Zainal Abidin Amalkan Suplemen Dan Vitamin

Zainal Abidin bersama sebahagian kanak-kanak sindrom down pada satu majlis di ibu kota.
PADA usia mencecah 50 tahun November ini, penyanyi popular, Zainal Abidin mengakui amat mementingkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Apalagi sehingga kini dia masih aktif dalam kerjaya seninya selain melakukan kerja-kerja amal serta gemarkan aktiviti berdarmawisata (outing) bersama keluarga.
Justeru, kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Hijau itu dia amat menjaga soal pemakanan namun tidak pula mengehadkan dirinya untuk menikmati apa juga hidangan yang diingini.
“Saya tidak berpantang. Saya boleh makan apa sahaja, kambing, ayam dan daging namun tidak berlebihan. Perlu dihadkan dan seimbang,” kata Zainal.
Malah kata penyanyi yang terkenal dengan senyuman manisnya ini, dia juga amat menitikberatkan soal pengambilan makanan tambahan (suplemen) dan vitamin.
“Cuma saya agak kurang bersenam kecuali melakukan jogging di treadmill sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
“Tetapi saya sangat aktif dengan aktiviti luar. Selain masih sibuk menyanyi di majlis-majlis, saya juga aktif melakukan kerja-kerja amal.
“Antaranya menghibur dan mengutip dana bagi kanak-kanak sindrom down, saya juga melakukan kerja amal bersama Zang Toi untuk mengutip dana penyakit kanser.
“Selain itu saya juga seorang sukarelawan di Zoo Negara. Di zoo biasanya saya bukan sahaja memberi ceramah tapi melakukan pelbagai kerja lain termasuk mencuci kandang.
“Saya juga suka outing misalnya bercuti ke kawasan pantai. Dulu saya juga minat masuk hutan. Tapi sejak ada anak kecil, aktiviti camping terpaksa dikurangkan.” kata bapa kepada empat anak ini, dua daripada perkahwinan terdahulu dan dua daripada perkahwinannya dengan Angelina Asmawi iaitu Isaac Iman, 9 dan Zara Iman, 1.
Mengakui bahawa konsep keluarganya seimbang daripada segi pemakanan, percutian dan kerjaya, Zainal juga bertuah kerana sebagai penyanyi, dia sentiasa boleh bersama keluarga pada setiap masa.
“Mungkin saya sentiasa sibuk tetapi ada kelebihan bekerja dalam dunia hiburan kerana saya boleh membawa keluarga bersama-sama jika bekerja di luar kota.
berkualiti
“Faktor ini dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan kerana walaupun saya bekerja tetapi saya masih dapat meluangkan masa berkualiti bersama mereka.
“Melalui kerja-kerja amal juga saya boleh membawa anak-anak saya dan masa berkualiti sebegini akan terus berlarutan,” kata Zainal.
Selain menjadikan isterinya, Angelina sebagai pengurus, rahsia penjagaan kesihatan Zainal juga adalah kerana mementingkan rehat yang cukup.
“Tidur yang cukup sangat penting. Kalau boleh masuk tidur selewat-lewatnya pukul 12 malam. Dengan itu kita mudah untuk bangun pagi dan boleh melakukan banyak kerja,” ujarnya.
Zainal juga mengakui perhubungan keluarga yang erat juga menjadi antara resipi kebahagiaan kehidupan sebagai seorang berkerjaya dan ketua keluarga.
Mengambil isterinya sebagai pengurus, kata Zainal, ia bukan semata-mata memudahkan kerjanya dan menghindarkan diri daripada fitnah malah ia juga bertujuan untuk menguruskan kewangan.
Ini kerana bagi penyanyi itu, pengurusan sistem kewangan yang betul dan tersusun rapi menjanjikan kesenangan di kemudian hari. Dia juga menasihati artis muda agar menabung supaya hidup lebih terancang dan tidak terumbang ambing pada masa depan.
Pernah dianugerahkan Anugerah Cinta Planet Muzik pada Anugerah Planet Muzik 2007 kerana sumbangannya kepada masyarakat menerusi seni, Zainal memulakan kerjayanya dalam bidang nyanyian bersama kumpulan Headwind.
