Skip to content

May 25, 2008

Dunia Mawi: Kembara Halal Di Korea




Rap

ASSALAMUALAIKUM. Ketika anda membaca coretan ini, saya bersama 200 peminat sudah berada di Korea. Percutian kali ini cukup istimewa kerana ia mengumpul paling ramai penyertaan.

Terima kasih diucapkan kepada Korean Tourism Board (KTO) kerana bekerja keras untuk memastikan percutian ini meninggalkan kenangan manis buat rombongan ini.

Kami berangkat ke negara ini malam Khamis lalu. Seminggu berada di sini akan dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuklah berkunjung ke lokasi tumpuan ramai.

Kali ini akan ada beberapa sesi utama bersama peminat. Antaranya, acara ‘telematch’ di Pulau Nami yang pernah menjadi lokasi penggambaran drama Winter Sonata. Saya yakin rombongan pasti tertawan dengan keindahan pulau ini. Saya sendiri tidak sabar memijakkan kaki di pulau bebas pencemaran ini.

Untuk memudahkan pergerakan di sana, peserta akan dibahagikan kepada lima bas. Untuk acara ini setiap bas akan diwakili 10 hingga 15 peserta. Saya cukup teruja mengendalikan program ini kerana ia membabitkan ramai peserta dan penyokong. Mesti gamat jadinya nanti. Harap apa yang dirancang berjalan lancar dan berlangsung dalam suasana ceria.

Di taman tema pula akan ada pertandingan karaoke lagu-lagu saya. Sama seperti ‘telematch’ di Pulau Nami, setiap kumpulan diwajibkan menghantar peserta. Hadiah menarik disediakan oleh Mawi World, Maestro dan KTO.

Paling istimewa, saya akan mengadakan persembahan di pentas terbuka di hadapan pejabat KTO. Persembahan ini bukan saja akan disaksikan peserta rombongan tetapi juga tetamu jemputan KTO, kakitangan kedutaan Malaysia dan penduduk Seoul. Saya akan menyampaikan lagu-lagu hit dan mengadakan pertunjukan silap mata. Saya juga tidak ketinggalan berduet sebuah lagu dengan Heliza.

Untuk pengetahuan semua, Heliza turut serta dalam rombongan ini untuk sama-sama menjayakan penggambaran sebuah program terbitan Astro Oasis. Kami akan digandingkan sebagai hos.

Fokus program ini adalah pengembaraan halal di mana kami akan membongkar keunikan Korea yang mungkin orang ramai tidak tahu sebelum ini.

Ia dapat dijadikan panduan kepada pelancong beragama Islam yang berminat berkunjung ke negara ini. Selama ini ramai menyifatkan susah mencari makanan halal di Korea.

Dalam program ini kami akan menyingkap kehidupan masyarakat Korea beragama Islam, tempat-tempat yang menyajikan makanan halal dan hotel yang berdekatan dengan restoran halal.

Kami juga akan melawat masjid dan melihat anak-anak Korea belajar mengaji al-Quran.

Saya akan kongsi pengalaman percutian ini dalam penulisan minggu depan. Mari kita lihat aktiviti saya sebelum bertolak ke Korea. Isnin lalu saya menghiburkan kakitangan Eon di Hotel Istana. Rata-ratanya pernah berkhidmat selama 10 hingga 20 tahun. Selain saya, Norin Aziz turut menambat hati penonton dengan tiga lagu. Seronok rasanya apabila dapat menghiburkan penonton. Saya percaya mereka pekerja yang hebat, berdedikasi dan rajin.

Saya kemudian menyanyi di majlis meraikan media anjuran De Classic Life (DCL). Terima kasih kepada Datuk Stapa Omar dan isterinya, Datuk Azlina Che Abdullah kerana percayakan saya.

Selasa adalah hari yang cukup bermakna apabila saya menerima hadiah Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP), kereta Peugeot 407 (2.0) bernilai RM185,000 tajaan Nasim Sdn Bhd, set barangan kemas eksklusif tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000, pakej penginapan mewah di Hotel Palace Of Golden Horses serta wang tunai RM3,000.

Majlis penyampaian itu berlangsung di Hotel Palace of the Golden Horses. Terima kasih diucapkan kepada Berita Harian, penaja dan peminat yang mengundi saya. Dalam majlis itu saya berduet lagu Doa Buat Kekasih dengan Datuk Siti Nurhaliza.

Rabu pula saya menghadiri program pelancaran buku Damai Abadi di Puncak Everest yang di tulis oleh Datuk Khalid Yunus di Dewan Perdana Felda. Buku itu menceritakan pengalaman Datuk Khalid dan peserta ekspedisi Merdeka D’Everest 2007 menawan puncak tertinggi di dunia itu.

Setakat ini saja. untuk minggu ini. Jangan lupa mengikuti catatan saya minggu depan. Banyak kisah menarik bakal disajikan. Salam World!

Powered by Harian Metro

Read more from Mawi, Siti Nurhaliza

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments