Majlis Kahwin Intan?
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
DESAS-desus mengenai pelakon cantik ini bakal me ngakhiri zaman bujang bukan saja hangat diperkatakan kini malah menjadi berita mengejutkan di kalangan kenalan rapatnya.
Bagaimanapun, apabila perkara itu ditanya kepada empunya diri, Intan Ladyana Mohd Yahya (Intan), 26, kelihatan terpinga-pinga.
“Dari mana datangnya cerita ini? Hari itupun saya ada terima panggilan daripada kenalan rapat yang berkecil hati kononnya tidak menjemputnya ke majlis perkahwinan.
“Pelik sungguh apabila orang luar dulu yang tahu cerita ini sedangkan saya yang dihebohkan hendak berkahwin, tidak tahu bila akan berkahwin.
“Tidak dinafikan saya sudah berpunya tetapi setakat ini kami belum merancang apa-apa termasuk untuk berkahwin kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja.
“Harapan saya, supaya orang tidak mudah percaya cerita mengarut seperti itu. Jika sampai seru mendirikan rumah tangga, jangan bimbang perkara baik seperti ini tidak mung kin saya rahsiakan,” katanya.
Bintang Jangan Pandang Belakang itu mengakui hatinya sudah dimiliki. Malah hubungannya dengan Kevin Azhari iaitu bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia musim keempat bukan lagi rahsia.
Malah tidak lama dulu pasangan merpati dua sejoli itu pernah mencetuskan kontroversi apabila gambar aksi ‘kurang sopan’ membabitkan seorang gadis Jepun yang menyerupai wajah Intan disebarkan di Internet.
Walaupun masih baru dalam bidang seni, Intan dianggap pendatang baru yang cukup bertuah kerana diam tak diam sudah membintangi tiga filem, Tipah Tertipu The Movie, Jangan Pandang Belakang (JPB) dan I’m Not Single. Dalam JPB menampilkannya sebagai pelakon utama.
Tidak sekadar filem, wajahnya juga sering menjadi pilihan produser dan pengarah drama. Antara drama yang me lonjakkan namanya ialah Puteri dan Jelatang.
Bagaimanapun, hakikatnya masih ramai tidak mengenali gadis kacukan Melayu-Thai ini sehinggakan ada masanya bakat Intan seperti tenggelam dek kebangkitan pelakon baru.
Kata Intan, setakat ini semuanya bagus saja. Malah katanya, tawaran berlakon tidak pernah putus hingga dia perlu sampai menganggur dua atau tiga bulan di rumah meskipun per saingan kerjaya itu cukup sengit.
“Tidak sekadar kemunculan pelakon baru, persaingan da tang daripada pelakon berpengalaman yang bakat mereka sudah terbukti hebat.
“Keadaan ini sebenarnya mewujudkan persaingan sihat kerana ia akan membuatkan semua pelakon tidak kira muda atau lebih ‘senior’ mengutamakan kualiti kerja untuk terus bertahan lama. Saya sendiri selesa bersaing dari segi watak.
“Dalam erti kata lain, saya berusaha mempamerkan ke bolehan dengan memberikan lakonan terbaik untuk men dapatkan watak yang lebih mencabar pada masa akan datang,” katanya.
Katanya, lakonan terbarunya dalam I’m Not Single akan dapat ditonton di pawagam Jun. Selain itu Intan terikat dengan dua penggambaran drama Gaia musim kedua dan Dari KL Ke Queenstown yang kini dalam persediaan blok kedua.
Selesai menjayakan dua drama itu, Intan kembali sibuk dengan penggambaran filem dan sitkom Puteri musim ke-10.
Untuk drama Dari KL Ke Queenstown, Intan membawakan dua watak, sebagai pelajar dan watak tua.
“Dalam cerita ini saya memegang watak Sofia. Dia anak manja kerana dilimpahi kemewahan. Namun, di sebalik sikapnya itu, Sofia seorang yang tegas.
“Kisahnya bermula apabila Sofia jatuh cinta dengan Saiful, lakonan Eizlan Yusof. Namun percintaan mereka mendapat tentangan keluarga kerana Saiful anak orang susah dan tidak setaraf keluarga Sofia.
“Meskipun pada awalnya dia menentang keputusan ibu bapa, akhirnya Sofia akur lalu mengahwini lelaki kaya yang tidak dicintainya.
