Stacy Juara Akademi Fantasia Ke-6
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KUALA LUMPUR 24 Mei – Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF) diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah, Stacy (gambar) dinobatkan sebagai juara AF6 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.
Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.
Kemenangan Stacy sudah dijangka kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan, dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penyokongnya.
Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang hadiah yang bernilai lebih RM700,000.
Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan, kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000 serta sebuah trofi bersalut emas.
Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.
Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah trofi.
Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22, yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz) dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.
Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.
Powered by Utusan Malaysia
Kisah Siti Di Banglo Mewah
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN (Emel: ent_editor@kosmo.com.my)
INILAH rumah banglo mewah milik Datuk K yang sebelum ini didiami Tengku Zawyah.
ORANG luar boleh berkata apa saja, tetapi realitinya hanya empunya diri yang tahu segala kebenarannya.
Justeru apabila kecoh kisah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dikatakan sudah berpindah ke banglo mewah yang pernah didiami suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) bersama dengan bekas isteri, banyak kisah yang sebenarnya orang luar kurang arif tetapi masih sibuk berkata macam-macam.
Lebih mendukacitakan lagi, penyanyi ini sendiri diterjah dengan pelbagai kata-kata kurang elok, selepas dia dikatakan berpindah ke rumah bernilai lebih RM6 juta itu baru-baru ini.
Banglo berkenaan sebelum ini didiami oleh bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham dan anak-anak selepas perceraian pada tahun 2005.
Bagaimanapun Pancaindera difahamkan Tengku Zawyah membuat keputusan untuk berpindah beberapa bulan lalu ke satu lokasi lain sementara menanti kediaman barunya di Kemensah, Selangor disiapkan penghujung tahun ini.
“Perpindahan Tengku Zawyah tidak ada kaitan dengan Siti dan saya. Tengku sendiri yang mahu berpindah. Insya Allah hujung tahun ini rumah baru dia akan siap di Kemensah dan dia akan tinggal bersama anak-anak,” kata Datuk K kepada Pancaindera menjelaskan sebab musabab bekas isterinya itu berpindah ke banglo berkenaan.
Oleh kerana banglo itu tidak berpenghuni, Datuk K mengajak kedua ibu bapanya, Siti Zainah Hanafi dan Muhammad Jiwa Abdullah berpindah ke situ beberapa bulan kemudian.
Dan atas permintaan Datuk K, semenjak awal Mei lalu Siti menyatakan kesudiannya untuk berulang alik ke banglo itu sekali gus bersama-sama menjaga Muhammad Jiwa yang menghidap strok.
“Memang benar Siti selalu ke banglo itu. Tetapi Siti belum pindah sepenuhnya. Banyak lagi barang Siti di kondominium kami,” kata Siti kepada Pancaindera.
Menurut Siti dia perlu akur dengan apa juga kata- kata orang luar yang mungkin membuat pelbagai tanggapan kepada dirinya selepas ini. Bagaimanapun sebagai manusia biasa dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak apatah lagi melarang mereka dari berkata buruk tentang dirinya.
“Tak perlulah orang luar pula yang buat spekulasi tentang diri Siti. Orang selalu dengar benda yang buruk saja, tak baik macam itu, tak sihat untuk mereka sendiri.
“Siti tahu apa yang Siti buat. Dan sebagai isteri, Siti akur dengan apa juga keputusan yang suami Siti buat untuk kami sekeluarga,” katanya.
* Kekok di rumah baru
Menceritakan tentang pengalamannya menjejaki rumah mewah itu, kata Siti pada awalnya dia merasa agak kekok serta kurang selesa.
Ini kerana semenjak berkahwin dengan suaminya itu, mereka cukup selesa di ruang kondominium penthouse sambil sesekali dilawati anak-anak tirinya.
“Mula-mula dulu Siti pun rasa kurang selesa. Sampai sekarang Siti masih dalam peringkat menyesuaikan diri, sebab tak rasa macam rumah sendiri.
“Tetapi tak apalah, sebagai isteri Siti kena akur, perlu ada persefahaman dengan suami dan ikut mana yang dia fikirkan baik,” katanya.
Pancaindera difahamkan sebelum ini Datuk K berhasrat untuk membina sebuah banglo lain untuk Siti.
Banglo yang dikatakan berharga hampir RM10 juta itu sedang dalam peringkat perbincangan awal dengan pihak arkitek. Dan bagaimana pula dengan perancangan berkenaan? Apakah banglo khas untuk Siti Nurhaliza itu bakal terbina atau sebaliknya?
“Belum tahu lagi. Buat masa sekarang keutamaan saya ialah kepada ayah yang sedang sakit. Semasa saya membina rumah ini (banglo di Bukit Antarabangsa) saya berhasrat untuk membawa ibu bapa saya tinggal bersama.
