Wardina Hamil Lagi
Oleh AQMAR ALLADAD

WARDINA bakal dikurniakan anak ketiga.
TERKEJUT juga melihat kelibat Wardina Saffiyah Fadlullah pada majlis memperkenalkan pelakon-pelakon drama pendek bersiri popular, Impian.
Ini kerana sekilas pandang, Wardina kelihatan sedikit berisi seperti sedang hamil.
Namun, setelah diperhatikan dengan teliti, memang benar pelakon jelita ini sedang hamil.
Rupa-rupanya Wardina sudah lima bulan hamil dan bakal menimang anaknya yang ketiga. Itulah dikatakan rezeki baginya yang tidak langsung merancang untuk mendapat cahaya mata.
“Memang saya tak rancang tetapi seronok juga dan ini dikatakan rezeki jadi terima saja lah,” ungkapnya dengan penuh senyuman manis.
Wardina, 29, yang sudah memiliki dua orang anak iaitu Amna Nafeesa, 5, Azra Sareera, 2, hasil perkongsiannya bersama suami, Ikhwan Johari, 33, menegaskan bakal berhenti berehat seketika daripada kerjayanya itu apabila usia kandungannya mencecah tujuh bulan.
Petah menuturkan bicara Wardina memberitahu, pada awal kandungan dirinya begitu penat sekali kerana sibuk dengan tugas harian seperti bidang pengacaraan untuk program Malaysia Hari Ini (MHI) dan juga penggambaran Impian yang sebenarnya merupakan Impian Illyana musim ketiga yang diberi nafas baru.
Beritahu Wardina, dia terpaksa mengambil pemandu khas untuk membawanya ke lokasi penggambaran MHI kerana dia tidak berdaya dan sering kemurungan setelah penat seharian mencari rezeki.
Namun, Wardina bersyukur kerana mempunyai suami yang cukup memahami keadaan dirinya ketika itu.
“Awal kandungan dulu memang tak larat. Bayangkan pagi di MHI lepas itu ke lokasi penggambaran. Balik pun dah lewat pagi kemudian esoknya kena buat MHI lagi,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Impian, hanya Wardina pelakon asal Impian Illyana yang kekal.

WARDINA (kiri) bersama pelakon baru siri drama Impian, Diana Amir.
Walaupun berdampingan dengan barisan pelakon baru seperti Diana Amir, Al-Hafiz, Tiz Zaqyah dan Kamal, Wardina tetap gembira membintanginya.
“Watak yang diberikan memang sesuai dengan diri saya. Lagipun dalam siri ini saya seorang wanita hamil jadi memang sekarang ini pun saya hamil. Maka tak susah untuk bawakan watak sebegitu,” jelasnya lagi.
Tambahnya, “Saya berbangga kerana walaupun mereka muda dan masih baru, tetapi mereka mudah memberikan kerjasama dan tahu apa yang perlu dilakukan.”
Merupakan sebuah drama interaktif, Impian memberi peluang kepada penonton untuk meneka kesudahan jalan cerita yang dipaparkan setiap hari.
“Bagi saya, drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi banyak mesej yang cuba ditonjolkan, selain daripada persoalan kekeluargaan.
“Setidak-tidaknya, ia memberi manfaat dan mengajak penonton berfikir daripada ketawa kosong,” ujarnya lagi.
Tawaran terhad kerana bertudung
Memandangkan Wardina kini lebih menonjol dalam bidang pengacaraan adakah dia tidak lagi ingin serius dalam lakonan?
Ini kerana Wardina lebih menyerlah dan selesa dalam bidang pengacaraan seperti rancangan Carta Nasyid siaran TV9 dan Ibu Mithali di Astro.
“Buat masa kini rezeki dan tawaran dalam bidang lakonan untuk saya memang tiada, ia lebih banyak kepada hos rancangan sahaja,” jawabnya dengan tenang.
Wardina menjelaskan mungkin disebabkan imejnya yang bertudung sepanjang masa, maka watak lakonan juga haruslah bersesuaian dan terhad.
