KEHANGATAN Piala Eropah 2008 turut disemarakkan stesen televisyen TV3 dengan membawakan program bual bicara khas sepanjang pertandingan berlangsung, bermula 8 Jun ini.
Menjelang detik menanti debaran perlawanan hebat Euro 2008, TV3 akan mengisi malam penonton setianya dengan Sorak Borak Euro dari jam 1 pagi sebelum siaran langsung bermula.
Pengisian program dipadatkan pelbagai informasi berkaitan Euro 2008 dan dikendalikan dua personaliti seperti Ally Iskandar, Tabah Syazwan, Aidid Marcelo, Nurul Syuhadah, Fara Fauzana setiap kali bersiaran.
Tidak bersendirian kerana mereka akan ditemani dua tetamu jemputan khas, selain menjemput keluarga berbangsa asing dan pertubuhan organisasi Eropah yang menetap di Malaysia sebagai penonton dan juga penyorak di studio.
Lintas langsung Sorak Borak bakal menjelajah di beberapa tempat seluruh negara seperti Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Alor Star, Kangar, Segamat, Seremban, Ipoh dan Lembah Klang untuk bersama-sama menghangatkan demam bola sepak itu.
Krew Sorak Borak akan menjalankan pelbagai aktiviti menarik bersama penduduk kawasan setempat seperti kuiz, wawancara bersama penonton yang pernah ke Eropah menyaksikan perlawanan berprestij ini serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik tajaan Celcom dan Adidas menerusi laungan gol paling hebat.
Menerusi segmen Reality Game, penonton berpeluang melihat kehebatan bakat pengulas sukan yang dicungkil TV3 apabila menyenaraikan 16 peserta untuk bertanding menjalankan tanggungjawab itu.
Dua peserta akan bertanding setiap minggu dan peserta yang berjaya akan bertanding di pusingan seterusnya sehingga dua finalis terbaik dikenal pasti.
Selain itu, turut memeriahkan program itu adalah segmen My Euro Moment yang menyiarkan pengalaman menarik penonton yang pernah ke luar negara menyaksikan sendiri perlawanan Piala Eropah pada tahun terdahulu.
Mereka yang ingin berkongsi pengalaman bermakna itu bersama penonton boleh menceritakan pengalaman mereka menerusi laman web: scoreboard@tv3.com.my atau menghantar rakaman audio visual ke Sri Pentas, Bandar Utama.
Segmen Prediction pula akan membincangkan mengenai perlawanan yang bakal berlangsung pada hari terbabit dengan menganalisa corak permainan kumpulan bertanding.
Sorak Borak Euro turut diwarnai klip video lagu popular yang diolah semula untuk disesuaikan dengan pertandingan.
Di samping itu, penonton juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa dengan menjawab persoalan yang diutarakan menerusi segmen kuiz.
Penerbit Sorak Borak Euro, Mat Yusoff Ismail berkata, program itu diterbitkan khusus Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3 khusus menemani penonton ketika menantikan perlawanan secara langsung.
“Malah sebelum perlawanan bermula, penonton juga akan dapat berkongsi ramalan menerusi analisa yang dijalankan mengenai perlawanan yang bakal berlangsung mahupun yang sudah diadakan.
“Segmen ini akan dibincangkan bersama pakar bola sepak yang akan dijemput khas ke studio untuk memberi komen dan pendapat mengenai Euro 2008,” katanya.
INFO: Jadual siaran langsung dan siaran tertunda Euro 2008
- 7 Jun: 11.30 malam: Switzerland lwn Republik Czech
- 8 Jun: 2.15 pagi: Jerman lwn Poland
- 9 Jun: 2.15 pagi: Belanda lwn Itali
- 10 Jun: 2.15 pagi: Greek lwn Sweden
- 11 Jun: 11.30 malam: Republik Czech lwn Portugal
- 12 Jun: 11.30 malam: Austria lwn Poland
- 13 Jun: 11.30 malam: Itali lwn Romania
- 13 Jun: 5.00 pagi: (Siaran Tertunda) Belanda lwn Perancis
- 14 Jun: 2.15 pagi: Greek lwn Russia
- 15 Jun: 2.15 pagi: Switzerland lwn Portugal
- 16 Jun: 2.15 pagi: Poland lwn Croatia
- 17 Jun: 2.15 pagi: Netherlands lwn Romania
- 18 Jun: 2.15 pagi: Greek lwn Sepanyol
- 18 Jun: 2.15 pagi: Suku Akhir – Juara Kumpulan B menentang tempat kedua Kumpulan A
- 22 Jun: 2.15 pagi: Suku Akhir – Juara Kumpulan D menentang tempat kedua Kumpulan C
- 25 Jun: 2.15 pagi: Separuh Akhir 1
- 26 Jun: 2.15 pagi: Separuh Akhir 2
- 29 Jun: 2.15 pagi: Final
Powered by Berita Harian