“Konflik berlaku apabila Saiful muncul dalam hidupnya. Kali ini anak gadis Sofia pula mencintai lelaki itu,” katanya.
>PROFIL
Nama sebenar: Intan Ladyana Mohd Yahya
Tarikh Lahir: 2 Jun 1982
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Zodiak: Gemini
Kerjaya: Pelakon, pengacara dan model iklan
Adik beradik: Anak kedua daripada tiga beradik
Iklan: Nivea Skincare, Follow Me, Jacobents, Celcom, Sunsilk, Acuvue,
Toyota Hilux, Dentyne, Oil Of Olay, Deify Skincare dan Hotlink
Rancangan TV: Hello Minda dan Adventure Race 2006
Drama: Trio, Bujal, Bapak Bola Anak Futsal, Puteri dan Jelatang
Filem: Tipah Tertipu, Jangan Pandang Belakang & I’m Not Single
Powered by Harian Metro
Direnjis-Renjis: Sentuhan Tangan Razak Hidupkan Majlis
Pengalaman lebih 20 tahun digunakan sepenuhnya bagi menyerikan segenap ruang
SETIAP kali melangkah masuk ke majlis perkahwinan, antara yang terus menarik perhatian tentunya hiasan dan gubahan yang menyerikan ruang majlis. Sama ada di sedari mahupun tidak, hiasan berkenaan mencarik seribu pengertian berdasarkan persepsi tersendiri.
Kreativiti dan hasilan kerja tangan berseni itu tidak harus dipandang sepi memandangkan fungsinya mewarnai tirai latar dan seterusnya ‘menghidupkan’ majlis berkenaan. Tanpa mereka apalah maknanya sesuatu majlis perkahwinan yang seharusnya menjadi hari bersejarah anda.
Berkecimpung dalam bidang gubahan bunga, Razak Ahmad antaranya yang menjadi tulang belakang penyeri majlis sebegitu. Pengalaman selama 18 tahun di Amerika Syarikat (AS) banyak mengasah dan meningkatkan kreativitinya. Berikutan itu, beliau lebih senang untuk tidak terikat dengan sesuatu idea sebaliknya sentiasa membuat pembaharuan daripada pelbagai aspek.
Mengutamakan gubahan bunga untuk majlis perkahwinan, Razak amat gemar menggunakan bungaan segar dalam setiap sentuhan halusnya. Boleh dikatakan hampir kesemua suntingan khidmatnya menggunakan elemen bunga ros segar sebagai subjek utama.
Menyorot pengalaman lalu sewaktu bekerja di LA Premier, Los Angeles, khidmat Razak pernah didambakan oleh selebriti terkenal dunia untuk majlis perkahwinan mereka antaranya Brad Pitt dan Jennifer Aniston, Drew Barrymore dan pasangannya serta ramai lagi. Setiap hasilan beliau diinspirasikan daripada tema ala Eropah, topiari, glamor, tropika dan taman.
“Ilham menghasilkan gubahan bunga memang ada, namun pada masa yang sama, kebanyakan pelanggan mengutarakan pandangan atau idea mereka sendiri. Akan ada perbincangan antara dua belah pihak sehingga mencapai kata sepakat. Kena ada komunikasi dua hala, barulah terbentuk hasilan dramatik lagi berseni,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, baru-baru ini.
Sekembalinya ke tanah air, Razak menubuhkan syarikat sendiri, Flora etc dengan menawarkan pelbagai khidmat seperti menyediakan gubahan bunga dan hiasan bunga untuk pelbagai majlis termasuk majlis perkahwinan, hari lahir dan majlis sosial. Menganggarkan persiapan untuk sesuatu majlis ialah tiga bulan, Razak menganggap senario itu sebagai biasa.
Katanya, untuk majlis yang ringkas seperti majlis sosial atau majlis perkahwinan ‘ala kadar’ memang menepati peruntukan berkenaan. Berbeza pula peruntukan masa untuk majlis perkahwinan di hotel atau orang kenamaan, Razak memerlukan jangkamasa enam bulan atau setahun bergantung kepada tuntutan kehendak dan belanja yang disediakan.
Sejak kembali ke tanah air empat tahun lalu, Razak mendapat banyak tempahan setiap hari terutama daripada golongan elit seperti kerabat diraja dan antara pelanggannya termasuk personaliti terkenal, Datin Norjuma Habib.