Menyanyi di kelab-kelab selain merakamkan album dengan kumpulan tersebut, Zainal kemudiannya bergerak secara solo dan menghasilkan album Zainal Abidin (1991), Ikhlas (1992), Orak Arek (1993), Gamal (1994) Terang…Sang (1995) serta yang terakhir Puteri (2004).
Utusan Malaysia
Mila, Dafi Semakin Mengerti
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my
ACAPKALI bintang-bintang yang dicungkil bakat menerusi program realiti televisyen dipandang sepi.
Bahkan, ada juga yang akan mempertikaikan mutu dan kualiti bintang-bintang tersebut.
Akademi Fantasia (AF) sahaja merupakan contoh terdekat yang melahirkan begitu ramai bakat baru.
Meskipun di awal program tersebut bintang-bintang kelahirannya dikritik dan dipersoalkan kredibiliti mereka, namun hari demi hari kerdipan bintang yang ada pada diri mereka semakin bersinar.
Dafi dan Mila sumber rujukan terbaik bintang kelahiran AF yang tidak boleh diperlekehkan.
Kedua-duanya semakin berani dalam mengharungi perjalanan seni meskipun sudah mula dilambakkan dengan cerita-cerita sinis yang kadang kala memeritkan telinga empunya diri, namun mereka yakin berkat kesabaran yang tinggi antara resipi terbaik bagi kejayaan masa depan.
Mengakui kadang kala serik dan berkecil hati dengan apa yang dialami di sekeliling, namun gadis kecil molek yang juga merupakan juara AF5, Mila sudah mula boleh menerima situasi sedemikian.
Masakan tidak, selepas insiden kisah cintanya yang kecundang hangat dihebahkan, kini kemenangannya di Bulgaria pula dipertikaikan.
Jika hendak dihitung air mata yang menitik, sudah tidak mampu diperkatakan lagi.
“Siapa yang tak sedih dengan apa yang berlaku. Saya selalu juga baca blog-blog di Internet. Dulu kisah peribadi saya diperkatakan sehingga mereka mengaitkan nama ibu bapa saya.
“Kini mereka mempertikaikan pula kemenangan saya pula. Mereka tak mengiktiraf kemenangan saya. Dan pelbagai lagi cerita yang kurang enak dibincangkan. Hati mana yang tak tersentuh dan sedih,” kata Mila pada satu pertemuan bersama Hits baru-baru ini.
Sambung Mila, sewaktu mula-mula berdepan dengan situasi itu air mata sering menjadi teman setia.
“Mula-mula saja kecewa tapi lama kelamaan saya malas nak layan. Sebab utama saya sering membuka blog-blog tersebut adalah untuk mengetahui apa yang disukai dan yang tak disukai masyarakat pada saya. Sekurang-kurangnya saya dapat membaiki kesilapan dan belajar apa yang baik,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.
Biar apa sekalipun yang dipertikai mengenainya, rezeki masih lagi melimpahi anak kelahiran Pulau Mutiara ini.
Perkhabaran terbaru mengenai kerjaya seninya besar kemungkinan pemilik nama sebenar Noorsyarmilla Jirin ini akan mencuba bidang lakonan pula.
“Insya-Allah saya akan berlakon dalam sebuah telemovie bersama-sama Dafi. Tapi semua itu masih dalam perbincangan. Saya tak ada masalah untuk mengembangkan cabang seni saya kerana bagi saya nyanyian dan lakonan kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.
Enggan dibayangi bapa
Di awal kemunculan, jejaka berusia 20 tahun ini dalam AF pelbagai usikan dan ejekan diterima.
Walau apa label diberikan kepadanya sekalipun, pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini tidak pula leka.
Menyedari akan fenomena tersebut, anak kepada Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Ismail Sabri ini, menerima keadaan tersebut dengan tenang.
Mengakui terdetik sedikit perasaan berkecil hati namun dia sentiasa menganggap perkara tersebut sesuatu yang kurang serius.