“Dan Alhamdulillah sekarang hajat saya tercapai untuk membawa ibu bapa saya ke rumah saya ini. Hal yang lain tu biarlah kami fikirkan kemudian” kata Datuk K lagi.
Powered by Utusan Malaysia
Lagu Buat Ibu
MESKIPUN Hari Ibu sudahpun berlalu namun kasih sayang mereka kepada seorang anak tidak akan pernah kurang dan kita sebagai anak, tidak akan pernah melupai jasa ibu membesarkan anak-anaknya dengan penuh kasih dan sayang.
Justeru, dalam terus memperingati betapa besarnya pengorbanan seorang ibu maka satu album istimewa menghimpunkan lagu-lagu berkaitan pengorbanan seorang ibu diterbitkan.
Tidak sahaja untuk dijadikan sebuah koleksi peribadi, album istimewa ini amat sesuai dihadiahkan untuk ibu tersayang sebagai tanda ingatan.
Memuatkan 15 buah lagu- lagu, hadir pada pakej album ini termasuklah tiga lagu rakaman baru nyanyian Azahari Nowseeheart berjudul Kasih Tak Bersyarat, Aku Rindu (Graha) dan Ummi (Niskala).
Dan tentu sekali lagu-lagu tentang ibu yang hits sepanjang zaman dan terus disiulkan oleh pendengar seperti lagu Untukmu Ibu dendangan Exist, Umi (Datuk Shake), Oh! Ibu (Alleycats), Kasihnya Ibu (Najib Haniff), Ayah dan Ibu (Sudirman) serta Bonda (M. Nasir).
Tidak ketinggalan, album kompilasi terbitan kerjasama Rumpun Records dan Universal Music Malaysia ini turut memuatkan lagu-lagu Ibu yang dipopularkan oleh Rafeah Buang, Ibu (Blues Gang), Mawar Putih Untuk Mama (Sharifah Aini), Syurga Di Telapak Kaki Ibu (Aishah), Lagu Untuk Seorang Ibu (Kembara) dan Mama (Spider).
ALBUM: UNTUKMU IBU –
PELBAGAI ARTIS
EDARAN: UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA
Powered by Utusan Malaysia
Apa Kes Hujan

HUJAN
DIVA sudah tak tahu nak kata apa lagi dengan kumpulan Hujan. Diva rasa media dah banyak kali bagi peluang. Maklumlah mereka telah mencetuskan revolusi muzik tempatan yang bermutu. Malangnya, sikap mereka tak pernah berubah.
Baru-baru ini Hujan telah membangkitkan kemarahan RTM apabila menolak untuk membawakan lagu kumpulan Sofaz dalam satu persembahan kerana mendakwa mereka ‘tak main lagu orang’.
Kerana insiden ‘menegakkan pendirian’ itu, RTM tidak jadi mengundang mereka, sebaliknya mengambil kumpulan 6ixth Sense sebagai pengganti.
Belum reda lagi isu tersebut, Hujan sekali lagi membikin hati orang industri menggelegak apabila meminta bayaran dan hak cipta daripada pihak Astro selepas pengetua Akademi Fantasia 6 (AF6), Ramli MS mahu menggunakan lagu mereka, Bila Aku Sudah Tiada untuk konsert final yang berlangsung semalam.
“Nak minta copyright daripada kami bermaksud mereka tak mendaftar di MACP. Habis radio main lagu mereka ada copyright? Kalau nak bercakap atau punya pendirian pun biarlah bertempat. Guna minda bila bercakap, bukan guna hati,” komen Ramli tentang sikap Hujan.
Tambah Ramli lagi, macam mana band-band seperti mereka nak maju kalau terus attitude dan tak menghargai bila orang lain menghargai mereka.
Diva: Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.
Powered by Kosmo
‘Kami Tidak Zalim’
TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

BANGLO RM6 juta di Bukit Antarabangsa yang kini didiami Siti. Kediaman baru Tengku Zawyah sedang dibina di Kemensah, Hulu Klang.
“SITI dan suami tidak sezalim itu,” demikian tegas penyanyi tersohor Datin Seri Siti Nurhaliza, menolak dakwaan mengatakan dia menjadi penyebab kepada ‘pengunduran’ bekas isteri Datuk Seri Khalid Jiwa (Datuk K) dari sebuah banglo yang terletak di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.
Menurut Siti, dia akur dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya selepas membuat keputusan menjadi penghuni banglo mewah bernilai lebih RM6 juta itu bermula awal Mei lalu.
Sebelum ini banglo berkenaan didiami oleh bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham bersama anak-anak selepas pasangan itu bercerai pada tahun 2005.
Bagaimanapun awal tahun lalu, Tengku Zawyah memilih untuk meninggalkan rumah berkenaan dan Siti dihimpit dengan pelbagai tuduhan tidak berasas mengatakan dia sebagai punca keadaan itu berlaku.
“Siti faham apa yang orang akan anggap. Apa yang orang akan kata bila Siti masuk ke sini. Salah satunya orang akan kata Siti ni zalim dan kejam. Tetapi realitinya bukan macam itu,” kata Siti mohon dimengertikan.
Menurut Siti dia dan suami bukan seburuk yang difikirkan orang apabila membuat keputusan untuk ‘kembali’ ke banglo tersebut.
Sebaliknya atas dasar timbang rasa dan prihatin, dia bersetuju untuk menjadi penghuni baru di kediaman berkenaan.
Sementelah sebagai isteri dia perlu sesekali melihat keadaan kesihatan bapa mentuanya, Mohammad Jiwa Abdullah yang juga menetap di rumah berkenaan.
“Siti lega bila duduk di rumah ini bersama dengan keluarga mentua. Tak ada apa-apa masalah lain. Tak perlulah orang luar pula yang buat spekulasi macam-macam bila Siti masuk ke rumah itu sebab Siti hanya menurut permintaan suami,” katanya.
TENGKU ZAWYAH
Siti juga menolak dakwaan mengatakan dia begitu ‘teringin’ menduduki rumah berkenaan semenjak awal perkahwinan dengan suaminya itu.
Sebaliknya, kata penyanyi popular ini, dia perlu mendahulukan segala keinginan suami.
“Kalau hendak bersikap pentingkan diri sendiri boleh saja. Tetapi bila Siti sudah berkahwin kenalah ikut cakap suami. Bila suami mahu Siti selalu di sini (banglo) menjenguk mak dan ‘pak’ (bapa Khalid), Siti kenalah ikut.
“Sampai sekarang, kami selalu berulang alik antara rumah ini dan rumah yang kami diami sebelum ini,” katanya.
Sementara itu suaminya, Datuk K pula meminta supaya semua pihak tidak terus membuat pelbagai spekulasi buruk dan cakap-cakap negatif mengenai kehadiran Siti di rumah berkenaan.
Secara peribadi Datuk K juga memberitahu VAZZ, dia hairan kenapa orang masih mempersoalkan hal berkenaan sedangkan mereka hidup tenteram.
“Bukan Siti yang suruh Tengku Zawyah keluar. Bukan. Kalau ikutkan Siti dia lebih suka tinggal di kondominium kami saja.
“Selesa dan selamat. Tetapi bila emak dan ayah saya tinggal di sini, sebagai anak kami perlulah menjengah. Masa saya buat rumah ini pun beberapa tahun dulu, hajat saya ialah untuk membawa bersama kedua ibu bapa saya. Nampaknya sampai juga rezeki ibu dan bapa saya tinggal di sini,” katanya.
Mengenai bekas isterinya yang membuat keputusan berundur dari rumah berkenaan, kata Datuk K itu adalah atas permintaan Tengku Zawyah sendiri.
Apa yang penting, dia tidak pernah meminta bekas isterinya itu untuk berbuat sedemikian.
“Saya tidak pernah suruh dia keluar. Tetapi katanya dia perlukan ruang yang lebih kecil sebab anak-anak sudah besar dan belajar di luar negara.
“Insya-Allah hujung tahun ini, dia akan masuk ke rumah baru di Kemensah. Rumah yang saya fikir lebih selesa dengan situasi dia dan anak-anak sekarang,” katanya.
VAZZ! difahamkan rumah baru yang akan diduduki Tengku Zawyah di Kemensah itu juga bakal dibina dengan kos jutaan ringgit dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.
Powered by Kosmo
Koleksi Formal
Butik tunjukkan kreativiti dengan gabungkan fesyen klasik dengan kontemporari agar lebih menarik
OlehHanni Tiara
SUT formal untuk lelaki tidak harus terbatas dengan tuksedo atau kot hitam yang membosankan.
Permainan warna dan jenis kain seperti satin dan sutera Thai juga boleh memainkan peranan dalam menyerlahkan nilai eksklusif pakaian lelaki.
Dalam pertunjukan fesyen yang diadakan sempena hi-tea Hari Ibu anjuran bersama Fatimah Mohsin Wedding Gallery dan Aide Soccer Buddies minggu lalu, pakaian formal khusus untuk lelaki menjadi santapan mata yang menyegarkan kepada hadirin yang memenuhi dewan di ballroom Pusat Konvensyen Raffles Swissotel.