Katanya, anggaran belanjawan bagi sesuatu majlis perkahwinan pula dalam lingkungan lapan hingga ratusan ribu ringgit Malaysia termasuk membeli bahan dan kos khidmat rundingan. Begitupun, beliau turut menerima tempahan dari luar Lembah Klang dengan mengenakan caj tambahan bagi bayaran menyewa lori.
Berkongsi pendapat mengenai penjagaan bunga Ros segar, Razak menjelaskan bahawa bunga berkenaan sifatnya sama seperti manusia. Perlukan air untuk menampung hidup terutama bagi mengekalkan kesegaran dalam gubahan.
“Kita sebolehnya menginginkan bunga segar yang mengungkapkan keindahan sebenar sesuatu jenis bunga. Jadi, untuk menjamin kesegarannya, bunga berkenaan perlu ‘diberi minum’ dalam masa lima hingga enam jam supaya dapat menyimpan air untuk suatu tempoh tertentu. Selepas itu barulah batang bunga itu boleh dipotong dan seterusnya dijadikan gubahan,” katanya.
Beliau turut menaja gubahan bunga untuk parti konsep taman sempena majlis penyampaian hadiah ABPBH 2007 yang diadakan di Hotel Palace Of Golden Horses, baru-baru ini. Gubahan dengan tema Topiari, di susun rapi menggunakan 2,500 kuntum bunga ros merah segar diimport dari China.
Selain itu, Razak mendirikan 12 batang tiang dengan setiap satu mempunyai tiga tingkat jambangan bunga yang diperbuat daripada 200 bunga ros segar bagi setiap tiang. Dianggarkan kos perbelanjaan untuk tajaan berkenaan mencecah RM10,000, namun melihat kepada keseluruhan hasilnya, nyata apa yang ditampilkan cukup memikat dan mendapat pujian ramai.
INFO:
Flora etc
Pemilik: Razak Ahmad
Khidmat: Gubahan bunga, hiasan majlis, cenderamata, hiasan rumah.
Lokasi: Suite 2.07, Tingkat 2, The AmpWalk, 218, Jalan Ampang, Kuala Lumpur
Telefon: 603-21668090
Laman web: www.floraetc.com.my
Powered by Berita Harian
Ujian Menerbitkan Noda Semalam
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my
AKSI Remy Ishak (kanan) yang turut membintangi telemovie Noda Semalam di lokasi penggambaran.
MENGHASILKAN sebuah telemovie barangkali dianggap sebagai kerja mudah bagi sebilangan besar penonton.
Hakikatnya, hanya penerbit dan pengarah sahaja yang terpaksa menelan pelbagai keperitan dan kesukaran ketika proses penghasilan sesebuah telemovie dibuat.
Bagi syarikat produksi Zeel Production Sdn. Bhd., yang menerbitkan telemovie Noda Semalam untuk siaran TV3 malam esok menerusi slot Cerekarama, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
Bahkan, penerbitnya, Md. Fadzil Teh tidak terduga akan diuji sedemikian rupa untuk menghasilkan buah tangan terbaru syarikat produksi yang diketuainya itu.
Noda Semalam arahan sutradara, Muhammad Murali Abdullah memaksa Fadzil berhadapan dengan cabaran yang bukan kecil.
Cabaran pertama bermula apabila hero utama telemovie itu menarik diri pada saat-saat akhir akibat terikat dengan komitmen lain.
“Saya bernasib baik kerana Ezany Nizarif bersedia mengambil alih tugas itu. Biarpun ditawarkan di saat-saat akhir, namun Ezany memberikan lakonan yang hebat dan menepati kehendak produksi,” kata Fadzil kepada Hits ketika berkongsi cerita mengenai produksi Noda Semalam.
Sangkaan Fadzil pertukaran hero akan menamatkan cabaran produksi Noda Semalam rupanya meleset apabila salah seorang jurugambar yang sering menyertai produksi Zeel Production pula terpaksa menarik diri kerana terikat dengan urusan keluarga.
Sekali lagi, Fadzil dan team produksi memikirkan pengganti yang boleh mengambil alih tugas tersebut.
Ujian terus menghimpit produksi Noda Semalam selepas salah seorang aktor utama telemovie itu, Razali Buyong pula membawa khabar duka apabila kakaknya meninggal dunia ketika penggambaran sedang berlangsung.
“Menyedari kedudukan Razali yang sedang berduka dan tidak mampu memberi komitmen terhadap telemovie ini menyebabkan kami terpaksa mencari pengganti lain.
