Kempen Kesedaran Payudara Dapat Sambutan
Posted by admin on May 26th, 2008
JOHOR BAHRU 25 Mei – Demi kesedaran orang ramai terhadap kanser payudara, Yayasan Pride dengan kerjasama GCH Retail (M) Sdn. Bhd., dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) mengadakan kempen kesedaran Kanser Payudara di sini hari ini.
Pengarah Projek, Razina Abdul Razak berkata, ia merupakan kempen yang diadakan di seluruh negara bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kanser payudara.
Menurutnya, sebelum ini kempen mengenai penyakit yang menjadi pembunuh nombor satu wanita itu telah dijalankan di Perak, Selangor dan Melaka.
“Selain itu, kempen tersebut akan menjelajah ke enam buah negeri lagi iaitu Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.
“Kempen ini telah bermula sejak 13 April lalu dan akan berakhir 2 Ogos ini di setiap negeri adalah Pasar Raya Besar Giant yang terpilih,” katanya yang ditemui di Pasar Raya Besar Giant Plentong di sini hari ini.
Setiap kempen yang diadakan, jelas Razina, membawa tujuan yang sama iaitu mendidik orang awam tentang pentingnya pengesanan awal dan rawatan kanser payudara.
“Malah ia juga merupakan salah satu landasan untuk memberi inspirasi dan galakan kepada pesakit dan bekas pesakit untuk menjalani kehidupan dengan lebih bermakna,” jelasnya.
Dalam pada itu, tambah Razina, pelakon, Azean Irdawaty turut memberikan ceramah dan berkongsi pengalaman bersama orang ramai.
Beliau berkata, ceramah itu adalah berkisar tentang usaha pelakon berusia 57 tahun itu melawan penyakit kanser payudara yang dihidapinya.
Antara program yang diadakan sepanjang berlangsungnya kempen ialah cara pemeriksaan sendiri payudara yang dikendalikan oleh Hospital KPJ dan sesi penyediaan makanan berkhasiat yang dianjurkan oleh Carotino Oil.
Powered by Utusan Malaysia