Oleh FAIZAL SAHARUNI


KERETA yang ditaja ini akan menjadi milik peribadi Jimmy tidak lama lagi.

PENGALAMAN memandu kereta jenama mewah di jalanan sebelum ini tidak membuatkan pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley terus memperkecilkan kemampuan mobil medium yang menjadi pilihan golongan pertengahan.

Bagi anak kelahiran Ipoh, Perak ini, dia hanya mementingkan keselesaan. Memang jenis kenderaan import dianggap status dan memperlihatkan aura si pemiliknya, tapi minat dan cita rasa orang boleh berubah-ubah.

Umum mengetahui, mobil mewah biasanya mengangkut graduan bidang Pentadbiran Perniagaan di Chartered Institute of Transport United Kingdom ini ke mana-mana sahaja, apatah lagi tugasnya sebagai ahli perniagaan memerlukan dia ke merata tempat bertemu klien.

Begitu pun, Jimmy Shanley Norjahan Saleh atau lebih dikenali sebagai Jimmy mengakui cukup seronok dapat memandu kereta pacuan empat roda Hyundai Santa Fe V6 tajaan Hyundai yang digunakan sepanjang pelayaran Akademi Fantasia 6 (AF6) bermula awal Mac lalu.

“Ibarat jatuh cinta pandang pertama,” kata Jimmy ringkas semasa ditemui dalam sesi fotografi Ini Mobilku yang berlangsung di sekitar Pusat Penyiaran Astro baru-baru ini.

Hyundai Santa Fe selesaTerdapat persoalan yang bersarang di hati, apakah Jimmy selesa memandu kereta Hyundai sementelah tangannya terbiasa memegang stereng kereta buatan antarabangsa?

“Hyundai Santa Fe ini selesa sangat. Dulu saya tengok memang tak suka, tapi sekarang pemikiran saya mulai berubah,” tutur Jimmy tulus.

Sambung jejaka berusia 28 tahun ini, dia mengkhabarkan berita mendapat tajaan kereta tersebut kepada abangnya, malah bibir Jimmy tidak henti-henti menceritakan pelbagai kehebatan tentang kenderaan itu.

“Saya beritahu abang mengenai keunikan Hyundai Santa Fe, namun tidak lama kemudian abang ambil keputusan membeli kereta itu bagi kegunaan syarikat.

“Lagipun barang gantian kereta ini senang nak cari, tiada masalah langsung sebab jenamanya pun dah mendapat kepercayaan pengguna.

“Ia juga tidak terlalu tekankan ciri teknologi yang terlampau canggih hinggakan kita sendiri pun pening kepala.

“Ia benar-benar mesra pengguna. Saya tak terkejut kalau lepas ini ramai yang akan beli Hyundai Santa Fe,” jelasnya panjang lebar berkaitan personaliti kereta itu.

Kenangan di kampung SaidaBak ada kebenarannya, mata anak kacukan Melayu-Australia ini terus bercahaya tatkala berborak lebih lanjut mengenai kenderaan berharga kira-kira RM160,000 itu.

“Walaupun Hyundai Santa Fe ini lebih terarah kepada kereta keluarga, namun saya tak kisah. Asalkan kondisinya luas dan lebar, ia sudah menggembirakan hati saya.

“Sepanjang dua bulan memandu kenderaan ini ke seluruh Malaysia termasuklah sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perak dan Pahang, saya dapati minyaknya juga menjimatkan.

“Pengalaman ke merata negeri itulah yang tak dapat saya lupakan. Hyundai Santa Fe ini miliki banyak ceritanya tersendiri.

“Saya gunakan kereta ini sambil membawa bekas pelajar AF6 pulang ke kampung halaman masing-masing menerusi program Trek Selebriti yang saya kendalikan.

“Kenangan yang paling tak dapat saya lupakan sewaktu pergi ke kampung kakak Datuk Siti Nurhaliza, Saida yang terletak di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

“Itulah saat yang paling saya ingat dalam fikiran,” ungkap Jimmy yang dilahirkan pada 13 Julai 1980 berterus-terang.

Pandai ‘baiki’ keretaGolongan lelaki biasanya dikaitkan memiliki kemahiran membaiki kenderaan. Bukan sekadar tahu memandu di atas jalan raya dengan penuh gaya.

Selok-belok dan ‘jiwa’ kenderaan mereka seharusnya perlu difahami dengan mendalam andainya terdapat sebarang kemungkinan yang menimpa ke atas mobil itu.

Jimmy dengan sepenuh keyakinan memberitahu, dia pandai membaiki kenderaan jika keretanya mengalami sebarang masalah dan kerosakan.

“Saya paling pandai telefon mekanik. Itulah yang saya tahu,” pintas Jimmy berseloroh memecah keheningan petang itu.

Sambung Jimmy yang baru sahaja memakai pendakap gigi, nombor-nombor telefon bengkel baiki kenderaan ada dalam simpanannya bagi melicinkan urusan kalau mobilnya ditimpa ‘bencana’.

“Pernah pandu kereta yang tiada tayar simpanan sebelum ini dan akibatnya saya kena keluarkan banyak duit untuk panggil kereta penunda.

“Saya tak nak perkara sama berulang,” ujar Jimmy yang gemar mendengar lagu dendangan Estranged tatkala memandu.

Tiada masa ubah suai keretaKesibukan kerja mengendalikan syarikat milik keluarga dan komitmen sebagai pengacara dan penyampai Radio Era membuatkan Jimmy terpaksa memendamkan minat mengubah suai kereta.

“Dulu saya memang suka ubah suai kereta, tetapi sejak kebelakangan ini hobi itu dah hilang sedikit demi sedikit.

“Dengan jadual yang padat dan sentiasa penuh, mana mungkin saya nak habiskan masa mengindahkan kereta.

“Kini saya mengamalkan prinsip asalkan kereta boleh jalan, bergerak dan dapat mengangkut saya ke tempat yang ingin dituju, ia dah mencukupi.

“Tiada istilah nak bikin-bikin kereta sekarang ini. Saya cuma harapkan dapat sampai ke sesuatu destinasi dengan cepat dan selamat,” jawab Jimmy yang gemar membasuh mobilnya di kedai mencuci kereta.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Jimmy memberitahu penulis dia akan membeli kereta tajaan Hyundai dengan rona perak itu selepas kontrak tamat tidak lama lagi.

Begitulah penangannya bila Jimmy sudah jatuh cinta.

“Saya akan beli Hyundai Santa Fe ini. Dah selesa dan serasi dengan kenderaan itu. Rasa sayang pula nak lepaskan ‘dia’ pergi ,” akui Jimmy yang mengimpikan Ferrari Modena 360 menjadi milik mutlaknya suatu hari nanti.

Powered by Kosmo

2 Comments


  1. It’s great to find somonee so on the ball

    Reply

  2. Which came first, the problem or the solution? Luckily it doesn’t matter.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *