Emas Keperangan Sesuai Untuk Si Hitam Manis
Posted by admin on May 25th, 2008
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna sesuai digayakan
Soalan:
Saya berkulit gelap dengan ketinggian 157 sentimeter, berat badan 49 kilogram. Saya akan menghadiri majlis perkahwinan yang mewajibkan saya memakai pakaian berwarna keemasan. Bagaimanapun saya tidak yakin untuk mengenakan warna itu kerana kulit yang gelap bimbang akan menyebabkan saya bertambah gelap. Bagaimana cara untuk mengatasi keadaan ini? Apakah skim warna keemasan yang sesuai dengan kulit saya?
Merkatus melalui emel.
Jawapan:
Kulit hitam manis tidak menjadi masalah langsung jika hendak berfesyen. Malah, menjadi trend terkini untuk memiliki kulit yang berona ‘tan’ atau hitam manis. Lihat saja pada ikon fesyen di Malaysia mahupun di persada fesyen dunia.
Nama besar seperti Beyonce Knowles, Halle Barry dan Naomi Campbell sudah lama menjadi ikon fesyen malah di Malaysia sendiri mereka yang berkulit hitam manis seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Nurul sangat terkenal di dalam industri fesyen Malaysia dan menjadi inspirasi kepada pereka fesyen di Malaysia.
Diakui warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna yang muncul selari dengan aliran semasa sesuai untuk digayakan.
Apabila bercakap mengenai warna ia banyak bergantung dengan kesesuaian padanan warna dengan tona kulit dari kuning langsat hinggalah ke hitam manis.
Warna krim pucat misalnya tidak sesuai untuk digayakan orang yang berkulit putih kerana ia akan mentafsirkan imej yang pucat manakala ungu gelap juga kurang sesuai untuk orang yang berkulit hitam manis kerana akan menjadikan rona kulit anda bertambah gelap.
Bagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat semuanya bergantung dengan cara seseorang individu itu sendiri menggayakan bajunya.
Tidak salah jika anda hendak mencuba, namun ia perlu bersesuaian dengan gaya. Lihat saja busana yang Ning Baizura gayakan pada hari persandingannya.
Kalau diikutkan, kurang sesuai warna ‘royal blue’ untuk digayakan oleh orang yang berkulit hitam manis tetapi dengan cara pembawaan dirinya dan juga gaya yang bersesuaian, Ning begitu menyerlah dengan warna itu.
Untuk Fariza, warna gold atau keemasan tidak menjadi masalah untuk digayakan tetapi pemilihan ronanya haruslah bertepatan.
Rona keemasan mempunyai pelbagai variasi yang mana untuk orang yang berkulit hitam manis, rona bronze gold atau emas keperangan dan soft gold – keemasan lembut sangat sesuai untuk anda.
Tetapi anda harus berhati-hati dengan pemilihan fabrik. Pada pendapat saya, fabrik seperti sutera Thai atau sutera asli sangat sesuai dengan anda memandangkan potongan badan anda yang agak kurus.
Rekaan kurung moden yang berpotongan lurus sangat sesuai selari dengan majlis yang bakal anda hadiri. Untuk imej yang lebih trendy, leher berpotongan ‘v’ akan menaikkan seri anda di samping ilusi leher yang lebih jinjang.
Perincian seperti ‘pleated’ atau ‘pin tuck’ di bawah baju dan di hujung lengan menjadi ‘trend’ terkini dan juga memberikan ilusi tinggi. Untuk melengkapkan gaya, kain sarung bersusun kipas dan berbelah depan sangat ideal untuk digayakan. Tetapi adalah lebih sesuai untuk anda gayakan kain yang bercorak kontra bersama baju yang polos.
Profil: Rizman & Ruzaini
Info:
Powered by Berita Harian