P. Ramlee Di Istana Budaya
Posted by admin on May 25th, 2008
Pementasan perdana musim kedua P.Ramlee The Musical…The Life, The Loves & The Inspiration akan bermula pada Khamis ini, tarikh yang sama pemergian Seniman Agung itu ke rahmatullah pada 35 tahun yang lalu.
Pasti ramai yang tertunggu-tunggu pementasan muzikal itu. Wanda pun teringin nak tengok lagi. Nak tengok macam mana P. Ramlee di tangan Musly Ramlee pula.
Iyalah, Wanda dengar dia dapat sambutan luar jangkaan di Singapura, kota yang menjadi tempat P. Ramlee mencipta nama. Dan Musly khabarnya juga memberikan satu impak yang begitu mengujakan.
Dia pun memang selama ini terkenal suka membawa watak seniman itu di pentas walaupun orang kurang mengenali siapa Musly ini.
Tidak sahaja Musly, rasanya khalayak juga teruja nak menyaksikan Azizah versi Emelda Rosmila. Kalau Datuk Siti Nurhaliza memang kita tahu hebat nyanyiannya, tapi Wanda sendiri teruja nak tengok watak Azizah daripada perspektif seorang pelakon pula. Juga nak dengar alunan suara cik Emelda kita ni. Kerana dengarnya ramai yang puji suara Emelda.
Lagipun, pementasan kali ini yang diarah oleh Adlin Aman Ramlie yang bukan sahaja kekasih Emelda, lebih penting, dua kali naik pentas Anugerah Seni BOH Cameronian atas tiket Pengarah Terbaik berkolaborasi bersama bekas pengarah P. Ramlee musim pertama, Datuk Zahim Al- Bakri yang pada musim ini bertindak sebagai pengarah bersekutu.
Juga watak Saloma dan Norizan yang masing-masing dijayakan oleh Liza Hanim dan Melissa Saila yang turut diangkat sebagai Pelakon Pembantu Terbaik kerana Norizan pada anugerah itu baru-baru ini.
Tiara Jacquleina sendiri teruja dengan pementasan meganya ini. Apalagi, melihatkan sambutan hangat daripada kalangan pencinta teater di seberang tambak apabila P. Ramlee dipentaskan selama tiga malam di Esplanade Theatre, Singapura pada 17 hingga 19 Mei lalu.
Reaksi di blog tentang pementasan ini juga positif. Gerek, menjadi antara isi kandung kepada satu penulisan seorang penulisnya yang menganggap musim kedua ini lebih baik – dari segi set, prop juga kostumnya.
Malah kata penulis blog bernama aeqmal itu, seluruh produksi termasuk pelakon patut menerima tepukan sanjungan (standing ovation) kerana katanya, “Saya tidak menjangkakan akan begitu terhibur dan saya terkesima”.
Sebenarnya kalau mereka yang pernah menonton musim pertamanya, banyak perubahan dalam pementasan kali ini. Bukan sahaja pertukaran pelakon malah daripada segi pengarahan dan penambahbaikan isi kandungan naskah itu sendiri.
Dapat pula kali ini berkolaborasi bersama Roslan Aziz yang memang seorang ‘pemuja’ P. Ramlee maka lebih lain susunan lagu-lagu yang disajikan dan ada penambahan lagu.
“Ia sesuatu yang segar. Memang tak sabar nak balik ke Istana Budaya,” kata Tiara Jacquelina kepada Wanda pada petang Rabu lalu.
Teruja benar suaranya di hujung corong memberitahu betapa bangganya dia dengan Musly hinggakan kata Tiara, dia seperti mahu mengalirkan air mata gembira melihat kejayaan lelaki itu.
Bagi Tiara, ceritanya sama seperti P. Ramlee, seorang budak kampung yang berhijrah ke Singapura dan akhirnya menerima nasib yang sungguh bertuah sebagai orang seni.
“Semua orang mempunyai momennya sendiri dan inilah masa Musly. Dia bukan bintang, tidak ada nama tapi kerja kerasnya untuk P. Ramlee berbaloi. Penonton bersorak tengok dia. Saya sendiri kalau ralit tengok dia terlupa yang dia Musly,” ujarnya lagi.
Sudah bersedia pada pementasan yang akan berlangsung selama 18 hari itu, Tiara juga yakin penonton akan menyukai perubahan-perubahan pada pementasan kali ini.
“Lebih banyak P.Ramlee daripada segi muzik dan penampilan,” kata Tiara yang amat teruja menanti sambutan di negara sendiri.
Malah katanya, ketika berlepas ke Singapura, pasukannya sendiri merasakan seperti seorang P.Ramlee yang ingin mencuba tuahnya di negara itu.
“Musly bersama beberapa yang lain sempat pergi ke lokasi studio Jalan Ampas,” cerita Tiara yang ketika Wanda hubungi sedang bercuti singkat untuk menyiapkan kata-kata penerbit bagi koleksi buku meja kopi pementasan P. Ramlee yang juga akan dijual sepanjang pementasan itu nanti.
Tiara tidak sudah-sudah memuji seluruh produksinya atas kerjasama dan dedikasi mereka menjayakan setiap pementasan yang diterbitkannya.
“Bukan senang mendapat sebuah pasukan yang bagus dan saya bertuah memiliki mereka,” kata Tiara lagi.
Jadi, kepada yang ingin menonton P. Ramlee musim baru, jangan lupa tempah tiket mulai sekarang kerana janji Tiara, anda akan terhibur dengannya. Dan lebih penting, ia juga sebagai tanda kita terus memperingati Seniman Agung ini.
Powered by Utusan Malaysia