“Bukan mudah untuk cari watak yang langsung tidak membuka tudung. Ia perlu mempunyai kreativiti supaya jalan cerita yang ada itu sesuai dengan saya,” katanya yang mula memakai tudung sejak 2002 lagi.
Kosmo
Kreativiti Pelajar UiTM
Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
Seramai 28 pelajar semester enam dari program Ijazah Rekaan Fesyen UiTM diwajibkan mengaplikasi tema Pemanasan Global pada setiap koleksi pakaian masing-masing mengikut kreativiti sendiri.

AIZURAWATY menggunakan warna-warna ceria yang diilhamkan daripada tarian Tuvalu manakala konsep hud digunakan dalam rekaan Norbidayatul Othman..
Isu pemanasan global semakin hebat diperkatakan. Kemarau, banjir, cuaca panas atau pencemaran udara yang melanda di seluruh negara sering menjadi topik perbincangan oleh kumpulan pakar alam sekitar.
Namun begitu, masalah ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya manusia tidak terlalu rakus dan obses merosakkan kehijauan hutan rimba serta menimbunkan sampah-sarap atau membuang sisa-sisa toksik di tempat yang tidak sepatutnya, sehingga memusnahkan flora dan fauna yang tidak berdosa.
Menurut Ketua Delegasi Kesatuan Eropah, Stavros Dimas dalam satu kenyataan, perubahan cuaca ini seakan memberi ancaman dan menjadi malapetaka terburuk sekali gus berupaya mengubah dunia yang kita diami hari ini.
Justeru, jangan terlalu mementingkan diri sendiri. Cuba fikirkan, impak yang bakal berlaku kepada negara-negara miskin, sekiranya pemanasan global semakin buruk. Antara negara yang bakal merasai tempias tersebut adalah negara-negara Afrika di mana kira-kira 800 juta penduduk bakal menghadapi ancaman keadaan cuaca tidak menentu, banjir serta kebuluran.
Sementara itu, sebuah laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meramalkan hampir 480 juta orang di benua berkenaan terpaksa berhadapan dengan masalah kebersihan air menjelang tahun 2025. Bukan itu sahaja, sebanyak 25 hingga 40 peratus spesies akan kehilangan habitat menjelang tahun 2085.
Pada tahun lalu sahaja, bongkah ais di Lautan Artik mula cair dan pecah, sekali gus dijangka lenyap dalam beberapa dekad ini. Begitu juga sebuah tasik mula terbentuk di atas bongkah air di Greenland yang semakin menipis dek kerana pemanasan global.
“Seperti yang diketahui, fenomena pemanasan global sentiasa menjadi tajuk utama perbincangan dan berada ditahap yang membimbangkan masyarakat dunia hari ini. Oleh itu, kami telah mengambil idea tersebut untuk dijadikan tema sempena pertunjukan fesyen pada semester ini.
“Seramai 28 pelajar semester enam dari program Ijazah Rekaan Fesyen diwajibkan mengaplikasi tema Pemanasan Global pada setiap koleksi pakaian masing-masing mengikut kreativiti sendiri. Pemilihan warna, corak dan konsep busana harus padan dengan tema ini,” jelas Ketua Program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Anas Musavir.
Tambah Anas, beliau sama sekali tidak menyangka bahawa setiap pelajar mampu menghasilkan rekaan bak pereka profesional. Meskipun hanya menimba ilmu di fakulti selama tiga hingga lima tahun, kumpulan pelajar ini berjaya menerapkan segala perkara yang dipelajari.
Pujian Anas itu, bukan sekadar omong kosong kerana hakikatnya, rekaan fesyen yang ditonjolkan ini berjaya menarik minat dan perhatian tetamu dan pereka tempatan yang hadir pada pertunjukan fesyen itu.

DARI kiri,Nik Erwan, Nabella dan Khairun Nisa bersama model dan trofi yang menangi.