Fatimah, seorang konsultan fesyen dan mak andam berkelulusan diploma rekaan fesyen di Maktab Seni La Salle, dalam majlis tersebut menunjukkan kreativitinya bermain dengan gabungan fesyen klasik dan kontemporari, seperti potongan labuh ala tuksedo bangsawan dengan kolar potongan retro.
Pertunjukan fesyen menjadi lebih menarik apabila para penyanyi seperti Taufik Batisah, Syed Azmir dan pemain bola sepek Aide Iskandar turut memperagakan pakaian.
Koleksi pakaian formal lelaki yang sesuai untuk majlis perkahwinan, mesyuarat perniagaan atau majlis makan malam merupakan koleksi terbaru yang banyak bermain dengan jenis kain satin dan sutera Thai.
Apakah yang dimaksudkan dengan pakaian formal lelaki?
Antara ciri-ciri pakaian formal ialah ia harus mempunyai permukaan satin dan kolar yang mempunyai lapel atau lapik lebar, dengan seluarnya tidak menggunakan ‘trimming’.
Tuksedo pula ialah pakaian malam yang bersifat praktikal kerana ia boleh dipakai di mana saja berbanding dengan ‘tail coat’ yang hanya sesuai di majlis tari-menari atau acara persembahan seni atau majlis makan malam diraja.
Tali lehernya yang dipilih untuk disepadankan adalah daripada jenis satin atau sutera.
Powered by Cyberita
P Ramlee Bagaikan ‘Hidup Semula’
BAHAGIA: Babak Ramlee dalam kegembiraan selepas berkahwin dengan Norizan.
Kehadiran Musly dalam muzikal terbitan Enfiniti Productions tidak sia-sia.
P RAMLEE – pelakon, penyanyi, penggubah, pemuzik, penulis, pengarah dan juga ikon filem serba boleh – terkenal dan dikagumi di Malaysia dan Singapura dengan penghasilan lagu dan filem pada tahun 1950-an dan 1960-an yang dekat dengan hati masyarakat.
Kelemahan dan keganjilan perwatakannya di layar perak – seorang yang tertindas, mudah terhibur dek irama, persahabatan, percintaan dan lagu – berjaya menambat hati penonton dari pelbagai lapisan generasi dan masyarakat.
Lagunya mencerminkan warisan perfilemannya sepanjang lebih 25 tahun, kini mengingatkan kita kembali kepada suatu zaman di mana kedua-dua negara mengamalkan kehidupan yang amat ringkas dan bergotong royong dan keperibadian yang halus.
Itu semua dipaparkan menerusi persembahan pentas P Ramlee…The Musical untuk kali kedua. Berbeza dengan pementasan pertama, produsernya, Datin Seri Tiara Jacquelina memilih Musly Ramlee untuk membawa watak Ramlee menggantikan Sean Ghazi.
Ia keputusan yang tidak sia-sia. Dalam pementasan awalnya di Esplanade Theatre, Singapura, Ahad lalu, Musly tidak mensia-siakan harapan itu. Bukanlah hendak menidakkan lakonan Sean Ghazi yang memikul watak P Ramlee dalam muzikal terdahulu, tetapi sememangnya penampilan Musly kali ini meninggalkan kesan tersendiri, bermula daripada nyanyian, tutur kata dan lakonannya. Lagipun, wajah sebenar P Ramlee sudah diketahui umum dan sudah tentu penampilan Sean tidak tepat dengan apa yang dibayangkan oleh kita semua. .
Oleh itu, kemunculan Musly bukan sekadar mengimbau nostalgia lagu P Ramlee, tetapi juga membayangkan mengenai kehidupannya. P Ramlee dengan wajah gembira, sedih, serius atau terpinga-pinga. Segala-galanya dihayati dan dibawakan dengan baik oleh Musly sehingga penampilannya di pentas seolah-olah seperti P Ramlee sebenar.
Itulah P Ramlee sebenarnya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee seolah-olah ‘dihidupkan semula’ apabila melihat Musly menyanyi, menari dan melakonkan tingkah lakunya dalam teater muzikal ini. Suaranya yang garau ketika menyanyi, pertuturannya dengan berbau loghat Pulau Pinang membuatkan kita terasa mengenali P Ramlee lebih dekat walaupun seniman ini sudah meninggal dunia 30 tahun lalu.
Apatah lagi 14 lagu asal P Ramlee dinyanyikan semula oleh Musly membuatkan muzikal ini bagaikan membawa penonton dalam era kegemilangan dan kejatuhan seniman itu. Kekuatan teater ini memang hasil kerja secara berpasukan tetapi tidak dinafikan kemunculan Musly yang memegang watak P Ramlee diibaratkan tepat pada acuannya.