“Alhamdulillah, Zulkifli Zain menyatakan kesediaannya menggantikan tempat Razali,” kata Fadzil menyambung perbualan.
Kesediaan Zulkifli menggantikan Razali membuatkan seluruh team produksi Noda Semalam dan Fadzil bersemangat untuk meneruskan penggambaran.
Namun begitu, ketika di lokasi penggambaran Noda Semalam yang berlangsung di Batu 14, Hulu Langat, Selangor, Zulkifli pula pengsan dan keadaan itu sekali lagi mengejutkan seluruh team produksi.
“Sudah tentu kami semua bimbang. Tetapi, Alhamdulillah, selepas melakukan pemeriksaan, beliau (Zulkifli) disahkan sihat,” terang Fadzil lagi.
Berkat kesabaran dan kerja keras semua pihak akhirnya membuahkan hasil dan Noda Semalam bakal ditayangkan malam esok menerusi slot Cerekarama.
Selain Ezany dan Zulkifli, Noda Semalam yang menampilkan skrip tulisan Abdul Rahim Awang turut mempertaruhkan aktres tersohor tanah air, Fauziah Nawi, Jasmin Hamid, Shaheizy Sam, Delimawati, Remy Ishak dan ramai lagi.
Telemovie ini memparkan kisah seorang anak malang yang menghidap penyakit leukemia cuba menjejaki ibu kandungnya.
“Jalan cerita telemovie ini mungkin sesuatu yang biasa bagi sebilangan besar daripada kita. Namun, penekanan yang diberikan dalam cerita ini ialah bagaimana mesej disampaikan dan bagaimana audiens menerima mesej berkenaan,” kata penerbit itu lagi.
Noda Semalam juga jelas Fadzil, menghadiahkan penonton sisi lakonan Fauziah yang berbeza dengan pendekatan lakonannya sebelum ini.
Fadzil sedar ramai yang mempersoalkan kenapa Zeel Production terus menawarkan Fauziah watak yang stereotaip.
“Saya berani beri jaminan, lakonan Fauziah kali ini jauh berbeza daripada apa yang pernah kita tonton sebelum ini,” janji Fadzil kepada audiens mengenai lakonan Fauziah Nawi dalam Noda Semalam.
Noda Semalam jelas Fadzil, masih mengekalkan pendekatan drama yang berteraskan air mata kerana ia memenuhi kriteria penerbitan telemovie untuk slot Cerekarama.
Selain jalan cerita dan pelakon, Zeel Production juga ujar Fadzil sering menitikberatkan pemilihan pengarah untuk mengemudi sesebuah produksi.
Dan untuk Noda Semalam, pengarah Murali menjadi pilihan lantaran keyakinan Fadzil terhadap karisma sutradara itu.
Murali sebelum ini pernah memberikan sentuhannya pada telemovie Janji Seorang Anak juga terbitan Zeel Production.
“Saya menyenangi kerja Murali. Dia begitu teliti dalam segenap aspek penerbitan telemovie.
“Murali sentiasa memastikan semua kerja penerbitan dilakukan sehingga proses terakhir sebelum menyerahkan hasilnya kepada saya.
“Yang istimewanya, Murali juga sangat arif terhadap kerja-kerja penataan muzik. Ini memudahkan kerja-kerja produksi,” kata Fadzil merakamkan penghargaan pada pengarah itu.
Powered by Utusan Malaysia
Resipi Sate Goreng Di Brunei
KEHADIRAN pelbagai program masakan di televisyen boleh menjadi panduan kepada penonton resepi memasak untuk hidangan sekeluarga.
Satu lagi program masakan, Periuk Malaysia Belanga Brunei mempunyai keistimewaan apabila menggabungkan resipi dua negara serumpun, Malaysia dan Brunei menerusi RTM2, slot Ezzy Sunday.
Penonton pastinya mahu mengetahui sekaligus berkongsi resipi yang diperkenalkan setiap episod menerusi tiga segmen istimewa. Menariknya setiap segmen dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut negara iaitu ‘Periuk Malaysia dan Belanga Brunei, Santai Santai serta Sudu Garfu.
Selain berkongsi resipi menarik serta warisan dua negara, daya tarikan lain pastinya kerana pengacaranya, Serina Redzuawan dan Zayn Sabri turut berkunjung ke restoran dan tempat menarik yang mahu diperkenalkan kepada penonton.