Ini terbukti tatkala satu demi satu rekaan pelajar dipertontonkan oleh model-model popular dan berbakat. Ternyata semua pelajar tahun akhir yang terlibat telah memberikan komitmen yang tinggi tanpa mengecewakan pensyarah dan juri jemputan.
Menurut Aizurawaty Mohd Nawi, 23, mendalami bidang fesyen, sememang menjadi cita-cita yang diidamkan ketika menuntut di sekolah menengah lagi . Menyedari dirinya tidak mahir menjahit, dia telah mengambil kursus jahitan jangka pendek sebelum melangkah kaki ke UiTM.
“Bidang fesyen bukan sekadar melakar atau melukis di atas kertas putih. Ia turut memerlukan kepakaran menjahit dan pengetahuan memilih fabrik yang sesuai. Oleh itu, untuk pertunjukan fesyen tahun ini, saya melakukan kajian sehabis sebaik.
“Walaupun saya hanya menampilkan lima pasang busana, tetapi untuk menghasilkan gaya tersebut, saya perlu membuat 50 lakaran yang terbaik. Selesai proses lakaran, saya akan berbincang dengan pensyarah bagi mendapatkan pandangan sebelum baju dijahit,” jelasnya yang mendapat ilham rekaan daripada baju tarian tradisional di negara Tulavu yang banyak menggunakan warna-warna terang dan ceria.
Tambah peminat pereka fesyen, Valentino ini, Tuvalu yang terletak di Lautan Pasifik merupakan salah sebuah negara yang terjejas akibat pemanasan global. Namun begitu, masyarakat di sana masih gembira menjalani kehidupan harian.
Selain itu, rekaan Norbidayatul Othman turut mendapat tepukan gemuruh. Penggunaan warna coklat, jingga dan emas menyerlahkan konsep pakaian yang bertingkat-tingkat, seolah-olah menggambarkan cuaca panas yang boleh menyebabkan kemarau.
Nampak gayanya warna cuaca panas juga menjadi pilihan hati Nurhidayah Ismail dalam rekaannya yang bertemakan, A Crash Partition of Life.
Namun begitu, menariknya pertunjukkan fesyen ini, kebanyakan pelajar berminat menghasilkan pakaian yang dilengkapi dengan hud (ala baju hujan). Barangkali, bagi Nabella Erwani Zainal Abidin, Khairun Nisa Abd Rahim, Nurhayati Ahmad atau Prinses Saliang, hud adalah simbolik bagi musim banjir, hujan dan taufan.
Tidak ketinggalan para pelajar turut menunjukkan bakat dengan menghasilkan fesyen busana muslimah. Kombinasi stail rekaan bertudung bersama warna-warna tema pemanasan global (biru, hijau dan coklat), membuktikan kumpulan pelajar begitu peka dengan trend masa kini.
Pemenang Koleksi Terbaik, Nik Erwan Nik Roseli yang menggunakan khidmat model terkenal seperti Tengku Azura, Dilla, Tini, Ana, Intan dan Irina, berkata, anugerah yang diterima membakar semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang rekaan fesyen.
“Saya bersyukur kerana hasil rekaan saya yang bertemakan Eartly Debacle berjaya memikat hati juri. Konsep rekaan saya banyak bermain dengan warna coklat gelap dan coklat tanah. Menambahkan lagi seri busana, saya menggunakan fabrik daffeta dan satin dutches.
“Sebelum mereka pakaian, saya melayari laman web fesyen dan membelek majalah untuk mendapat idea yang menarik dan anggun,” luah pemuda berusia 23 tahun ini yang pernah menghasilkan baju untuk selebriti tempatan seperti Noryn Aziz, Sharifah Aleya, Idayu AF3, Farah Wahidah dan Kartini Hot FM.

KOLEKSI Prinses Saliang menggabungkan warna hijau dan coklat gelap.
Sementara itu, Khairun Nisa Abd Rahim yang merangkul anugerah Koordinasi Terbaik, mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa dan pensyarahnya atas segala pengorbanan dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang mengikuti kursus di UiTM.