Cuma kekurangan Musly ialah tubuhnya yang rendah dan agak kurus. P Ramlee yang dapat dilihat menerusi filem lakonannya pada peringkat awal kurus dan tinggi, manakala pada penghujung kerjayanya bertubuh gempal. Begitupun, ia tidaklah dianggap sebagai satu ‘gangguan’ besar kepada penonton teater muzikal ini.
Sesiapa pun yang menyaksikan lakonan Musly dapat membayangkan mungkin begitulah kehidupan P Ramlee di luar atau dalam filem. Bukan saja Musly, penampilan Liza Hanim sebagai Saloma ternyata cukup menyerlah. Pengalamannya dalam muzikal yang lalu memberi kelebihan kepada Liza untuk memastikan watak Saloma benar-benar hidup.
Lakonan Melissa Saila sebagai Norizan memang sudah dapat dijangka. Begitu juga dengan Atilia yang mendukung peranan sebagai Junaidah, manakala penampilan Emelda Rosmila yang memegang watak Azizah tidaklah meninggalkan kesan besar. Dalam pementasan sebelum ini, watak Azizah mendapat tumpuan kerana ia disandang oleh Datuk Siti Nurhaliza.
Memperkuatkan lagi teater ini adalah rekaan dan pergerakan set yang kemas dan mengagumkan hasil ilham Raja Maliq, selain gerak tari daripada koreografer daripada Pat Ibrahim. Biarpun hampir tiga jam ia dipentaskan, persembahan P Ramlee…The Musical kali ini menepatinya tagline atau apa yang hendak diketengahkan iaitu Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi.
INFO:
- Daripada lagu cinta dan gembira seperti Selamat Berjumpa Semula, Gelora hinggalah kepada lagu meruntun jiwa Hujan Di Tengah Hari, Getaran Jiwa dan Di Manakah Ku Cari Ganti, benar-benar membuatkan penonton terpaku dengan persembahan teater ini.
- Babak P Ramlee menyanyikan lagu Getaran Jiwa dengan iringan piano petikan Sudarmaji (dilakonkan oleh Mohd Fauzuly Hamdan Tahir) dilihat amat klasik. Babak ini kemudian dilanjutkan dengan pertemuan Ramlee dan Saloma apabila kedua-duanya kemudian menyanyikan lagu Senandung Kasih dan Gelora. Saat bahagia P Ramlee berada di alam percintaan dengan Saloma digambarkan menerusi lagu Saat Yang Bahagia dan Hancur Badan Kandung Tanah.
- Dengan berlatarkan muzik Azizah dan Engkau Laksana Bulan, teater muzikal ini memang meninggalkan kesan kepada penontonnya, terutama kepada peminat atau mereka yang mengikuti perjalanan hidup serta sejarah pencapaian kerjaya seni Seniman Agung negara.
- Melainkan watak Ramlee yang diberikan kepada Musly, Adlin Aman Ramly tidak banyak mengubah jalan cerita P Ramlee…The Musical bagi kali kedua ini. Ceritanya bermula dengan latar di Pulau Pinang pada tahun 1948, seperti Malam Pesta Bukit Mertajam, Taman Bunga dan Stesen Keretapi Tanah Melayu di Butterworth.
Powered by Berita Harian
Mila Kecut Perut!
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
TUBUHNYA kecil dengan ketinggian tidak sampai lima kaki, tetapi bakat dimiliki Nursyarmilla Jirin (Mila), 20, cukup besar sehingga ia diiktiraf penggiat industri muzik luar negara.
Buktinya, Mila membuat seluruh rakyat Malaysia bangga apabila meraih kejayaan berganda di Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17 di Varna, Bulgaria pada 16 hingga 18 Mei lalu.
Mila menjadi peserta tunggal Asia menjuarai anugerah kategori Lagu Terbaik menerusi Ilham Di Mata Mu ciptaan Ajai dan lirik ditulis Allahyarham Rosli Khamis (Loloq). Dia turut dipilih juri pertandingan memenangi anugerah khas Penyanyi Muda Berbakat.
Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, dia bersyukur dengan kemenangan diraih dan mengharapkan ia menjadi titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik.
“Banyak pendedahan saya terima. Benar kata orang, sekiranya kita jauh berjalan pasti luas pandangan.
“Kemenangan ini saya anggap bonus tetapi pengalaman diperoleh itu yang lebih saya hargai,” katanya sambil tersenyum bangga apabila melihat ahli keluarga bersama kelab peminat, Voices Of Mila (VOM) turut menyambut kepulangannya di KLIA, kelmarin.
