Gang Starz 2: Faith Tersingkir
Posted by admin on May 26th, 2008
SHAH ALAM 25 Mei – Konsert ketiga Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2) malam ini menyaksikan giliran kumpulan Faith menjadi kumpulan kedua disingkirkan daripada program realiti popular TV3 itu.
Penyingkiran Faith diumumkan selepas berada di tangga tercorot dalam sistem peratusan yang ditentukan melalui 50 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) manakala 50 peratus lagi menerusi pilihan juri profesional iaitu Ajai, Sheikh Haikel dan Syafinaz Selamat.
Pada konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam itu, Faith membawakan lagu berjudul Tamparan Wanita.
Penyingkiran kumpulan dari Singapura itu sekali gus membuka peluang bagi 10 lagi kumpulan bersaing pada konsert minggu keempat, Ahad ini.
Mereka adalah One Nation Emcees, South Trio dan Akasia mewakili tuan rumah manakala Indonesia diwakili D’Raz, D’ Reborn serta 3 Voices di samping Singapura, Brown Tone.
Turut berentap adalah kumpulan Step dari Thailand serta Filipina yang diwakili Paragon Child dan 3.5.
Sebelum ini, kumpulan PZG dari Thailand menjadi kumpulan pertama yang tersingkir pada konsert kedua minggu lepas.
Gang Starz musim kedua dihoskan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana.
Thailand dan Filipina merupakan dua buah negara yang pertama kali menyertai Gang Starz.
Powered by Utusan Malaysia