Kosmo
Abby Bersalin September

ABBY ABADI

DALAM kesibukan tugas menimbun di pejabat, Marilyn sempat juga menatap gambar terbaru pelakon Abby Abadi, 29, yang semakin jelita.
Meski pun hamil enam bulan, Abby kelihatan kekal menawan persis Marilyn kala dia muncul pada demonstrasi produk kecantikan di Mid Valley baru-baru ini.
Beruntungnya aktor popular Norman Hakim, 31, dapat isteri macam Abby kan? Sudahlah cantik, waktu mengandung pun Abby tetap nampak hebat.
Marilyn difahamkan, Abby sebelum ini pernah menyuarakan keinginan untuk menambah cahaya mata. Kini saat gembira yang dihajat itu sudah dimakbul Tuhan. Alhamdulillah!
Abby yang juga ibu kepada sepasang cahaya mata comel iaitu Mohd. Danish Hakim, 4, dan Marisa Dania Hakim,3, sekarang sedang menghadapi detik-detik penuh kemanisan menanti kemunculan orang baru dalam keluarganya.
Si Fasha Clara pernah menyampaikan berita kepada Marilyn, pengalaman Abby hamil kali ini lain benar berbanding dua anak sebelum ini. Dia dilanda mabuk dan pening teruk hingga pernah dimasukkan ke wad hospital selama dua hari.
Apa pun, Marilyn doakan agar Abby yang dijangka bersalin pertengahan September ini selamat melahirkan anak ketiganya tanpa sebarang kesulitan, insya-Allah!
Marilyn: Tak sabar nak ada anak sendiri.
Kosmo
Sheila Rusly Takut Tua?
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
WANITA walaupun sudah berusia tidak dihalang untuk tampil menawan dan berkeyakinan, apatah lagi jika sudah bergelar artis. Hidup yang menjual bakat, nama dan karya seni, mahu tidak mahu, soal paras rupa antara agenda utama.
Ini yang menjadi prinsip penerbit dan selebriti popular yang bernama Sheila Rusly, walaupun usia sudah mencecah angka 37 tahun, dia harus berusaha untuk terus tampil menawan.
Bukan semata-mata untuk kepuasan peribadi tetapi keyakinan diri yang lebih utama.
“Di samping cara hidup sihat, penggunaan produk kecantikan yang tepat juga sangat membantu. Berada dalam karier seni begini, saya kena jaga penampilan,” kata Sheila yang sangat terkesan dengan produk antikedut yang sedang digunakannya ketika ini.
Adakah Sheila takut dengan usia tua sehinggakan bersungguh-sungguh mengambil produk kosmetik untuk membuang segala kedut di wajahnya.
“Usia memang tidak dapat dihalang, buat macam mana sekalipun, ia tidak akan berkurang. Sebenarnya, tiada jalan pintas untuk kelihatan cantik dan muda.
“Dan sebagai artis, saya harus sentiasa kelihatan menarik dan keyakinan saya sekarang bertambah dengan penggunaan produk ini,” jelas Sheila.
Bertindak sebagai jurucakap, walaupun bukan duta produk secara rasmi, Sheila menganggap, ini peluangnya untuk berkongsi awet muda yang diperolehi dengan rakan-rakan artis yang lain.
“Saya dah dua bulan mencuba produk ini dan ia berkesan pada saya. Jadi, saya mahu kawan-kawan seperti Sofea Jane, Mas Idayu, Melissa Saila dan Sharifah Shahora turut mencuba dan merasai kesannya,” kata Sheila yag ditemui di Mid Valley, baru-baru ini.
Tidak ketinggalan, Emelda Rosnaida, Abby Abadi dan Dee Hasnan turut teruja mengikut jejak
SHEILA menunjukkan cara penggunaan produk antikedut ke wajah Sharifah Shahora.
Sheila untuk mengurangkan kedut-kedut pada wajah masing- masing.