“Masa mula-mula memanglah saya kecil hati tapi bila fikir-fikir balik siapalah saya untuk menghalang semua itu. Bagi saya berdiam diri lebih baik dan memberi tumpuan pada kerjaya saya lebih penting. Hasilnya kini sikap berdiam diri saya itu lebih baik daripada saya bersuara,” jelas peminat setia kumpulan KRU ini lagi.
Akui Dafi selepas senyap senario tersebut, muncul pula cerita baru kononnya dia menggunakan pengaruh bapanya untuk kerjaya seninya.
“Saya bermula dari bawah dan langkah terbaik saya untuk menjadi penyanyi ialah dengan memasuki AF.
“Menerusi AF saya kumpul peminat dan saya bekerja keras untuk memastikan diri saya diterima peminat. Saya tak boleh nak menafikan apa yang mereka nak kata tapi yang boleh saya jelaskan saya bekerja keras untuk semua ini,” jelas anak kedua daripada empat beradik ini lagi.
Tidak menganggap semua itu luka yang semakin merebak, kini Dafi sedang sibuk menyiapkan album solo sulungnya.
“Tinggal sebuah lagu belum dirakamkan iaitu lagu ciptaan komposer Indonesia. Sembilan lagu lain sudah siap semuanya.
“Album ini akan memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan dan seberang. Sudah tentu strategi utama ialah untuk memasarkan album ini ke negara itu,” jelas Dafi yang baru sahaja pulang dari Indonesia bagi menjayakan showcase anjuran pengeluar ais krim Wall’s.
Kata Dafi, dia sudah pun beberapa kali berulang alik ke seberang untuk menjayakan sesi fotografi serta promosi.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana menerusi produk Wall’s, saya sudah mula dikenali di seberang. Jadi saya rasa apabila album saya keluar kelak bukanlah satu masalah untuk saya mencuba nasib di sana,” kata jejaka berbintang Sagitarius ini lagi.
Sementara itu, Dafi dan Mila kini sedang sibuk berlatih untuk konsert Cornetto Love Sparks yang akan diadakan esok di Padang Merbuk, Kuala Lumpur.
Kedua-dua bintang muda ini akan berganding bahu dengan bintang cilik dari seberang, Gita Gutawa serta bintang-bintang AF lain seperti Mawi, Mila, Stacy dan tentunya kumpulan Estranged.
Kepada peminat-peminat Dafi dan Mila, pastikan anda berkunjung ke Padang Merbuk, Kuala Lumpur esok untuk memeriahkan konsert Cornetto Love Sparks.
Utusan Malaysia
Sikap ‘Pelik’ Anak Tanda Bermasalah
500,000 kanak-kanak di negara ini hidap disleksia dan ada tidak disedari ibu bapa
RAKAN sebaya anak anda seronok setiap pagi untuk ke sekolah, tetapi anak anda bersikap sebaliknya. Jika menghadapi masalah sebegitu, anda dinasihatkan supaya mencari jawapan di sebalik alasan diberikan bagi mengenal pasti masalah dihadapi.
Kerap gagal dalam ujian diberikan, selain gagal mengikuti pengajaran guru menyebabkan kanak-kanak itu sering dilabelkan sebagai murid lembab dan nakal, sekali gus memberikan kesan mendalam kepada murid berkenaan yang rata-ratanya mereka sendiri mungkin tidak tahu bagaimana untuk diluahkan kepada ibu bapa atau guru, apa sebenarnya yang mereka hadapi.
Tanda yang ditunjukkan anak berkenaan, mungkin sebenarnya disebabkan masalah lain termasuk menghidap disleksia yang memungkinkan berlaku kesukaran kepada hidupnya kerana kanak-kanak disleksik bermasalah dari segi pembelajaran.