Untuk 1 Jun ini, Periuk Malaysia Belanga Brunei bersiaran seperti biasa pada jam 10.30 pagi dengan menampilkan paparan menarik mengisi segmen yang disediakan.
Zayn yang memainkan peranan menjadi wartawan lokasi di Malaysia, menemani Chef Nadzri memasak ‘Gulai Ikan Tenggiri Tempoyak’ di Bukit Merah Laketown Resort, Perak untuk segmen Periuk Malaysia.
Manakala dalam segmen Santai Santai, Zayn membawa penonton melawat Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort, Perak. Selepas penat melawat Pulau Orang Utan, Zayn menjamu selera di Krom Luang Thai Restaurant di Jalan Abdul Jalil.
Serina pula menemani Abang Haji Jali menyediakan Sate Goreng di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan untuk segmen Belanga Brunei.
Penonton juga dihidangkan dengan gelagat Serina membeli-belah di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan. Selepas penat membeli-belah, Serina menjamu selera di Restoran Zaika.
Powered by Harian Metro
Cukupkah Menghargai P. Ramlee?
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA dan SHAZRYN MOHD. FAIZAL
BERSAMA Bat Latif sewaktu memenangi anugerah Filem Komedi Terbaik pada tahun 1960 di Tokyo, Jepun.
LAGU keramat Legenda nyanyian Sheila Majid merupakan terjemahan paling tepat mengenai sumbangan besar Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepada industri hiburan tanah air.
Karya-karya seni P. Ramlee yang diasaskan ketika hayat seniman itu sebetulnya terlalu masyhur dan masih relevan sehingga ke hari ini.
Kerana itu juga, tidak hairanlah kenapa P. Ramlee dianggap oleh sebilangan besar daripada kita sebagai permulaan kepada kegemilangan industri hiburan Malaysia.
Hari ini genap 35 tahun, seniman hebat itu meninggalkan kita.
Dalam tempoh itu, kita terus didengarkan dengan alunan melodi-melodi emasnya, kita tertawa sendirian menonton celoteh-celotehnya dalam filem bahkan kita juga berduka dalam kesedihannya dalam setiap lakonan-lakonan yang menghibakan.
P. Ramlee merentasi masa bersama naskhah-naskhah yang dihasilkannya sejak dari zaman muda sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Persoalannya sejauh mana kita menghargai karya-karya seni yang ditinggalkan buat kita?
Penghargaan barangkali ada, tetapi cukupkah buat orang yang telah mencetus fenomena yang bukan kecil untuk industri muzik dan perfileman serantau?
Sebelum ini, banyak sekali keluhan yang kedengaran mengenai nasib yang menimpa seniman dan seniwati tempatan terutamanya mereka sudah meninggal dunia.
Berbeza dengan Hollywood, pemergian orang-orang seni ke alam barzakh akan membawa bersama segala kesedihan dan keperitan ketika menjadi anak seni.
Jangankan disentuh soal apresiasi khalayak terhadap jasa dan sumbangan mereka, bahkan jika mahu dinilai atau kekayaan yang ditinggalkan mereka juga sesuatu yang sedih untuk dibincangkan secara terbuka.
P. Ramlee bukan Frank Sinatra mahupun Elvis Presley yang dianggap sebagai ikon penting dalam sejarah industri seni Hollywood.
Filem dan lagu mereka terus diabadikan dalam bentuk cakera padat dan cakera padat digital kerana Hollywood tahu, ikon seperti itu merupakan rujukan penting untuk usaha memperkasakan industri hiburan mereka.
Elvis misalannya, terus ‘hidup’ apabila rumah agamnya, Graceland yang terletak di Memphis, Tennessee telah dijadikan sebagai salah satu tempat tarikan pelancong.
Nasib P. Ramlee
Tetapi, bagaimana pula dengan nasib P. Ramlee di sini? Kita sering laungkan dia legenda yang sukar dicari ganti tetapi di manakah sebenar tempatnya?
Berapa ramai yang tahu tentang Pustaka Peringatan P. Ramlee yang terletak di Jalan Setapak, Kuala Lumpur?
Adakah usaha untuk menjadikan rumah pusaka yang merupakan satu-satunya peninggalan P. Ramlee sebagai tempat tarikan terutama untuk tatapan anak muda hari ini?
Pusaranya yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur pula, berapa ramai yang tahu atau sedar tentang lokasinya?