“Kak Sheila, kaulah penyelamat hidupku,” luah kata Melissa sambil berseloroh.
“Masa remaja bermasalah dengan kulit berminyak, sekarang pula kulit makin mengecut. Saya memang pernah guna banyak produk kurangkan kedut sebelum ini, ada yang tidak berkesan dan ada berkesan tapi harganya pula yang buat saya tak tahan,” tambah aktres yang sedang sibuk menjayakan watak Norizan menerusi persembahan teater muzikal P. Ramlee The Musical ini penuh rasa lega.
Sambil menyokong pendapat Melissa, kata Sheila: “Nak buang kedut boleh tapi biarlah produk yang betul-betul halal dan tak memudaratkan.”
Baru selesai penggambaran siri, Ta’in 3T sebanyak 13 episod yang bakal disiarkan Ramadan nanti, Sheila dan Jinggo kini sedang dalam proses merealisasikan telemovie terbarunya, Hanya Aku yang mengisahkan kehidupan penghuni-penghuni di Rumah Pengasih.
“Telefilem yang dijadualkan siarannya pada hari raya puasa nanti ini akan menjadi lebih istimewa jika Jamal Abdillah sudi menerima lamaran saya. Dalam kepala saya, hanya ada nama dia dan perkara ini sudahpun dimaklumkan kepada pihak Rumah Pengasih.

ABBY ABADI (kiri), Emelda dan Shahora teruja dengan kesan serta-merta produk antikedut yang dicuba mereka.
“Secara peribadinya, saya tidak nampak ini satu masalah buat Jamal kerana saya percaya, dia sendiri mahu berkongsi erti kehidupannya dengan seluruh masyarakat,” kata Sheila yang telah mencuri perhatian ramai apabila drama lakonan dan terbitannya, Sebuah Ijtihad diangkat sebagai Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2007.
Selain nama besar seperti Jamal Abdillah, nama-nama lain yang dalam perhatian Sheila untuk projek hari rayanya ini adalah Que Haidar dan Fasha Sandha.
Tidak terhenti dengan agenda Ramadan dan hari raya, jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, JS Pictures juga sedang membuat penelitian untuk menggarap semula kisah rakyat, Anak Buluh Betung untuk dijadikan drama bersiri.
Untuk siri ini kelak, nama Eman Manan dan Fizz Fairuz sudah bermain di fikiran Sheila.
BERSAMA teman-teman artis serta kakitangan Beautybank di Mid Valley baru-baru ini.
Katanya, jika produksi Indonesia berjaya mengkomersialkan kisah rakyat milik orang Melayu, Bawang Putih Bawang Merah sehingga menjadi kegilaan ramai, tidak mustahil Anak Buluh Betung juga boleh diangkat menjadi sebuah drama bersiri kontemporari yang berjaya.
“Kalau bukan kita yang mengangkat legenda kita, siapa lagi. Saya harap pendekatan dan kerja-kerja yang telah dihasilkan JS Pictures selama ini dan akan datang, sedikit sebanyak dapat memberi impak kepada bentuk tontonan semua,” jelas Sheila berkeyakinan.
Kosmo
Akil Nafi Kahwin Dengan Waheeda
Oleh Norliza Mohamad Zakaria liza.zakaria@utusan.com.my
AKHIL Hayy bersama tiga anugerah platium termasuk dua platinum berkembar yang diterimanya baru-baru ini.
KALAU sudah namanya orang popular, apa saja yang dilakukan mereka, sudah tentu akan diperhatikan.
Lalu, apabila artis-artis popular dikaitkan dalam episod percintaan, mereka sudah tentu akan menjadi tumpuan media.
Hal yang sama turut dilalui oleh bekas penyanyi rock yang kini beralih kepada lapangan nyanyian lagu-lagu dakwah dan penceramah terkenal, Akil Hayy.
Beberapa bulan lalu, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan laporan kononnya Akil memilih penyanyi wanita terkenal, Waheeda sebagai isteri keduanya.
