MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Musim Artis Kahwin

Posted by admin on June 5th, 2008




HARRISON FORD dan Calista Flockhart.

Cinta antara mereka ada yang sudah lama terjalin, dan ada juga di antara pasangan yang baru sahaja berputik cinta mereka. Namun, disebabkan cinta mendalam, mereka membuat keputusan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan ikatan perkahwinan.

Mungkin tahun ini merupakan tahun bertuah, ramai di antara pasangan selebriti Hollywood memilih untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

Sepanjang Mei tahun ini sahaja, Ashlee Simpson dan Pete Wentz berkahwin di kediaman ibu bapa Ashlee yang terletak di Los Angeles. Tarikhnya ialah pada 17 Mei lalu.

Jessica Alba yang sedang mengandung juga berkahwin dengan pasangannya, Cash Warren, 31, dalam satu majlis rahsia pada 19 Mei lalu.

JUSTIN TIMBERLAKE dan Jessica Biel.

Selepas ini, ramai lagi pasangan selebriti yang menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.

Dengan menolak ke tepi beberapa pasangan selebriti sejenis yang dikatakan turut kemaruk untuk berkahwin seperti hos program temu bual popular Ellen DeGeneres dan pasangannya, aktres Portia de Rossi serta aktres bermasalah, Lindsay Lohan yang kononnya juga mahu berkahwin dengan deejay, Samantha Ronson, berikut adalah antara beberapa pasangan Hollywood yang sedang di ambang perkahwinan.

Harrison Ford dan Calista FlockhartMereka telah bercinta selama enam tahun sejak pertama kali bertemu pada majlis anugerah Golden Globe 2002. Harrison Ford, 65, dan Calista Flockhart, 43, kini ingin mengukuhkan lagi hubungan cinta mereka dengan ikatan perkahwinan.

Ford dan Flockhart dilaporkan akan berkahwin pada musim panas ini. Ford yang pernah bercerai sebanyak dua kali sebenarnya berasa berat hati untuk bergelar suami buat kali ketiga.

Namun, dia baru-baru ini telah memberitahu Flockhart dia telah bersedia untuk menjadikan Flockhart isterinya.

“Harrison memberitahu dia akan berkahwin dengan Calista sebaik sahaja dia habis urusan promosi filem terbaru Indiana Jones,” kata satu sumber kepada majalah National Enquirer.

Ford dan Flockhart dipercayai sudah merancang satu majlis perkahwinan sederhana yang dijangka hanya akan disertai oleh keluarga dan rakan rapat.

Aktor ini mempunyai empat orang anak hasil perkahwinan sebelum ini. Dia juga membantu Flockhart untuk membesarkan anak angkat Flockhart, Liam, 7.

Ford berharap untuk menjadi bapa angkat kepada Liam tetapi Flockhart memberitahu bahawa mereka perlu berkahwin terlebih dahulu.

ANGELINA JOLIE dan Brad Pitt.

“Harrison begitu menyayangi Liam seperti anak kandungnya. Harrison adalah satu-satunya ayah yang Liam kenali.

“Cuma satu perkara yang perlu dilakukan oleh Harrison sekarang adalah berkahwin dengan saya. Selepas itu, dia boleh menjadi bapa angkat Liam,” kata bekas pelakon Ally McBeal itu.

Angelina Jolie dan Brad PittSelepas melahirkan anak pertama, Shiloh, 2, aktres yang panas dengan berita misteri kelahiran anak kembarnya, Angelina Jolie dan pasangannya, aktor Brad Pitt akhirnya telah membuat keputusan untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

Pasangan popular itu dilaporkan bakal mengikat tali perkahwinan dalam majlis sederhana dengan kehadiran keluarga dan kawan terdekat.

“Angelina dan Brad tidak akan membuat banyak perancangan. Majlisnya ringkas di kawasan luar Villa Maryland iaitu rumah jutawan Microsoft, Paul Allen di Perancis. Mereka kini menetap di sana sementara sedang mencari rumah.

“Angelina mahu semua anaknya, Maddox, 6, Pax, 4, Zahara, 3, dan Shiloh, 2, untuk menghadiri majlis ini. Maddox dan Pax akan terlibat dalam ikrar perkahwinan mereka,” kata salah seorang kawan rapat mereka.

Ibu bapa Pitt yang mengunjungi mereka di Perancis baru-baru ini telah mencadangkan supaya mereka berkahwin dalam masa terdekat. Mereka dikatakan sangat teruja apabila Angelina akhirnya bersetuju untuk mengahwini Brad.

“Ibu bapa Pitt terlalu gembira apabila Angelina akhirnya bersetuju dengan idea perkahwinan. Mereka telah mengambil masa yang lama untuk menerima Angelina.

