MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

29 Mei Hari Seniman Kebangsaan

Posted by admin on May 30th, 2008



Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 29 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Kebangsaan.

Perkara itu diumumkan oleh Abdullah ketika berucap di hadapan 4,000 penggiat seni tanah air pada majlis pelancaran Hari Seniman Kebangsaan 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Perdana Menteri, ia dibuat berdasarkan kepada tarikh pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah 35 tahun lalu.

“Allahyarham merupakan seniman tersohor dan insan seni yang amat istimewa. P.Ramlee adalah seorang reformer paling hebat dan tidak ada tandingannya.

“Beliau telah membawa banyak perubahan kepada bangsa kita dan telah menjadikan filem dan lagu sebagai satu usaha mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk membawa kemajuan dan mengetepikan apa-apa yang tidak membawa kemajuan,” katanya.

Turut hadir Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim dan Presiden Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafim), Datuk Mustafa Maarof.

Perdana Menteri berkata, tujuan kerajaan menetapkan tarikh itu adalah untuk mengiktiraf sumbangan golongan seniman terhadap pembangunan negara serta peranan mereka sebagai penggerak perpaduan melalui bidang seni.

”Hari seniman seharusnya disambut dengan hasrat para seniman dan karyawan akan terus menghasilkan karya yang mampu menyumbang ke arah merealisasikan wawasan negara.

“Memang kita tidak boleh nafikan bahawa warga seni merupakan satu aset penting negara. Mereka mempunyai tugas yang penting iaitu meninggikan martabat masyarakat kita melalui karya seni,” katanya.

Dalam ucapannya itu juga, Abdullah berkata, seni tidak harus dijadikan santapan mata dan telinga semata-mata tetapi ia perlu berperanan dalam melahirkan tamadun bangsa berilmu dan berbudaya.

Kata beliau, dalam usaha Malaysia menuju ke arah negara maju, pembangunan material bukan segala-galanya tetapi menuntut kepada kepelbagaian elemen termasuk pembudayaan karya seni.

”Kemajuan yang syumul bukan setakat pembangunan material semata-mata tetapi ia menuntut kepada pelbagai elemen kemajuan dan pembangunan termasuk pembudayaan karya seni dalam kalangan masyarakat.

“Dalam konteks ini, seni perlu dijadikan sebagai satu wadah ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan bertamadun,” tegasnya.

Abdullah berkata, seni juga merupakan satu industri yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bagi menjana pendapatan lebih tinggi, namun begitu ia perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Sambil menyebut peribahasa Melayu “kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih”, Abdullah berkata, semuanya bergantung kepada kemahuan.

”Kita kaya dengan kepelbagaian budaya. Maka dengan itu saya percaya jika pembangunan seni di negara kita ini dibimbing dengan baik, Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang mungkin lebih hebat lagi dari India dan Bollywoodnya itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan sentiasa prihatin untuk membela nasib warga seni dan sedia mempertimbangkan sebarang cadangan yang boleh memberi kebaikan kepada golongan tersebut.

Katanya, pelantikan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai senator mencerminkan hasrat kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya kepada kepentingan golongan seni.

”Bagi meneruskan usaha ini, kerajaan akan terus memberikan dokongan, sokongan dan galakan yang sewajarnya kepada penggiat seni dalam pelbagai genre dan bidang,” ujarnya.

Sebagai contoh, kata beliau, kerajaan akan terus berusaha memantapkan skim latihan penggiat seni atau pembangunan industri seni yang sedia ada.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>