Menguatkan lagi dakwaan itu, apabila Waheeda membuat keputusan untuk ‘bersara’ dari dunia hiburan.
Namun begitu, tiada sebarang jawapan yang pasti keluar dari mulut kedua-dua bintang popular itu.
Justeru, pada majlis pelancaran album terbarunya, Nasyid Legenda 2, Akil membuka mulut membicarakan cerita ‘perkahwinan keduanya’ kepada media secara terbuka.
Dalam nada tenang, ustaz rock itu menafikan khabar angin yang tersebar luas sebelum ini.
“Tidak. Saya tidak pernah bernikah dengannya (Waheeda). Saya rasa benda ini (gosip) semua artis akan lalui, apabila kita menempa nama pasti banyak mata yang memandang.
“Dia (Waheeda) sebenarnya sedang dalam proses berjihad untuk kembali ke jalan yang benar. Sebab itulah saya rasa prihatin tetapi mungkin orang ramai salah faham,” jelas bapa kepada lima orang anak itu tanpa berselindung.
Tidak mahu memanjangkan lagi isu yang disifatkannya sebagai khabar angin semata-mata, kata Akhil, hubungannya dengan Waheeda saling tidak ubah seperti rakan artis semata-mata.
Menganggap segala yang melanda dirinya kini sebagai tsunami dan ujian dalam hidup, Akhil pada masa yang sama mengharapkan pengertian dan kesabaran daripada isterinya yang tercinta, Maizawati Zainal.
“Dalam perkara macam ini, isteri saya perlu memahami situasi saya sebagai artis. Seringkali saya ingatkan padanya agar dia perlu sentiasa ada perasaan menyayangi bukan memiliki.
“Saya musafir ke hulu dan ke hilir, bila dia (isteri) ada perasaan sayang dan percaya pada saya barulah dunia akan rasa aman,” ujar Aki lagi.
Sementara itu, beralih perbualan kepada kerjaya seninya pula, Akil memberitahu, untuk album terbarunya ini, dia memilih untuk merakamkan lagu-lagu saduran dalam Nasyid Legenda 2.
Akil bukanlah artis pertama yang memberi nafas baru pada lagu-lagu popular lama.
Usaha merakamkan lagu-lagu sedemikian juga kata Akil, sebetulnya memberi manfaat dan keuntungan yang bukan sedikit.
Menurutnya, tidak kira apa juga genre muzik yang dimainkan, selagi ada peminatnya, selagi itulah lagu tersebut mampu bertahan walaupun berpuluh tahun lamanya.
“Memang menguntungkan. Tetapi, ia bukan satu perkara yang senang kerana setiap pembikinan album sebegini tidak boleh main buat sahaja.
“Takut nanti penyanyi asal akan kata merosakkan lagu-lagu mereka,” kata Akhil Hayy yang gemar membahasakan dirinya ana.
Agak beruntung, kata Akhil Hayy, kali ini dia menerima sentuhan daripada komposer terkenal, Fauzi Marzuki untuk album ketiganya itu.
“Fauzi memang ada alirannya yang tersendiri dalam menampakkan keaslian nasyid dan bila orang dengar, orang akan kata ya, inilah nasyid.
“Bagi saya, konsep yang saya tampilkan sangat berbeza kerana saya rakamkan semula lagu nasyid berkumpulan wanita secara solo dengan cara tersendiri,” katanya.
Album Nasyid Legenda 2 memuatkan lagu-lagu seperti Berita Gembira, Adam Dan Hawa, Dikit Sedikit dan Warna Alam yang merupakan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Al-Jawaher.
Tidak ketinggalan, ia turut memuatkan lagu-lagu nyanyian kumpulan El-Suraya iaitu Anak Derhaka, Pohon Dan Pinta, Hawa Nafsu dan Hidup Yang Hampa.
Menurut Akhil Hayy, album tersebut merupakan kesinambungan album pertamanya Nasyid Legenda yang berjaya mencatat jualan melebihi 40,000 unit.
Powered by Utusan Malaysia