MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Tiada Lagi Masalah Tidur

Posted by admin on May 23rd, 2008



Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Penggunaan tilam sesuai dan berkualiti bantu Ziana atasi sakit belakang, kekalkan kecergasan

LAPAN jam tanpa terjaga dianggap tempoh tidur yang cukup bagi golongan dewasa. Sayangnya apabila bergelar ibu dan memiliki anak kecil, tempoh berkenaan jauh sekali dapat dinikmati, walaupun semalam.

Manakan tidak, terbangun daripada tidur untuk membuat susu anak, sudah mencuri paling tidak 10 minit untuk tidur kembali. Sekiranya bayi terjaga lebih tiga kali semalam? Ringkas kata, nikmat tidur tanpa gangguan mungkin tidak ada lagi dalam diari seorang wanita bergelar ibu.

Sungguhpun kenyataan itu mengecewakan, hakikatnya tidaklah sebegitu buruk, seandainya individu mampu mendapatkan tilam terbaik sebagai teman tidur.

Jurucakap Tilam Vono yang juga penyanyi terkenal, Ziana Zain, berkata menjadi ibu yang mempunyai anak masih kecil, kurang tidur antara masalah lazim yang boleh menyebabkan seseorang tampil kurang bermaya keesokan harinya.

Apatah pula bagi dirinya yang berkerja mengenakan kasut bertumit tinggi hampir setiap hari. Sakit kaki dan sengal pada bahagian tulang belakang adalah perkara biasa. Namun, sejak menggunakan tilam Vono, semua itu tidak lagi mengganggu kesegaran tubuhnya apabila bangun keesokan harinya kerana memiliki tilam yang berkualiti, sekali gus membantu mendapatkan kesegaran tubuh badan.

“Sebagai ibu, gangguan tidur pasti ada kerana anak masih kecil, tetapi mendapatkan nikmat tidur kembali selepas terjaga tidaklah sesukar mana dengan tilam yang baik. Begitu juga apabila mengenakan kasut bertumit tinggi hampir sepanjang hari. Untuk mengelakkan berlaku sakit belakang, selalunya saya tidur tanpa bantal dan ia membantu mendapatkan kembali kesegaran tubuh,” katanya ketika hadir di Berita Harian baru-baru ini sebagai jurucakap tilam Vono. Turut hadir Pengurus Produk, Cheng Kai Hin.

Jenama berasal dari United Kingdom (UK) itu memiliki sejarah sepanjang 100 tahun, malah amat terkenal sebagai teman tidur yang mesra tulang belakang. Ia dipasarkan Slumberland Marketing Sdn Bhd. Selain daripada tilam ia boleh didapati dalam dipan serta bantal. Antara koleksi Vono termasuklah Asmara, Romantis, Spinal Care I, Spinal Care II, Spinal Care III.

Asmara dan Romantis dihasilkan khusus untuk segmen pasaran Melayu dengan dihias wajah Ziana. Model terkini ialah Back Supporter II, Back Supporter III dan Back Supporter Deluxe.

Lapan tahun menjadi jurucakap produk berkenaan, Ziana cukup terharu di atas kepercayaan yang diberikan syarikat itu. Beliau menyifatkan kerjasama itu bukan saja memberikan kebaikan kepada dirinya, sebaliknya turut dapat berkongsi pengalaman dengan peminat mengenai keselesaan perkara paling penting dan peribadi dalam hidup – tilam.

“Saya tidak mudah terpedaya dengan iklan, sebelum menjadi jurucakap sudah semestinya saya mencubanya. Perkenalan saya dengan jenama ini wujud sejak saya mula mendirikan rumah tangga lagi. Ketika membeli katil untuk bilik pengantin, saya terlihat tilam dengan gambar tulang belakang wanita yang menyatakan ia membantu memelihara tulang belakang.

“Saya terfikir, kenapa tidak saya mencuba tilam ini kerana selepas penat berkerja, sudah pasti kita mahukan rehat yang sempurna. Dan nyata saya cukup selesa dengan tilam berkenaan. Apabila didekati syarikat untuk menjadi jurucakap, saya bersetuju, tetapi perlu mencuba dulu. Tetapi bila saya pulang ke rumah, dan menyelak cadar, barulah saya terperasan bahawa tilam selesa yang saya gunakan sebelum ini adalah Vono. Jadi saya cukup seronok dan tidak ragu-ragu menjadi jurucakap produk ini,” katanya yang sudah memiliki lebih 10 jenis tilam dan katil Vono, yang turut dihadiahkan kepada saudara mara. Beliau bagaimanapun lebih selesa dengan koleksi Vono Diraja yang boleh didapati pada harga mencecah empat digit.

Beliau berkata, sekiranya berkemampuan, individu boleh berbelanja lebih untuk tilam. Malah, baginya, jika wanita sanggup berhabis untuk bergaya serta dilengkapi aksesori mahal, kenapa pula tidak sanggup melabur untuk tidur yang selesa.

“Saya memerlukan tilam yang betul-betul bersesuaian untuk mendapatkan rehat secukupnya. Apatah lagi, ia dihasilkan dengan menggunakan fabrik kapas tidak panas, selain dilengkapi sistem spring interlok yang dihasilkan di UK.

“Ia mampu memberikan perlindungan secukupnya kepada tulang belakang saya, selain memastikan saya boleh menikmati tidur lebih sempurna, tanpa gangguan dan memberikan kesegaran. Kalau kita berpakaian cantik sekalipun tidak akan nampak cantik kalau selalu menghadapi sakit belakang dan wajah tidak ceria tanda tidak cukup tidur,” katanya.

Sejak menjadi jurucakap, Ziana tidak pernah berkompromi terhadap tidur di atas tilam yang hebat. Walaupun selalu berada di luar negara serta daerah dan tidur di katil hotel, beliau, suami dan anak-anaknya tetap ‘merindui’ Vono yang digunakan di rumah.

“Bagi saya, tidur yang berkualiti meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi seseorang serta menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan berkualiti. Sayangnya kebanyakan kita, tidur nyenyak tidak begitu penting, malah meletakkannya hampir di tempat paling corot dalam senarai keutamaan dalam hidup.

“Sebenarnya, dengan membuat sedikit perubahan kepada amalan harian dan pelaburan kecil boleh meningkatkan kesejahteraan, bukan saja untuk diri kita, tetapi juga semua orang di sekeliling kita,” katanya.

Sementara itu, Cheng berkata, sejak pengenalan Ziana sebagai jurucakap, jualan Vono meningkat mendadak dengan purata jualan 1,000 tilam sebulan. Katanya, kehebatan nama Ziana setanding kepercayaan orang ramai terhadap jenama itu

Powered by Berita Harian

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>