Sambil menunjukkan piala dimenangi, kata Mila, sebaik melihat bakat ditonjolkan setiap peserta ketika sesi raptai penuh pada 17 Mei di Teater Stoyan Bachavarov, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kejayaan.
“Boleh dikatakan hampir semua peserta mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang muzik. Ada antara mereka mempelajari muzik klasikal dan vokal sejak usia lima tahun dan selalu menyertai festival muzik di seluruh Eropah.
“Berbanding dengan saya yang kali pertama bertanding di negara luar sudah tentu terasa ‘kecut perut’ selepas mendengar suara yang dikeluarkan peserta lain. Vokal mereka seperti mengadakan persembahan opera.
“Tidak dinafikan perasaan rendah diri yang masih menebal membuatkan saya rasa tidak keruan. Mujur ia tidak mengganggu tumpuan sewaktu menyanyi. Pengalaman mengadakan persembahan ketika konsert akhir AF5 sangat membantu,” katanya.
Menarik, kata Mila, apabila kebanyakan penonton yang menyaksikan pertandingan berlangsung amat menghargai muzik walaupun bahasa ditampilkan tidak difahami.
“Pada malam pertama saya memilih mendendangkan lagu rancak Aku Lebih Tahu. Ketika menyanyi kelihatan penonton turut bertepuk tangan. Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik.
“Hari kedua pertandingan, saya menyanyikan lagu balada, Ilham Di Mata Mu. Sepanjang saya menyanyikan lagu ini, semua penonton diam. Mereka seakan-akan memahami apa yang saya cuba sampaikan menerusi liriknya yang cukup puitis,” katanya.
Mila turut menegaskan kemenangan diraih di Varna, bukan kejayaan miliknya seorang tetapi seluruh pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.
“Pertamanya sudah tentu kejayaan ini saya mahu kongsi bersama pencipta lagu Ilham Di Mata Mu, Ajai dan Allahyarham Loloq kerana menghasilkan lagu serta lirik bermutu.
“Memang persembahan dan vokal saya memainkan peranan tetapi ia tidak akan lengkap jika lagu yang dibawakan tidak menyentuh perasaan dengan lirik amat bermakna.
“Selain itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, Maestro Talent and Management dan Astro sendiri yang berusaha membiayai pemergian saya,” katanya.
Kata Mila, sepanjang pembabitannya dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17,
dia turut dipelawa menyertai beberapa festival di Itali dan Russia oleh penganjur di sana.
“Bagaimanapun, sukar untuk saya menerima pelawaan itu kerana kos untuk menyertai festival itu agak tinggi,” katanya.
Menyentuh mengenai peluang untuk melebarkan sayap di negara luar, jelas Mila peserta dari Romania, Simona Nae ada meluahkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengannya menghasilkan lagu duet.
“Panjang juga kami bercerita mengenai perkara itu sepanjang tiga hari berada di sana. Dia nampak bersungguh-sungguh dan saya tidak keberatan untuk memberikan kerjasama.
“Dia turut menunjukkan jalan bagaimana duet boleh dilakukan walaupun kami berada di benua berbeza.
“Bukan itu saja dia turut bersedia untuk merakamkan lagu duet dalam bahasa Melayu dan datang ke sini bagi mempromosikan lagu dihasilkan. Bagaimanapun ia sekadar ‘cakap mulut’, kita lihat saja nanti perkembangannya,” katanya.
Profil
NAMA PENUH: Norsyarmilla Jirin
PANGGILAN: Mila
TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987
UMUR: 20 tahun
ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang
TINGGI : 148 sm
BERAT: 40kg
HOBI: Menyanyi, menari dan membaca novel
PENYANYI IDOLA: Anita Sarawak
BINATANG PELIHARAAN: Kucing
KERJAYA: Penyanyi
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia Musim Kelima, Memenangi Anugerah Era 2007 bagi kategori Lagu Pop Pilihan (Persis Mutiara) dan Artis Harapan Pilihan, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Anugerah Lagu Terbaik dan Penyanyi Muda Berbakat di 17th International Pop Music Festival 2008.
Powered by Harian Metro
Cinta Berputik Dari KL Ke Queenstown
MANTAP: Barisan pelakon drama Dari KL ke Queenstown.
CINTA sejati memang sukar untuk kita jejaki, apatah lagi untuk melupakan. Namun apa maknanya jika cinta yang dibina gagal kerana bantahan keluarga disebabkan berlainan darjat.