Maklumat yang menakutkan, apabila anak berkenaan tidak dibantu pada peringkat awal lagi, beliau akan menjadi remaja bermasalah. Sungguhpun ramai orang ternama dunia termasuk Albert Einstein, Winston Churchill, Walt Disney, Tom Cruise, Leonardo Da Vincci, selain data menunjukkan kira-kira 30 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat ternama juga adalah disleksik yang membuktikan penghidap disleksia boleh menikmati kehidupan cemerlang, pada masa sama kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati 50 peratus banduan di negara itu adalah penghidap penyakit berkenaan.
Senario itu membuktikan kanak-kanak yang dibantu boleh menjadi manusia berguna, sebaliknya sekiranya dibiarkan begitu saja, boleh memberikan kesan negatif pada masa depannya.
Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata sungguhpun isu berkenaan menjadi masalah ‘cukup tua’ dikesan di dunia, kesedarannya masih berada di takuk lama yang mana ibu bapa, malah guru masih belum memahami sepenuhnya dan kanak-kanak disleksik terus terbiar tanpa bantuan.
“Kanak-kanak disleksik masih ramai terabai kerana masih ramai guru yang gagal memahami karakter disleksia. Sekiranya mereka mengetahuinya, mereka tidak memiliki kemahiran khusus. Dengan kekurangan tenaga pengajar yang mahir, kanak-kanak yang sepatutnya mendapat tunjuk ajar khusus, sebaliknya bercampur satu kelas dengan murid normal.
“Apabila bercampur, mereka sudah pasti tidak menunjukkan prestasi membanggakan, sering dilabel pelajar bodoh dan lembab, selain diabaikan kerana guru juga tidak mempunyai masa cukup memberikan tumpuan lebih terhadap murid disleksik. Bayangkan, anda dilabel bodoh dan lembab sepanjang waktu? Bukankah ia mempunyai kesan buruk, sedangkan anda tahu anda bijak,” katanya ketika ditemui pada majlis Penajaan Dutch Lady Menerusi Filem Kung Fu Panda kepada persatuan berkenaan baru-baru ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries Malaysia Berhad, Jan Pieter Tanis.
Disleksia adalah masalah kesukaran pembelajaran, yang memberikan kesan terhadap pembacaan, ejaan, menulis dan mengingat. Ia adalah kesan daripada kerosakan kebolehan otak untuk mentafsirkan imej yang diterima menerusi penglihatan atau pendengaran untuk diterjemahkan dalam bentuk bahasa yang difahami.
Individu disleksia memiliki beberapa kelemahan termasuk melihat huruf secara terbalik seperti ‘was’ sebagai ‘saw’; ‘b’ sebagai ‘d’ atau ‘p’ sebagai ‘q’. Kesukaran dalam memahami, mengingat atau mengulang apa yang disebut melalui tulisan dan mempunyai tulisan yang tidak cantik.
Sariah berkata, pengesanan awal amat membantu kanak-kanak berkenaan hidup menikmati kehidupan bermutu dan memudahkan mereka belajar membaca serta menulis dengan baik. Sungguhpun hari ini ada sekolah yang memiliki kelas untuk murid disleksik, masih banyak sekolah tidak memilikinya, malah hanya boleh menempatkan cuma 20 murid pada sesuatu masa, sedangkan kajian menunjukkan lebih 500,000 kanak-kanak sekolah menderita akibat disleksia.
Menangani masalah berkenaan, katanya, persatuan itu bersedia melatih guru menangani kanak-kanak disleksik sekiranya Kementerian Pendidikan benar-benar serius menangani isu berkenaan.
“Kita perlu faham bahawa kanak-kanak ini bukanlah sakit atau menghadapi gangguan mental, sebaliknya kebolehan dari segi pembelajaran. Berbekalkan kesabaran dan teknik yang betul, kanak-kanak ini mampu menangani masalah yang mereka hadapi itu.
“Individu disleksik adalah insan pintar dan sekiranya kita terus mengabaikan, mungkin kita kehilangan saintis, doktor serta bijak pandai kerana ramai orang hebat di dunia, juga disleksik. Kanak-kanak yang diabaikan ini membolehkan mereka terjerumus dalam kancah sosial yang merosakkan,” katanya.
Mengulas mengenai pembiayaan kos ditanggung persatuan berkenaan, Sariah berkata, menjalankan kerja mengajar dan program kesedaran, persatuan itu bergantung sepenuhnya daripada derma serta sumbangan korporat.
Puluhan ribu diperlukan setiap bulan membabitkan gaji guru dan pekerja, selain sewa yang perlu dibayar bagi membolehkan persatuan terus berbakti kepada pihak memerlukan.
Sariah berkata, persatuan berkenaan ditubuhkan sejak 1993 dan banyak menganjurkan seminar serta bengkel membolehkan kanak-kanak disleksik terus belajar dan mampu kembali seperti normal yang tidak mungkin boleh didapati di sekolah biasa,
“Kanak-kanak ini bukan sepenuhnya belajar di sini, sebaliknya akan ada beberapa kelas dan dalam tempoh tertentu untuk mereka belajar dan teknik pembelajaran diberikan adalah berbeza. Dengan jumlah murid yang kecil seperti lima orang, guru akan mampu memberikan perhatian sepenuhnya.
“Sekiranya di sekolah, kanak-kanak ini belajar bahasa Melayu, kita di persatuan pula mengajarnya dalam bahasa Inggeris dan matematik. Selama tiga bulan pembelajaran komprehensif, selebihnya mereka boleh menghadiri kelas tambahan,” katanya.
Mengulas mengenai tajaan oleh Dutch Lady, ia diadakan bagi meraikan lebih 50 tahun kewujudannya di Malaysia, Dutch Lady secara rasmi menaja filem animasi ‘Kung Fu Panda’, berserta pelbagai aktiviti berkaitan yang menarik meliputi jelajah ke seluruh negara, pemberian percuma premium filem berjenama, hadiah hebat seperti lawatan ke taman perlindungan panda di China, serta tayangan khas Kung Fu Panda sebagai sokongan kepada persatuan berkenaan.
Pieter Tanis, berkata penajaan ini juga adalah selaras dengan manfaat Dutch Lady 123 dan 456 yang dirumus secara eksklusif dengan TT-Ratio, iaitu untuk menggalakkan pembelajaran yang berkesan di kalangan kanak-kanak.
Katanya, pelanggan Dutch Lady boleh mengharapkan pelbagai tawaran kerana setiap pembelian Dutch Lady 123 dan 456 (pek 700g atau 1.1kg) mereka akan diberi premium ‘Kung Fu Panda’ berjenama (sementara stok masih ada), dan juga peluang untuk memenangi pakej pelancongan ke Wolong National Panda Reserve di Chengdu, China.
“Kami merasakan Po (watak utama), pengalaman panda mengatasi sifat takut dan cabaran untuk memenuhi potensi yang ada pada diri dia sepenuhnya sama seperti kanak-kanak yang menghidap disleksia yang berjuang untuk mengatasi kesukaran belajar,” katanya.
Berita Harian
India Spunk Mewarnai Kepelbagaian Etnik Di Malaysia
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

BARISAN pereka fesyen tanah air dan model yang terlibat dalam Gala Fesyen Kebajikan Diraja bergambar bersama Dr. M. Majumder (tujuh dari kanan).
BUAT pertama kalinya pihak penganjur pertandingan ratu cantik Miss Malaysian Indian Global bergabung dengan Persatuan Perak bagi Mempromosikan Kesihatan Mental dengan menganjurkan majlis gilang gemilang Gala Fesyen Kebajikan Diraja (Royal Charity Fashion Gala).
Bertemakan India Spunk, majlis penuh glamor ini bakal mengetengahkan ciptaan terkini daripada lapan pereka fesyen terkenal tanah air. Antara pereka yang terlibat ialah, Nazleen Noor, Noor Arfa, Calvin Thoo, Bill Keith, Jonathan Cheng, Von Jolly, Dominique Chan dan Jovian Mandagie. Istimewanya, para pereka tersohor ini akan menampilkan kreativiti masing-masing dalam penghasilan suit pakaian India dalam gaya yang luar biasa.
Majlis Gala Fesyen Diraja ini bakal diadakan pada 6 Julai ini bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak.
Setiap busana akan diperagakan oleh pemenang Miss Asia World, Tanya Bhaterjee dari United Kingdom; Miss Malaysian Indian Global 2007; Ericka Krystalyn Manuel dan supermodel Malaysia, Amber Chia.
Selain memperagakan pakaian terbaru ciptaan pereka fesyen tersebut, barisan peragawati ini juga akan menyarungkan aksesori yang ditaja oleh Suhara Jewel Art.
Persembahan nyanyian oleh artis Reshmonu dan pemenang tarian anjuran Boh-Cameronian, Guna dari Sutra Foundation turut diselangselikan bagi menambah kemeriahan majlis.
Penganjur Miss Malaysian Indian Global Pageant, Pushaparani Thilaganathan berkata, walaupun majlis ini bersifat glamor, ia mempunyai tujuan murni iaitu bagi menghimpunkan pereka fesyen tersohor tanah air dengan satu misi untuk mengumpul dana bagi persatuan tersebut.
Tambahnya, konsep ini dipilih kerana barisan pereka fesyen ini bukan setakat menjadi pereka busana untuk 16 peserta akhir Miss Indian Global Pageant tahun lalu, malah mereka juga ingin melakukan amal kebajikan dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Majlis tersebut akan diserikan lagi dengan kehadiran Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang juga penaung persatuan tersebut dan isteri, Raja Permaisuri Tuanku Bainun Mohd Ali.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perak bagi Mempromosikan Kesihatan Mental, Datuk Dr. M. Majumder berkata, objektif utama majlis tersebut ialah untuk mengumpul dana berjumlah RM150,000 bagi Persatuan Perak bagi Mempromosikan Kesihatan Mental.
“Sejumlah wang tersebut akan digunakan bagi mewujudkan sebuah kedai pembuatan kek dan roti serta pembiayaan sebuah van. Kedai kek dan roti tersebut akan dijalankan oleh penghuni persatuan bertujuan untuk memberi terapi kepada mereka agar menjalani kehidupan dengan lebih berdikari dan mengajar mereka tentang pengurusan masa,” jelas Dr. Majumder.
Pada majlis yang sama juga akan diadakan lelongan rantai dan loket mewah bertatah berlian, delima dan batu permata berharga dari Jaipur untuk menambah dana.
Utusan Malaysia
Hanya Zizan Di Hati Leez
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

BARANGKALI masih terlalu jauh untuk berbicara soal cinta, namun apabila si gadis sudah mencorakkan riak bahawa mereka berdua sedang intim berkongsi suka dan duka, itu tandanya permulaan bahawa ada ikatan yang sedang dibina.
Seorang lahir dari program Akademi Fantasia musim keempat, manakala seorang lagi digilap menerusi program Raja Lawak musim pertama, Leez dan Zizan kini tidak boleh mengelak daripada diajak menelaah hubungan mereka.
Walaupun masih dalam status ‘kawan’, apabila si gadis sudah berani membuka bicara hati, pengakuan si jejaka yang sedang hangat memboloskan ramai peserta menerusi gameshow berjudul Bolos ini, Kosmo! susuli.
“Memang saya dan Leez sedang berkawan-kawan, kawan yang rapat dan saling membantu-membantu. Dia lebih awal masuk ke bidang seni dan kami sering bertukar-tukar pandangan tentang karier yang sedang kami jalani,” beritahu Zizan berbolak-balik.
Tidak mahu terlalu berterus-terang, tidak pula terlalu berselindung, sebaliknya Zizan selesa mengambil jalan tengah.
Beritahunya, masih terlalu awal bahkan berat hatinya untuk mendefinisikan apa yang sedang dilalui mereka berdua sebagai cinta.
“Bercinta itu terlalu berat rasanya, terlalu besar tanggungjawab dan komitmen yang perlu saya galas. Buat masa ini, biarlah saya dan Leez begini, kami saling-mengenali dan saling mencari kestabilan dalam karier masing-masing,” pinta Zizan serius.
