Intai Peluang Jadi Penyanyi
Posted by admin on June 5th, 2008
Kejayaan Noryn Aziz suntik semangat Sherry Ibrahim
SETAHUN lalu dia hanya sekadar mencuba nasib, menerima watak sampingan kerana jujurnya langsung tidak terdetik di hatinya untuk melayari hidup sebagai anak seni.
Tetapi, putaran kehidupan membawanya mengembara ke bidang seni. Dia bertatih membina nama, mencuba satu demi satu watak yang mencabar kemampuan diri kerana dia hadir tanpa sebarang asas lakonan.
Ungkap gadis kelahiran Petaling Jaya yang memakai nama komersial Sherry Ibrahim ini, cintanya lebih tertumpah kepada dunia nyanyian.
Pernah menyertai beberapa siri pertandingan nyanyian, bahkan bakat nyanyiannya turut menarik perhatian sebuah label untuk diketengahkan secara komersial ketika berusia 17 tahun.
Namun semua itu terhenti apabila Sherry menyertai Penerbangan Malaysia (MAS). Lima tahun di udara sebagai pramugari, minat yang awalnya bercambah mula mengendur lantaran terlalu sibuk dengan karier baru.
Meminati genre pop R&B dan jazz, acap kali Sherry bertanya dirinya apakah peluang itu akan tiba kembali sementelah kini namanya lebih menyinar sebagai pelakon.
“Saya pernah tertanya sendiri apakah tidak terlalu lewat untuk kembali mencuba, sedangkan kini usia saya sudah menganjak 25 tahun?
“Memikirkan itu ada ketika saya diburu keraguan. Namun melihat kejayaan yang ditempa Noryn Aziz, saya cuba meyakinkan diri belum terlewat untuk mencuba sesuatu jika diiringi dengan azam dan semangat yang kuat.
“Saya percaya peluang akan tiba juga, cuma rezeki tiba lebih awal sebagai pelakon,” kata Sherry yang turut berjinak-jinak dalam bidang peragaan sebelum diperkenalkan pelakon baru, Ryzal untuk mencuba dunia lakonan.
Gadis bertubuh langsing ini sesekali turut meluahkan rasa hatinya. Akui Sherry, memikirkan kembali apa yang pernah dilaluinya membuatkan dia akur perjalanan yang diatur Ilahi.
“Semua ini ada kaitan dengan rezeki. Tidak semua benda datang mudah, malah ada kala terlalu sulit untuk memiliki sesuatu yang sememangnya kita idam-idamkan.
“Apabila berada dalam bidang ini, dapat saya rasakan perjalanan baru ini sangat mencabar. Lantas ia mendesak saya untuk melipatgandakan usaha, mencuba sehabis baik kerana tidak mahu kehadiran sekadar persinggahan,” katanya.
Bermula dengan peranan sokongan dalam drama bersiri, Dunia Baru kini sudah tujuh drama dibintanginya termasuk Elly, Cinta Tak Bertepi, Jelatang dan Gaia.
Sherry juga membintangi filem Malaikat Maut yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.
Menyentuh mengenai watak yang kerap diajukan kepadanya, anak sulung tiga beradik acap kali menerima peranan wanita penggoda.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua tawaran itu diterima kerana mahu mengelak daripada peranan stereotaip.
“Saya akui tidak boleh terlalu memilih kerana masih baru. Tetapi saya juga tidak boleh selamanya hanya mengimpikan membawa watak baik.
“Seandainya diterima penonton, saya tidak kisah membawanya. Cuma apa yang membuatkan saya bimbang senario industri di sini kerana jika kerap membawakan sesuatu watak itu, maka peranan seterusnya juga akan berlegar kepada karektor yang sama.
“Jadi saya perlu bijak memilih. Dalam kedudukan yang masih belum kukuh, siapa saya untuk terlalu memilih,” katanya.
Sedang hangat dengan drama Elly di ntv7, Sherry juga membintangi drama bersiri, Akademi Polis terbitan Skop Productions yang bersiaran di TV9.
INFO: Impian Sherry
- MAHU mencuba watak lasak kerana terlalu kerap diberikan peranan ‘gadis cantik’. Mengimpikan watak lebih selamba, cuma disebabkan judul lakonannya masih terhad, Sherry berharap peluang itu akan menjelma nanti.
- LAKONAN paling mencabar apabila membintangi Malaikat Maut. Sherry melakukan aksi stunt sendiri untuk babak kereta terbalik. Paling mengerikan apabila cermin kereta dipecahkan kerana bimbang berlaku kecederaan.
- MAHU terus memperbaiki mutu lakonan. Dia bermula kosong, semuanya dilakukan sendiri kerana tiada siapa yang membimbing ketika mula berlakon. Hinggakan skrip juga sentiasa dibawa ke mana dia melangkah.
- JUGA mengimpikan orang mengenali bakatnya sebagai penyanyi. Itu antara impian besarnya cuma ketika ini, dia mahu membina nama yang kukuh sebelum melebarkan bakatnya ke bidang lain. Selagi belum bergelar penyanyi, bagai tidak lengkap perjalanannya sebagai anak seni.
PROFIL:
- NAMA: Sherry Ibrahim
- TARIKH LAHIR: 3 April 1983
- TEMPAT LAHIR: Petaling Jaya
- TINGGI: 160sm
- BERAT: 45 kilogram
- KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik.
- KERJAYA: Pelakon dan model
- DRAMA: Dunia Baru musim ke-2, Cinta Tak Bertepi, Jelatang, Elly, Dunia Baru ke-3 dan Akademi Polis.
- FILEM: Malaikat Maut
Powered by Berita Harian