Mampukah anda melawan takdir yang menemukan anda berdua kembali selepas 20 tahun berpisah? Terokailah erti sebuah pengorbanan, harapan dan dendam tak terlerai dalam drama episod terbaru menerusi ntv7 berjudul Dari KL ke Queenstown (DKLKQ),
Drama yang akan disiarkan bermula malam ini jam 8.30 malam mengisahkan Saiful Bahrin, anak tunggal Hasnah yang hidup serba kekurangan ke kota Queenstown, New Zealand bagi meneruskan cita-citanya. Hadirnya di sana membuka suatu lembaran baru, bertemu dan berkenalan dengan pelajar Malaysia yang lain iaitu Lily, Sofia, Mimi dan Baby.
Drama garapan pengarah Harris Fadzillah dan penerbit terkenal, Ahmad Idham, membawa penonton mengembara bersama kelompok pelajar Melayu yang nilai timurnya kian lenyap, Saiful bertekad untuk menyelami gaya hidup pelajar itu satu persatu.
Kehadiran Lily John, membakar semangatnya untuk mengharungi segala kepayahan hidup di kota asing itu. Sifat riang dan prihatin Lily menjadikan mereka lebih akrab, dan tentunya menceriakan kehidupan Saiful.
Tanpa diduga, satu perbalahan hebat tercetus antara Saiful dan Sofia apabila mereka ditemukan dalam sebuah pertemuan tidak dirancang di Lapangan Terbang Christchurch.
Sofia Tarodin yang sememangnya dikenali dengan sifat kasar, angkuh dan terlampau kebaratan menerbitkan perasaan kurang senang di hati Saiful. Pastinya, Sofia yang liar dan gemar bersosial menimbulkan lebih banyak prasangka buruk pada Saiful yang bersifat lebih pendiam, serius dan fokus. Daripada Sofia, Saiful berkenalan dengan Baby dan Mimi, teman dan sahabat paling rapat Sofia.
Keakraban Baby dan Mimi tentunya kerana mempunyai hobi yang sama, mengambil kesempatan dan gemar mempermainkan hati pelajar lelaki lain di Universiti Canterbury.
Tiga sahabat karib ini sering kelihatan berlegar-legar di kelab malam bagi memenuhi masa lapang mereka. Juga dikecam dengan pelbagai permasalahan hidup, ketiga-tiga gadis ini dilihat memberontak dan berani melakukan apa saja bagi kepuasan hidup masing-masing.
Drama hebat ini diterajui oleh Eizlan Yusoff (sebagai Saiful), Intan Ladyana (Sofia), Efa Nareesha (Mimi), Tengku Putri Najwa (Lily), Dian P Ramlee (Hasnah), Ahmad Tamimi Siregar (Datuk Tarodin), Almy Nadia (Illa), Abdul Rashid Jaafar (Pak Long) dan ramai lagi.
Saksikan kesudahan kisah cinta melodramatik ini? Mungkinkah cinta lama berpaut kembali? Apa pula taktik Amylia bagi menghalang cinta sejati mereka? Bagaimana pula dengan ibu Saiful yang bertegas tidak akan menerima Sofia disebabkan penghinaan lalu? Hilangkan segala keraguan anda kerana semuanya akan terjawab dalam DKLKQ setiap Jumaat bermula malam ini.
Powered by Berita Harian
Aksi Erotik Jejas Irama Dangdut
WARISI BAKAT: Rhoma bangga kerana perjuangan seninya diteruskan anaknya, Muhammad Ridho yang turut memperjuangkan Irama dangdut.
Rhoma kecewa penyanyi baru rosakkan genre lagu popular
RAJA Dangdut, Rhoma Irama gusar dengan kemerosotan genre dangdut berikutan tindakan beberapa penyanyi baru yang mempamerkan aksi erotik ketika persembahan sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat.
Meskipun enggan menyebut nama artis tertentu, kehadiran penyanyi dangdut generasi baru seperti Dewi Persik yang terkenal dengan goyang gergaji yang erotik serta pengedaran kondom bersama album perdana Julia Perez merosakkan imej dan citra irama itu.
Ketegasan Pemerintah Daerah Sumatera Utara, baru-baru ini yang ‘mengharamkan’ kumpulan Trio Macan, Uut Permatasari, Anisa Bahar dan Inul Daratista daripada membuat persembahan dengan menyifatkan goyangan penyanyi berkenaan mengundang berahi lelaki dan boleh merosakkan akhlak.
Akui Rhoma, 61, dia hampa kerana moral irama yang diperjuangkannya sejak hampir 40 tahun lalu itu dirosakkan penyanyi angkatan baru yang ternyata mementingkan populariti berbanding citra muzik itu sendiri.
“Mereka hanya memikirkan populariti pantas dengan membikin aksi erotik untuk mencipta sensasi kerana ingin cepat popular.
“Apa yang mereka lakukan itu tidak lebih daripada menutup kelemahan kerana tidak mempunyai mutu vokal yang mampu bersaing. Semua itu hanya untuk menutup kelemahan,” katanya ketika ditemui pada malam persembahan amal sempena pelancaran album Cintamu Cintaku anjuran Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBank) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Irama dangdut katanya, sudah sebati dengan goyang namun tidak seharusnya dicemari dengan aksi erotik hingga membangkitkan keresahan kepada mereka yang menonton.
Rhoma berkata, sejak 1970 hingga 2005, dia bersama pejuang irama dangdut sejati seperti Elvy Sukaeseh dan Camelia Malek tidak pernah diserang kontroversi.
“Bagaimanapun, sejak Inul Daratista hadir, persepsi terhadap dangdut berubah sekelip mata. Banyak protes dan demonstrasi diadakan kerana membantah aksi keterlaluan hingga akhirnya muncul akta pornografi menyebabkan dangdut mengalami kemerosotan,” katanya kesal.
Era globalisasi kata penyanyi yang pernah melahirkan lebih 500 album itu, turut memberi impak negatif kepada pencinta hiburan.
Namun kata Rhoma yang pernah menghasilkan lebih 1,000 komposisi, masyarakat harus bijak memilih dan hanya mengambil apa yang bersesuaian dengan budaya masyarakat Timur.
“Pelacuran juga satu bentuk hiburan tetapi apakah kita mahu perjuangan yang sekian lama bersih merosakkan moral generasi muda hari ini?” tanya Rhoma yang berjanji akan terus aktif membanteras ‘perosak’ irama itu.
Biarpun diasak kontroversi, sementara moral irama dangdut juga dipertikai khalayak namun Rhoma berbangga kerana hasil perjuangan panjangnya akhirnya tertubuh Persatuan Artis Melayu Dangdut Indonesia.
Dengan keanggotaan melebihi 2.3 juta ahli di hampir seluruh wilayah di republik itu, Rhoma yang memangku jawatan sebagai Presiden berjuang dengan menegakkan prinsip Bermuzik, Menghibur dan Akhlak Al Karimah (Mulia).
“Misi utama kami adalah membawa dangdut ke peringkat global. Alhamdulillah kerana persatuan ini sudah mempunyai cawangannya di Amerika Syarikat.
“Oktober ini, saya bersama Sonata Group akan menjayakan persembahan pentas di sana apabila menerima undangan daripada Rektor, Universiti Pittsburgh,” katanya.
Pembabitan Rhoma juga mendapat perhatian Pengarah Universiti Ohio, William Frederick yang pernah menulis sejarah mengenai perjuangannya.
“William dalam kajiannya menyifatkan Rhoma Irama sebagai pencetus evolusi muzik kedua selepas The Beatles. Apa yang membuat saya terharu dia mencatat nama saya sebagai pelopor muzik dangdut,” katanya.
Pada usia sekarang, Rhoma berkata, tumpuannya kini lebih terarah kepada aktiviti keagamaan dan bersyukur kerana perjuangannya kini diteruskan anaknya, Muhammad Ridho, 19 tahun.
Anaknya yang kini menuntut di Universiti I-Tech dalam proses merakamkan album sulung yang turut mengangkat irama dangdut, namun diberi nuansa baru yang segar dan berbeza.
Ridho yang meminati lagu Hindi berkata, dia tidak berasa rendah diri untuk membawakan lagu dangdut kerana irama itu adalah identiti muzik masyarakat Indonesia.
“Mengapa harus saya berasa malu apatah lagi bapa saya dikenali sebagai Raja Dangdut. Saya bangga melakukannya kerana nyanyian memberi kepuasan jiwa yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
INFO: Kontroversi yang pernah menimpa Rhoma Irama
- BERMULA 2003, Rhoma menjadi sorotan media apabila mengkritik Inul Daratista, penyanyi dangdut yang sedang meningkat popular kesan gaya tariannya yang erotik. Rhoma menerusi organisasi Persatuan Artis Muzik Melayu Indonesia menentang pengedaran album Goyang Inul yang diterbitkan Blackboard pada akhir Mei 2003. Keberaniannya menyebabkan Rhoma dikecam sebagai munafik oleh pendukung Inul.
- PADA 2003 juga, Rhoma ditangkap basah apabila berduaan dengan Angel Lelga di kediaman wanita itu sekitar jam 11 malam hingga 4 pagi. Rhoma, bagaimanapun menyanggah tuduhan itu dengan memberikan alasan dia berada di situ untuk menasihati Angel daripada terjebak dalam jurang noda. Bagaimanapun, Rhoma akhirnya mengakui dia sebenarnya sudah menikahi wanita itu.
Powered by Berita Harian