MARIAH CAREY dan Nick Cannon.

“Dia (Angelina) juga benci dilihat sebagai wanita yang mencuri Brad (daripada Jennifer Aniston). Namun, itu semua adalah sejarah lampau dan dia kini sudah bersedia untuk mengorak langkah baru dalam hidupnya,” ujar satu sumber kepada majalah Grazia.

Justin Timberlake dan Jessica BielJustin Timberlake mungkin mempunyai ramai kekasih sebelum ini termasuk Britney Spears tetapi hubungannya dengan aktres Jessica Biel dilihat serius apabila dia dikhabarkan bercadang untuk berkahwin dengan Biel.

Aktres yang popular dengan filem I Now Pronounce You Chuck And Larry ini juga dikatakan sudah mengandung, memandangkan dia baru-baru ini telah berhenti mengambil minuman beralkohol.

“Justin sudah berusia 27 tahun dan sudah berfikir untuk berkahwin dan mendapatkan anak. Buat kali pertama dalam hidupnya dia mempunyai perasaan untuk mendirikan rumah tangga.

“Dia begitu gembira bersama Jessica. Mereka jarang menghabiskan masa bersama baru-baru ini kerana Justin sibuk bekerjasama dengan kolaborasi lagu bersama Madonna.

“Itu yang membuatkan Jessica yakin bahawa Justin adalah lelaki yang sempurna baginya,” kata satu sumber.

Ada juga laporan yang mendedahkan bahawa penyanyi SexyBack ini bercadang untuk menerbangkan keluarga dan rakannya secara eksklusif ke pulau Mustique, West Indies miliknya yang berkeluasan 1,400 ekar untuk majlis perkahwinannya itu.

JAKE GYLLENHAAL dan Reese Witherspoon.

Ini supaya tiada paparazzi atau wartawan yang dapat mengganggu perkahwinan mereka.

“Kos untuk menerbangkan semua kawan dan keluarganya ke pulau Mustique adalah sangat mahal tetapi semuanya berbaloi untuk Jessica,” jelas satu sumber kepada akhbar The Sun.

Jake Gyllenhaal dan Reese WitherspoonPasangan ini bertemu di lokasi penggambaran Rendition tahun lalu dan telah berbicara mengenai perkahwinan serta bersedia untuk menguatkan lagi hubungan mereka.

“Mereka sudah bercerita mengenai perkahwinan. Malah rasanya mereka kini sudah bertunang. Mereka ingin menghabiskan sisa hidup bersama,” beritahu satu sumber.

Witherspoon yang mempunyai dua orang anak bersama bekas suaminya, Ryan Phillippe ingin berkahwin sebelum dia berpindah ke rumah Jake.

“Ini satu hubungan yang serius. Tetapi Reese seorang yang konservatif dan tradisional. Dia tidak mahu ‘memalukan’ anak-anaknya,” kata seorang rakan Witherspoon kepada majalah OK!.

Pasangan ini dilaporkan bercadang untuk membina sebuah rumah di sebidang tanah yang terletak di California dengan nilai AS$6 juta (RM19.5 juta).

Mereka juga kelihatan begitu intim semasa menjamu selera di restoran Hominy Grill, Selatan Carolina.

Menurut seorang pengurus restoran, Brandy Mangum, “Mereka sangat mesra dan kelihatan manis bersama. Mereka adalah pasangan yang sempurna.”

Sungguhpun begitu, jurucakap Jake menafikan bahawa aktor ini bercadang untuk berkahwin dengan Reese.

Mariah Carey dan Nick CannonMereka sebenarnya sudah berkahwin tetapi Mariah Carey dan Nick Cannon bercadang untuk berkahwin sekali lagi.

Perkahwinan pertama pasangan ini dijalankan secara sederhana di Barbados awal bulan ini.

Perancangan untuk majlis kahwin buat kali kedua itu pula dikatakan telahpun dibuat dan kali ini kosnya mencecah AS$4 juta (RM12.9 juta).

“Ia (majlis perkahwinan kali kedua) akan berlangsung di bandar New York dalam masa enam minggu lagi. Dia inginkan lebih 2,000 tetamu.

Bajetnya adalah melebihi AS$4 juta (RM12.9 juta) dan dia akan diiringi sekurang-kurangnya 14 pengapit,” kata satu sumber.

Mariah berkahwin dengan Nick selepas bercinta dengan selama sebulan selepas pasangan ini bertemu dalam set penggambaran klip video lagu terbaru Mariah, Bye Bye.

Selepas majlis itu, Mariah juga memberitahu dia sudah bersedia untuk mendapat anak dengan Nick. “Itulah tujuan berkahwin. Saya ingin memiliki anak bersama dan membesarkan mereka.”

Kosmo

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>