsung mengangkat kembali khazanah tradisional itu.

“Dari segi pembikinan saya tidak menghadapi banyak masalah kerana Astro memberi kebebasan untuk berkarya serta tidak menyekat kreativiti. Malah, pemilihan pelakon yang dicadangkan di peringkat awal diterima baik tanpa banyak soal. Sebenarnya sewaktu menulis skrip bersama panel skrip Opera Klasik Sdn Bhd, saya sudah membayangkan siapa pelakon sesuai yang akan membawakan watak tertentu dan bersyukur kerana ia berjalan lancar mengikut perancangan.

“Selain itu, kombinasi pelakon baru dan lama yang dipilih berdasarkan populariti dan komitmen mereka yang senang bekerja. Penampilan pelakon sudah ada nama akan menarik perhatian peminat mereka untuk menyaksikan drama ini selain kekuatan jalan cerita yang ditampilkan.

“Dari segi pemilihan lagu Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain pula, memang dari awal lagi kami merancangnya kerana ia sesuai dengan tema penceritaan drama ini. Cinta sebenarnya harus diucap dan bukannya dipendam,” katanya.

Selain Bicara Cinta, Astro Prima juga membariskan drama bersiri terbaik iaitu Papaku Rock, setiap Rabu jam 10.30 malam dan Tentang Bulan The Series, setiap Isnin jam 10.30 malam. Manakala telemovie Atas Nama Ibu akan bersiaran pada 11 Mei jam 9 malam dan Keris Lama pada 25 Mei juga jam 9 malam.

Powered by Harian Metro

17
Apr

Info TV: Chef Kamarul Kembali Dalam A La Carte Di Ntv7

INGIN belajar cara mudah menyediakan masakan yang bukan saja sedap dimakan tapi juga sedap dipandang? Chef Kamarul kembali menemui anda dengan masakannya yang lebih hebat bersama selebriti tempatan.

Musim pertama A la Carte berjaya menambat hati ramai penonton setia dengan kemahiran Chef Kamarul berserta kelebihan sifat mudah mesranya, musim kedua A la Carte yang memaparkan barisan artis terkenal di samping resipi sedap ini tidak harus dilepaskan.

Mulai 16 April lalu, musim kedua yang memaparkan 13 episod ini akan kembali menerusi saluran ntv7 jam 7.30 malam setiap Rabu. Panduan untuk menyediakan hidangan yang lazat, cepat dan lebih dekoratif akan diketengahkan dalam rancangan setengah jam ini.

Turut dipaparkan adalah aksi selebriti yang meminta nasihat Chef Kamarul bagi menyediakan hidangan yang paling sesuai untuk makan tengahari, jamuan serta perjumpaan keluarga.

Lebih menarik, penonton bukan saja boleh mendapatkan tip memasak berguna dan resipi daripada program memasak ini, tetapi penonton turut diberi peluang untuk mengintai ke dalam kehidupan selebriti jemputan dengan melihat paparan kediaman mereka.

Selebriti jemputan akan mencuba mencipta kembali hidangan yang ditunjukkan oleh Chef Kamarul. Hidangan itu terdiri daripada tiga jenis dan hidangan makan tengahari atau makan malam.

Tetamu jemputan Chef Kamarul, tukang masak selebriti yang terkenal dengan peranannya dalam Makan Apa Bos? dan Famili Ria, termasuklah Nora Danish, Zahid AF2, Akbar, dan Shila.

Jangan lepaskan peluang anda untuk menonton Ala Carte’s Mother’s Day Specials dengan kemunculan penyanyi dan pelakon tempatan Karen Kong pada 7 Mei depan dan penyanyi Singapura yang semakin dikenali, Imran Ajmain pada 14 Mei.

Bagi tip masakan yang lebih menggiurkan, resipi yang amat mudah dipelajari dan juga saat kegembiraan yang berterusan, jangan lupa menonton A la Carte musim kedua, setiap Rabu jam 7.30 malam.

Powered by Berita Harian

17
Apr

Danial Azrell Jadi Rebutan

Danial berkemeja-T di dalam dan memakai kemeja corak kekotak di luar.

KEMUNCULAN Danial Azrell Hafizuddin Mohd. Aluwi, 2, di salun rambut milik ibunya di Sooka Central, Kuala Lumpur, menceriakan suasana. Kanak-kanak comel ini menjadi rebutan untuk didukung kerana sifatnya yang mudah mesra dengan sesiapa pun.

Sesekali dia meragam kerana mungkin mengantuk, namun setelah diberikan botol susu dia diam dalam pelukan ibunya, Noraini Wahib.

Permata hati Noraini ini telah didedahkan dengan keadaan sekeliling luar dari rumahnya sejak berumur enam bulan lagi setelah didaftarkan di Sekolah Gymboree, Bangsar Village.

Di sekolah itu, Danial dibiasakan bergaul dengan orang lain, bermain bersama-sama, belajar muzik, melukis dan menari. Dia akan berada di sekolah selama satu jam, iaitu daripada pukul 10.20 pagi hingga 11.20 pagi.

Kata ibunya, Danial pandai menyanyi lagu Twinkle Twinkle, Row You Boat, Spider dan lagu Rossa, Cinta Sampai Mati antara lagu kegemarannya.

Meskipun masih terlalu kecil, Danial sudah pandai bergaya dan sukakan minyak wangi. Jika hendak keluar berjalan, dia pasti akan ke tempat menyimpan minyak wangi dan akan merengek selagi tidak disembur minyak wangi.

”Dulu dia pakai minyak wangi bapanya, tapi sekarang Danial dah ada minyak wangi sendiri jenama Marc Jacobs yang berbau buah-buahan,” kata Noraini.

Powered by Utusan Malaysia