Mengajak anak Terengganu ini bercerita lagi tentang hubungan mesranya dengan Leez, di mata Zizan, Leez seorang gadis yang lemah-lembut, kelakar dan seorang teman yang baik.

ZIZAN akui benar-benar ikhlas berkawan dengan Leez.
“Sewaktu kereta saya hilang beberapa bulan lalu, kalau tiada jadual penggambaran atau sibuk dengan urusan lain, Leez selalu tolong hantar dan temankan saya. Sejak itulah kami mulai rapat.
“Tapi bukan sebab itu saya berkawan dengan Leez, saya ikhlas sebenarnya. Apabila Leez baru-baru ini menjelaskan hubungan kami disenangi oleh kedua ibu-bapa, saya tidak perlu kata tidak kerana saya benar-benar ikhlas berkawan dengannya.
“Memang benar saya pernah berjumpa dengan ayah dan keluarga Leez, dan Leez pun begitu juga.Tak salahkan?” beritahu Zizan jujur meleraikan apa yang baru-baru ini diperjelaskan oleh Leez dalam sewaktu pertemuan bersama media sempena majlis ramah-mesra bersama pelakon-pelakon siri komedi Di Bawah Ketiak Isteri (DBKI) yang sedang ditayangkan di Astro Prima.
Zizan serius dengan Leez
Tidak mampu dan tidak mahu menyembunyikan yang sedang dilaluinya saat ini, Leez baru-baru ini tenang memberikan penjelasan, bibit-bibit kemesraannya dengan Zizan, bukan lagi rahsia.
“Dalam hati saya sekarang hanya ada Zizan dan kami banyak meluangkan masa bersama, keluar tengok wayang dan boleh dikatakan, saya sangat selesa dengannya,” luah Leez tanpa dipaksa.
Sesuatu yang boleh dipuji, gadis muda ini bukan jenis yang cepat melatah mahupun mengelak, saat ditebak dengan persoalan cinta. Dari riak wajahnya, Leez kelihatan tulus.
Tambahnya: “Zizan seorang pelawak, tapi dengan saya, dia serius dan setiap kali dia memberikan pendapat, banyak yang bernas, tak sangka pula.”
Jangan pula sekadar menyimpulkan Leez dan Zizan ini sedang bermain cinta kerana dalam diam-diam, Leez dan Zizan rupa-rupanya sudah mendekati hati keluarga masing-masing.

“KALAU ada jodoh tidak ke mana,” ujar Leez.
Tenang menceritakan perihal keintimannya dengan Zizan, pelakon berusia 21 ini memberitahu, dia pernah menemani Zizan membuat persembahan di Terengganu dan kesempatan itu diambil untuk berkunjung ke rumah ibu bapa Zizan di sana. Zizan sendiri juga pernah bertemu dengan kedua ibu-bapa Leez dan hubungan mereka sudah seperti mendapat restu kedua belah pihak.
“Yang paling saya terkejut, dia sanggup berdepan dengan ayah saya. Dari situlah saya nampak kesungguhannya untuk berkawan dengan saya,” beritahu Leez yang mula rapat dengan Zizan sejak hujung tahun 2006.
Biarpun suka sama suka, namun Leez sedar bahawa dia masih terlalu jauh untuk mengakhiri hubungan itu dengan perkahwinan.
“Saya tidak berani bercakap tentang jodoh atau bila nak kahwin. Buat masa ini, kami sama-sama nak stabilkan karier masing-masing. Zizan pula sedang sibuk dengan bermacam agenda, tapi kalau ada jodoh tidak ke mana,” ujar Leez yang digandingkan bersama-sama Zizan menerusi DBKI yang disiarkan bermula 4 Jun lalu.
Sayangnya, Zizan tidak dapat hadir pada majlis memperkenalkan siri ini di Damansara, baru-baru ini kerana berada di Terengganu atas urusan keluarga. Bagi, kolaborasi sebagai suami isteri dengan Zizan, satu kelebihan buat Leez memandangkan mereka sudah saling-mengenali antara satu sama lain di luar tabir.
Kosmo