Bagi pelakon dan penerbit filem terkenal, Datin Seri Tiara Jacquelina, usaha yang harus dipergiatkan ialah memasyhurkan karya-karya seniman itu kepada angkatan generasi muda.
Usaha itu kata penerbit pementasan P. Ramlee The Musical itu amat penting bagi memastikan karya-karya P. Ramlee tidak dilupakan.
Apa lagi tegasnya, ketika ini, generasi muda yang lahir selepas P. Ramlee meninggal dunia sudah tidak mengenali ikon itu.
“Untuk menyalahkan orang muda juga tidak boleh kerana mereka tidak dilahirkan di era P. Ramlee dan kerana itu, saya fikir sudah sampai masanya semua pihak berganding bahu memperkenalkan P. Ramlee dalam pendekatan yang lebih segar,” jelasnya kepada Hits.
Lalu, pementasan P. Ramlee The Musical musim kedua di Istana Budaya, Kuala Lumpur kini jelas Tiara, merupakan usaha beliau untuk memastikan P. Ramlee terus ‘hidup’ dalam industri hiburan.
Aset yang begitu berharga
Berdasarkan rekod karya-karya seni P. Ramlee, kesemua penghasilan beliau merupakan aset yang begitu berharga dan tiada wang ringgit mahupun segunung intan yang mampu menggantikannya.
Dunia semakin berubah dan tiada siapa yang dapat menjangkakan sampai bila nama P. Ramlee akan terus bersemadi dan tersemat di jiwa kita semua terutama sekali generasi muda hari ini.
Jadi, apakah peranan kita untuk meletakkan P. Ramlee agar terus dikenang selagi nyawa dikandung badan?
Adakah cukup dengan mengadakan persembahan untuk mengingati ulang tahun kelahiran ataupun kematiannya?
“Penghargaan pada Allahyarham sememangnya ada. Namun, apakah penghargaan yang kita berikan kepada beliau berterusan?” itu persoalan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang menyifatkan P. Ramlee seharusnya dihargai secara berterusan.
Sebagai seni seni, Siti Nurhaliza berpendapat, penghargaan yang berterusan terhadap P. Ramlee yang wajar dilakukan ialah mengambil usaha memasyhurkan karya-karya seni seniman itu ke peringkat global.
“Bila memikirkan keagungan kesenian tinggalan P. Ramlee, membuatkan saya tertanya, apakah cukup lagu-lagu dan filem-filem hebat beliau hanya terbatas di Malaysia.
“Saya rasa rugi kalau kita membataskan penghargaan di tanah air saja sedangkan saya percaya pengaruh P. Ramlee di peringkat serantau sahaja sudah cukup besar dan wajar diperluaskan lagi,” kata Siti Nurhaliza berkongsi idea.
Tiara Jacquelina dan Siti Nurhaliza antara jumlah kecil karyawan seni yang berasa bimbang dengan masa depan karya-karya seni P. Ramlee.
Sama ada kita bersedia atau tidak untuk memperluaskan skop penghargaan itu, asasnya industri hiburan akan terus berhadapan dengan cabaran untuk mengangkat usaha-usaha memperkasakan karya-karya P. Ramlee, apatah lagi selepas ketiadaan beliau.
Tetapi sampai bila kita harus membiarkan keadaan berterusan sebegini?
Cuba kita renungkan. Apakah yang kita sudah lakukan untuk terus mengenang P. Ramlee sebagai satu aset negara yang tiada tandingannya.
Seniman kelahiran Pulau Pinang itu mungkin tidak meninggalkan harta yang banyak tetapi dia telah memberi kita legasinya untuk kita kenang dan pelihara sampai bila-bila.
Andai ada kisahnya yang tidak enak untuk diceritakan adalah baik jika kita simpan dan usahlah dijaja mahupun diceritakan.
Kita perlu cermin diri kita sebelum kita memperkatakan tentang orang lain.
Buat P. Ramlee, jasa dan pengorbananmu akan tetap dikenang sampai bila-bila. Dan sesuatu yang pasti, P. Ramlee akan terus dirindui.
Semoga beliau terus damai di sana, Al-Fatihah.
Dan kebetulan bersempena dengan ulang tahun ke-35 pemergian P. Ramlee, acara penting dalam kalendar seni tanah air akan disempurnakan iaitu Hari Seniman Negara.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, apa yang diharapkan ialah pengisian acara itu akan memberi manfaat yang besar pada karyawan seni.
Powered by Utusan Malaysia