Alex Bukan Setakat Pelumba Lagi
Posted by admin on June 29th, 2008
Hari ini, sejak menceburi sukan permotoran yang sangat mencabar sama ada dari aspek berdepan risiko kemalangan atau kecederaan serius dan kos kewangan yang tinggi pada tahun 2002, Alex membuktikan penglibatannya dalam sukan itu bukan hangat-hangat tahi ayam.
Malah, santai bagi Alex atau nama penuhnya, Alexander Charles Loong Yoong adalah sukan permotoran itu sendiri kerana beliau meluangkan masa yang banyak untuk membangunkan perniagaan sendiri dalam sukan yang sudah sebati dengan dirinya itu.
Jika dahulu beliau hanya seorang pelumba kereta sejak menyertai sukan berkenaan seawal umur 16 tahun, kini beliau mempunyai pasukan lumba kereta sendiri yang mendapat penajaan dan kerjasama strategik dari dua firma korporat tempatan iaitu Proton Holdings Bhd. (Proton) dan PLUS Expressways Bhd. (PLUS) selain beberapa syarikat lain.
Kesibukan dalam menguruskan pasukan lumba kereta tersebut menerusi syarikat milik sendiri menjadikan segala program dan aktiviti termasuk mesyuarat dan masa ketika berada di trek sebagai santai dirinya.
“Selain itu, saya hanya bersenam di gimnasium selama lima kali dalam seminggu bagi memastikan kecergasan badan sentiasa berada di tahap yang optimum kerana saya juga turun berlumba sekali-sekala ,” kata Alex.
Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui semasa sibuk menguruskan pasukannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.
Walaupun bunyinya agak membosankan kerana pekerjaan itu adalah santai, masa yang ada bagi bapa kepada seorang anak lelaki itu sangat terhad dan memerlukan pengorbanan bagi mencapai cita-cita untuk melihat sukan permotoran terus berkembang pada masa hadapan.
Sebagai pengurus dan jurulatih utama, antara kerja-kerja hakiki yang perlu dilakukan oleh Alex ialah mendapatkan penajaan untuk pasukan, kereta yang baik, pemandu yang terbaik dan krew yang bijak melakukan segala tugas teknikal penyelenggaraan.
Selain mengurus pasukan lumba kereta yang baru setahun jagung, Alex yang meminati Jennifer Lopez dan Haze sebagai penyanyi kegemarannya juga menjadi hos dan komentar beberapa program sukan saluran ESPN khususnya yang melibatkan permotoran.
“Saya menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang ada semasa menjadi pemandu F1 suatu masa dahulu untuk memberi ulasan yang bernas agar penonton program itu boleh memberi pertimbangan yang rasional mengenai pasukan kegemaran mereka,” jelasnya.
Mengenai aktiviti hariannya pula, jika beliau tidak mengadakan pertemuan dengan pihak yang berkenaan, selepas pukul 5 petang, Alex akan terus pulang ke rumahnya di Petaling Jaya bagi menghabiskan masa dengan keluarga.
Waktu malam adalah masa yang seronok bagi Alex kerana dapat meluangkan masa bersama isteri tercinta serta melayan kerenah anak tunggalnya yang kian membesar dan semakin pandai berceloteh.
Ditanya sama ada beliau ada melepak dengan kawan-kawan, Alex berkata, beliau tidak pernah melepak sepanjang hidupnya kerana percaya aktiviti itu hanya membuang masa dan tidak memberi faedah langsung.
Jika mahu bertemu rakan-rakan, perjumpaan tersebut akan dilakukan sama ada di rumah Alex atau di rumah kawan-kawannya sama ada untuk acara makan malam atau sembang kosong antara mereka, jelas beliau.
Memang sejak dahulu lagi Alex ‘benci’ untuk melepak tidak tentu hala kerana baginya setiap saat yang berlalu adalah sangat berharga dan boleh digunakan untuk kerja-kerja yang berfaedah, ujar beliau.
Mengakui beliau tiada masa untuk menikmati hobinya, Alex berkata, beliau pernah meminati sukan ski air tetapi telah meninggalkan sukan itu sejak 10 tahun yang lalu kerana menumpukan seluruh tenaga dan masanya dalam sukan permotoran terutama F1 dan A1.
“Saya sememangnya suka sukan-sukan yang mencabar kekuatan minda dan fizikal kerana saya sememangnya suka cabaran,” kata beliau yang membesar dalam persekitaran sukan berteraskan permotoran sejak kecil lagi.
Mengenai masa hadapan sukan permotoran di negara ini pula, katanya, sukan berkenaan banyak bergantung kepada soal ekonomi kerana banyak perbelanjaan yang dibiayai menerusi penajaan oleh syarikat-syarikat besar.
Jika berlaku kegawatan ekonomi, sukan tersebut akan turut merasai bahang kekalutan yang bukan sahaja mampu untuk melumpuhkan mana-mana pasukan malahan juga menyebabkan peserta berhenti berlumba serta-merta.
Harga minyak
Mengulas mengenai kenaikan harga minyak baru-baru ini, jelas beliau, lonjakan harga itu pastinya memberikan kesan kepada sukan berkenaan yang banyak menggunakan bahan bakar petrol sebagai kos langsung yang perlu ditanggung dalam jumlah yang banyak.
Di samping itu, kos pembelian alat ganti dan aksesori kenderaan khususnya dari luar negara turut meningkat secara mendadak ekoran kos pengangkutan yang bertambah.
“Tanpa penajaan oleh mana-mana syarikat dalam jumlah yang bukan sedikit, sukar bagi mana-mana pasukan lumba kereta untuk terus wujud walaupun dapat mencari kereta yang berkuasa, pemandu yang baik atau krew yang maha hebat,” katanya sambil tersenyum sinis.
Alex Yoong, 32 dilahirkan hasil perkahwinan ibu beliau yang berasal dari Eropah, Joanna Bean dan bapanya, lelaki berbangsa Cina bernama Hanifah Yoong Yin Fah yang pernah menjadi pelumba kereta dan pengurus Litar Shah Alam antara tahun 1988 hingga 1998.
Alex yang berkahwin dengan model terkenal, Arriana Teoh pada tahun 2002 dan dikurniakan anak lelaki, Alister setahun selepas itu.
Sejak memulakan karier sebagai pelumba kereta ketika berusia 16 tahun pada tahun 1992, Alex memenangi banyak perlumbaan antara yang paling awal ialah Formula Asia International di Zhuhai, China pada tahun 1994.
Kemudian, beliau memenangi kejohanan antaranya Malaysian Formula Asia 1995 dan menduduki tempat kedua Kejohanan Formula Asia International pada tahun yang sama.
Alex melebarkan kariernya ke benua Eropah dengan menyertai British Formula Renault selama dua tahun berturut-turut mulai tahun 1996, tetapi hanya menyertai sebahagian daripada British Formula Musim 3 pada tahun 1998 dan 1999 ekoran krisis kewangan Asia.
Setelah gagal dalam Formula Satu (F1), Alex beralih kepada A1 yang lebih berpotensi untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia permotoran antarabangsa.
Walaupun hanya menang sekali dari empat perlumbaan, pasukan A1 negara mahu melupakan detik hitam musim 2007 apabila musim baru perlumbaan 2008 bermula pada 21 September ini di Litar Mugello Itali.
Musim lepas pelbagai detik malang menimpa pasukan Malaysia menyaksikan pelumba kereta nombor satu negara Alex Yoong mengeluh dengan tindakan segelintir pemandu tidak berpengalaman memandu dengan cuai dan sering menyebabkan pasukan negara terlibat dalam kemalangan.
Selain itu, masalah teknikal yang sekurang-kurangnya berlaku tiga kali dalam satu musim menyebabkan kedudukan pasukan negara tercicir ke tangga 15 daripada 22 pasukan.
Saingan
Untuk musim keempat ini, pasukan negara berharap dapat memberi saingan dan menyasarkan untuk berada di kelompok lima pasukan terbaik.
Pencapaian terbaik negara ialah pada 2005 iaitu musim pertama dengan menduduki tempat kelima daripada 25 pasukan dan musim kedua pada 2006 Malaysia menduduki tempat keenam keseluruhan dari 24 pasukan.
Perlumbaan musim ini juga dijangka hebat apabila semua pasukan akan diberikan jentera baru dan akan melakukan ujian rasmi pada 18 hingga 20 Ogos di Litar Silverstone, United Kingdom.
Pasukan Malaysia masih lagi mengharapkan sentuhan Alex dan turut meletakkan harapan kepada pemandu muda, Fairuz Fauzi dan Aaron Lim.
Kejohanan tersebut dianggap sebagai Piala Dunia lumba kereta ini.
Utusan Malaysia